Showing posts with label PRU-15. Show all posts
Showing posts with label PRU-15. Show all posts

Wednesday, January 11, 2023

Enggan mengaku jadi punca kalah, Zahid kini ajak ahli UMNO bersama kuatkan parti

agendaily.com
11/01/2023
Akar umbi digesa bersama untuk membangkitkan semula UMNO selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Ahli UMNO diajak untuk bersama-sama membina semula gerakan parti, selepas keputusan hambar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mengakui dirinya menjadi punca kekalahan, sebaliknya mengajak ahli parti itu untuk bersama-sama dibawah pimpinannya untuk bangkit daripada kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, yakin parti itu mampu bangkit selepas rebah pada PRU-15, dengan berbekalkan semangat musyawarah dan keikhlasan.

Menerusi catatan di Facebook, selepas Taklimat Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini, Zahid juga menekankan, perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, perlu dibincangkan secara berjemaah.

“Alhamdulilah, saya amat terharu melihat ramai perwakilan yang sudah tiba di Dewan Merdeka, bagi satu sesi Taklimat Presiden UMNO.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi, sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini,” kata beliau.

Untuk rekod, Zahid antara paling lantang mendesak PRU-15 diadakan segera sebelum ini, malah dengan yakinnya mendakwa UMNO mampu menang besar.

Bagaimanapun, UMNO mengalami kekalahan paling memalukan dalam sejarah pilihan raya negara apabila hanya berjaya memperoleh 30 kerusi sahaja selepas PRU-15 lalu.

Taklimat Presiden secara tertutup selama dua jam bermula kira-kira 3 petang tadi, diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022, bermula hari ini sehingga Sabtu.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati hadir ke perhimpunan kali ini, sementara 1,117 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita; 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri, yang akan dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, malam ini.

Saturday, December 10, 2022

Ketua Wanita gembira dipecat, beri amaran Zahid usah angkuh sangat

agendaily.com
10/12/2022
Tindakan memecat pemimpin tidak sehaluan pendapat menunjukkan doktrin perjuangan UMNO kini sudah berubah kepada politik kepentingan diri.

Menyifatkan doktrin perjuangan UMNO kini berubah kepada kepentingan peribadi selain keangkuhan presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dua bekas Ketua Wanita Bahagian, gembira apabila parti itu memecat mereka.

Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim gembira kerana dipecat daripada ‘digantung tak bertali’ kerana akan membolehkan beliau meneruskan perjuangan bersama parti lain.

Menurutnya doktrin perjuangan politik UMNO kini sudah berubah kepada kepentingan peribadi, sehingga parti itu yang sebelum ini menjadi dominan, kini ditolak olah rekyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Saya tidak menyesali apa yang berlaku dalam penghijrahan perjuangan politik ini kerana terbukti ia adalah pilihan terbaik dalam mempertahan kedudukan agama, bangsa dan negara,” katanya menurut Utusan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini beliau belum me­nerima sebarang surat pemeca­tan daripada UMNO dan hanya mengetahui perkara tersebut daripada laporan media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Zahid memutuskan untuk memecat keahlian Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa bersama beliau dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau Datin Seri Shamsiah Yasin.

Shamsiah adalah juga isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan manakala Fatimah adalah isteri Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Shahidan dan Ismail tidak disenaraikan oleh UMNO pada PRU-15 lalu, namun bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.

Fatimah juga mengesahkan beliau akan menyertai PAS tidak lama lagi bagi meneruskan agenda perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, Shamsiah menyifatkan tindakan UMNO memecat beliau daripada parti itu sebagai tidak wajar kerana percaya beliau tidak membuat sebarang kesalahan kepada parti.

“Saya hanya menemani suami pada hari penamaan calon, bukan buat apa-apa pun. Perkara itu juga sudah dimaklumkan ketika dipanggil Lembaga Disiplin parti sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsiah yang akan meneruskan kerja membantu rakyat seperti biasa mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak angkuh dengan memecat pemimpin sesuka hati.

