Showing posts with label SOSMA. Show all posts
Showing posts with label SOSMA. Show all posts

Thursday, February 13, 2025

Kerajaan akan pinda Akta Perhimpunan Aman, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou
-13 Feb 2025, 10:30 AM

Perdana menteri berkata, keperluan mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 akta itu akan dikeluarkan.
Antara pindaan adalah mengeluarkan Seksyen 11 dalam akta itu yang memerlukan penganjur mendapat persetujuan penghuni bagi mengadakan perhimpunan aman.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan pelaksanaan keputusan daripada kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keperluan untuk mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 akta tersebut akan dikeluarkan.

Katanya, penganjur hanya perlu memaklumkan polis lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi tujuan pengawalan.

“Beberapa tindakan sebelum ini termasuk siasatan terhadap perhimpunan anti-rasuah yang melibatkan mahasiswa akan dihentikan dan tiada tindakan diambil.

“Begitu juga mogok tunjuk perasaan (membantah Sosma) beberapa hari lalu juga tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata mulai sekarang tiada keperluan untuk sebarang kelulusan bagi penganjuran himpunan dan beliau percaya penganjur boleh memberikan kerjasama kepada polis.

Anwar menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kesediaan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.

Khoo turut mencadangkan kerajaan mengwujudkan satu tempat khas sebagai lokasi khusus untuk sebarang perhimpunan diadakan.

Sebelum ini, jurucakap Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli dilaporkan mengecam tindakan polis yang memanggil pelajar universiti untuk siasatan berkaitan himpunan pada 25 Jan lalu, dan turut menyifatkan ia sebagai satu bentuk intimidasi.

Ini selepas 10 pelajar terbabit dipanggil untuk dirakam keterangan dan proses didakwa mengambil masa lebih sejam setengah.

Pada himpunan 25 Jan lalu, menyaksikan 200 berhimpun di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, yang kebanyakan pelajar universiti.

Sementara itu, kertas siasatan turut dibuka melibatkan himpunan ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Mereka juga melancarkan mogok lapar yang berlangsung sehari bagi menunjukkan solidariti bersama tahanan, selepas Suhakam berkata, badan itu akan menyiasat dakwaan rawatan penjagaan kesihatan tidak mencukupi dan penangguhan perbicaraan dihadapi beberapa tahanan Sosma.

Wednesday, March 30, 2022

Lepas kutuk PH isu SOSMA, UMNO puji dan ajak sokong akta antilompat

agendaily.com
30/3/2022
Selepas kutuk PH, Zahid Hamidi ajak parti dipengerusikan cikgunya Anwar Ibrahim, berganding bahu menyokong akta anti lompat parti dengan alasan BN dan PH sama-sama merasai ada Ahli Parlimen yang keluar dan menyertai parti lain.

Ketika pembangkang menolak usul untuk melanjutkan penguatkuasaan salah satu undang-undang bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, adalah antara Ahli Parlimen (MP) blok kerajaan yang mengecam tindakan itu.

Antara lain Zahid berkata:

“Pertama, pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik. Malah, PH sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah. Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.”

Usul kerajaan untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Perikatan Nasional (PN), ditolak oleh Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu.

Undian belah bahagian MP memihak kepada pembangkang sebanyak 86 undi, manakala kerajaan hanya 84 undi.

Seramai 50 MP tidak hadir – 30 daripadanya adalah MP blok kerajaan termasuk Zahid; MP Pekan Datuk Seri Najib Razak; MP Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan MP Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Untuk rekod, SOSMA dikuatkuasakan bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara. Ia menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), dan diwartakan pada 22 Jun 2012, serta akan berkuat kuasa sehingga 31 Julai 2022.

Kegagalan wakil rakyat kerajaan – kerana mengutamakan diri, parti serta dendam – menyebabkan undang-undang menahan selama 28 hari ke atas individu tertentu bagi siasatan melibatkan kes-kes keselamatan bersifat kompleks, tidak dapat dilaksanakan.

