Showing posts with label PRN Johor. Show all posts
Showing posts with label PRN Johor. Show all posts

Monday, March 14, 2022

Blok pembangkang perlu bergabung di bawah payung besar untuk sekat BN

Home/suaramerdeka.com.myPolitik
14/3/2022

Blok pembangkang perlu bergabung di bawah payung besar untuk sekat BN

Melalui sistem pilihan raya “first past the post” (parti pertama meraih majoriti mudah) yang diguna pakai di negara ini, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Pun begitu, adalah penting untuk mencerna mesej-mesej tersirat yang disampaikan oleh pengundi Johor daripada perspektif sistem undi popular.

Statistik menunjukkan daripada 1,426,573 pengundi yang mengambil bahagian pada PRN itu, terdapat 826,820 pengundi (56.89%) menolak BN dan hanya 599,753 pengundi (43.11%) menyokong BN.

Jika undi parti penentang BN digabungkan di peringkat DUN pula, BN sebenarnya hanya menang di 21 dari 56 kerusi sahaja sekaligus tidak mampu membentuk kerajaan negeri.

Walaupun statitisik ini tidak diguna pakai oleh sistem “first past the post”, ia memberi isyarat jelas bahawa BN sebenarnya boleh ditumbangkan.

Dengan syarat, satu kerjasama baru parti penentang BN diwujudkan dengan segera kerana Umno dan BN nampaknya semakin gelojoh untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Keghairahan Umno dan BN itu tidak pelik kerana mereka sangat yakin boleh memenangi PRU15 selagi parti lawannya gagal membuang ego masing-masing untuk membentuk kerjasama.

Sedangkan, keputusan PRU14 telah membuktikan penguasaan BN boleh diranapkan dalam sekelip mata apabila parti lawannya bersatu.

Persoalannya, parti mana yang sepatutnya mengetuai kerjasama baru itu? Adakah Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Jawapan jujur kepada persoalan itu boleh diperolehi daripada statistik undi popular PRN Johor yang menunjukkan PN menjadi penyumbang terbanyak iaitu 24% (334,457 undi) diikuti PH sebanyak 20.5% (284,969 undi) dan PKR pula sekadar 5.9% (82,556 undi).

Data-data ini pastinya boleh menjadi asas kepada rundingan untuk membentuk kerjasama yang diketuai oleh PN menjelang PRU15.

Namun, untuk merealisasikannya, DAP dan Amanah perlu meneruskan formula di Johor iaitu bersama-sama dalam PH tanpa penglibatan PKR.

PKR pula perlu berlapang dada menjalinkan kerjasama dengan PN dan ia lebih mudah dijayakan kerana tidak melibatkan Amanah dan DAP yang tidak dapat diterima PAS.

Kerenggangan hubungan PAS dan PKR juga sebenarnya tidak parah kerana ia bukan melibatkan dasar parti seperti perjuangan PAS untuk menegakkan hudud.

Sebaliknya ia berpunca daripada perbezaan pendapat akibat tindakan PKR mencetuskan Langkah Kajang pada 2014.

Serangan PKR terhadap PAS menggunakan “modal” hudud hanya berlaku selepas itu.

Soal pertelagahan PAS dan DAP juga tidak menjadi rumit lagi kerana kedua-dua parti ini bertanding di kerusi yang berbeza demografinya.

Justeru, satu kerjasama di bawah khemah besar penentang BN melibatkan PN+PKR+PH yang diketuai PN perlu dibentuk bagi mencapai cita-cita yang sama iaitu menewaskan BN.

Kepemimpinan parti-parti ini perlu mengenepikan ego masing-masing demi menterjemahkan aspirasi rakyat yang telah menolak BN pada PRU14 kerana mahu melihat pemimpin yang menyeleweng dikenakan hukuman setimpal.

Semua parti yang menentang BN tidak boleh mengkhianati aspirasi itu kerana kegagalan mereka bersatu akan menyebabkan BN menang besar dan pemimpinnya yang sudah didakwa dah dijatuhi hukuman oleh mahkamah akan lolos.

Artikel dipetik dari portal MalaysiaNow

Saturday, March 12, 2022

TIDAK RASMI: Umno-BN menang PRN Johor, capai majoriti mudah

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-March 12, 2022 8:54 PM

Penyokong Barisan Nasional bersorak meraikan kemenangan gabungan itu di bilik gerakan BN untuk PRN Johor.

PETALING JAYA: Barisan Nasional yang diterajui Umno memenangi PRN Johor malam ini untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Menurut keputusan tidak rasmi, BN sudah mencapai majoriti mudah dengan memenangi 29 daripada 56 kerusi DUN Johor dan mendahului lawan di banyak kawasan lain.

Saingan utama BN iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN) setakat ini memperlihatkan prestasi hambar. Begitu juga Pejuang dan MUDA.

Berdasarkan keputusan itu, Hasni Mohammad akan dilantik menteri besar Johor, setelah beliau berjaya mempertahankan Benut.

Hasni menjadi Menteri Besar Johor lebih dua tahun sebelum DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan lalu untuk PRN diadakan.

PRN Johor: Pilih pemimpin yang bersih, amanah seperti dituntut Islam

satuberita.my
By Admin
-March 12, 2022

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

HARI ini adalah hari yang amat penting dalam sejarah Johor moden. Ini kerana akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu pilihan raya pertama yang diadakan berasingan.

Bagi pengundi PRN Johor sama ada baharu atau sudah lama, sudah tentu sukar membuat pilihan kerana terlalu banyak parti politik bertanding. Mereka tidak tahu adakah apa yang dipangkah nanti akan memberi kesan positif atau tidak untuk tempoh lima tahun akan datang.

Kepimpinan adalah antara isu sangat mustahak diperbincangkan dan ditekankan kerana membabitkan masa depan negeri dan kemajuan rakyatnya. Dalam Islam sudah digariskan kaedah untuk memilih pemimpin.

Tidak dapat dinafikan kepemimpinan hebat berupaya membangunkan masyarakat dan tamadun bangsa, sekali gus bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan daripada aspek fizikal mahupun spiritual.

Kita tidak boleh pilih pemimpin secara semborono atau tangkap muat sahaja. Begitu juga dengan PRN Johor yang berlangsung hari ini.

Dalam Islam terdapat tiga kriteria semasa kita memilih pemimpin iaitu pemimpin perlu beragama Islam. Tetapi jika perlu memilih calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia, mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

Katanya, ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

Kriteria kedua adalah pemimpin yang mampu dan amanah. Dua sifat ini sangat penting dan wajib ada pada seorang pemimpin.

Sementara kriteria ketiga pula adalah adil. Sifat ini sangat penting kerana apabila memilikinya akan mensejahterakan rakyat.

Berbalik kepada PRN Johor, terdapat banyak parti dan gabungan politik yang memberikan pelbagai tawaran menerusi manifesto mereka.

Terpulang kepada kebijaksaan dan penilaian kita dalam membuat keputusan sama ada berdasarkan sentimen kepartian atau condong kepada mana-mana sebab atau faktual yang mendorong untuk memilih pihak mana.

