Thursday, May 12, 2022

Nasib MN di Selangor, Umno negeri walak keputusan MKT, kata Noh

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-May 12, 2022 6:30 PM
Noh Omar berkata, Umno Selangor akan walak terhadap apa saja keputusan Majlis Kerja Tertinggi berhubung Muafakat Nasional di negeri itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selepas “bertungkus lumus” mempertahankan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS bagi merampas kerajaan Selangor daripada Pakatan Harapan (PH)pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Umno negeri akhirnya menyerahkan nasib gabungan itu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ketua Umno Selangor, Noh Omar berkata, ia termasuk walak kepada keputusan MKT sekiranya kerjasama dengan PAS perlu dilupakan menjelang PRU15.

“Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sudah membuat kenyataan mengenai status MN dan kita tunggu apa keputusan parti,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada 7 Mei lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kerjasama Umno dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada PRU15.

Zahid berkata, parti itu telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara yang terkandung dalam piagam MN, namun tidak disepakati.

Sebelum ini Noh berkata, Umno Selangor sedang melakukan rundingan kerusi bersama PAS bagi mengelak bertembung sesama sendiri dalam usaha menjatuhkan PH.

Pada 9 Dis lalu, beliau berharap Umno negeri diberi kuasa autonomi dalam melakukan rundingan dengan parti itu, namun tiada keputusan diberikan terhadap permintaan Noh daripada pimpinan tertinggi parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-