Antara kes berkenaan ialah:
Kesalahan di bawah bab VI (kesalahan terhadap negara);
Kesalahan di bawah bab via (kesalahan berkaitan keganasan);
Kesalahan di bawah bab VIB (kesalahan jenayah terancang);
Kesalahan di bawah Bab IIIA akta antipemerdagangan orang dan antipenyeludupan migran 2007; dan
Akta langkah-langkah khas menentang keganasan luar negara 2015.


Mengulas lanjut keengganan PH menyokong SOSMA, Zahid berharap rakyat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada sekarang ini yang tidak lagi dihormati selain pendirian pembangkang yang tidak berpegang kepada janji.

“Namun, apabila usul yang dibentangkan kali ini gagal akibat tidak mendapat sokongan pihak pembangkang, adalah wajar untuk kita semua menyimpulkan yang mereka telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan sama sekali komitmen mereka sebelum ini,” katanya.

Keadaan itu kata Zahid, mencerminkan beberapa perkara yang mesti dipandang serius.

“Pertama, pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik. Malah, PH sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah. Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.

“Kedua, kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang.

“Kerajaan seperti dalam kedudukan sekarang tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak akan berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar,” katanya seolah-olah mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan segera supaya Barisan Nasional (BN) boleh menjadi kuasa dominan.

Selesai mengecam PH, Zahid kini memuji dan mengajak parti dipengerusikan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama-sama berganding tangan menyokong akta antilompat parti pula.

Seolah menyindir MP tertentu yang pernah melompat parti, Zahid berkata:

“Bukan senang untuk membentang rang undang-undang lompat parti di Parlimen. Lebih-lebih lagi melibatkan Ahli Parlimen yang pernah melompat parti kini berada di Dewan Rakyat. Namun inilah cabaran UMNO untuk memastikan parti politik dan pembangunan akan terus stabil.

“Sudah pasti ini memerlukan komitmen tinggi kalangan semua wakil rakyat. Barisan Nasional dan PH pernah mengalami pengalaman pedih apabila dikhianati oleh wakil rakyat mereka sendiri yang melompat ke parti lain demi mengejar jawatan, menyelamatkan diri, kuasa dan kedudukan dan apa-apa jua atas nama keselesaan diri.

“BN dan PH secara bipartisan bergerak ke depan untuk membawa Malaysia ke arah kestabilan politik dan perlu disokong semua,” katanya.

Thursday, March 24, 2022

SOSMA: MP UMNO sabotaj sidang Parlimen untuk tekan Ismail Sabri?

agendaily.com
24/3/2022
Rupa-rupa Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak hadir pada sesi undian Dewan Rakyat semalam, 23 Mac 2022, bagi meluluskan perlanjutan penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, demi keamanan dan keselamatan negara.

Lima puluh daripada 220 Ahli Parlimen (MP), termasuk daripada UMNO, tidak hadir pada sesi petang sidang Dewan Rakyat untuk meluluskan usul melanjutkan tempoh pelaksanaan akta SOSMA sehingga lima tahun lagi, semalam.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dikuatkuasakan bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

Akta ini digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Dewan Rakyat meluluskan akta itu pada 17 April 2012, mendapat perkenan Diraja pada 18 Jun dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Melalui undi belah bahagian yang juga telah mencetuskan hiruk-pikuk di dalam dewan, usul dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu, menyaksikan 84 MP bersetuju manakala 86 (pembangkang) tidak bersetuju.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi itu berkata seramai 50 MP tidak hadir.

Antara yang tidak hadir ialah MP Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kemudian mengambil kesempatan cuba menunjukkan kelemahan kerajaan yang ada sekarang yang ditadbir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama beliau mengatakan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani itu adalah antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Antara yang disebut Zahid dalam kenyataan hari ini ialah:

“Ini kerana, jika kita merujuk kepada Memorandum Persefahaman antara pihak Kerajaan (Perikatan Nasional) dan pembangkang (Pakatan Harapan), Perkara 3 dengan jelas menegaskan bahawa pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa oleh Kerajaan.”

Zahid terus mengambil kesempatan untuk menempelak Kerajaan Keluarga Malaysia diterajui Ismail Sabri yang mendapat dukungan majoriti MP Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, MoU itu ditandatangani Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dengan pimpinan kanan PH, termasuk cikgu kepada Zahid, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 September 2021.