Penulis berpandangan, sebagai seorang muslim, kita mempunyai pilihan untuk memilih dalam PRN Johor kerana masih ada pemimpin yang baik, bersih, amanah dan menolak kemungkaran.

Apabila kita tahu seseorang pemimpin itu serta kepimpinannya mempunyai latar belakang dan rekod yang bersih, mengapa tidak memilih kepimpinannya? Bukankan ini dituntut dalam agama memilih pemimpin dan kepimpinan sedemikian?

Adalah menjadi keganjilan dan kegilaan apabila kita masih mempunyai pilihan yang baik tetapi terus memilih pemimpin atau daripada kepimpinan yang rosak, mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

Jika ini berlaku, ini sesuatu yang sangat menghairankan. Adakah kita sebagai umat Islam sudah hilang pertimbangan dan kewarasan, tidak tahu menilai mana baik dan buruk? Adakah kita sudah buta mata hati?

Sudah ada yang baik tetapi tetap memilih yang buruk? Atas alasan apa? Terlalu taksub pada parti politik hingga membelakangkan tuntutan agama? Tidakkah rasa bersalah atau dirasakan terus bersubahat sekiranya masih memilih pemimpin dan keimpinan yang sedemikian?

Sekiranya kita tidak mempunyai pilihan, itu mungkin boleh difahami tetapi sebagai manusia bertamadun dan umat beragama, apabila ada pemimpin yang mempunyai tiga kriteria tersebut, mengapa masih mahu memilih yang sudah rosak?

Bukankah dalam keadaan politik yang sudah dicemari pelbagai ketamakan duniawi, sudah sepatutnya kepimpinan negara perlu kembali kepada landasan Islamiah. Jika kita tidak mampu mengikut seperti yang nabi lakukan, memadailah dengan cuba mengambil contoh kepimpinannya.

Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr. Mohd. Afandi Mat Rani, kepemimpinan dan manhaj Rasulullah SAW, terlakar dalam sejarah, antara patut dicontohi kerana berjaya membina pentadbiran negara berkualiti dan menepati tuntutan syariat.

Mohd. Afandi berkata, merealisasi kehebatan kepemimpinan Islam bukan mustahil, malah boleh diteladani tetapi kriteria wajib dalam diri individu perlu diketahui sebelum layak diangkat sebagai pemimpin.

“Dalam Islam, nilai utama pemimpin ialah amanah, bukannya soal populariti. Rasulullah SAW menerangkan sifat amanah seperti sabda Baginda kepada Abi Dzar RA. Baginda menjelaskan kesan apabila hilangnya amanah dalam kepimpinan jika jatuh kepada orang yang tidak berhak menjadi
pemimpin.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Maka sekiranya hilang sifat amanah, tunggulah hari pembalasan.”

Abu Dzar berkata: “Bagaimanakah hilangnya sifat itu?” Baginda bersabda: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan,” katanya.

Jadilah pengundi yang bijak dan bertanggungjawab, selamat mengundi! 

SB

Friday, March 11, 2022

BN mampu menang 35 kerusi di Johor, menurut kajian

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-March 11, 2022 4:35 PM

Ilham Centre dalam kajian bebasnya bagaimanapun mendapati 11 kerusi DUN sukar diramal memihak kepada parti mana kerana berlaku perebutan sengit antara BN, PN dan PH.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka menang selesa sekurang-kurangnya di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang hari penentuan pilihan raya negeri Johor esok, sekali gus membentuk kerajaan negeri, demikian menurut kajian bebas yang dijalankan oleh Ilham Centre.

Ilham Centre turut menjangkakan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu menang di 10 kerusi berbanding 26 yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, 11 DUN lagi sukar diramal kerana berlaku perebutan sengit antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.

“Dapatan kami menunjukkan BN dominan di segmen komposisi etnik Melayu 70%, manakala bagi komposisi etnik bukan Melayu 50-69%, walaupun PN dan PH memberi saingan hebat, namun secara teknikalnya kemenangan akan berpihak kepada BN.

“Sebagai contoh di DUN Gambir, semakin tinggi sokongan yang diperolehi PN dalam kalangan pengundi Melayu, kemenangan masih lagi memihak kepada BN kerana PN tidak berjaya melepasi aras sokongan pengundi bukan Melayu yang diperlukan.

“Ini berlaku kerana undi tersebut berpihak kepada PH dan menyebabkan BN memperoleh kemenangan,” katanya.

Kajian di lapangan itu melibatkan 1,391 responden pengundi berdaftar di Johor mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Mengulas mengenai 11 DUN yang sukar diramal, Ilham Centre berkata, ia melibatkan Paloh, Endau, Simpang Jeram, Kemelah, Bekok, Tangkak, Yong Peng, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Kempas dan Kota Iskandar.

“Beberapa faktor adalah pengaruh calon yang bertembung dan jangkaan keluar mengundi rendah terutama dalam kalangan pengundi Cina dan pecahan undi Melayu yang diterima BN dan PN.

“Faktor penyusutan ini mungkin berada pada paras 55% dalam kalangan pengundi Cina. Penyusutan ini sudah tentu akan menjejaskan peluang pembangkang untuk bertahan di kerusi-kerusi yang dinyatakan di atas,” menurut dapatan berkenaan.

Dalam pada itu, Ilham Centre berpendapat ketiadaan tokoh yang mampu menyatukan semua parti pembangkang dilihat menjadi punca PH hanya mampu menang di 10 kerusi berbanding 26 yang diperolehi pada PRU-14.

Katanya, PH termasuk PKR kelihatan tidak bermaya dan hilang arah untuk menyekat kemaraan BN selepas tewas teruk di Melaka dan Sarawak. PH masih buntu dalam mencari formula magis bagi mengembalikan kegemilangan pencapaiannya pada PRU14.

“PN menjadi saingan utama kepada BN namun peratusan bukan Melayu yang tidak menyokong gabungan ini menyebabkan mereka gagal mengatasi BN,” katanya.

Mengenai pengundi baharu seramai 869,362 atau 33.5% daripada jumlah undi, kajian itu tidak menolak faktor keluar mengundi dalam segmen berkenaan dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti diharapkan oleh pihak tertentu untuk membuat perubahan.

“Kami mengenal pasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat serta terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat,” menurut kajian itu lagi.

Johor mempunyai 56 DUN yang dibahagikan kepada empat zon, iaitu Zon Utara meliputi 16 DUN dari Buloh Kasap sehingga Sungai Balang, Zon Tengah dari Semerah sehingga Kahang, Zon Timur bermula Endau sehingga Tanjung Surat dan Zon Selatan dari Tiram sehingga Kukup.

Thursday, March 10, 2022

BN bakal menang selesa PRN Johor, pengundi totok sudah memadai: Mat Hassan

agendaily.com
10/3/2022


Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan. - Gambar fail Bernama

Berbaki sehari lagi sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan selesa untuk menang dan ia memadai sekiranya pengundi totok keluar mengundi.