Sunday, December 4, 2022

Tarik sokongan dan desak PRU-15 masa banjir, siapa yang meroyan sebenarnya Zahid

agendaily.com
4/12/2022
Kumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO sebelum ini pernah menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Setiap kata-kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi umpama menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Tidak perlulah mengata orang meroyan kerana anak murid Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebenarnya yang kuat meroyan, lebih elok cermin diri sendiri daripada mahu mengutuk orang lain.

Nak tanya Zahid, siapa yang meroyan tarik sokongan sehingga kerajaan sebelum ini jatuh?

Nak tanya Zahid, siapa yang meroyan desak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) segera semasa musim banjir tempoh hari?

Ini bukan meroyan ke?

Tak dapat dibayangkan pula bagaimana Zahid meroyan jika Anwar tidak melantiknya menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan pemimpin UMNO tidak diberikan jawatan dalam Kabinet kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang dibentuk baru-baru ini.

Sedarlah Zahid, lantikan sebagai TPM oleh Anwar itu hanya kerana tidak mahu melihat episod lama berulang dalam kerajaan terdahulu dan bukannya kerana merit.

Jika diikutkan merit, rakyat boleh persoalkan bagaimana seorang yang berdepan pendakwaan dan kes di mahkamah boleh dilantik menjadi TPM.

Malah, penjawat awam yang sedang dihadapkan ke mahkamah pun akan digantung tugasnya, tapi tidak bagi Zahid yang diberikan keistimewaan hanya kerana statusnya sebagai seorang murid yang setia kepada Anwar.

Tidak perlulah perasan diri itu hebat sangat, kalau hebat tidak ada UMNO-BN kalah teruk dalam PRU-15 lalu sehingga tinggal 30 kerusi Parlimen sahaja.

Daripada 70 kerusi yang dimenangi sebelum ini kini tinggal 30 kerusi sahaja, itu pun masih mahu mendabik dada.

Lihatlah diri sendiri sebelum nak minta orang lain meroyan, bukankah diri sendiri yang paling kuat meroyan?

Satu lagi, sumpah laknat sebelum ini “No Anwar, No DAP” macam mana?

Tuhan pun boleh mereka kini kencing, inikan rakyat biasa macam kami.

Wednesday, November 30, 2022

ULASAN | Kejutan 'Gelombang Hijau' dalam PRU15

malaysiakini.com
Fakhrurrazi Rashid
Diterbitkan: Nov 30, 2022 8:00 AM
ULASAN | Keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 sudah pun diketahui. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, tidak ada gabungan parti yang melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Akhirnya, kerajaan perpaduan atas muafakat antara gabungan parti politik dibentuk dan diterajui Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

PRU ke-15 memberi perspektif yang jelas dalam beberapa perkara.

Pertama, riwayat Umno-BN seperti telur di hujung tanduk. Kedua, Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan momentum namun tidak mampu mempertahankan kubu kuatnya. Ketiga, Perikatan Nasional (PN) dapat menarik pengundi dan mengempur kubu kuat PH dan BN.

Sudah pasti perspektif ketiga itu mengejutkan ramai. Dalam diam, PN menjadi pesaing hebat kepada PH dan BN meskipun ia baru dua tahun berada dalam arena politik.

Berbeza dengan kempen di kawasan-kawasan lain di Semenanjung Malaysia, persaingan di Pantai Timur Malaysia, sebahagian Johor dan utara negara dihangatkan dengan perang saraf politik dipanggil ‘Gelombang Hijau’.
Jika PRU ke-14 gelombang itu meletakkan PAS sebagai kerajaan sekali lagi Terengganu, kali ini PAS berjaya menyapu bersih kerusi parlimen di Terengganu dan Kelantan.

Malah, berjaya PAS - bersama PN - membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah enam dekad diperintah BN.

Ledakan Gelombang Hijau juga meningkatkan jumlah kerusi PN di Perak dan Pahang, sama ada di peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri (DUN).