Serangan terhadap kerajaan, Ismail Sabri dan pembangkang dilakukan pemimpin tertinggi parti itu, termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, tanpa melihat kesalahan mereka sendiri yang tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Justeru, adakah ketidakhadiran MP-MP UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu semalam telah dirancang lebih awal bagi menggagalkan usul penting keselamatan negara?

Atau, adakah ianya satu sabotaj daripada UMNO dan BN – parti diterajui Zahid dan dinasihati Datuk Seri Najib Razak – untuk menunjukkan kelemahan kerajaan pimpinan Ismail Sabri?

Sedangkan, jika UMNO dan BN benar-benar bertanggungjawab dan mementingkan rakyat serta negara, mereka sepatutnya hadir untuk menyokong usul itu sekali gus mengalahkan pembangkang.

Justeru, Ismail Sabri harus terus berhati-hati terhadap ‘wayang’ yang dimainkan kepimpinan UMNO dan BN untuk melemah dan memalukan pantadbiran Keluarga Malaysia.

Tok Akhi
Pemerhati politik kampung


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Tak hadir semasa undian SOSMA, Ahli Parlimen tuntut Zahid beri sebab

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-March 24, 2022 3:51 PM
PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi harus menjelaskan mengapa beliau dan Ahli Parlimen Umno lain tidak hadir di Parlimen semalam untuk mengundi satu usul undang-undang kontroversi yang menyebabkan ia gagal diluluskan, kata seorang pemimpin DAP.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, rakyat berhak tahu mengapa Ahli Parlimen kerajaan tidak hadir untuk mengundi usul melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi mulai 31 Julai.

Usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan dalam undian blok, selepas 84 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 86 lagi menentang. Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Ramkarpal berkata, ketidakhadiran Ahli Parlimen itu menimbulkan spekulasi kerajaan tidak mendapat sokongan Umno.

Ramkarpal dalam kenyataan berkata, dalam kes rang undang-undang (RUU) SOSMA itu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyatakan kerajaan tidak berunding dengan pembangkang sebelum membentangkannya.

“Justeru, pembangkang tidak pernah bertanggungjawab untuk menyokongnya.

“Malah, saya pasti pembangkang akan membantah sekalipun dengan rundingan kerana kami menentang SOSMA sejak mula disebabkan sifat drakoniannya.”

Susulan penolakan usul itu, Zahid dilaporkan berkata, pembangkang melanggar Perkara 3 dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

“Perkara 3 dengan jelas menegaskan pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawakan kerajaan. Ia sebagai salah satu langkah yang diambil bagi mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.”

Justeru, katanya, kerajaan mesti “segera keluar daripada belenggu kerjasama yang lemah”.

“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang,” katanya dalam catatan Facebook.

Menyifatkan kenyataan Zahid sebagai “tidak masuk akal”, Ramkarpal berkata, ini menunjukkan Presiden Umno itu tidak memahami terma MoU berkenaan.

Katanya, Perkara 3.3(b) jelas menyatakan pembangkang bersetuju menyokong atau mengelak daripada mengundi mana-mana RUU kerajaan, hanya setelah ia dirundingkan dan dipersetujui pembangkang.

“Dalam erti kata lain, mesti ada rundingan dengan pembangkang terlebih dahulu, sebelum timbul soal menyokong atau tidak mengundi.

“MoU itu tidak sekali-kali bertujuan menyebabkan pembangkang menjadi pak turut kepada semua RUU kerajaan kerana peranan pembangkang sebagai semak dan imbang kerajaan adalah, dan akan sentiasa, diutamakan,” katanya.

Usul k'jaan lulus jika Najib, Zahid hadir semalam - Fahmi

malaysiakini.com
Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan: Mar 24, 2022 12:01 PM
Umno meletakkan kegagalan kerajaan meluluskan rang undang-undang mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) kepada pembangkang dengan mendakwa Pakatan Harapan (PH) melanggar perjanjian mereka dengan Putrajaya.

Bagaimanapun ahli parlimen pembangkang menyanggah hujah tersebut dengan menegaskan kegagalan tersebut berlaku apabila beberapa pemimpin Umno sendiri tidak hadir untuk mengundi semalam.