Kemenangan yang bakal dicapai BN dibuat berdasarkan analisis daripada bilik perang dan laporan jentera dihantar, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Alhamdulillah bacaan dan anggaran saya buat, war room buat dan laporan-laporan kita timbal balik, setakat hari ini BN melepasi garis penamat tetapi dalam politik macam-macam boleh berlaku.

“Maka baki hari ini dan esok untuk kita pastikan jentera terus dekati seramai mungkin pengundi agar kedudukan kita dapat diperkasa dan diperkukuhkan lagi,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Mohamad ditemui wartawan selepas majlis ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Lukut.

Jelasnya, BN dijangka mampu memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Namun, Mohamad berkata jentera perlu bekerja lebih kuat dalam tempoh dua hari ini sekiranya mahukan 38 kerusi meskipun BN telah mencapai garis penamat.

“Kalau 28 kerusi seri, 29 kerusi boleh tubuh kerajaan bila saya kata garis penamat dah lepas la tu, jadi nak nasi tambah sambal ke belacan kena kerja kuat lagi supaya yang penting dapat dua per tiga lagi selamat.

“Seperti di Melaka dah selamat aman tak ada kotak katik bahkan Melaka mencurah-curah banyak pelabur datang. Ini yang kita nak bila pelabur datang orang muda dapat manfaat.

“Banyak pelabur datang buka industri, buka perniagaan mereka pun perlukan tenaga kerja maka peluang pekerjaan banyak terbuka untuk mereka,” katanya.

Tambahnya, seperti di DUN Panti dan Pasir Raja walaupun mengikut perkiraan kedua-dua kerusi telah melepasi garisan (kemenangan) tetapi jentera jangan rasa selesa.

“Saya takut jentera selesa. (Kena) kerja kuat hingga tengah malam esok dan Sabtu pagi kita tak boleh bersenang lenang sikap pengundi kita kaji ada yang putih dan tidak.

“Pengundi putih perlu dikeluarkan seramai dan seawal mungkin, tidak guna kalau sokong tapi tak keluar undi,” katanya.

Kos PRN Johor RM90 juta dibazir untuk mendengar cerita ‘kencing’ Najib

agendaily.com
10/3/2022

RM90 juta kos PRN Johor.

Nyata kos RM90 juta lebih untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sebenarnya bertujuan untuk kestabilan politik seperti yang didakwa UMNO, sebaliknya ia dibazirkan untuk mendengar cerita ‘kencing’ Datuk Seri Najib Razak yang sudah dijatuhi hukuman.

Bayangkan berapa banyak rakyat Johor dapat dibantu dengan RM90 juta lebih daripada dibazirkan untuk mengadakan pilihan raya yang sia-sia kerana yang disajikan adalah penipuan dan manipulasi oleh bekas Perdana Menteri, Najib.

Sejak bermula kempen PRN Johor sehingga tinggal sehari lagi baki berkempen, pemimpin UMNO khususnya bekas Presidennya, Najib hanya bercakap soal dirinya sendiri dan cuba menunjukkan tidak bersalah walaupun realitinya sudah pun berstatus banduan cuma tidak lagi menjalani hukuman penjara.

Dengan kempen selfienya dan menonjolkan diri kononnya masih lagi diterima rakyat di Johor, Najib tanpa segan silu sanggup menipu berhubung kes jenayah dan perbicaraan yang dihadapinya di mahkamah.

Bermula dengan perbahasan di Dewan Rakyat, Najib mengeluarkan kononnya wang rakyat tidak digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan yang diciptanya sendiri, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemudiaan cerita dongeng tersebut dijaja sebagai modal politik dalam PRN Johor.

Najib nampaknya sudah hilang kawalan apabila memanipulasi fakta walhal satu dunia mengetahui kes kecurian wang 1MDB tersebut sebenarnya ditanggung oleh kerajaan dan disorok merata-rata pelosok dunia sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah sendiri untuk membawanya pulang.

Tidak ada lagi kemaluan dan keimanan pada Najib apabila sanggup meneruskan penipuan demi penipuan demi kepentingan politik diri sendiri.

Lebih malang, Najib apabila dipanggil Parlimen untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataan yang menyelewengnya baru-baru ini tidak mengendahkan langsung Dewan Rakyat seolah-olah dirinya masih seorang Perdana Menteri (PM) yang mempunyai kuasa untuk bertindak sewenang-wenangnya.

Begitulah sikap Najib semasa menjadi PM sebelum ini, berlagak seolah-olah dirinya berkuasa dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga rakyat kena ‘kencing’ hidup-hidup.

Nampaknya semakin jelas PRN Johor yang diadakan kali ini adalah semata-mata demi kepentingan seorang individu yang sudah disabit hukuman dan bukan untuk rakyat Johor, sekiranya perkara ini berterusan tidak mustahil satu lagi pilihan raya umum (PRU) juga akan diadakan demi untuk membebaskan kumpulan Kluster Mahkamah.

Terbaharu, Najib mahu memutarbelit fakta berhubung isu Felda membabitkan penghapusan hutang peneroka dengan mengatakan kononnya ia disebabkan desakan UMNO menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil langkah tersebut.

Peneroka yang dahulu dianggap deposit tetap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dibimbangi akan berubah angin, ia menyebabkan Najib terpaksa menyeleweng fakta dengan pelbagai fakta palsu dan tidak tepat.

Najib perlu ingat, dibawah pentadbirannya tidak ada sekali usaha diambil untuk membantu peneroka yang dibelenggu hutang sebaliknya ia semakin bertambah setiap tahun sehingga ada yang tidak lagi mampu membayar hutang mereka.

Penyokong-penyokong Najib membela hujah boss mereka tersebut kononnya peneroka menikmati banyak durian runtuh dan bonus sepanjang pentadbiran BN sebelum ini tetapi realitinya peneroka terpaksa menanggung hutang yang besar akibat daripada penyenaraian FGV dan beberapa pelaburan yang merugikan.

Najib mengajak untuk berbahas, tidak pasti apa lagi yang hendak dibahas dan dikencingnya lagi walaupun hakikatnya Felda rugi saban tahun akibat kecurian dan salah urus tadbir yang berlaku dalam agensi tersebut.

Yang pastinya, kos RM90 juta untuk mengadakan PRN Johor bukanlah seperti yang digambarkan untuk mewujudkan kestabilan politik tetapi lebih untuk membebaskan kumpulan Kluster Mahkamah yang tidak lagi mempunyai masa lebih lama dan hanya menunggu hukuman disebalik tirai besi.

Wednesday, March 9, 2022

Memalukan veteran ATM berhimpun sokong penjenayah: Patriot

agendaily.com
9/3/2022

Presiden Patriot Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji (gambar kecil) mengecam beberapa anggota veteran ATM yang bersama menyambut dan menyokong Datuk Seri Najib Razak yang dianggapnya penjenayah di Simpang Renggam, Ahad lalu.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), sebuah gerakan dianggotai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilapor mengecam perbuatan beberapa veteran komando yang memakai beret hijau, kelihatan menyambut Datuk Seri Najib Razak ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Simpang Renggam, Ahad lalu.