Lebih mengejutkan lagi apabila PN berjaya menumbangkan kerusi asas PH sejak 2008 di Selangor dan Pulau Pinang pada kali ini. Soalnya, bagaimanakah fenomena itu berlaku?

Kelebihan buat PAS

Pertama, PAS dilihat sebagai parti pilihan utama di kawasan demografi majoriti pengundi Melayu. Kecelaruan Umno yang terpalit dengan isu integriti, dan pengaruh PH yang kurang menonjol di wilayah itu, membolehkan PAS menggempur kawasan seperti Padang Terap, Baling, Permatang Pauh, dan Pokok Sena.

PAS dan PN mengukuhkan tapaknya di kerusi lebih 70 peratus majoriti Melayu melangkaui wilayah Pantai Timur pada PRU ke-15.

Kedua, penguasaan pemimpin PAS di wilayah Pantai Timur dan utara negara memperkukuh pengaruh mereka. Populariti figura seperti Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor; dan Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) memainkan peranan utama dalam menarik pengundi Melayu atas pagar untuk mendekati PN.

Kepimpinan yang ditonjolkan oleh Sanusi dan Ahmad Samsuri yang mesra rakyat dan berkebolehan menerajui negeri memudahkan PAS menyantuni pengundi dengan lebih santai.

Berbeza dengan pemimpinPH dan BN yang tidak mempunyai figura menonjol bagi memberi persaingan di wilayah Pantai Timur dan utara.
Pendirian Sanusi dan Ahmad Samsuri yang tidak menjadi calon parlimen memberi kelebihan buat PAS memfokuskan sumber yang ada memenangkan calon di kawasan-kawasan strategik.

Ketiga, PAS hampir mendominasi kempen di media sosial. Penguasaan itu dikesan sejak awal apabila terdapat trend ustaz-ustaz menyampaikan tazkirah di platform seperti YouTube dan Facebook live.

Meskipun mesej disampaikan tidak menjurus menyokong parti politik secara langsung, ia membantu rakyat terbanyak memahami konteks yang lebih luas berkenaan nilai-nilai yang dekat dengan PAS, khasnya soal memilih pemimpin dan kerajaan serta isu-isu lain.

Perlu diurus dengan betul

Petunjuk-petunjuk itu memberi asas bahawa perang saraf Gelombang Hijau itu semakin relevan dalam politik negara dan ia semakin membesar tanpa kita sedari.

PAS mampu menumbangkan kerusi asas PH di Selangor sejak 2008 seperti Kuala Langat, Kapar, dan Hulu Langat. Apakah PAS dan PN mampu menggempur kubu kuat PH dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi?

Kemenangan di Mersing memberi peluang kepada PN menambah kekuatannya di kerusi Pantai Timur Johor seperti Kota Tinggi dan Tenggara yang merupakan kubu kuat BN dalam tempoh jangka panjang.

Dari sudut yang berbeza, Gelombang Hijau turut memberi kesan mendalam kepada politik negara. Agenda dan bahan kempen yang mengetengahkan sentimen kaum dan agama mewujudkan kebimbangan utama rakyat selepas keputusan PRU ke-15 diumumkan.

Situasi itu telah melebarkan jurang kesefahaman antara wilayah, bandar atau luar bandar, yang mempunyai jumlah demografi pengundi Melayu yang berbeza.

Jika ia tidak diuruskan dengan baik, beberapa isu sensitif yang dibangkitkan bakal meretakkan kesejahteraan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Gelombang Hijau itu akan terus kukuh selagi tiada gabungan parti politik mampu mencabar dominasi PN, khususnya menjelang enam PRN tidak lama lagi.

Walau apa pun, fenomena itu perlu diuruskan dengan cermat oleh kerajaan. Pelaburan kepada infrastruktur asas dan ekonomi di wilayah Pantai Timur dan utara akan menyumbang persekitaran baru rakyat di kedua-dua wilayah yang selama ini bergelut dengan peluang ekonomi terhad dan pendapatan rendah.