Menurut ahli parlimen pembangkang, antara yang tidak ada di Dewan Rakyat semalam ialah presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi, serta bekas perdana menteri Najib Razak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata turut tidak hadir semasa pengundian berlangsung ialah Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa ada di dalam dewan semasa sidang berlangsung namun undinya tidak dikira kerana lewat selepas waktu yang ditetapkan.

Usul berkenaan gagal mendapat sokongan majoriti apabila undi pihak kerajaan - sebanyak 84 - diatasi undi menolak sebanyak 86.

Menunjukkan kelemahan kerajaan

Kata Fahmi turut tiada dalam sesi pengundian semalam ialah Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

"Mereka dalam kalangan 31 ahli parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi semalam.

"Daripada mereka jaja cerita kononnya PH gagalkan MOU, lebih baik mereka jelaskan kenapa mereka tak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri.

"Kalau dua tiga (orang) daripada mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus," katanya.

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini, Fahmi berkata, "sangat luar biasa" apabila ada 31 ahli parlimen kerajaan 'hilang' semasa usul mereka perlu diundi.

"Saya tak tahu sama ada mereka akan cuba sabotaj juga usul meminda Perlembagaan Persekutuan hari ini," tambahnya.

Sementara itu Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kegagalan usul semalam adalah salah kerajaan sepenuhnya.

"Kenapa mereka tak beri arahan supaya ahli kerajaan kekal (hadir dalam dewan) untuk mengundi?" katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kegagalan usul semalam disengajakan sebagai langkah sabotaj, Salahuddin berkata, ia adalah perkara kedua.
Apa yang penting kata ahli parlimen Pulai tersebut ia menunjukkan kelemahan kerajaan.

"Kenapa jumlah yang tak hadir itu ramai?" katanya lagi.

Salahuddin yang juga menganggotai jawatankuasa pemandu MOU menegaskan PH hanya menjalankan tugas mereka, dan pendirian terhadap penahanan tanpa bicara adalah konsisten.

Katanya rang undang-undang Sosma yang ingin dilanjutkan itu tidak dibawa ke perbincangan dengan PH seperti yang dinyatakan dalam MOU dan mereka hanya akan berkompromi jika akta itu dipinda.

Tak ada guna pegang janji pembangkang, kata Zahid

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 24, 2022 10:08 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menganggap kegagalan usul kerajaan mahu melanjutkan pelaksanaan tempoh tahanan 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - sebagai mengaibkan kerajaan.

Katanya, ia menjadi bukti mengapa kerajaan perlu mempunyai majoriti tersendiri dan mengesahkan gesaan Umno untuk menyegerakan pilihan raya umum (PRU).

Dia mendakwa langkah pembangkang tidak menyokong usul itu di Dewan Rakyat semalam jelas melanggar perkara ketiga memorandum persefahaman (MOU) di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) iaitu pembangkang hendaklah bersetuju atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dibawa kerajaan.

Dengan kegagalan itu, dakwa Zahid, pembangkang bukan sahaja mungkir janji dan mengabaikan komitmen mereka, bahkan tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik - yang merupakan matlamat MOU berkenaan.

“Tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.

“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang," katanya di Facebook.

Hanya untuk usul tertentu

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu, kerajaan kini seperti dalam kedudukan tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar.

“Pada saya, kedua-dua perkara ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati. MOU di antara kerajaan dan (PH) juga nampaknya sudah tidak lebih dari sekadar janji di atas kertas,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, perkembangan itu juga jelas menunjukkan bahawa pendirian Umno semasa Perhimpunan Agung Umno minggu lalu - untuk menyegerakan pilihan raya umum (PRU) - adalah rasional dan berasas.

Katanya ia juga menjadi pengajaran kepada Umno-BN untuk bangkit kembali menjadi kuasa politik yang kuat, agar dasar dan usul “yang baik” tidak perlu bergantung kepada sokongan pihak lawan yang “suka menangguk di air keruh”.

“Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada.

“Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul Sosma 2012) adalah sesuatu yang memalukan kerajaan. Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera,” katanya lagi.

Semalam, usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat dalam undi belah bahagi, apabila hanya 84 bersetuju manakala 86 tidak bersetuju, manakal 50 lagi tidak hadir.