Memetik laporan Malaysiakini, Presiden Patriot Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata:

“Tidak ada yang lebih memalukan dan dan mematahkan semangat, (daripada) untuk melihat komando veteran dari pasukan khas elit negara berhimpun bersama seorang penjenayah yang telah didapati bersalah dan dilabelkan sebagai ‘memalukan negara’ oleh pelbagai laporan media (dalam dan luar negara).”

Arshad dipetik berkata sebagai veteran pasukan keselamatan negara elit yang terlatih dan berdisiplin tinggi untuk mempertahankan negara, veteran komando sepatutnya mesti memegang teguh kepada prinsip tersebut.

“Patriot tidak mempunyai isu jika kumpulan veteran menyertai kempen politik kerana kita adalah negara demokrasi.

“Malah, walaupun kita mungkin pesara tentera atau bekas tentera, kita boleh dan mesti memainkan peranan yang membina sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam membentuk masa depan politik negara yang lebih baik dan kestabilannya.

“Tetapi untuk dilihat berpakaian yang boleh dikaitkan dengan Angkatan Tentera di litar kempen politik sebegitu – dan lebih-lebih lagi apabila bersama individu yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah bukan sahaja tidak wajar dan tidak menyenangkan tetapi secara kritikal melanggar jawatan dan status terhormat Angkatan Tentera,” katanya.

Pada 28 Julai 2020 lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib yang juga bekas Perdana Menteri bersalah dalam kes SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Sementara, Mahkamah Rayuan pada 7 Disember 2021 pula mengekalkan keputusan mahkamah tinggi itu.

Menolak dakwaan Najib bahawa dia telah bertindak atas ‘kepentingan negara’, sebaliknya Mahkamah Rayuan mengatakan tindakan itu ‘sesuatu yang memalukan negara’.

Najib juga kini berdepan banyak lagi pertuduhan jenayah di mahkamah, termasuk dalam kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sukar ramal jumlah kerusi yang akan dimenangi BN, kata Mat Hassan

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 9, 2022 12:21 PM

PRN JOHOR l Berbaki tiga hari lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat jangkaan jumlah kerusi yang akan dimenangi dalam PRN itu pada Sabtu (12 Mac) ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata ia berdasarkan keadaan geografi di Johor yang luas dan taburan penduduk yang pelbagai, sekali gus menyukarkan parti itu membuat ramalan.

“Pada PRN Melaka sebelum ini sangat jelas...23 kerusi (Dewan Undangan Negeri-DUN) daripada 28 kerusi ditandingi adalah majoritinya pengundi Melayu, jadi senang untuk saya buat ramalan. Tetapi di Johor ini taburan penduduknya adalah kepelbagaian, kemajmukan di setiap kerusi DUN.

“Faktor lain adalah ini kali pertama pengundi yang didaftarkan secara automatik menjadi pengundi. Saya rasa ada seramai 750,000 orang dan satu DUN terdiri daripada sekurang-kurangnya 6,000 pengundi baharu, malah ada tempat lain 30,000 hingga 40,000 pengundi kali pertama. Jadi ia sedikit sebanyak mendatangkan isyarat kami perlu berhati-hati di sini untuk membuat anggaran tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Umno Bahagian Mersing, di Mersing, hari ini.

Menurut Mohamad, BN akan mengadakan ‘dry run’ kali kedua esok bagi membantu parti itu membuat jangkaan dan melihat kedudukan yang lebih tepat tentang jumlah potensi kerusi boleh dimenangi pada PRN ini.

Dalam pada itu, Mohamad, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Johor, yakin kerusi DUN Endau di Mersing dapat dikembalikan kepada BN kerana ia merupakan kubu kuat parti itu sejak dahulu lagi, namun beliau berharap jentera parti tidak terlalu selesa dalam berkempen.

Mohamad menzahirkan keyakinan BN akan dapat mengekalkan lapan kerusi yang ditandingi di kawasan Zon Pantai Timur.

Lapan kerusi DUN itu ialah Endau, Tenggaroh di Parlimen Mersing; Panti, Pasir Raja (Parlimen Tenggara); Sedili, Johor Lama (Parlimen Kota Tinggi) dan Penawar dan Tanjung Surat di Parlimen Pengerang.

“Tetapi kita perlu bekerja secara berfokus hingga 12 Mac ini memandangkan tiga hari terakhir berkempen ini sangat getir. Sila bawa seramai mungkin pengundi yang kita kaji sikap mereka agar semua orang dapat keluar mengundi dan dapat memberikan undi kemenangan kepada BN secara mutlak kali ini," katanya.

Mengenai parti lawan yang terus menggunakan ‘kluster mahkamah’ sebagai modal menyerang BN sejak PRN Melaka lagi, Mohamad berkata perkara itu tidak menggugat peluang BN untuk meyakinkan pengundi dan meraih sokongan.

“Kita tak macam orang yang cakap pasal integriti di sebelah sana...kes yang sedang berjalan digugurkan begitu sahaja, jadi siapa yang berintegriti sekarang? Jangan cakap pasal integriti sedangkan parti awak itu penuh dengan katak-katak lompat, apa integriti dia nak cakap.

“Saya…nak meraih simpati supaya pengundi di Johor berikan kepercayaan dan mandat semula kepada BN kerana BN sahajalah boleh membawa kestabilan politik,” katanya.

- Bernama

Tuesday, March 8, 2022

Najib digesa jelaskan kenyataan ‘mengelirukan’ sekarang, bukan selepas PRN Johor

freemalaysiatoday.com
Dineskumar Ragu
-March 8, 2022 10:35 PM

RSN Rayer berkata, keputusan Najib Razak menangguhkan jawapan balas menunjukkan beliau enggan memberi sebarang penjelasan kepada Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak perlu memberi penjelasan berhubung hutang 1MDB kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekarang, bukannya menunggu sehingga pilihan raya negeri (PRN) Johor berakhir, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata demikian susulan laporan Malaysiakini hari ini bahawa Ahli Parlimen Pekan itu akan memberi penjelasan berhubung hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai, selepas PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Ia mungkin sudah terlambat (untuk Najib memberi penjelasan selepas PRN Johor),” katanya.

Rayer berkata, Najib perlu bertanggungjawab atas dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu hutang 1MDB pada minggu lalu.

“Saya tidak akan membenarkan Pekan memperbodohkan Dewan yang mulia ini dan terus berbohong. Saya akan mendesak tindakan diambil terhadap Pekan, sekiranya beliau enggan memberi sebarang penjelasan.”

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berkata, beliau sudah meminta Najib menjelaskan kenyataannya itu kepada Dewan Rakyat esok.

Sebelum ini, Rayer meminta maklum balas daripada Azhar berhubung usul Tony Pua (PH-Damansara) supaya merujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan hutang 1MDB.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu jelas menghina Parlimen apabila beliau berkata hanya akan memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat selepas PRN Johor.

“Dengan memilih untuk mengingkari arahan Speaker, Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 43 Dewan Rakyat, di mana keputusan Speaker adalah muktamad mengenai pematuhan peraturan,” katanya dalam kenyataan.

