Thursday, July 14, 2022

Kalau RoS tak lulus permohonan, UMNO kena buat pemilihan: Mahdzir

agendaily.com
14/07/2022
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

UMNO perlu patuh kepada sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Naib Presiden UMNO itu berkata semua pihak diminta menunggu keputusan yang akan diumumkan RoS dan tidak membuat spekulasi yang hanya akan mengeruhkan keadaan, gesaan tersebut dibuat menjelang tarikh akhir keputusan RoS 16 Julai ini.

“Setakat ini kita tidak dapat lagi (keputusan) tetapi ada orang lawan teka sekarang ini, tetapi pada saya tak perlu keterlaluan, kita tunggu keputusan. Bila keputusan keluar pada waktu itu kita terima keputusan apa yang diputuskan.

“Ada dua sama ada diluluskan atau tidak diluluskan, itu sahaja. Kalau tidak lulus pemilihan kena buat, lepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu baru boleh pemilihan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Mahdzir terdahulu menghadiri Majlis Taklimat Khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu di Kampung Padang Setol.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Tinggal beberapa hari menjelang tarikh akhir 16 Julai ini untuk RoS memuktamadkan keputusannya terhadap permohonan dibuat UMNO sebelum ini.

Perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung Khas 15 Mei lalu sebulat suara meluluskan beberapa resolusi untuk membuat pindaan perlembagaannya, termasuk membenarkan pemilihan dalaman selepas pilihan raya umum (PRU).

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu bersedia menggunakan Pelan B sekiranya keputusan RoS tidak memihak kepada mereka, bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci berhubung rancangan tersebut.

Mengulas mengenai perjanjian untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, Mahdzir berkata kuasa melantik terletak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan siapa yang akan dilantik sebagai timbalannya.

“Saya punya komen jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah prerogatif Perdana Menteri, pilihan raya itu pun hak Perdana Menteri juga. Pemuda UMNO boleh desak tetapi bagi saya untuk lantik Timbalan Perdana Menteri ini prerogatif Perdana Menteri.

“Biar beliau putuskan walaupun ada MoU (memorandum persefahaman) atau apa sekalipun, biar Perdana Menteri yang tentukan termasuk juga dalam soal pilihan raya. Beliau ada laporan, tahu apa yang berlaku di persekitaran dan di peringkat antarabangsa, jadi Perdana Menteri boleh putuskan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-