Ini bermakna, subseksyen berkenaan - yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret - tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Namun kerajaan boleh membentangkannya semula setelah yakin mempunyai sokongan cukup di parlimen.

Perkara 3 MOU yang disebutkan Zahid - secara spesifik Perkara 3.3 (b) - mengandungi beberapa syarat, dan hanya terpakai untuk usul atau rang undang-undang kerajaan yang mana kegagalan dalam meluluskannya akan menjadi suatu bentuk ketidakpercayaan kepada kerajaan.

Perkara 3.3(b) menyatakan:

Tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan Transformasi di dalam Memorandum Persefahaman ini, mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada Kerajaan, selepas proses penggubalan rang undang-undang tersebut dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.

Anwar: Usul ditolak Dewan Rakyat tak batalkan MOU k'jaan-PH

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 24, 2022 8:47 AM
Pakatan Harapan (PH) menganggap perjanjian persefahaman gabungan itu dengan kerajaan tidak terbatal dengan gagalnya usul melanjutkan penguatkuasaan salah satu subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata dia mengikuti perjalanan sidang berkenaan walaupun masih menjalani kuarantin kendiri kerana positif Covid-19.

Katanya dia menegaskan sekali lagi memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada tahun lalu tidak terbatal.

"Seperti yang dijelaskan beberapa ahli parlimen, usul itu bukan sebahagian daripada MOU di antara kerajaan dan PH.

"Penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MOU tersebut," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Semalam usul dibawa kerajaan gagal sokongan mencukupi apabila undian pembangkang mengatasi sokongan wakil kerajaan.

Usul itu ialah bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma bagi membolehkan polis menahan seseorang suspek selama 28 hari tanpa perlu membawanya ke mahkamah.

Selepas undian dikira terdapat 84 ahli parlimen bersetuju dengan cadangan tersebut namun ada 86 ahli parlimen yang menolaknya.

Seramai 50 orang lagi ahli parlimen tidak hadir.

Ekoran keputusan tersebut beberapa pemimpin Umno berpendapat, Ismail Sabri sudah mempunyai sebab untuk memohon agar parlimen dibubarkan kerana MOU dengan PH sudah terbatal.

Antaranya anggota Majis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii, bekas ahli parlimen Johor Bahru Shahrir Samad dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Wednesday, March 23, 2022

Tak sokong atau berkecuali usul SOSMA, MoU PH-kerajaan terbatal, dakwa Annuar

FMT Reporters
-March 23, 2022 10:15 PM
Annuar Musa menyifatkan tindakan Ahli Parlimen PH menolak usul kerajaan di Dewan Rakyat hari ini sebagai ‘blessing in disguise’ atau hikmah terselindung.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa mendakwa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dan Putrajaya terbatal selepas Ahli Parlimen gabungan itu menolak usul kerajaan, sekali gus melanggar perjanjian “menyokong atau berkecuali”.

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, Perkara 3.3(b) dalam MoU itu menyebut PH bersetuju akan “mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul dikemukakan kerajaan”.

“Ertinya, (mereka) berjanji tidak akan menolak usul kerajaan. Namun, hari ini, PH melanggar MoU tersebut dengan meminta undi belah secara mengejut bagi satu usul dibawa menteri dalam negeri, di mana PH telah mengundi menolak usul tersebut,” katanya di Facebook.

Beliau merujuk usul dibawakan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang mencadangkan lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi bermula 31 Julai.

Dewan Rakyat menolak usul itu selepas 86 Ahli Parlimen mengundi menentang dan 84 lagi menyokong. Baki 50 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Subseksyen 4(5) SOSMA membolehkan polis menahan tanpa bicara seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari bagi siasatan.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook hari ini dilaporkan berkata, keputusan Ahli Parlimen PH mengundi menolak usul itu tidak akan mengancam MoU dimeterai PH dan kerajaan persekutuan pada September lalu.

Katanya, PH tidak melanggar tanggungjawab, walaupun Ahli Parlimennya menentang usul dikemukakan kerana ia adalah hak mereka sebagai wakil rakyat.

