Wednesday, July 20, 2022

Pinda perlembagaan: KDN ‘bakulsampahkan’ arahan PM, dakwa ahli MKT Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-July 20, 2022 4:45 PM
Ahli MKT Umno Razlan Rafii berkata walaupun perdana menteri telah memberikan tarikh tamat kepada JPPM untuk menyelesaikan isu pindaan perlembagaan Umno, nampaknya ia bukan perkara yang perlu diambil peduli oleh KDN. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah “membakulsampahkan” arahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) bawah kementerian itu meluluskan permohonan Umno meminda perlembagaan sebelum 16 Julai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii berkata demikian sambil menyatakan kekesalan dengan tindakan KDN dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang didakwanya sengaja melengah-lengahkan keputusan pindaan perlembagaan parti itu.

“Hari ini, walaupun perdana menteri telah memberikan tarikh tamat kepada JPPM iaitu pada 16 Julai, nampaknya ianya bukan satu yang perlu diambil peduli oleh KDN.

“Menteri KDN gagal untuk melaksanakan tugasan ini, KPI yang sudah ada tidak dipedulikan, arahan perdana menteri kepada menteri KDN untuk mengeluarkan keputusan pada 16 Julai dibakulsampahkan,” katanya di Facebook.

Sebelum ini Ismail berkata, JPPM mempunyai masa hingga 16 Julai ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti berkenaan.

Pada 13 Julai, Hamzah berkata, JPPM belum mengeluarkan keputusan permohonan Umno meminda perlembagaan untuk mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Hamzah berkata, biarpun JPPM berada bawah kementeriannya, namun keputusan jabatan itu dibuat secara bebas.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan turut mengesahkan Umno telah menyerahkan semua dokumen tambahan diminta JPPM bagi permohonan pindaan perlembagaan parti itu.

Mengulas lanjut, Razlan berkata, banyak lagi kes bawah seliaan KDN membabitkan parti lain gagal diselesaikan dengan baik sehingga parti politik terpaksa mencari jalan penyelesaian menggunakan mahkamah.

“Hal ini tidak berlaku sebelum ini, banyak parti yang berurusan dengan JPPM sebelum ini tiada halangan untuk mendapatkan kelulusan malah ada banyak parti yang tumbuh bagai cendawan tiada masalah.

“Pejuang, Muda terpaksa menggunakan mahkamah untuk membuat keputusan untuk pihak KDN. SOP yang sudah tersedia, tatacara kerja yang sekian lama berada di JPPM sepatutnya tiada masalah, sudah pasti ada udang di sebalik batu berkenaan tindakan kelewatan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-