Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts

Sunday, February 9, 2025

Dr Akmal beri amaran kepada Ketua Pemuda DAP

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Februari 9, 2025
Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (kiri) dan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong.

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO memberi amaran kepada Pemuda DAP (DAPSY) supaya tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan orang Islam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan sekiranya sayap DAP itu terus mengganggu gugat dan mencampuri urusan agama Islam, tidak mustahil mereka akan kembali menjadi pembangkang selama-lamanya.

"Apabila kamu mencampuri urusan agama kami, maka menjadi tanggungjawab kami orang Melayu Muslim mempertahankannya.

"Bagi orang Melayu Muslim seperti kami, agama dan bangsa melebihi daripada parti politik!

"Sekali lagi amaran kami berikan kepada kamu, urusan agama kami adalah urusan kami, bukan urusan kamu! Selama ini, kami tidak pernah sentuh urusan agama kamu!" katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang dilaporkan mendakwa Dr Muhamad Akmal seolah-olah bertindak sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) dan musuh dalam selimut terhadap Kerajaan Perpaduan, sekali gus menggesanya meletak jawatan serta menyertai PAS.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, prinsip UMNO adalah menjaga agama, bangsa dan tanah air, bukan hanya berpolitik semberono.

"Maka, mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama kami, bangsa kami, tidak kira siapa pun mereka, ia menjadi tanggungjawab kami untuk lawan mereka," katanya.

Perbalahan kenyataan membabitkan dua sayap parti itu adalah berkait isu garis panduan untuk pembabitan umat Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam, yang sebelum ini menjadi polemik selepas ia dipertikaikan oleh beberapa pemimpin bukan Islam.

Thursday, January 23, 2025

Pemimpin Pemuda Umno sokong hak rakyat berhimpun Sabtu ini

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Jan 23, 2025 8:30 PM
Seorang pemimpin Pemuda Umno menyokong hak rakyat untuk berhimpun secara aman pada himpunan antirasuah anjuran mahasiswa yang akan berlangsung Sabtu ini.

Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin berkata pihak berkuasa sepatutnya membenarkan perhimpunan berkenaan selagi ia mematuhi garis panduan keselamatan dan undang-undang.

Kata Hafiz, ia selaras dengan hak rakyat untuk bersuara.

"Saya percaya pada hak rakyat untuk berhimpun secara aman. Walaupun perhimpunan antirasuah yang dijadualkan pada hari Sabtu ini mendapat halangan, saya berpendapat bahawa selagi ia mematuhi garis panduan keselamatan dan undang-undang, ia sepatutnya dibenarkan.

"Ini penting untuk memastikan hak kebebasan bersuara dan berhimpun terjamin," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu sekretariat perhimpunan antirasuah itu bertegas untuk meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Januari meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.

Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman sebelum ini, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan berkenaan atau tindakan tegas akan diambil.

Sulizmie berkata notis yang diberikan penganjur tidak lengkap, selain tidak mendapat persetujuan daripada pemilik tempat berhimpun.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pula mempertahankan tindakan pihak berkuasa.

Pemuda PAS dan Bersatu awal hari ini turut menyatakan komitmen turut serta dalam himpunan yang digelar Himpunan Rakyat Benci Rasuah.

Sementara Ketua Pemuda PKR yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim semalam mengingatkan kerajaan agar tidak khuatir dengan suara anak-anak mahasiswa.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata kerajaan tidak perlu menyekat kumpulan berkenaan untuk berhimpun selagi berlangsung dengan penuh tanggungjawab.

"Sebarang usaha untuk menyekat kebebasan awam adalah tindakan yang regresif dan menunujukkan ada kelemahan.

"Selagi ia dilakukan dengan tanggungjawab dan aman sepatutnya ia tidak perlu mejadi satu masalah," katanya lagi.

Dulu digeruni, kini Umno dianggap lalat oleh DAP singa

harakah daily
January 23, 2025
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno suatu ketika dahulu dihormati dan digeruni sehingga menjadi ikutan, tetapi kini nasibnya berubah apabila menjadi bahan hinaan oleh sekutu politik yang mereka pilih sendiri.

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, selepas Pemuda DAP (DAPSY) menempelak mereka sebagai ‘samseng’, kali ini DAP ‘singa’ pula menganggap Ketua Pemuda Umno hanya sebagai ‘lalat’.

“Satu penghinaan yang jelas. Begitulah bila kita sudah tidak dipandang mulia apabila kita menyerahkan ‘talian hayat’ kepada orang. Apa lagi apabila kita tersalah memilih sahabat,” ujarnya dalam media sosial miliknya semalam.

Terdahulu media tempatan melaporkan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyifatkan dirinya sebagai ‘singa’ yang tidak akan berdebat dengan ‘lalat’ ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, berhubung isu sandwic ‘ham’.

Nga dilaporkan menegaskan DAPSY akan membalas kritikan Pemuda Umno sepuluh kali ganda, namun beliau tetap menghargai sikap rasional Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dari kedudukan saya, komen saya, singa tidak berdebat dengan lalat. Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh,” kata Nga.

Reaksinya itu dipetik dalam wawancara eksklusif dengan sebuah akhbar kelmarin ketika melawat ibu pejabat akhbar itu di Petaling Jaya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

“Telah jelas kebencian mereka itu dari lidah lidah mereka… dan apa yang ada di dalam hati mereka adalah lebih besar lagi…,” petik Annuar daripada maksud ayat al-Quran.
 – HARAKAHDAILY 23/1/2025

Wednesday, January 22, 2025

Nga enggan layan Akmal: 'Singa takkan gaduh dengan lalat'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 22, 2025 12:36 PM
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa dia tidak berminat untuk melayan mahupun bergaduh dengan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurut naib pengerusi DAP itu, dia tidak akan merendahkan martabatnya dengan melayan kerenah Akmal.
Nga Kor Ming
"Dari kedudukan saya, komen saya: singa tidak berdebat dengan lalat.

"Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh," kata Nga yang dipetik dalam wawancara eksklusif denganChina Press, semalam ketika melawat ibu pejabat akhbar itu di Petaling Jaya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Sebelum ini, Akmal menyekolahkan Nga berhubung isu sandwic "ham" yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan logo halal yang tidak sah.

Nga sebelum itu berkata, ‘ham’ hanya merujuk kepada daging yang telah diawet dan terdapat ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan.

Menurut pemimpin DAP itu, menjadikan perkara tersebut sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh.
Akmal kemudian tampil menjawab bahawa ‘ham’ adalah merujuk kepada daging babi, bukannya proses pembuatan makanan.

Dia seterusnya membidas Nga dan mencadangkan menteri itu supaya merujuk definisi "ham" dalam Oxford Learner's Dictionary, yang menyatakan ia merujuk kepada daging babi.

Dalam laporan China Press, Nga berkata bahawa walaupun dia tidak akan melayan Akmal, namun DAP tidak akan berdiam diri.

Sebaliknya, apabila berdepan kritikan daripada Pemuda Umno, DAPSY, kata Nga akan membalasnya.

"Untuk setiap kenyataan yang dibuat oleh Akmal, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan memberikan respons sepuluh kali ganda.

“Bukan sahaja ketua baru sayap pemuda akan bertindak balas, malah setiausaha publisiti turut akan mengeluarkan kenyataan secara konsisten.

"Jadi, kita tidak berdiam diri. Kita hanya bertindak berdasarkan kedudukan masing-masing, " kata Nga.
Ahmad Zahid Hamidi
Dia juga melahirkan penghargaan kepada Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang katanya, tidak pernah membuat kenyataan "liar" selepas kerajaan perpaduan dibentuk.

Akhbar Cina itu memetik Nga sebagai memuji kenyataan Zahid semasa Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, yang menyentuh tentang keperluan untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap politik sederhana.

"Sudah tentu, dalam sebuah parti dengan sejuta ahli, pasti ada yang tidak bijak.

“Ini perkara biasa, seperti pepatah, pokok besar pasti ada dahan yang kering. Dalam kumpulan besar, akan ada yang baik dan buruk,” katanya.
Dr Muhamad Akmal Saleh
Nga juga menambah bahawa DAP dan Umno kini adalah sekutu dan akan terus bekerjasama demi rakyat.

"Tetapi, ada batasnya jika berdepan dengan orang seperti Akmal. yang tingkah lakunya tidak baik, kami akan menjauhkan diri.

Jika Akmal melakukan sesuatu yang baik, kami akan memujinya. Pendekatan ini adalah asas kepada politik rasional dan profesionalisme," katanya lagi.

Sementara itu, Akmal dalam satu hantaran di Facebook terus menyelar Nga.

“Wauu takutnya anggap diri singa. Tapi makna ham pun dia tak faham malah anggap ham itu proses buat makanan.

“Owh lupa, orang bebal memang begitu. Dasar ham,” tulisnya.

Friday, October 25, 2024

Kibar bendera China: 'Kenakan tindakan tegas kepada penganjur' - Dr Akmal

bharian.com.my
Oleh Amir Mamat 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 25, 2024 
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh. - Foto fail NSTP

MELAKA: Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, Perak, malam tadi.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ini kerana insiden itu jelas mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengarahkan Pemuda UMNO di semua peringkat di Perak supaya membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan segera diambil kepada penganjur perhimpunan terbabit.

"Buat perarakan di tempat awam, sudahlah tiada permit (berhimpun), kibar pula bendera China. Tiada satu pun bendera Malaysia.

"Sebelum ini sudah berlaku dalam sekolah (kehadiran tentera laut China), hari ini bawa bendera China berarak di luar pula (sehingga) Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong selaku penganjur perarakan itu meminta maaf.

"Cukup-cukuplah minta maaf dan hari ini saya mengarahkan seluruh Pemuda UMNO di Perak untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan serta mengenakan hukum keras kepada mereka," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut meminta kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan mengambil tindakan tegas sebagai peringatan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

"Tolonglah, jangan dah buat kemudian minta maaf, orang dah muak dan bosan. Cukup-cukuplah asyik kita saja yang bersabar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, beberapa pihak termasuk parti politik menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.

Perkara itu didakwa menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Susulan itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua yang juga penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China itu.

Beliau dilaporkan berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia, malah tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak sesekali dirancang dalam tentatif oleh pihak pengelola.

Sunday, September 29, 2024

Bagi Akmal, wira perlu jadi kasar dan biadab - Ahli akademik

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 29, 2024
Dr Akmal Saleh seperti keliru tentang prinsip kepahlawanan dan telah mencampur-adukkannya dengan sikap dan pendekatan keras, menurut ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi.

Menurut Tajuddin, walaupun ketua Pemuda Umno itu patut dipuji atas semangatnya yang sanggup berkorban, namun jenis keperwiraan yang ditunjuknya tidak kena pada tempatnya.

“Pada perkiraan Akmal, wira adalah kasar, biadab, dan tidak hormat. Malangnya dia gagal melihat bahawa ini adalah ciri-ciri yang dikaitkan dengan penjahat,” katanya kepada Malaysiakini.

“Persoalan mudahnya ialah, mengapa dia tidak boleh menyatakan bantahannya secara sivil tanpa menggunakan kata-kata penghinaan dan kejian?

“Bukankah itu yang diharapkan daripada seorang yang berbudaya dan berpendidikan? Melainkan jika dia percaya itu tidak akan menjadikannya popular. Jika begitu, maka dia hanya bersikap oportunis, tidak lebih sekadar itu,” kata Tajuddin yang merupakan seorang pensyarah seni bina.

Tajuddin mengesyorkan agar Akmal lebih banyak membaca dan dia sedia untuk memberi senarai buku yang akan membantu Akmal "meluaskan pemikirannya" agar boleh "menjadi pemimpin sejati apabila lebih dewasa".

"Jika tidak, dia akan kekal sebagai pembuli, kuasa pemecah belah dan contoh buruk untuk belia," tambahnya.