Annuar menyifatkan tindakan PH menolak usul itu sebagai “blessing in disguise” dan memudahkan lagi tanggungjawab Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU), khasnya berkaitan pembubaran Parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ianya juga membolehkan kita segerakan PRU (pilihan raya umum), selari dengan keputusan PAU tempoh hari.

“Gantung MoU! Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU15,” gesanya.

Saturday, October 26, 2019

Isu LTTE: Beri ruang pihak berkuasa tangani keganasan - Anwar

Diterbitkan Hari ini 11:39 tengahari


Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau memahami isu yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini terutamanya berhubung penahanan mereka yang didakwa terlibat dengan pergerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.

Beliau yang berucap di majlis penutup Deepavali Carnival ke 18 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi berkata semua pihak bagaimanapun perlu menyokong segala usaha yang dilakukan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan keamanan di negara ini.

“Saya tahu ada masalah yang dibangkitkan tentang penahanan rakan-rakan kita (tahanan berkait LTTE),

“Tetapi saya ingin merayu kepada saudara terutama dalam soal jenayah dan keganasan, ia harus ditangani pihak polis dan kita mesti memberi ruang dan sokongan kepada mereka,” katanya.

Pihak polis sebelum ini menahan 12 individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Empat daripada mereka yang ditahan juga merupakan ahli DAP termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) - G Saminathan (Gadek, Melaka) dan P Gunasekaran (Seremban Jaya, Negeri Sembilan).

Dalam ucapan yang sama, Anwar turut menyatakan sokongan supaya mereka yang ditahan dapat dibicarakan dengan adil dan proses pendakwaan perlu dilakukan dengan kadar segera di mahkamah.

“Jika ada bukti terhadap mereka, maka perkara yang betul adalah untuk mendakwa mereka, jika tidak mereka perlu dibenarkan untuk menyertai keluarga mereka (meraikan Deepavali)," katanya lagi.

Bagaimanapun, Anwar turut berkata beberapa peruntukan Sosma dianggap tidak sesuai untuk sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Jelasnya, pendirian mengenai penggunaan akta tersebut bukanlah sesuatu yang baru dan sudah berulang kali disuarakan PH.

Menurut MP Port Dickson itu malahan perkara tersebut sudahpun disampaikan kepada beberapa pemimpin PH termasuk Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

“Sikap kita dalam PH dan saya dari PKR memang mempertikai beberapa peruntukan undang-undang dalam Sosma.

“Kerana undang-undang itu menyekat beberapa peraturan yang kami anggap tidak sesuai bagi sesebuah negara merdeka, berdaulat dan matang,” katanya.

Kaji semula Sosma

Anwar berkata pihak berkuasa perlu berhati-hati dengan penggunaan sesetengah undang-undang keselamatan pada hari ini kerana ianya kadang kala bersifat draconian (zalim) dan tidak berlandaskan piawaian tertinggi hak asasi manusia dan proses yang adil.

Menjelaskan lanjut, presiden PKR berkata pendirian itu bukan bertujuan mempertikai tindakan pihak polis kerana beliau sangat memahami tugas pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan negara daripada anasir-anasir yang ingin mencetuskan huru-hara.

“Cuma segerakan tindakan, segerakan untuk mereka dihadapkan ke mahkamah.

“Dan cuba sebagai kerajaan mengkaji semula beberapa peruntukan Sosma yang kami tafsirkan kurang wajar,” katanya.

Terdahalu, wakil rakyat DAP Kasthuri Patto menggesa pihak polis sama ada mendakwa atau membebaskan tahanan yang dikaitkan dengan LTTE.

Katanya, pendekatan "tahan dulu, siasat kemudian" yang digunakan sekarang adalah sama dengan apa yang pernah diamalkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum akta itu dihapuskan pada 2012.

“[...] Ada undang-undang jenayah dan akta yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Tapi untuk gunakan Sosma ke atas mereka, itu tak dapat diterima, ia melanggar hak asasi dan kebebasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Monday, October 14, 2019

Dr Mahathir pertahan tangkapan LTTE di bawah Sosma

Mohamad Fadli
-October 14, 2019 4:52 PM
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan tindakan polis menahan beberapa individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan tindakan polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau berkata, selagi tidak ada undang-undang yang mengantikan Sosma, maka akta itu boleh digunakan.