Pendekatan itu sesuai untuk mencari keseimbangan antara ekonomi dan politik agar tidak berlaku jurang begitu besar antara wilayah atau kaum.
Dari sudut politik, gabungan parti politik seperti BN perlu bangkit dalam menyusun semula jentera mereka. Penyusunan semula BN akan menjadi penentu kepada keseimbangan dominasi PAS dalam politik Melayu.

PH pula perlu keluar dari zon selesa dan bergerak serius membangunkan jenamanya di Pantai Timur dan utara. Pemimpin baru perlu dilatih dan pelaburan harus dibuat untuk kerja-kerja parti bagi mendekatkan PH dengan kawasan majoriti Melayu.

PH tidak boleh dilihat menguasai kerusi-kerusi Pantai Barat Semenanjung Malaysia saja. Untuk masa hadapan - dengan penambahan undi yang agak signifikan untuk tempoh lima tahun, khasnya pengundi Melayu - Gelombang Hijau akan mengundang risiko kepada kubu kuat PH di Selangor dan Pulau Pinang.

Soalnya, apakah kerajaan pimpinan Anwar dapat mengimbangi fenomena Gelombang Hijau dengan tindakan dasar yang adil?

Atau kita akan menyaksikan Gelombang Hijau menguasai naratif di dalam dan luar parlimen dengan isu-isu perkauman dan agama dalam tempoh lima tahun akan datang?

FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Monday, November 28, 2022

UMNO perlu bermuhasabah, akui berada dalam keadaan lemah

satuberita.my
By SatuBerita
-November 28, 2022
AHLI UMNO harus mengakui bahawa parti itu dalam Barisan Nasional (BN) ketika ini sememangnya berada dalam keadaan lemah dan semakin ditolak rakyat.

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, kenyataan itu merupakan satu ibrah, dan pengalaman yang perlu dicari serta dibongkar susulan keputusan teruk yang dicatatkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru katanya, ahli parti itu perlu segera bermuhasabah untuk membina dan membangunkan semula UMNO serta BN di setiap peringkat sama ada cawangan, bahagian, negeri mahupun pusat.

“Kita juga harus akur kepimpinan negara sekarang adalah keputusan daripada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu. Mungkin itulah keputusan yang terbaik selepas hampir seminggu kerajaan tergantung.

“Ketiga, kepimpinan tertinggi parti juga berada dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan demi kepentingan bersama. Walaupun lebih mudah untuk bertindak sebagai pembangkang, namun mentaati titah Seri Paduka Baginda untuk mbentuk Kerajaan Perpaduan juga satu maslahah umum yang tidak boleh diketepikan begitu saja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasmuni yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kubang Pasu dalam PRU15 berkata, fokus ketika ini perlu diberikan kepada tindakan dan strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

Katanya, sebarang tindakan yang diambil ketika ini akan menjadi penentu jatuh dan bangun UMNO serta BN pada masa akan datang.

“Kita juga akan berdepan dengan pemilihan UMNO. Ini masa untuk kita menentukan kembali hala tuju parti dan memilih kepimpinan baharu yang kita yakini boleh membawa transformasi dan perubahan total kepada parti.

“Semua ini ada hikmah dan pengajaran yang besar buat kita semua. Maka, marilah kita melangkah ke depan untuk meninggalkan sejarah pahit dan hitam bagi membina serta membangunkan masa depan UMNO mahupun BN yang lebih cerah,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Hasmuni berkata, ahli UMNO boleh berbeza pendapat dan pandangan namun tindakan sedemikian tidak seharusnya sehingga memecah-belahkan lagi parti yang kini lemah.

“Sekali pun mahu berbeza pandangan, amalkan adab-ul iktilaf (adab berbeza pendapat) kerana begitulah Islam mengajar kita,” katanya.

