Thursday, May 12, 2022

Saifuddin dedah Anwar beri mandat berunding dengan UMNO singkir Muhyiddin

agendaily.com
12/5/2022
Gambar kenanngan indah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mandat diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan parti luar daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk UMNO dalam misi untuk menjadi Perdana Menteri (PM) sebelum ini, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Agung PKR mengakui diberikan mandat itu untuk berunding dengan Ahli Parlimen (MP) dan parti di luar komponen PH untuk membantu bagi menyokong cita-cita Presiden PKR itu menjadi PM, ia bagaimanapun gagal direalisasikan.

“Apabila kerajaan PH jatuh, parti berbincang, PH berbincang, keputusan diambil. Tugasan diberi kepada beberapa pimpinan tertentu. Saya nak tegaskan, ia bukan soal Saifuddin berunding tetapi keputusan kolektif lepas parti dan PH berbincang.

“Saya diberi tugasan untuk dekati pimpinan dari Sabah dan Sarawak. Saya juga diberi peranan jumpa parti-parti luar komponen PH, Ahli Parlimen bebas, Ahli Parlimen parti Islam, UMNO, semua sekali.

“Yang kita perlukan bukan pindah parti, tapi komitmen dan sokongan,” katanya.

Perkara itu diberitahu Saifuddin semasa Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung hari ini.

Untuk rekod, Saifuddin kini sedang berdepan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam perlumbaan pemilihan parti bagi jawatan Timbalan Presiden.

Terdahulu semasa kemelut politik sebelum ini, Anwar didakwa mendapat sokongan UMNO menerusi anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi PM.

Surat sokongan Zahid dan Najib menyokong Anwar yang dihantar ke Istana Negara bocor semasa kemelut politik sebelum ini, selain tular juga klip audio komplot Anwar dan Zahid.

Sehingga hari ini Zahid dan Najib tidak menjawab berhubung surat bocor yang menyokong Anwar, malah laporan polis berhubung klip audio tular juga tidak pernah dibuat.

Jelas Saifuddin, rasional rundingan demikian kerana PH memerlukan beberapa lagi MP bagi menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala semua perkembangan rundingan dilaporkan kepada gabungan itu dan Ahli Parlimen PH.

“Kalau ini satu operasi sulit memudaratkan, mana mungkin kita buat secara transparent (terbuka). Ia satu ikhtiar kerana kekurangan sokongan kecil,” jelas beliau.

Semasa kemelut politik sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin berdepan tentangan daripada sekumpulan MP UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinannya yang diketuai Zahid.

Pengakuan Saifuddin tersebut secara tidak langsung mengesahkan wujudnya komplot Zahid bersama Anwar dalam menjayakan misi menumbangkan kerajaan PN.

Walaupun berjaya menjatuhkan kerajaan PN, Anwar bagaimanapun masih gagal menjadi PM selepas tidak mendapat sokongan majoriti apabila Zahid sebaliknya menyokong Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi PM Kesembilan.

Anwar sekali lagi gagal menjadi PM dan lebih malang lagi menjadi punca UMNO kembali menjadi dominan di Putrajaya.

Susulan itu, UMNO kini semakin menjadi kuat dan ia terbukti dengan kemenangan bergaya yang diperoleh semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-