Tajuddin berkata demikian sebagai demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru Akmal berhubung pertikaiannya dengan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkait isu pensijilan halal.
Tajuddin Mohd Rasdi
Menegaskan dia tidak akan meminta maaf mahupun menyerah kalah, Akmal memaklumkan dia telah dipanggil polis untuk disoal siasat dan berkata dia dididik untuk mempertahankan agama, bangsa, dan tanah air walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa.

Namun, Tajuddin berkata sepanjang pengetahuannya mengenai Islam, dia berpandangan orang Islam perlu memastikan keadilan untuk semua, tanpa mengira kaum atau agama.

“Kedua, Islam mengajar saya bahawa mempertahankan rumah dan keluarga saya dikategori sebagai ‘jihad’...Islam mengajar saya dalam perjuangan dan usaha ke arah keadilan, saya mesti sentiasa melakukannya dengan ‘berhikmah’ atau bijaksana.

"Islam mengajar saya bahawa menghina orang, walaupun mereka mungkin musuh, bukanlah cara yang tepat dalam apa jua keadaan," jelasnya.

Tauladan daripada Saidina Ali

Tajuddin mengimbas kembali peristiwa melibatkan Saidina Ali Abi Talib ketika hendak menyerang seorang musuh semasa perang.

“Musuh meludahi mukanya, dan Ali menahan dengan tangannya dan berlalu pergi. Apabila musuh bertanya Ali mengapa dia menahan tangannya, Ali menjawab, 'ketika saya hendak menyerang musuh, saya melakukannya kerana Allah, tetapi apabila kamu meludahi muka saya, saya bimbang niat saya tidak lagi suci dan saya mungkin menyerang atau membunuh kamu dalam keadaan marah kerana kepentingan diri’.

“Inilah Islam yang diajar kepada saya,” kata Tajuddin lagi.

Tajuddin juga memetik tulisan aktivis akademik dan pendidikan Allahyarham Siddiq Fadzil, yang menolak istilah "kafir" untuk "persaudaraan setanah air" dan "persaudaraan semanusia".

“Nabi Muhammad, daripada lebih 20,000 hadis yang saya baca, tidak pernah menunjukkan penghinaan seperti yang ditunjukkan Akmal. Suatu ketika, Nabi tidak senang dengan seseorang dan mengadu tentang orang itu kepada isterinya, kemudian tiba-tiba orang itu datang ke rumahnya.

“Nabi menyambut lelaki itu dengan senyuman dan melayannya dengan hormat sehingga dia pergi. Aishah, isteri nabi, bertanya kepadanya mengapa dia begitu baik dan menghormati orang itu, dan nabi menjawab orang itu adalah tetamu dan Islam mengajar tuan rumah untuk menghormati tetamu.

“Kelakuan seperti Akmal tiada tempat dalam Islam. Dia hanya bertindak untuk dirinya, ego dan kerjayanya. Dia tidak berkhidmat untuk Melayu, Islam dan sudah tentu bukan untuk Malaysia,” katanya lagi.

Thursday, September 12, 2024

Pertembungan Akmal-Kok untungkan Umno, kata penganalisis

malaysiatoday.com
Mohamad Fadli
12 Sep 2024

Penganalisis berkata pertembungan antara ketua Pemuda Umno dan naib pengerusi DAP pamer bahawa Umno sedia berselisih dengan DAP.
Penganalisis percaya perbalahan antara Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok tidak akan ganggu hubungan Umno dan DAP dalam kerajaan.

PETALING JAYA: Penganalisis percaya pertembungan antara Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok berhubung kenyataan balas berkait isu pensijilan halal akan beri keuntungan politik kepada Umno.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, menjelaskan pertembungan antara ketua Pemuda Umno dan naib pengerusi DAP itu mempamerkan kepada orang ramai bahawa Umno sedia berselisih dengan DAP walaupun kedua-duanya parti pemerintah.

Pertembungan ini lebih beri keuntungan kepada Umno kerana dapat mempamerkan pendapat dan pandangan bertentangan dengan DAP walaupun dalam kerajaan yang sama, katanya kepada FMT.

Sebaliknya DAP tidak guna untuk mereka melawan isu dengan Akmal kerana tetap akan memberi persepsi negatif kepada DAP dan Teresa.

Sementara itu, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah percaya perbalahan antara Akmal dan Kok tidak akan ganggu hubungan kedua-dua parti.

Saya fikir perbuatan mereka adalah bersifat peribadi, iaitu perbezaan pendapat secara umumnya dan tidak mengganggu hubungan Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Terbaharu, Kok mengancam akan menyaman Akmal yang didakwa memfitnahnya dalam video TikTok, yang menyentuh kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal.

Dalam surat tuntutan dilihat FMT, peguam mewakili Kok berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal jika beliau gagal memenuhi tuntutan.

Surat itu menyatakan Akmal sengaja membesar-besarkan dan/atau secara berniat jahat memutar belit kenyataan Kok dengan niat untuk memfitnahnya.

Akmal berkata beliau sedia berdepan Kok di mahkamah.

Sebelum ini, Akmal dilapor berkata tindakan Kok memalukan negara dan lebih elok diam kalau tidak tahu mengenai agama Islam.

Pada Ahad, polis dilapor membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard isu kaum, agama, raja (3R) terhadap Kok.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis, Syed Arabi Idid, berkata Akmal sepatutnya tumpu pada isu ditimbulkan Kok, dan tidak menggunakan gelaran ‘nyonya tua’.

Beliau percaya, jika perkara itu berlarutan ia boleh menjadi isu pada PRK DUN Mahkota kelak.

Jika berlarutan dan tidak dinasihati oleh pihak pemimpin atasan dalam kedua-dua parti itu, mungkin boleh merebak menjadi isu nasional di PRK DUN Mahkota, katanya.

Umno menerusi perhimpunan agung bulan lalu sekali lagi membulat tekad untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu, menyusuli kemenangan pada PRK Nenggiri, Kelantan.