Najib harap Semangat Bossku bantu BN menang besar di Johor

suaramerdeka.com.my
Home/Politik
TANGKAK 8 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat di Johor menterjemahkan Semangat Bossku dalam undi buat calon-calon Barisan Nasional (BN) menang besar bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, gelombang Semangat Bossku kini mendapat sambutan hangat daripada penduduk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilawatinya.

“Saya harap Semangat Bossku diterjemahkan dalam undi untuk BN menjelang hari mengundi Sabtu ini.

“Untuk BN menang besar dalam PRN Johor tidak mustahil dilakukan.

“Pada saya, sekarang ini kita kena tumpu pada kerja dan kena serius dan paling penting jangan rasa selesa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Walkabout’ di Bukit Gambir di sini hari ini.

Yang turut hadir calon BN bagi DUN Bukit Gambir, Sahrin Jani.

Beliau kemudiannya menikmati cendol di Warung ABC selepas program walkabout hampir 15 minit.

Saingan empat penjuru turut membabitkan Mohd Solihan Badri dari Perikatan Nasional (PN), Suraya Sulaiman (Pejuang) dan Naim Jusri (PKR).

Ditanya peluang BN untuk meroboh kubu kubu kuat Perikatan Nasional (PN) di Bukit Gambir Najib berkata, beliau akui saingan sengit di DUN berkenaan.

“Kita kena tumpu pada kerja yang serius dan selepas itu baru kita tahu keputusannya,” ujarnya.

Hutang 1MDB: Saya akan jelaskan di parlimen lepas PRN Johor - Najib

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Mar 8, 2022 5:16 PM

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata dia akan memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataannya - bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai- selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor selesai.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Gambir, Johor hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata dia akan berhubung dengan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun esok.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai surat speaker yang meminta dia memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

"Saya akan jawab balik.

"Esok tak boleh sebab saya ada di Johor. Saya akan berhubung dengan dia, lepas PRN saya jelaskan," katanya.

Semalam dilaporkan Azhar telah menulis surat kepada bekas perdana menteri itu untuk meminta dia memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Rabu ini.

Azhar itu berkata demikian ketika ditanya di parlimen mengenai usul Tony Pua (PH-Damansara) agar Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Dewan Rakyat berhubung kenyataan itu.

Pua mengemukakan usul itu susulan ucapan Najib di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu yang dikatakan mengandungi kenyataan mengelirukan Dewan berhubung isu hutang 1MDB dan boleh ditafsirkan sebagai menghina Dewan Rakyat.
Najib ketika membahaskan titah yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat sebelum ini berkata tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

'Mengarutlah'

Kenyataan Najib itu juga menimbulkan kemarahan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang menyangkal dakwaan bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah pokok hutang 1MDB.

Menurut Muhyiddin, hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan dan oleh itu apabila 1MDB gagal membayar balik hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar hutang.

Najib semasa sidang akhbar hari ini menganggap kenyataan pengerusi Perikatan Nasional itu sebagai “mengarut".

Dia mendakwa wang yang digunakan kerajaan adalah wang yang diperoleh daripada bank pelaburan Goldman Sachs, dan bukan daripada pembayar cukai.

"Itu bukan wang rakyat. Goldman Sachs duit rakyat ke?

"Di mana dia kata duit rakyat? Duit Goldman Sachs, dibayar dari Goldman Sachs. Bukan duit rakyat, mengarutlah," katanya.

Tujuh soalan Najib buat Muhyiddin 'tercirit' untuk jawab

TUN CARLOS
MARCH 08, 2022


PRN JOHOR: Setelah Perikatan Nasional (PN) menolak untuk berdebat, Najib sekali lagi mengulangi tujuh soalan supaya Presiden PN, |Muhyiddin Yassin jawab.

"Azmin cabar debat, saya terus kata boleh. Tapi saya mahu Azmin bersama Muhyiddin untuk debat sebab Abah kau yang paling banyak menipu peneroka dalam ceramahnya.

"Walaupun saya belum selesai proses rayuan tetapi ianya bukan bermakna PN-PPBM boleh terus tipu peneroka FELDA.

"Itu saja jawapan korang? Takut apa jika korang berasaskan fakta dan kebenaran? Jika tak mahu debat, takpe. Jawablah soalan-soalan bocor saya hari itu. Buktikan bahawa Najib adalah seorang pembohong. Itu pun susah?" soal Najib

Berikut adalah soalan Najib kepada Muhyiddin:

Nombor 1: Adakah masalah terbesar FELDA masa saya jadi PM ialah lebih 50% daripada pokok sawit FELDA dalam kategori terlalu tua manakala ramai peneroka sudah mula lanjut usia tetapi generasi kedua dan ketiga kurang berminat untuk mengambil alih?

Dan jika kita tidak menyelesaikan kedua-dua masalah besar ini dengan penyenarain FGV, FELDA mungkin tidak akan wujud lagi?

Nombor 2: Adakah kerajaan BN dahulu amat bersedia untuk menyalurkan peruntukkan dan dana bagi FELDA supaya kesejahteraan hidup peneroka sentiasa dijamin sepanjang masa saya PM?

Nombor 3: Adakah ianya benar bahawa wiujudnya "Put Option" dalam perjanjian pembelian syarikat sawit Indonesai Eagle High Plantations di mana FELDA berhak menuntut penjual untuk membayar balik harga penjualan asal bersama faedah 6% setahun supaya FELDA tidak akan rugi dalam pembelian ini?

Nombor 4: Dari mana lagi kita mampu cari kawasan sawit baharu dengan harga RM2,800 setiap ekar ataupun 6.5 sen setiap kaki persegi memandangkan syarikat Eagle High mempunyai jumlah keluasan tanah sebanyak 320,000 hektar?

Nombor 5: Kenapa kerajaan PN dahulu tidak memberi sebarang peruntukkan kepada FELDA untuk memansuhkan hutang tetapi memaksa FELDA meminjam hutang baharu sebanyak RM9.9 bilion lagi pada 2020?

Nombor 6:
Dan jika ianya benar-benar pemansuhan atau pemaafan hutang, kenapa pula peneroka perlu menandatangani perjanjian dengan perlu menerima syarat samada untuk ladang mereka diuruskan FELDA atau perlu menjual hasil kita hanya kepada FELDA?

Ya, kena ada syarat-syarat ini sebab akhirnya FELDA akan membayar balik hutang tambahan RM9.9 bilion tersebut dari hasil peneroka sendiri juga. Akhirnya peneroka sendiri yang akan bayar balik - ini bukan pemaafan hutang sebenarnya.

Memandangkan Azmin Ali dan kerajaan PH serta PN mereka menjual berpuluh-puluh bilion aset negara yang dibina saya semasa saya PM, saya tengok tiada masalah untuk kerajaan menyalurkan hasil penjualan aset tersebut sebagai peruntukan bagi fELDA - bukan paksa FELDA menambah hutang sebanyak RM9.9 bilion lagi.

