Tuesday, July 12, 2022

Elok lihat dulu pekung, kudis, Bersatu, kata Pemuda Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2022 11:57 AM
Pemuda Umno, hari ini membidas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa bahawa pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa sedang mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan, bendaharinya, Johari Yazid berkata, ketidakstabilan adalah kerana kerajaan menjadi haru-biru dengan pentadbiran yang kacau-bilau kerana walaupun diterajui Umno, namun sebahagian besar anggota jemaah menteri adalah dari Bersatu.

“Malah jika diperhatikan senarai menteri dan timbalan menteri, kita akan dapat menyaksikan bahawa satu pertiga dari barisan kabinet diisi oleh kepimpinan Bersatu,” katanya.

Johari berkata, kemelut politik dalam kerajaan hari ini dicetuskan oleh Bersatu yang sering mendesak Ismail Sabri untuk menamakan timbalan perdana menteri dari parti mereka.

Ini kerana kepemimpinan Bersatu khuatir bahawa mereka semakin hilang cengkaman pengaruh.

“Tindakan kepimpinan Bersatu yang kerap mengugut menarik sokongan dari kerajaan pimpinan Ismail Sabri setiap kali tuntutan parti itu tidak dipenuhi, menggambarkan betapa Bersatu sememangnya sebuah parti yang korupsi dan gila kuasa kerana mahu kerajaan sentiasa tunduk dan patuh kepada kehendak mereka,” katanya.

Justeru, Johari berkata sebelum Wan Ahmad Fayhsal mahu menyelar kepimpinan Umno sebagai rakus kuasa, elok kiranya dia melihat dahulu “pekung, kudis dan sopak yang bersarang pada tubuh partinya sendiri.”

“Apatah lagi sebilangan pemimpin Bersatu sendiri gagal mempamerkan sebarang track record yang baik untuk membuktikan mereka layak berada dalam kerajaan.

“Malah di waktu rakyat sedang bergelut dengan krisis bekalan makanan haiwan ternakan, kenaikan harga barangan asas, kekurangan bekalan minyak masak dan penurunan harga minyak sawit dunia; kepimpinan Bersatu pula sibuk mengasak PM untuk menamakan pemimpin mereka sebagai calon TPM.

“Bukankah tindakan ini menunjukkan betapa Bersatu sebuah parti yang tamak kuasa?” soalnya.

Johari seterusnya menjelaskan mengapa Umno mahu pilihan raya umum ke-15 diadakan secepat mungkin kerana menyedari bahawa pentadbiran Ismail Sabri ketika ini sangat rapuh.

“Mengapa Wan Ahmad Fayhsal dan Bersatu perlu khuatir untuk berhadapan PRU sehingga sanggup menggunakan pelbagai alasan agar tempohnya ditunda sehingga tarikh matang?

“Seandainya rakyat merasakan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sebagai pilihan terbaik dalam PRU nanti, maka Umno dan BN akan sentiasa berlapang dada untuk menerima, asalkan kerajaan yang dibentuk benar-benar mendapat mandat dari rakyat,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Wan Fayhsal sebagai berkata kumpulan minoriti dalam Umno seolah-olah ‘sakit mata’ melihat kestabilan yang diusahakan oleh Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Dia juga dilaporkan berkata pilihan raya umum ke-15 perlu ditangguhkan kerana kerajaan masih sibuk cuba membendung kesan akibat daripada pandemik Covid-19.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-