Parti itu akan perlu sekali lagi membuktikan pengaruhnya pada PRK Mahkota, Johor, akan datang.

Saturday, August 24, 2024

Pemuda UMNO tanya kerajaan, Titah Adendum Najib wujud atau tidak?

kosmo.com.my
Oleh HARRITH HISHAM
24 Ogos 2024, 9:52 pm
Dr. Akmal pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia m, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO meminta kerajaan untuk menjelaskan sama ada Titah Adendum (tambahan) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wujud ataupun tidak.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh membangkitkan perkara itu berikutan Titah Adendum itu dipercayai telah diserahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada pihak kerajaan.

“Kita ingin bertanya kepada kerajaan apakah benar Titah Adendum ini wujud atau tidak? Jika tidak wujud takkan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Naib Presiden (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) ini membohong.

“Jadi itu persoalan Pemuda UMNO kepada kerajaan yang ada hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, UMNO tidak menolak untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong sekiranya kerajaan tidak memberikan sebarang respons berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan dilakukan dalam masa terdekat ekoran Najib dalam tempoh rayuan bagi mencabar kewujudan Titah Adendum di Mahkamah.

“Mungkin kita boleh minta mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk kita dapatkan apakah situasi yang sebenar berlaku.

“Tapi kena tangani perkara ini dengan bijak. Jadi, kita tunggu dan lihat keputusan mahkamah dan selepas itu kita akan mulakan langkah yang seterusnya,” jelasnya.

Terdahulu, Najib gagal mendapatkan kebenaran bagi membolehkannya mencabar kewujudan Titah Adendum tersebut yang didakwa mengandungi titah mengarahkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid dan Wan Rosdy masing-masing dalam afidavitnya berkata, mereka mengetahui mengenai titah itu selepas dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

 – KOSMO! ONLINE
View Synonyms and Definitions

Thursday, August 22, 2024

'Level kita dua pertiga' - Akmal mahu Umno jadi parti dominan

malaysiakini.com
Shakira Buang, Zarrah Morden & Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 22, 2024 12:04 PM

PAU 2024 | Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa dengan sekadar menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sebaliknya, Akmal berkata Umno perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara ini.

“Perasaan kita sama juga dengan perasaan akar umbi, kita tak mahu Umno ini terus selesa dengan situasi semasa dengan menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

“Umno perlu menjadi parti dominan dalam negara hari ini, angka 26 kita perlu tingkatkan menjadi dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Ini barulah level Umno,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Akmal, bagi mencapai hasrat itu, sayap yang diterajuinya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka strategi terbaik.
“Pemuda Umno komited dan yakin sepenuhnya kepada presiden untuk meningkatkan jumlah 26 kerusi kepada dua per tiga majoriti

“Umno ini bukan parti pelengkap dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai level Umno,untuk kembali dominan dalam politik tanah air ini. Ini janji Pemuda Umno,’ katanya.

‘Jangan sentuh 3R’

Sementara itu, Akmal juga turut mengulangi pendirian yang Pemuda Umno akan menentang sesiapa sahaja termasuk rakan dalam kerajaan perpaduan jika mereka menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

“Tahun lepas saya dah pesan, tahun ini saya ulang lagi, saya ulang pesanan serupa, kami Pemuda Umno boleh kawan dengan sesiapa sahaja.

“Tetapi kalau sentuh agama, bangsa dan raja, kami akan bangkit lawan tentang kamu habis-habisan,” katanya.

Turut hadir mendengar ucapan dasar itu ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Akmal dalam pada itu turut mengambil kesempatan menzahirkan kesediaan Pemuda Umno untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi selepas Umno mendapat kemenangan di Nenggiri.

“Pemuda Umno sedia sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk DUN Mahkota.

“Nenggiri sudah berjaya. Jika diberi tanggungjawab sekali lagi Pemuda sedia galas di DUN Mahkota,” katanya.

Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang PRK Nenggiri dengan majoriti 3,372 undi sekali gus menawan semula kerusi itu.

Thursday, April 25, 2024

Wajibkan fasih BM untuk dapat warganegara - Pemuda Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 25, 2024 4:37 PM
Pemuda Umno menggesa kerajaan mahupun pembangkang mengadakan usul ke Parlimen bagi menggubal undang-undang untuk mewajibkan penguasaan bahasa Melayu sebagai satu syarat sebelum memperoleh kerakyatan atau kewarganegaraan Malaysia.

Ketua Pemudanya, Akmal Saleh berkata pihaknya akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul itu dapat dibawa ke parlimen.

"Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

"Pemuda Umno akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul ini dapat dibawa seterusnya dijadikan satu undang-undang di negara kita," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook mengenai kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata Pegawai imigresen tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Menurutnya, walaupun pegawai-pegawai Imigresen akan melakukan semakan rawak bagi mengesahkan maklumat tetapi proses itu perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

Ruslin juga memaklumkan pelanggan berkenaan telah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada Isnin lepas.

Puji keberanian pegawai imigresen

Sebaliknya, Akmal memuji tindakan pegawai Imigresen berkenaan dan menyifatkan tindakan 'berani' itu adalah gambaran realiti sebenar yang berlaku di Malaysia.

Katanya, adalah wajar untuk pihak Imigresen bertindak demikian bagi memastikan hanya individu yang layak boleh membuat atau memperbaharui pasport.

"Walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan mana-mana warganegara perlu bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat membuat pasport tetapi tindakan pegawai Imigresen itu perlu dipuji.

"Tambahan pula dengan kebanjiran warganegara asing ke negara kita, mereka perlu memastikan kesahihan iaitu hanya warganegara Malaysia sahaja yang benar-benar layak untuk membuat pasport," katanya.