Nombor 7: Adakah ianya benar bahawa Muhyiddin dan kerajaan PN yang naikkan harga sawit?
Sedangkan harga semua jenis komoditi dunia termasuk harga minyak jagung, minyak soya, petroleum turut naik ke paras tertinggi dalam dunia akibat lockdown seluruh dunia yang turunkan stok bekalan, menghentikan pengeluaran dan pembukaan semula ekonomi dunia serta langkah Indonesia menghadkan eksport sawit telah melonjakkan permintaan minyak sawit?

"Ya, banyak lagi yang saya nak bongkarkan, nak bocorkan berhubung penipuan dalam ceramah Azmin Ali dan Muhyiddin pada setiap ceramah di kawasan FELDA mereka."ujar Najib

-TunCarlos

Monday, March 7, 2022

Wajah rasis DAP tak hilang dengan letak bunga hiasan di DUN Skudai

agendaily.com
7/3/2022

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.

DAP tidak akan dapat menghilangkan wajah rasis parti itu walaupun meletakkan calon-calon Melayu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berpendapat alasan DAP meletakkan calon Melayu untuk membuktikan parti itu tidak rasis adalah logik mudah tetapi tidak dibuktikan dengan tindakan.

Mengulas kenyataan calon Melayu DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Skudai bagi PRN Johor itu, Marina Ibrahim, beliau berkata jika benar parti itu tidak rasis, Marina sepatutnya diletakkan bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Beliau yang menyifatkan Marina hanya ‘bunga hiasan’ DAP, diletakkan bertanding di kerusi yang pernah dimenangi parti itu menerusi Tan Hong Pin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 35,126 undi.

Bagi PRN Johor 12 Mac ini, Marina akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Khoo Kong Ek dan calon Barisan Nasional dari MCA Lim Soon Hai.

“Dalam PRU itu DUN Skudai punya 76.14% pengundi bukan Melayu berbanding cuma 23.21% Melayu.

“Dalam laporan NST itu Marina berkata tujuan beliau bertanding atas tiket DAP adalah bagi membuktikan yang DAP bukan parti rasis atau perkauman.

“Kalau DAP rasis kata beliau takkanlah beliau diangkat sebagai calon,” kata Roslan memetik kenyataan Marina di dalam New Straits Times hari ini.

Roslan berkata jika benar DAP bukan parti rasis, Marina sepatutnya diletak bertanding di kerusi majoriti Melayu bukannya di Skudai yang peratusan pengundi Melayunya terlalu kecil.

Menurutnya jika benar DAP bukan parti satu kaum, yang cuma menang di kerusi majoriti Cina, kenapa Marina tidak diletakkan bertanding di DUN Sedili, yang mempunyai 97.45 peratus pengundi Melayu atau DUN Penawar dengan 98.49 peratus pengundi Melayu?

“Menang dan buktikan di DUN majoriti Melayu barulah boleh bawa naratif bahawa DAP parti semua kaum dan tidak rasis. Tiada guna berteduh di kerusi majoriti Cina seperti DUN Skudai tapi mendabik dada kononnya DAP bukan parti rasis.

“Sebelum ini pun orang-orang Melayu khasnya, tahu apa jenis parti DAP ini. Selagi DAP sekadar berani letak Marina di Skudai sebagai bunga hiasan, ianya tak akan menghilangkan wajah rasisnya yang cukup menebal khasnya di Johor.

“Ayuh pengundi Melayu DUN Skudai bangkit dan tolak parti rasis,” kata beliau.

Fokus PH tawar calon terbaik, menang PRN baru umum MB, kata PKR

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-March 7, 2022 2:32 PM

PKR bersama komponen dalam PH akan menamakan calon Menteri Besar selepas rakyat memberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, menurut Saifuddin Nasution.

BATU PAHAT: PKR menegaskan parti itu buat masa ini mahu menumpukan calon yang terbaik ditawarkan kepada rakyat Johor berbanding mengumumkan calon Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata parti itu bersama komponen dalam PH akan menamakan calon Menteri Besar selepas rakyat memberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

“Saya katakan buat masa ini fokus kami adalah menawarkan calon terbaik kami pada rakyat.

“Setelah itu, bila rakyat memberikan mandat dan keyakinan, biar dasar lawan dasar. Bukan calon lawan calon. Ia bukan soal meletakkan calon Menteri Besar untuk dipadankan dengan calon Menteri Besar,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sebab PH tidak mencalonkan Menteri Besar mereka lagi.

Pada 3 Mac lalu, calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang Maszlee Malik menafikan cakap-cakap politik kononnya beliau merupakan calon Menteri Besar jika PKR dan PH diberi mandat pada PRN Johor.

Saifuddin berkata sejarah PKR masuk bertanding dalam pilihan raya sebelum ini juga pernah tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka.

Beliau memberi contoh seperti tahun 2008, ketika Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak, sebelum itu tiada sesiapa mengenalinya.

“Tidak ada umum. Lepas rakyat bagi mandat, Nizar dipilih menjadi Menteri Besar dan dia seorang Menteri Besar sangat efektif untuk semua kaum,” katanya.

Rakyat serik

Dalam pada itu, Saifuddin menyanggah pandangan yang dimomokkan rakyat sudah serik undi PH selepas 22 bulan memerintah kerajaan.

Beliau mempersoalkan adakah semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah kos sara hidup rakyat dan harga barang semakin baik.

“BN dan PN hari-hari bergaduh sesama mereka. Bergaduh itu politik yang pentingkan diri sendiri dan bukan untuk rakyat. Berbeza PKR tampilkan calon yang bawa ‘track record’ perkhidmatan bersifat dekat dengan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno bahawa BN menyasarkan kemenangan dua pertiga di Johor adalah jelas hanya untuk memperkukuhkan kuasa mereka.

Beliau berkata, apabila mendapat kuasa seperti masa ini, mereka angkuh sehingga SOP Covid-19 juga dilanggar.

“Kenyataan tersebut jelaslah motif sebenar PRN Johor dipanggil oleh Umno ialah untuk kukuhkan kuasa mereka. Tatkala perebutan kuasa dalam kerajaan antara BN dan PN, yang penting bagi mereka adalah kuasa.

“Dominasi inilah legasi keangkuhan diwarisi Umno, BN mahu dikembalikan. Selepas dapat kuasa anjur majlis besar-besar yang membazir dan SOP ke laut,” katanya.

Semalam, Ismail berkata BN menyasarkan kemenangan dua pertiga pada PRN Johor.

Beliau melihat peluang kemenangan BN pada pilihan raya kali ini cerah, namun gabungan parti itu tidak mahu hanya memperoleh majoriti mudah.

Rasuah, salah laku disebabkan BN dan UMNO berleluasa: Hadi Awang

agendaily.com

7/3/2022

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap pada ceramah umum sempena PRN Johor di bilik gerakan PAS kawasan Bakri di Muar, malam tadi, 6 Mac 2022.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru bangsa Johor supaya melakukan perubahan kepemimpinan kerajaan negeri ke arah yang lebih baik dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Menurutnya selama 60 tahun lebih pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah berlaku penyalahgunaan kuasa, salah laku dan rasuah, yang menyebabkan pentadbiran parti itu perlu diubah.