“Akta Sosma masih ada, selagi tiada akta lain, kita boleh guna (Sosma),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai Revolusi Industri 4.0 di sini.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim bersetuju polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Namun katanya, penahanan berkenaan tidak seharusnya dibuat di bawah Sosma yang disifatkannya sebagai terlalu keras.

Dalam pada itu, Mahathir mempertahankan tindakan polis menahan individu disyaki terlibat dengan LTTE dan berpuas hati dengan pihak berkuasa itu.

“Saya ada (dapat) taklimat daripada polis dan mereka mempunyai sebab-sebab mereka bertindak.

“Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka mengambil tindakan itu,” katanya.

Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama dua ahli DAP Melaka adalah antara 12 individu ditahan polis pada Khamis serta Sabtu kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

LTTE disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Pemimpin DAP Dakwa Akta Keselamatan SOSMA Tidak Munasabah, Desak Dihapuskan



KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy meneruskan desakan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuhkan kerajaan secepat mungkin.

Selain itu, pemimpin DAP itu turut menuntut kesemua 12 individu ditahan termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana didakwa ada kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibicarakan ke mahkamah terbuka.

Menurutnya, hanya hakim yang layak melaksanakan prosedur akhir pengadilan terhadap kesemua tahanan itu sama ada mereka bersalah atau tidak.

“Saya sudah nyatakan sebelum ini, segala akta tidak munasabah seperti SOSMA dan POCA mesti dihapuskan segera. Kalau esok boleh hapuskan SOSMA, bagus la.

“Saya juga tidak pertikai bukti polis, cuma saya meminta mereka dibicarakan di mahkamah terbuka.

“Saya minta mereka dibicarakan di mahkamah kerana pada akhir pengadilan bukan polis, bukan peguam bela menentukan nasib mereka tetapi hakim,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Berita berkaitan;
Pelik Reaksi DAP Dalam Isu LTTE, Belum Apa-Apa Dah Melompat – Murugiah
LTTE: Polis Tak Buat Kenyataan Itu, Mana Guan Eng Dapat Maklumat? – Datuk Ayob Khan

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan penahanan 12 individu termasuk ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Exco Melaka, G Samithar kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak Khamis lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka didakwa mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak itu.

Ramasamy berkata, pihaknya masih tidak dipanggil polis dan bersedia untuk sebarang siasatan berkaitan LTTE.

Menurutnya, pihaknya tidak menyalahkan polis menjalankan siasatan berkenaan LTTE, bahkan turut menafikan mempunyai pengetahuan terhadap kewujudan lambakan cawangan LTTE di seluruh negara. 

Sinar

Sunday, October 13, 2019

Tangkapan LTTE: Penggunaan Sosma terlalu keras, kata Anwar

Susan Loone
Diterbitkan Hari ini 6:42 petang


Anwar Ibrahim menganggap tindakan polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - ke atas suspek kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai terlalu keras.

Menganggap akta itu sebagai drakonian, presiden PKR itu berkata ia perlu dipinda kerana kuasa yang diberikan kepada polis berlebihan.

Katanya PKR juga membantah peruntukan yang ada dalam Sosma sebelum ini.

"Kami menentang Sosma sebelum ini, malah sebelum (isu) LTTE tetapi jika kita mahu meneruskan akta ini, ia mesti dibuat dengan beberapa pindaan kerana sekarang undang-undangnya terlalu keras," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang di Bukit Mertajam, hari ini.

Terdahulu Anwar ditanya mengenai pandangannya terhadap penahanan 12 suspek - termasuk empat bekas anggota PKR - berhubung pembabitan mereka dalam kegiatan mempromosi LTTE.

Untuk rekod, seperti lebih 30 negara lain, Malaysia menyenaraikan LTTE sebagai pertubuhan pengganas.

Kata Anwar, walaupun tidak mempunyai maklumat mengenai penahanan bekas anggota PKR itu semalam, beliau berkata, isu Sosma sudah dibangkitkan PH di parlimen sebelum ini.

"Kadang-kadang ada orang keliru, anggap kita agak memudahkan soal keganasan," katanya.

