Friday, May 20, 2022

Dakwa Malaysia bakal jadi Sri Lanka, Pemuda UMNO bidas Kit Siang

agendaily.com
20/5/2022
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Pemuda UMNO membidas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang didakwa cuba mengaitkan krisis di Sri Lanka juga boleh dialami Malaysia.

Tindakan Kit Siang itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan mahu mengacau kestabilan ekonomi negara dengan memberi gambaran tidak tepat, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Husin Akhtar Husin.

“Hantaran media sosial pemimpin DAP, YB Lim Kit Siang, yang bertanya ‘apakah rumah Perdana Menteri dan menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka’ merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab, bersifat anarkis dan satu sabotaj kepada ekonomi negara.

“Ekonomi Malaysia hari ini tidak sama langsung dengan keadaan di Sri Lanka. Sri Lanka berhadapan krisis inflasi yang mendadak sehingga rakyat tiada wang untuk membeli barang keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, keadaan di Malaysia tidak seteruk yang dialami Sri Lanka.

“Di Sri Lanka, harga barangan keperluan asas mula meningkat pada akhir 2021 dan kini orang ramai membayar sehingga 30 peratus lebih berbanding setahun yang lalu.

“Ramai yang terpaksa berlapar, bahan api tidak dapat memenuhi permintaan, bekalan elektrik kerap terputus dan ubat juga tidak mencukupi. Apakah semua ini mencerminkan keadaan Malaysia hari ini? Ia tidak sama sekali,” katanya.

Jelas Nazir Husin, majoriti rakyat negara ini masih mempunyai makanan di atas meja setiap hari, stesen minyak pula masih berjalan seperti biasa, jalan raya masih sesak, bekalan elektrik kekal stabil dan rumah-rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri terus berjalan dengan meriah.

Tambahnya, memang benar negara sekarang berdepan dengan inflasi namun ia turut dihadapi oleh hampir semua negara di dunia.

“Dalam keadaan ini, sistem pentadbiran kita masih tetap utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah keperluan majoriti rakyat tidak pernah terancam.

“Jika kita kekurangan bekalan makanan tertentu, ia bukan kerana rakyat tidak mampu membeli namun kerana negara yang mengeksport mengambil tindakan mengurangkan eksport akibat krisis dalam negara mereka.

“Tidak seperti rakyat Sri Lanka yang kelaparan, rakyat Malaysia hanya berhadapan terpaksa memilih bahan makanan lain sebagai pilihan,” ujar beliau.

Justeru, beliau berharap sebagai wakil rakyat veteran, Kit Siang memadam hantaran tersebut dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

“Adalah sangat menyedihkan dalam keadaan negara berusaha untuk pulih dari kemelut ekonomi dan pandemik Covid-19, Kit Siang memberi gambaran tidak benar mengenai keadaan negara kepada rakyat dan pelabur luar negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-