Monday, June 12, 2023

Pemuda UMNO hormat keputusan Annuar Musa sertai PAS

ismaweb.net
Siti Hafidah
12/06/2023

Barisan anak muda akan terus kekal setia jaga ‘rumah’
BANGI, 23 Zulkaedah 1444H, Isnin – Pergerakan Pemuda UMNO menghormati keputusan Tan Sri Annuar Musa untuk tidak menerima jemputan menyertai parti itu semula, dan memilih untuk bersama dengan PAS.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usul Pemuda UMNO bagi parti memperhalusi dan mempertimbang kemasukan kembali pimpinan yang berada di luar parti telah disambut baik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

“Namun, tular ucapan Tan Sri Annuar Musa yang menidakkan jemputan itu dan mahu menyertai PAS. Itu hak beliau yang kami hormati.

“Walaupun, kami percaya sejak dilantik menjadi Senator dan menteri, diberi peluang menjadi Ahli Parlimen mewakili parti – pastinya banyak memberi nikmat dan kelebihan buat Tan Sri dan orang di sekeliling Tan Sri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tersebut dan semua ahli yang telah keluar daripada landasan perjuangan luhur itu di atas sumbangan terhadap parti.

“Pemimpin datang dan pergi, insya-Allah kami barisan anak muda dan pemimpin pelapis ini apatah lagi yang tidak pernah memegang jawatan yang besar seperti Tan Sri akan terus kekal setia untuk bersama membina rumah kita yang banyak berjasa pada kita ini.

“Kami akan bina rumah ini dengan semangat yang pernah Tan Sri titipkan buat kami orang muda untuk terus setia dan berkhidmat menjaga rumah kita ini ketika Tan Sri menjadi ahli UMNO dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Akmal menegaskan barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung bagi memperkasa parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, UMNO kini berada di titik terendah, justeru perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, June 4, 2023

Pemuda UMNO tolak jemput DAP dalam PAU 2023

mykmu.net
04-06-2023

PETALING JAYA – Barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri sebulat suara membuat keputusan untuk tidak akan menjemput wakil mana-mana parti lain dalam Kerajaan Perpaduan terutama sekali DAP ke Perhimpunan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.

Ketua Pemudanya, Muhamad Akmal Salleh berkata, keputusan itu dicapai menerusi undian yang telah dibuat.

“Keputusan untuk tidak menjemput mana-mana parti ke perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia adalah keputusan diambil bersama oleh semua barisan Exco dan Ketua Pemuda negeri.

“Diundi dan mendapat undian sebulat suara oleh semua Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri.

“Ini ruang untuk kita perjelas,meluah dan perbetulkan apa yang menjadi tanda tanya di kalangan adik beradik kita. Selesaikan hal adik beradik kita dahulu sebelum menjemput orang luar datang dan masuk ke rumah kita,” katanya dalam hantaran hari ini.

Saturday, February 11, 2023

Pemuda Umno: Ramasamy jangan jolok sarang tebuan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 11, 2023 1:31 PM
Setiausaha Pemuda Umno Hasmuni Hassan memberi amaran kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy supaya tidak “menjolok sarang tebuan”.

Hasmuni berkata demikian susulan gesaan Ramasamy agar memecahkan dasar monopoli kaum tertentu dalam sektor perkhidmatan awam.

Hasmuni dalam kenyataannya hari ini berkata antara sebab kekurangan kaum Melayu di sektor perkhidmatan awam adalah isu gaji kecil, yang tidak menarik minat komuniti berkenaan.

Katanya, ia berbeza dengan kaum Melayu yang lebih sanggup berkhidmat dengan kerajaan atas semangat patriotisme.

“Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri.

“Ramasamy jangan bermain api atau ‘menjolok sarang tebuan’ dengan sengaja membangkitkan perkara ini hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap perdana menteri (Anwar Ibrahim).

“Ramasamy mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan perdana menteri disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati,” katanya..

Semalam, Ramasamy menyifatkan perkhidmatan awam di negara ini telah “kejang” (ossified) dan perlu menjalani pembaharuan.
Ramasamy menggesa Anwar mereformasikan perkhidmatan awam untuk memecahkan dasar monopoli kaum tertentu yang menurutnya dilaksanakan semasa era kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Menurut pemimpin DAP itu, perkhidmatan awam di Malaysia kebanyakannya dimonopoli oleh kaum bumiputera dan Melayu dari Semenanjung, dengan penyertaan kecil bumiputera bukan Islam dan bukan Melayu, selain Cina dan India.

“Dasar perkauman sebegini tidak boleh dipertahankan lagi, bukan ketika kerajaan perpaduan berkuasa,” kata Ramasamy.

Mengulas lanjut, Hasmuni turut menepis kenyataan Ramasamy yang menurutnya seolah-olah mengatakan orang Melayu tidak boleh pergi jauh hanya dengan bergantung dengan bekerja di sektor awam semata-mata.

“Saya mahu menjawab Ramasamy jangan menghina orang Melayu seolah-olah orang Melayu ‘tidak boleh pergi jauh’ dan hanya bergantung pada bekerja dengan kerajaan semata-mata. Isu ini tidak perlu disebut-sebut lagi pun.

“Orang Melayu bekerja dengan kerajaan disebabkan rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kredibiliti mereka dalam pekerjaan tersebut.

“Mereka memasuki perkhidmatan awam dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dan standard,” katanya.

Tuesday, July 12, 2022

Elok lihat dulu pekung, kudis, Bersatu, kata Pemuda Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2022 11:57 AM
Pemuda Umno, hari ini membidas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa bahawa pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa sedang mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan, bendaharinya, Johari Yazid berkata, ketidakstabilan adalah kerana kerajaan menjadi haru-biru dengan pentadbiran yang kacau-bilau kerana walaupun diterajui Umno, namun sebahagian besar anggota jemaah menteri adalah dari Bersatu.

“Malah jika diperhatikan senarai menteri dan timbalan menteri, kita akan dapat menyaksikan bahawa satu pertiga dari barisan kabinet diisi oleh kepimpinan Bersatu,” katanya.

Johari berkata, kemelut politik dalam kerajaan hari ini dicetuskan oleh Bersatu yang sering mendesak Ismail Sabri untuk menamakan timbalan perdana menteri dari parti mereka.