“Hari ini kita melihat penyakit rasuah dan salah laku berleluasa dalam masyarakat. Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan petunjuk kepada kita bahawa Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Penyakit rasuah ini harus kita hapuskan daripada terus merebak ke dalam masyarakat,” katanya pada ceramah umum sempena PRN Johor di bilik gerakan PAS kawasan Bakri di Muar, malam tadi.

Malah, katanya ahli UMNO sendiri mahukan perubahan dan telah melakukan dengan meninggalkan parti itu.

“Orang UMNO nak buat perubahan… menyebabkan orang UMNO meninggalkan UMNO dan tubuh parti Bersatu.

“Tun Dr Mahathir (Mohamad)… Tan Sri Muhyiddin (Yassin) ikut bersama menolak UMNO,” katanya. Beliau dipercayai merujuk kepada langkah kedua-dua pemimpin itu yang mahu melakukan perubahan setelah terbongkar salah laku dan rasuah dilakukan pemimpin atasan UMNO, khususnya berkaitan skandal 1MDB.

Dua pemimpin utama UMNO dan BN yang sekarang ini berdepan tindakan undang-undang ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua-duanya berdepan puluhan tuduhan jenayah rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion ringgit yang dilakukan ketika mereka menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika BN memerintah sebelum 2018.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan (PH) menang dengan manifesto tidak masuk akal, disebabkan rakyat menolak BN dan mahu melakukan perubahan.

“Sehinggakan janji mereka (PH) hanya tinggal janji, malah mencabar kedaulatan Islam dan institusi diraja. Akhirnya kita berjaya membuat perubahan di peringkat nasional dengan mengubah kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan sepanjang pemerintahan PN, gabungan parti itu banyak memberi bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah, termasuk yang paling teruk ketika rakyat menghadapi wabak Covid-19 dan banjir.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua kaum di Johor untuk melakukan perubahan dengan memilih calon PN yang lebih berintegriti, berkebajikan dan tidak terpalit dengan penyakit rasuah serta salah laku.

“Jangan salah pilih lagi,” pesan Abdul Hadi.

PRN Johor: ‘Khemah besar’ PH tidak begitu menjadi, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Zeanaaima Mohd Yusof
-March 7, 2022 9:00 AM

Penganalisis politik berpandangan ‘khemah besar’ PH gagal diserlahkan kesatuannya pada PRN Johor kali ini.

PETALING JAYA: ‘Khemah besar’ yang diharapkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerlahkan ‘kesatuan’ blok pembangkang gagal ditonjolkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Azmi yang juga Felo Kanan Penyelidikan Strategik Akademi Nusantara berkata, petanda paling jelas adalah PKR nekad mahu menggunakan logo sendiri sementara DAP dan Amanah sepakat untuk menggunakan logo PH.

“Di Johor memang terserlah sangat, idea ‘khemah besar’ itu tidak mendapat sambutan. Tapi masalahnya, dalam Pakatan Harapan sendiri, di Johor terutamanya, mereka berpecah. Menggunakan logo berlainan, menggunakan strategi Amanah (dan) DAP konsep lain, PKR dikatakan tak nak terima MUDA.

“Jadi kalau dalam Pakatan Harapan sendiri berpecah, macamana mereka nak menarik parti-parti lain supaya berada di bawah ‘khemah besar’ itu”, katanya kepada FMT.
Azmi Hassan.
PRN Johor yang dijadualkan berlangsung 12 Mac depan memperlihatkan PKR tidak berpuas hati dengan DAP serta Amanah, yang bertindak menyerahkan enam kerusi boleh menang kepada parti baharu, MUDA.

Enam kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap and Bukit Permai.

Malah, PKR dan MUDA bertembung sesama sendiri di DUN Larkin, selepas gagal mencapai kata sepakat.

Pejuang dan Warisan turut ‘menguji’ PH apabila menggunakan PRN Johor untuk bertapak dalam politik tanah air, dan enggan bekerjasama dengan PH yang dipimpin Anwar Ibrahim itu.


“Apa yang berlaku di Johor ini akan jadi ‘mirror’ atau cermin semasa PRU nanti jika Pakatan Harapan adalah Pakatan Harapan seperti yang sekarang,” katanya lagi.
Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Seorang lagi penganalisis, Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, jangan terkejut jika khemah besar yang diimpikan PH akan berhasil dengan gabungan parti pembangkang dengan Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

“Jangan terkejut tiba-tiba PN bekerjasama dengan Pejuang, ataupun PH bekerjasama dengan BN…atas erti kata nak wujudkan kerajaan yang lebih stabil.

“Khemah besar ini, macam-macam bentuk boleh dibuat. Orang akan melihat kestabilan. Kalau ada perebutan begini orang akan kata nak selesaikan hal ini pun tak boleh, bagaimana hal negara?,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, PRN Johor yang menyaksikan saingan sehingga tujuh penjuru membabitkan 56 kerusi DUN, petanda betapa berpecahnya pembangkang di negara ini.

Kalau skandal 1MDB dan kleptokrasi tak relevan, mengapa undi BN di Melaka tak meningkat? soal Salahuddin

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-March 7, 2022 8:30 AM

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata PH akan terus memainkan skandal 1MDB, kes rasuah membabitkan ‘kluster mahkamah’, dan kleptokrasi kerana pengundi atas pagar serta di bandar menyedari kesan akibat skandal seperti itu.

BAKRI: Skandal 1MDB, kes rasuah membabitkan ‘kluster mahkamah’, dan kleptokrasi masih relevan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk terus dijadikan modal dan senjata politik dalam PRN Johor melawan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, jika isu tersebut dianggap lapuk dan tidak memberi kesan kepada pengundi sudah pasti undi yang diterima BN meningkat, namun sebaliknya berlaku apabila sokongan diterima gabungan itu tidak bertambah walaupun ia berjaya membentuk kerajaan di Melaka.

“Kalau isu itu tak berkesan saya rasa ramai pengundi atas pagar akan lari menyokong mereka (BN) di PRN Melaka. Di Melaka memang membuktikan Umno tak boleh lagi meningkatkan undi mereka, mereka hanya dapat undi putih sahaja.

“Sebab itu isu tentang negara, isu ‘kerajaan mencuri’ ini tetap relevan.

“Kerana generasi muda, golongan bijak pandai ini masih percaya, kalau Umno-BN kembali berkuasa maka masa depan negara dalam keadaan sangat bahaya,” katanya semasa wawancara bersama FMT.

Katanya, PH akan terus memainkan isu itu kerana pengundi atas pagar serta di bandar menyedari kesan akibat skandal seperti itu boleh menyebabkan pelabur lari seterusnya merugikan negara.

Salahuddin yang juga calon PH bagi DUN Simpang Jeram berkata kekalahan gabungan itu pada PRN Melaka bukan disebabkan gagal menunaikan janji semasa menjadi kerajaan, sebaliknya pengundi luar takut pulang mengundi akibat Covid-19.