Pada masa sama Anwar berkata, jika ada tindakan tegas atau lebih keras untuk tangani keganasan, beliau bersetuju dengannya.

[Baca berita penuh]

Thursday, October 10, 2019

Polis jamin tiada lagi pemimpin DAP akan ditahan - Guan Eng

News | Diterbitkan Hari ini 9:00 malam


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pihak polis memaklumkan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan penglibatan mereka dengan Hariamu Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Polis hari ini menahan tujuh individu termasuk Exco Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran atas dakwaan mempunyai hubungan dengan kumpulan itu.

Polis juga mendedahkan kumpulan pemberontak itu merancang serangan ke atas kedutaaan Sri Lanka di Malaysia.

"Saya juga dimaklumkan bahawa walaupun akan ada lebih ramai ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy mengakui kemungkinan dirinya juga mungkin ditangkap tetapi menegaskan tidak gentar.

Ramasamy berkata, beliau bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka, sama seperti dirinya bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin dan Rohingya.

Menyifatkan penahanan itu sebagai mengejutkan, Lim berkata parti itu memberitahu polis bahawa kedua-dua Adun berkenaan tidak bersalah.
Katanya, penglibatan mereka dalam DAP setakat ini, tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa mereka terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

Lim berkata polis mendakwa mereka mempunyai "bukti kukuh" dan telah "merujuk kepada pihak atasan" sebelum mengambil tindakan.

Beliau berkata DAP akan menyediakan pasukan peguam untuk membantu kedua-dua pemimpin mereka yang diketuai Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

"Polis berjanji siasatan segera untuk membolehkan kertas siasatandiserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan membolehkan dua pemimpin DAP itu dibebaskan awal.

"Polis juga berjanji untuk memberikan keluarga dan peguam akses kepada kedua-dua wakil rakyat kami.

"Kedua-dua Adun kami dipuji oleh pihak polis kerana memberikan kerjasama sepenuhnya dan tenang dengan pihak polis semasa penahanan mereka," katanya.

Penahanan tanpa bicara

Sementara itu, Ngo Malaysian Against Death Penalty And Torture (Madpet) mengkritik penahanan tanpa perbicaraan di bawah Sosma.

"Perlu diingatkan bahawa polis mempunyai kuasa untuk menyiasat tanpa menangkap atau menahan mana-mana suspek.

"Bekas Perdana Menteri kita Najib Razak, semasa siasatan (atas skandal 1MDB) tidak pernah ditahan di lokap polis menunjukkan bagaimana polis Malaysia masih boleh meneruskan siasatan tanpa keluarkan arahan menahan reman, dan sudah tentu bukan Sosma," kata jurucakap Madpet,Charles Hector.

Charles berkata takrifan "keselamatan" di bawah Sosma adalah samar dan penggunaan akta itu perlu dihadkan kepada kesalahan melibatkan keganasan dan senjata api.

Wednesday, September 11, 2019

Polis tahan pegawai k'jaan bawah Sosma, didakwa jual MyKad


Polis menahan beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi dan kakitangan jabatan kerajaan termasuk dari Putrajaya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Harian Metro melaporkan penahanan itu berhubung dakwaan sindiket penjualan MyKad kepada warga asing di Pulau Pinang "membabitkan nilai RM350,000."

Penahanan itu selepas laporan dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berhubung kes seorang wanita warga China yang ingin memohon passport Malaysia sebelum ini.

Menurut JIM, walaupun MyKad yang dimiliki oleh wanita tersebut sah, laporan itu dibuat selepas timbul keraguan dengan status kewarganegaraannya selepas dia gagal untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan ketika berhubung dengan pegawai di jabatan itu.

“Dia gagal menjawab semua soalan yang diajukan dalam Bahasa Melayu sebaliknya hanya tersenyum sebaik soalan dikemukakan," katanya.

Susulan itu, pihak polis telah menjalankan operasi sulit bagi menyiasat laporan itu dan sehingga kini sudah menahan beberapa individu bagi membongkar sindiket tersebut.

Hasil siasatan mendapati sindiket tersebut telah berjaya menjual sejumlah enam keping MyKad.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-