Ini kerana kepemimpinan Bersatu khuatir bahawa mereka semakin hilang cengkaman pengaruh.

“Tindakan kepimpinan Bersatu yang kerap mengugut menarik sokongan dari kerajaan pimpinan Ismail Sabri setiap kali tuntutan parti itu tidak dipenuhi, menggambarkan betapa Bersatu sememangnya sebuah parti yang korupsi dan gila kuasa kerana mahu kerajaan sentiasa tunduk dan patuh kepada kehendak mereka,” katanya.

Justeru, Johari berkata sebelum Wan Ahmad Fayhsal mahu menyelar kepimpinan Umno sebagai rakus kuasa, elok kiranya dia melihat dahulu “pekung, kudis dan sopak yang bersarang pada tubuh partinya sendiri.”

“Apatah lagi sebilangan pemimpin Bersatu sendiri gagal mempamerkan sebarang track record yang baik untuk membuktikan mereka layak berada dalam kerajaan.

“Malah di waktu rakyat sedang bergelut dengan krisis bekalan makanan haiwan ternakan, kenaikan harga barangan asas, kekurangan bekalan minyak masak dan penurunan harga minyak sawit dunia; kepimpinan Bersatu pula sibuk mengasak PM untuk menamakan pemimpin mereka sebagai calon TPM.

“Bukankah tindakan ini menunjukkan betapa Bersatu sebuah parti yang tamak kuasa?” soalnya.

Johari seterusnya menjelaskan mengapa Umno mahu pilihan raya umum ke-15 diadakan secepat mungkin kerana menyedari bahawa pentadbiran Ismail Sabri ketika ini sangat rapuh.

“Mengapa Wan Ahmad Fayhsal dan Bersatu perlu khuatir untuk berhadapan PRU sehingga sanggup menggunakan pelbagai alasan agar tempohnya ditunda sehingga tarikh matang?

“Seandainya rakyat merasakan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sebagai pilihan terbaik dalam PRU nanti, maka Umno dan BN akan sentiasa berlapang dada untuk menerima, asalkan kerajaan yang dibentuk benar-benar mendapat mandat dari rakyat,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Wan Fayhsal sebagai berkata kumpulan minoriti dalam Umno seolah-olah ‘sakit mata’ melihat kestabilan yang diusahakan oleh Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Dia juga dilaporkan berkata pilihan raya umum ke-15 perlu ditangguhkan kerana kerajaan masih sibuk cuba membendung kesan akibat daripada pandemik Covid-19.

Wednesday, October 7, 2020

Pemuda Umno minta kabinet tumpu 3 perkara penting

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 11:39 am

Ketika kebimbangan orang ramai terhadap Covid-19 semakin memuncak dan kabinet pula akan bermesyuarat, Pemuda Umno hari ini menggariskan tiga isu penting yang perlu ditangani segera kerajaan.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tiga isu pokok itu berkait rapat dengan masalah dihadapi rakyat ketika ini.

"Satu, pelanjutan tempoh moratarium selama sekurang-kurangnya tiga bulan lagi.

"Kedua, bayaran one-off sebanyak RM500 kepada mahasiswa yang terjejas dengan penangguhan kemasukan akademik, dan ketiga, penangguhan sementara sesi persekolahan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Moratorium khas yang diberikan untuk meringankan beban ekonomi orang ramai yang terjejas dengan Covid-19 bermula April lalu dan tamat pada 30 Sept lalu.

Pada masa sama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan khas dan moratorium bersasar bagi membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19 pada Julai lalu.

Selaras dengan penamatan moratorium itu, peminjam yang mempunyai pinjaman bank perlu membuat bayaran balik bermula Oktober ini.

Selain isu tanggungan kewangan, kebimbangan masyarakat sekarang ialah risiko penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar apabila sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa.

Untuk rekod Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah mengeluarkan arahan agar proses pendaftaran secara fizikal pelajar baru di institusi pengajian tinggi ditangguhkan.

Semalam Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata sekolah tidak akan ditutup - kecuali di tempat yang ada mencatatkan kes positif Covid-19 - kerana berpendapat institusi itu lebih selamat berbanding di luar sekolah.

Kata Asyraf Wajdi kerajaan wajar memberi bayaran one-off kepada mahasiswa ekoran keputusan saat akhir KPT mengguhkan pendaftaran secara fizikal pendaftaran mahasiswa di universiti.

Keputusan yang dibuat kementerian pimpinan Noraini Ahmad itu menjejaskan sebahagian besar pelajar kerana mereka telah mendaftarkan diri di universiti.

"Apa pandangan anda? Ada perkara lain yang perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan?" tanya Asyraf Wajdi.

Tuesday, September 3, 2019

’10 bukti utama pemimpin DAP-PH rasis’



Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memandang serius dakwaan kononnya pembangkang bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan bersikap rasis sedangkan terlalu banyak bukti menunjukkan pimpinan DAP-PH yang banyak mencetuskan api kebencian, perkauman dan rasis!

Antara 10 bukti utama sikap dan kenyataan rasis dan cauvinis DAP-PH, termasuklah:

1. Menteri Sumber Manusia DAP, YB M Kulasegaran menuduh orang Melayu Pendatang dan mendakwa orang Tamil yang paling awal bermastautin di tanah ini. (21 Julai 2018)

2. Exco DAP Kerajaan Negeri Selangor, YB Ganabatirau mendakwa serangan Kuil Sri Mariamman Seafield dirancang dan dilakukan oleh orang Melayu-Islam sehingga membangkitkan kemarahan penganut Hindu, lalu mencetuskan rusuhan dan menyebabkan kematian Allahyarham Adib.

3. Kenyataan bersama menteri-menteri PH India di parlimen selepas tuduhan YB Ganabatirau, mengkritik dan menyalahkan pihak polis kerana lewat dan gagal mengawal keadaan serangan ke atas Kuil Sri Mariamman Seafield hakikatnya membakar api perkauman dan menambah kemarahan orang India. Dilaporkan berkumpul seramai 10,000 di Kuil Sri Marimman pada malam kedua, mengamuk dan melakukan rusuhan sehingga berlakunya peristiwa kematian anggota bomba Arwah Adib.