Tuesday, November 22, 2022

Siapa hero UMNO? Adakah Bangsa Johor hero yang ditunggu-tunggu?

agendaily.com
22/11/2022
Adakah bangsa Johor akan menyelamatkan Malaysia dan parti yang ditubuhkan di negeri itu?

Perikatan Nasional (PN) telah memperoleh cukup sokongan daripada Ahli Parlimen (MP), yang menang dalam PRU-15 Sabtu lalu (19 November 2022), bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

Malah, senarai nama lebih 112 MP itu juga telah diserahkan petang semalam, sebagaimana yang dikehendaki Yang di-Pertuan Agong sebelum tempoh masa dilanjutkan sehingga jam 2 petang hari ini (22 November).

“Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.” Demikian kata Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan.

Untuk rekod, PN memenangi 73 kerusi Parlimen, manakala Pakatan Harapan (PH) pula sebanyak 82 kerusi, sementara Barisan Nasional (BN) 30 kerusi. Akibatnya PN dan PH, gagal memperoleh majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan secara sendirian.

PN telah secara rasmi memperoleh persetujuan GRS, GPS, serta sokongan daripada MP parti lain yang dibuat secara individu, sehingga jumlahnya kini melebihi 112 kerusi, sekali gus cukup untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah.

Namun, majoriti mudah tidak memberi kekuatan kepada kerajaan untuk memerintah kerana ia boleh tumbang pada bila-bila masa, sebagaimana yang telah berlaku ketika pentadbiran Kerajaan PN tahun lalu.

Semalam, beberapa MP UMNO, termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Hasni Mohamad (Simpang Renggam) dan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu), telah membuat kenyataan menolak PH.

Berdasarkan kenyataan Mohamad, BN yang mempunyai 30 MP itu menyerahkan kepada PN dan PH untuk menyelesaikan pertikaian berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan, namun menawarkan bantuan ikhlas untuk membantu sekiranya kedua-dua parti gagal mencapai keputusan.

Kita memuji niat pemimpin UMNO yang ikhlas membantu dan sebagaimana maklum PN telah memperoleh lebih 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, yang pastinya turut melibatkan beberapa MP daripada BN.

Namun, kita percaya jika ada lagi MP daripada BN, khususnya UMNO memberi sokongan, maka kedudukan Kerajaan Persekutuan yang akan didirikan oleh PN akan lebih kukuh dan stabil, supaya program membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan mudah.

Perlu diingat, pemimpin yang dipilih menjadi wakil rakyat perlu memikirkan kepentingan rakyat dan negara, bukannya diri sendiri.

Kita menghormati pendirian UMNO Johor yang menyatakan bangsa Johor tidak akan bekerjasama dengan PH. Lantas jangan dibiarkan PH memerintah negara, hanya kerana segelintir pemimpin UMNO yang mementingkan diri sendiri. Jangan bercakap sahaja tetapi tiada tindakan kerana rakyat sedang memerhati.

Jika tidak mahu berterima kasih pun, ingatlah siapa di antara PN dan PH, yang membantu UMNO ketika susah? Siapa yang meletakkan pemimpin UMNO di kerusi menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Jika ikhlas bercakap di mulut, di hati juga perlu ikhlas.

Veteran UMNO Tan Sri Annuar Musa telah mendedahkan panjang lebar malam tadi, antaranya:

1. PAS dan Muhyiddin tiada niat dan tiada tindakan untuk membunuh UMNO sebagai ramai mendakwa. Naratif segaja dibina untuk burukkan PAS dan Muhyiddin;

2. PAS kutip UMNO daripada kekalahan PRU-14. Kemudian menyokong calon-calon BN di PRK Tanjung Piai; Cameron Highland; Kimanis dan lain-lain. Bagaimana dikatakan PAS mahu membunuh UMNO?; dan

3. Bersatu memberi bantuan kewangan yang banyak kepada UMNO/BN ketika PRN Sabah.

Seperkara lagi ialah, calon Perdana Menteri daripada PN adalah anak Johor dan di negeri itu BN mempunyai sembilan MP, termasuk tujuh MP UMNO.

