Wednesday, July 27, 2022

Sampai waktu sesuai saya bubarlah, kata Ismail Sabri berhubung tarikh PRU-15

agendaily.com
27/07/2022
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih menunggu masa sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunggu masa yang sesuai sebelum mengambil langkah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Perdana Menteri tidak memberikan sebarang isyarat jelas berhubung tarikh PRU-15 sebenar bakal diadakan, sebaliknya memberitahu ia boleh berlaku bila-bila masa dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk ditetapkan.

“Bubar parlimen tu bila-bila masa, tak tergantung pada mana-mana, asalkan sampai waktunya saya dah anggap ia sesuai untuk dibubarkan, saya bubarlah,” katanya dipetik laporan media.

Ketika ditanya media jika pembubaran itu hanya akan berlangsung pada tahun depan, Ismail Sabri menjawab: “Sama ada tahun ni atau tahun depanlah.”

Ismail Sabri terdahulu merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN.

Pada Mac lalu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, ketetapan sudah dibuat supaya “Top 5” UMNO berbincang tarikh PRU-15 bakal diadakan.

Lima pimpinan tertinggi UMNO itu ialah Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Semasa perhimpunan itu juga, Ismail Sabri memberi jaminan akan berbincang dengan ‘top five’ dalam UMNO dan Kabinetnya berhubung masa yang sesuai untuk PRU-15.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata mendengar semua pandangan perwakilan sepanjang perjalanan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung membangkitkan agar PRU-15 disegerakan, namun perbincangan yang teliti perlu dijalankan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti.

“Ini juga akan dibincangkan dengan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-