4. Menteri Kewangan DAP, YB Lim Guan Eng mendakwa agenda penyatuan Ummah di antara Umno-PAS adalah pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu. (5 Mac 2019).

5. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat DAP, YB Ngar Kor Ming mendakwa jika Umno-PAS berjaya berkerjasama dan membentuk kerajaan dalam PRU-15, maka gabungan ini akan membentuk kerajaan Taliban seperti di Afghanistan. (8 Mac 2019)

6. Pemimpin DAP, YB Chong Chien Jen bersetuju dan menyokong kenyataan YB Nga Kor Ming bahawa penyatuan Umno dan PAS bakal membentuk kerajaan Taliban sekiranya menang pilihan raya seterusnya telah mencetuskan perasaan takut, rasis dan prejudis di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam di negara ini. (9 Mac 2019)

7. Adun Mengkibol DAP, YB Chew Chong Sin mengaitkan insiden pembunuhan tragik di sebuah masjid di Christchurch oleh ekstremis kulit putih dengan penyatuan orang Melayu melalui kerjasama Umno-PAS untuk menambahkan lagi perasaan perkauman dan prejudis agama di kalangan rakyat bukan Melayu dan Islam. (16 Mac 2019).


8. Anggota Parlimen Kluang DAP, YB Wong Shu Qi menghina orang Melayu dan cuba membakar kebencian di kalangan orang Cina dengan mengaitkan tulisan Jawi dengan bahan-bahan pornografi dan lucah. (9 Ogos 2019)

9. Menteri Kewangan DAP, YB Lim Guan Eng sekali lagi mencetuskan api kebencian dan perkauman dengan mendakwa kerajaan Umno dan PAS jika berjaya dibentuk akan mengambil hak-hak orang bukan Melayu di Malaysia. (19 Ogos 2019)

10. Kenyataan rasis dan cauvinis Menteri Perpaduan Senator, P. Waytha Moorty yang mendakwa Malaysia bukanlah sebuah negara moderat progresif Islam seperti disangkakan pihak luar kerana kaum India telah didiskriminasi dalam pelbagai cara antaranya hak beragama serta pemusnahan kira-kira 10,000 kuil. Walaupun ini kenyataan lama, tetapi keangkuhan Waytha Moorthy untuk tidak mahu meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya kepada media luar negara adalah amat tidak bertanggungjawab dan menzahirkan sifat rasis pimpinan PH.

Banyak lagi bukti-bukti lain jika hendak disebutkan yang menyerlahkan sifat dan sikap perkauman pimpinan PH yang berterusan membangkitkan kebencian dan prejudis antara agama dan kaum.

Justeru, Pemuda Umno berharap pihak polis dan peguam negara agar bertindak tegas tanpa pilih kasih dalam tindakan mereka untuk membawa mereka yang mencetuskan api perkauman ke muka pengadilan.

Setiap rakyat juga wajar menolak mereka yang berterusan membangkitkan kebencian antara kaum, demi menyelamatkan negara kita tercinta Malaysia agar terus kekal aman, stabil dan harmoni walaupun rakyatnya majmuk dengan kepelbagaian agama dan kaum.

DR ASYRAF WAJDI ialah ketua pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Saturday, April 20, 2019

Kenapa Ong umum pemutihan penjawat awam? - Pemuda Umno

News | Diterbitkan Hari ini 5:02 petang


Pemuda Umno menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming mengenai langkah untuk meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Menurut ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan Ong itu sepatutnya dibuat pemimpin tertinggi kerajaan dan bukan dilakukan secara 'semberono' dalam program wawancara televisyen.

"Kerajaan perlu menjelaskan seberapa segera, apakah kenyataan Dr Ong Kian Ming ini merupakan keputusan rasmi kabinet dan jika benar ia keputusan rasmi kabinet mengapakah yang membuat pengumuman mengenainya adalah seorang timbalan menteri, bukan perdana menteri, timbalan perdana Menteri atau menteri," kata Asyraf.

Ong dalam wawancara Astro Awani pada 17 April lalu berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian.

Tindakan itu, kata Ong, adalah kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Menurut Ong walaupun beliau tidak berhadapan masalah untuk bekerjasama dengan kakitangan di MITI, namun kementerian lain masih berdepan kesukaran.

"Saya tidak nafikan kementerian lain seperti Kementeraian Komunikasi dan Multimedia memang ada cabaran yang lebih berat kerana ada ramai orang yang lebih berpihak kepada kerajaan lalu dan kita kita masih buat cleaning up process (proses pembersihan)," katanya.

Perlembagaan lindungi penjawat awam

Mengulas lanjut, Asyraf berkata Perkara 132 (2A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penjawat awam berhak memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Perkara 135 pula memperuntukkan bahawa mereka tidak boleh dibuang kerja dan diturun pangkat secara sesuka hati,” katanya.

Tambah Asyraf, walaupun ada garis panduan melarang penjawat awam mengambil bahagian dalam aktiviti politik dalam Seksyen 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002, Sub-Seksyen 5 pula tidak menghalang mereka daripada menjadi ahli biasa parti politik.

Katanya lagi, kerajaan BN tidak pernah menzalimi sebahagian penjawat awam yang menyokong, mengundi dan menjadi ahli biasa parti politik Pakatan Rakyat dan PH.

Sementara itu, penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Yusof meminta Ong menjelaskan dengan tepat dan terperinci tentang kenyataan ‘cleaning up process’ terhadap penjawat awam yang dikeluarkannya itu.

“Kenyataan Dr Ong Kian Ming hanya mengaitkannya dengan ‘lebih berpihak kepada kerajaan yang lalu’,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Kamarul, kenyataan Ong itu perlu dipandang serius kerana ia bukan hanya melibatkan kementeriannya, tetapi seluruh kerajaan.