Adakah MP bangsa Johor akan mencatat sejarah menjadi ‘hero’ menyelamatkan Malaysia daripada diperintah sekali lagi oleh PH, yang turut dianggotai DAP, sedang sejarah telah menunjukkan bagaimana selama 22 bulan gabungan itu memerintah negara?

Atau, mungkin dua pertiga daripada MP UMNO dan BN di seluruh negara akan menjadi ‘hero’ agama, bangsa dan negara (sebagaimana yang diperjuangkan sejak tertubuhnya UMNO) – dengan memberi sokongan ikhlas secara individu kepada PN menubuhkan Kerajaan Persekutuan sehingga mencapai lebih 140 kerusi?

Ketua Pengarang
Agenda Daily

Monday, November 21, 2022

Kumpulan Baju Merah beri amaran kepada Zahid

agendaily.com
21/11/2022
Kumpulan Baju Merah pernah mengadakan beberapa tunjuk perasaan di ibu negara sebelum ini. - Gambar FB

Kumpulan bergelar ‘Baju Merah’ memberi amaran mereka mungkin turun ke jalan raya jika Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan meletak jawatan susulan ‘bencana’ yang menimpa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu lalu (19 November 2022).

Amaran oleh pergerakan itu, yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mesra BN, dibuat berikutan gesaan yang semakin meningkat supaya Zahid meletakkan jawatan dan tidak mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan.

“Ada kemungkinan Baju Merah akan memulakan gerakan seperti cara kami menentang Bersih sebelum ini,” kata ketua penerangan pergerakan itu Ariffin Abu Bakar.

Ariffin yang diiringi sekumpulan penyokong baju merah awal-awal melaungkan gesaan agar Zahid meletak jawatan.

Kumpulan Baju Merah adalah pertubuhan yang terdiri daripada 300 NGO, telah ditubuhkan pada 2016 untuk menentang gerakan Bersih dan terlibat dalam beberapa tunjuk perasaan.

Ariffin berkata kumpulan itu menentang perbincangan antara Zahid dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. PH turut dianggotai DAP – parti yang ditentang oleh orang Melayu.

“Sebelum ini, dia (Zahid) kata tiada DAP, tiada Anwar, namun ada teori mungkin ada kerjasama dengan PH,” katanya.

Beliau menyeru Zahid meletakkan jawatan secara terhormat dan tidak menunggu sehingga akar umbi memberi reaksi yang tidak dapat diramalkan.

Sunday, November 20, 2022

Laungan 'undur Zahid, No DAP, No Anwar' bergema di ibu pejabat Umno

hmetro.com.my
Mohd Nasaruddin Parzi
am@hmetro.com.my
AHLI Umno Bahagian Bukit Bintang berkumpul mendesak Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan di Menara Dato Onn. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Laungan 'undur Zahid, No DAP, No Anwar' bergema di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn di sini petang ini.

Ia disuarakan sendiri akar umbinya dari Umno Bahagian Bukit Bintang yang kecewa ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jurucakap akar umbi Umno itu, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mengambil tanggungjawab atas keputusan buruk BN pada PRU kali ini.

"Mana-mana organisasi sekiranya gagal capai kemenangan, maka ia mesti digalas ke atas kepala partinya. Dalam hal ini Presiden Umno sendiri.

"Bukan kita tak sayangkan Ahmad Zahid dan parti, tapi beliau perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. BN sudah kalah dalam dua PRU berturut-turut," katanya ditemui media di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk berundur jika diambil Ahmad Zahid adalah lebih wajar dan lebih terhormat sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan serta mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya rasa ramai lagi Ketua Umno Bahagian dan ahli UMNO akar umbi akan mengikut langkah kita. Kita tak kisah dibuang parti. Kita mahu suarakan naluri dan isi hati kami," katanya.