Katanya, situasi di Johor berbeza kerana pengundi tidak lagi takut untuk pulang mengundi memandangkan pemberian vaksin lengkap telah selesai dan melindungi mereka.

Mengambil kira keadaan itu, beliau yakin nasib PH di Johor tidak sama seperti Melaka, dan BN tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan 2/3 di negeri itu.

Jelasnya, walaupun BN berjaya menawan Melaka, parti itu sebenarnya kalah dari segi jumlah sokongan undi popular apabila membentuk kerajaan dengan 42% undi popular.

“Kalau orang tanya bolehkah kita kalahkan Umno, sebenarnya Umno dah kalah di Melaka. Undi mereka tak meningkat, BN hanya bentuk kerajaan dengan 42% undi popular.

“Kali ini perhitungan di Johor dan Melaka berbeza akan dibuat rakyat, kita kena letak ‘tagline’ ‘kerajaan mencuri’ lebih bahaya daripada Covid-19, rakyat kena keluar mengundi,” katanya.

Sunday, March 6, 2022

Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

wartarakyat.com.my
By Hassan Sulaiman
-March 6, 2022


BERANIKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO meletakkan poster Pengerusi dan Presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor?

Cabaran itu diutarakan oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

“Hei UMNO! Kita tak halanglah kamu letak poster Zahid Hamidi tepi jalan tu. Letaklah. Berani?” soalnya.

BN dan UMNO mungkin terpaksa berfikir berjuta kali untuk menyahut cabaran itu memandangkan Ahmad Zahid sedang berdepan 87 pertuduhan berkaitan kes rasuah di mahkamah.

Seperti yang didakwa oleh Wan Ahmad Fayhsal, UMNO kini tidak berani menegur pimpinannya yang melakukan kesalahan.

Walau bagaimanapun, situasi adalah berbeza ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu di mana beliau berani ‘berkata benar meskipun pahit’.

Muhyiddin juga tidak gentar dengan tekanan yang dihadapi sehingga akhirnya beliau dipecat dari UMNO kerana lantang bersuara menegur Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pimpinan-pimpinan UMNO dan BN, saya cukup pelik. Dulu masa Tan Sri dalam UMNO, apa dia buat? Apakah mereka mempertahankan Tan Sri?

“UMNO dan pimpinannya tidak berani menegur orang yang salah kecuali orang seperti Tan Sri. Kerana apa?

“Kerana mereka sudah biasa dengan kepimpinan yang membodek. Ini benih-benih kehancuran orang Melayu,” jelasnya.

Tambah beliau, keputusan mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam kes membabitkan SRC International membuktikan Muhyiddin berada di pihak yang benar.

“UMNO yang salah kerana bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang rosak dan mengajar anak-anak kita bahawa rasuah itu tidak apa,” ujarnya.

Wan Ahmad Fayhsal percaya anak muda zaman sekarang tidak terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu kerana mereka lebih bijak menilai dan membuat pilihan.

Isu Felda: Azmin cabar Najib berdebat

satuberita.my
By Admin
-March 6, 2022


KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengannya mengenai isu Felda sebelum proses pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata, isu Felda penting dan menarik untuk didebatkan apatah lagi tanah rancangan tersebut terjejas teruk semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Isunya Felda dimusnahkan di zaman pentadbiran beliau ketika itu. Kita ada fakta-fakta bagaimana pembelian banyak hartanah di luar negara (seperti) di Kensington, di Sarawak dan sebagainya.

“Itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Kertas Putih itu telah pun membuktikan bahawa pengkhianatan terhadap peneroka Felda.

“Itu terlalu jelas dan beliau tidak boleh mendabik dada bahawa UMNO menyelamatkan Felda,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Umum Ikrar Demi Bangsa Johor di markas PAS kawasan Muar, cawangan Parit Pechah, Muar, malam tadi.

Azmin yang merupakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mendakwa, kepimpinan Najib telah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

“Saya sebut tadi angka-angka bagaimana tanah-tanah Felda dipajak kepada FGV, sebelum itu pendapatan Felda amat besar untuk menampung operasi Felda dan juga kebajikan peneroka Felda.

“Tetapi akhirnya lihat saham FGV merudum daripada RM4.55 kepada 64 sen, hutang Felda melebihi RM10 bilion, terpaksa mengambil sukuk dan ini terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

“Ini semua harus dizahirkan dan dimaklumkan kepada peneroka Felda untuk memberikan ruang dan kesempatan kepada Perikatan Nasional untuk terus membela nasib mereka dan masa depan Felda,” jelasnya.

Mengulas mengenai kaedah debat, Ahli Parlimen Gombak itu terbuka dengan pelbagai kaedah.

“Apapun boleh. Secara maya juga boleh sebab norma baharu,” katanya.

Mat Hasan ulangi gesaan PRU perlu disegerakan selepas PRN Johor

agendaily.com
6/3/2022
Ahli Parlimen Pasir Salak membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang juga ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Dewan Rakyat, hari ini 2 Mac 2022.

Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dengan segera, kata Datuk Seri Mohamad Hasan yang masih tetap dengan pendiriannya tersebut walaupun cadangannya itu sebelum ini menerima kritikan beberapa Ahli Parlimen UMNO lain yang tidak bersetuju.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh bagi menentukan tarikh PRU untuk diadakan tetapi bagi strategi politik ia perlu disegerakan dengan memberi alasan bagi kestabilan politik negara, hujah yang sama diberikan semasa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Saya tidak cakap bila tarikhnya. Itu terpulanglah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

“Tetapi, dari segi strategi politik dan demi ketentuan kestabilan politik negara serta mendapat keabsahan mandat rakyat, PRU perlu diadakan segera. Saya bukan kata yang BN hendak kuasa, tetapi sebab kita (perlu) pulihkan imej Malaysia,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Menurutnya, kerajaan yang sedia ada ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini tidak dipilih melalui pilihan raya.

“Kerajaan hari ini tidak dipilih melalui pilihan raya. Mereka (masyarakat antarabangsa) tidak iktiraf kerajaan back door.

“Kerajaan sekarang ditubuhkan bukan hasil dari pilihan raya umum , tetapi ditubuhkan atas pakatan-pakatan Ahli-ahli Parlimen,” katanya lagi.

Mohamad berkata sebagai sebuah negara demokrasi, dunia hanya mengiiktiraf sesebuah kerajaan sah yang hanya dipilih menerusi pilihan raya.

“Kita adalah negara yang mengamalkan demokrasi. Jadi masyarakat antarabangsa akan mengiktiraf kita sebagai sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat.

“Bukannya ditubuhkan secara berpakat-pakat. Beli katak sana, beli katak sini. Itu maksud saya. Bukan sebab kerana kita menang PRN di Melaka, menang PRN di Johor, yang menyebabkan kita hendak buat Pilihan Raya Umum.

“Tidak, tidak. Asas saya, (imej) Malaysia perlu dibetulkan semula dan politik perlu distabilkan,” katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-