Tambah Kamarul lagi, PH perlu sedar bahawa persepsi seolah-olah PH berkonfrontasi dengan penjawat awam mungkin menjadi penyebab sokongan golongan itu tidak berpihak kepada mereka dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

Tuesday, November 20, 2018

Panggil Waytha Moorthy, bergantung pada siasatan

Published on November 20, 2018 


KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, namun itu bergantung kepada keadaan dan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

“Sama ada kita akan panggil beliau atau tidak, itu bergantung pada siasatan. Kita akan teliti semua laporan yang ada untuk siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hari ini, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat laporan polis terhadap Waytha Moorthy yang dikatakan bertegas menyokong untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Malah, Waytha Moorthy juga dikatakan mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini dilihat boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum bumiputera dan mencetuskan ketegangan kaum.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dewan kecoh, pembangkang bidas Moorthy isu ICERD]

Semalam, Waytha Moorthy terus didesak meletakkan jawatan susulan kenyataannya yang tular dalam video yang tular baru-baru ini dan telah berterusan membangkitkan kemarahan rakyat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lagi desakan Waytha Moorthy letak jawatan]

Exco Pendidikan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, lebih dikesalkan apabila menteri itu langsung tidak menunjukkan rasa kesal atau membuat permohonan maaf.

Source: SH Nasional

Tuesday, October 16, 2018

DAP iktiraf sistem parlimen tanpa raja-raja, dakwa Razlan

Diterbitkan 16 Okt 2018, 10:50 malam


Bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii mendakwa teguran DAP kepada pemimpinnya yang menerima darjah kebesaran sebagai bukti parti itu tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.

Malah Razlan berkata perlembagaan DAP sendiri tidak langsung menyatakan sokongan terhadap sistem raja berpelembagaan.

"Jelas DAP adalah sebuah parti yang mengiktiraf sistem pentadbiran berpalimen tanpa raja-raja.

"Itu sebab sekian lama pemimpin DAP dilarang memegang gelaran yang dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu kepada mereka," dakwa Razlan dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Penolong Bendahari Kebangsaan DAP Datuk Ngeh Koo Ham hari ini berkata semua wakil rakyat DAP dikehendaki merujuk sebarang pemberian darjah kebesaran kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu sebelum memutuskan untuk menerima atau sebaliknya.

Ia katanya selari dengan dasar parti itu yang menyatakan anggota hanya boleh menerima gelaran selepas menyempurnakan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Mesyuarat CEC semalam diadakan susulan beberapa pemimpin parti itu dianugerahkan darjah kebesaran dari Melaka dan Sabah.

Mereka ialah pemimpin Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok View dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Wong Fort Pin yang menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk bersempena ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob Jumaat lalu.

Tiga lagi pemimpinnya dari Sabah menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dari Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin iaitu Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, naib pengerusi Frankie Poon dan ADUN Sri Tanjung, Jimmy Wong.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke pula menyifatkan mereka yang menerima anugerah tanpa merujuk kepada kepimpinan DAP sebagai tidak menghormati parti itu.

"DAP mengiktiraf kepentingan gelaran dan anugerah sebagai cara untuk menghargai sumbangan tokoh-tokoh dalam masyarakat.

"Oleh itu DAP menasihati wakil rakyatnya dan ahli majlis untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka memberi sumbangan besar kepada masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Razlan berkata tindakan wakil-wakil rakyat dari Melaka dan Sabah itu menenerima gelaran berkenaan secara langsung mengiktiraf sistem Raja Berpelembagaan di negara ini.

"Ini telah memberi tamparan hebat kepada perjuangan sebenar DAP.

"Alasan untuk mendapat gelaran selepas pencen ataupun perlu mendapat kebenaran CEC adalah dusta dan hanya mahu menjaga hati rakyat Malaysia buat sementara waktu," dakwanya.

Monday, July 30, 2018

Pemuda Umno: PM patut pecat Kula Segaran


Hari ini anggota Pemuda Umno di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata permohonan maaf wakil rakyat DAP itu tidak mencukupi.

“Walaupun beliau meminta maaf dalam kenyataannya semalam tetapi bagi kita pernyataan maaf sahaja tidak cukup.

"Beliau seharusnya mengambil tanggungjawab meletak jawatan kerana beliau seorang menteri dan harus lebih tinggi kebertanggungjawaban moral," katanya.

Jika Kula Segaran enggan meletakkan jawatan, Asyraf berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memecatnya atas dasar menganggu ketenteraman antara kaum.

“Jika beliau tidak mahu meletakkan jawatan kita minta perdana menteri agar memecat beliau atas dasar ini adalah unsur-unsur yang boleh menghancurkan kestabilan dan ketenteraman antara kaum.

“Beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh difahami sebagai hasutan dan boleh mencetuskan ketidaktenteraman,” kata Asyraf, dipetik laporan Umno Online.

'Istilah pendatang'

Asyraf mendakwa seorang warga negara biasa bernama Abdullah Zaid didenda di bawah Akta Hasutan apabila menggunakan istilah 'pendatang' terhadap orang Cina pada masa lalu.

“Jadi kita tidak mahu seorang menteri dalam konteks ini boleh terlepas begitu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Kula Segaran telah menafikan laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kula Segaran dakwa Melayu bangsa pendatang"

Menyifatkannya sebagai fitnah dan pembohongan, Kula berkata tidak pernah berkata begitu dan kenyataannya pada majlis di Nilai minggu lalu itu telah diputar belit tanpa konteks.

Biarpun begitu, naib pengerusi DAP itu akhirnya mengambil keputusan untuk memohon maaf.

“Saya sepenuhnya mohon maaf terhadap pihak yang terluka dan menarik ucapan ofensif dalam ucapan spontan itu,” katanya.

Kulasegaran juga berkata beliau tidak pernah menjadi sosok kontrroversi dalam isu kaum dan agama dan berikrar mempertahankan perlembagaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-