Thursday, March 24, 2022

SOSMA: MP UMNO sabotaj sidang Parlimen untuk tekan Ismail Sabri?

agendaily.com
24/3/2022
Rupa-rupa Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak hadir pada sesi undian Dewan Rakyat semalam, 23 Mac 2022, bagi meluluskan perlanjutan penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, demi keamanan dan keselamatan negara.

Lima puluh daripada 220 Ahli Parlimen (MP), termasuk daripada UMNO, tidak hadir pada sesi petang sidang Dewan Rakyat untuk meluluskan usul melanjutkan tempoh pelaksanaan akta SOSMA sehingga lima tahun lagi, semalam.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dikuatkuasakan bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

Akta ini digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Dewan Rakyat meluluskan akta itu pada 17 April 2012, mendapat perkenan Diraja pada 18 Jun dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Melalui undi belah bahagian yang juga telah mencetuskan hiruk-pikuk di dalam dewan, usul dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu, menyaksikan 84 MP bersetuju manakala 86 (pembangkang) tidak bersetuju.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi itu berkata seramai 50 MP tidak hadir.

Antara yang tidak hadir ialah MP Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kemudian mengambil kesempatan cuba menunjukkan kelemahan kerajaan yang ada sekarang yang ditadbir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama beliau mengatakan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani itu adalah antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Antara yang disebut Zahid dalam kenyataan hari ini ialah:

“Ini kerana, jika kita merujuk kepada Memorandum Persefahaman antara pihak Kerajaan (Perikatan Nasional) dan pembangkang (Pakatan Harapan), Perkara 3 dengan jelas menegaskan bahawa pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa oleh Kerajaan.”

Zahid terus mengambil kesempatan untuk menempelak Kerajaan Keluarga Malaysia diterajui Ismail Sabri yang mendapat dukungan majoriti MP Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, MoU itu ditandatangani Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dengan pimpinan kanan PH, termasuk cikgu kepada Zahid, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 September 2021.

Serangan terhadap kerajaan, Ismail Sabri dan pembangkang dilakukan pemimpin tertinggi parti itu, termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, tanpa melihat kesalahan mereka sendiri yang tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Justeru, adakah ketidakhadiran MP-MP UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu semalam telah dirancang lebih awal bagi menggagalkan usul penting keselamatan negara?

Atau, adakah ianya satu sabotaj daripada UMNO dan BN – parti diterajui Zahid dan dinasihati Datuk Seri Najib Razak – untuk menunjukkan kelemahan kerajaan pimpinan Ismail Sabri?

Sedangkan, jika UMNO dan BN benar-benar bertanggungjawab dan mementingkan rakyat serta negara, mereka sepatutnya hadir untuk menyokong usul itu sekali gus mengalahkan pembangkang.

Justeru, Ismail Sabri harus terus berhati-hati terhadap ‘wayang’ yang dimainkan kepimpinan UMNO dan BN untuk melemah dan memalukan pantadbiran Keluarga Malaysia.

Tok Akhi
Pemerhati politik kampung


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-