Katanya, mereka juga tidak bersetuju dengan cadangan mahu supaya BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, susulan tiada gabungan meraih cukup 112 kerusi Parlimen.

Difahamkan, ada beberapa lagi kumpulan yang didakwa mewakili akar umbi Umno akan hadir ke ibu pejabat parti itu bagi menzahirkan hasrat sama hari ini.

BN mengalami kekalahan paling buruk sejak menyertai PRU selepas hanya menang di 30 kerusi Parlimen pada PRU-15, yang menutup tirai semalam.

Disiarkan pada: November 20, 2022

Gelombang pemimpin UMNO letak jawatan bermula, tak percaya Zahid lagi

agendaily.com
20/11/2022
Tan Sri Noh Omar, meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, tetapi kekal ahli MT.

Selepas gelombang sokongan rakyat diterima Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kini beberapa siri peletakan jawatan dalam kalangan pemimpin atasan UMNO mula berlaku selepas tidak lagi percaya kepada kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, susulan kekalahan teruk parti itu.

Difahamkan, beberapa pemimpin atasan UMNO akan berbuat demikian dalam masa terdekat, setelah mereka tidak bersetuju dengan rancangan parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.

Pada PRU-15 semalam (19 November 2022), Zahid telah membawa kekalahan teruk kepada BN apabila hanya memenangi 30 daripada 220 kerusi yang dipertandingkan.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, disusuli Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Shahril turut menggesa Zahid meletak jawatan.

Noh juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan Zahid.

Beliau yang ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur berkata, bagaimanapun beliau masih Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya.

“Saya pun tadi minta jika Presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Datuk Seri Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan UMNO,” katanya.

Saturday, November 19, 2022

Banjir: SPR gantung pengundian di 11 pusat mengundi di Baram

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 19, 2022 5:06 PM
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan keputusan untuk menggantung pengundian di 11 Pusat Mengundi di bahagian pilihan paya parlimen Baram

"(Ini) kerana keadaan cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air," kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

SPR juga berkata tarikh baru pengundian bagi pusat mengundi dan saluran tempat mengundi akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan keputusan untuk menggantung pengundian di 11 Pusat Mengundi di bahagian pilihan raya parlimen Baram.

Dengan pengundian di Baram digantung, hanya keputusan untuk 220 kerusi parlimen akan diumumkan dalam tempoh 24 jam akan datang.

Ambang untuk majoriti mudah di parlimen hari ini juga secara teorinya akan turun kepada 111.

Sebelum ini, pengundian di Padang Serai ditangguhkan selepas kematian calon Pakatan Harapan.

Senarai Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) yang terlibat di Baram adalah seperti berikut:

1 Sekolah Kebangsaan Long Naah (Saluran 1 & 2)

2 Sekolah Kebangsaan Long Luteng (Saluran 2)

3 RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg. Lepo Gah (Saluran 1 & 2)

4 Sekolah Kebangsaan Long Sait (Saluran 2)

5 Sekolah Kebangsaan Long Tungan (Saluran 1 & 2)

6 Sekolah Kebangsaan Long Moh (Saluran 1 & 2)

7 Sekolah Kebangsaan Long Mekabar (Saluran 1)

8 Sekolah Kebangsaan Long Jekitan (Saluran 1 & 2)

9 Sekolah Kebangsaan Long Lamei (Saluran 2)

10 Sekolah Kebangsaan Lio Mato (Saluran 1 & 2)

11 Sekolah Kebangsaan Long Banga (Saluran 1 & 2)

Rakyat beratur dalam banjir untuk mengundi, apa kata Zahid, UMNO?

agendaily.com
19/11/2022
Pengundi beratur dalam banjir di Kampung Long Bemang, di Parlimen Baram, Sarawak. - Gambar Kayanfm Miri

Proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kawasan dilanda banjir di Parlimen Baram, diteruskan hari ini (Sabtu, 19 November 2022), walaupun pengundi terpaksa beratur dalam banjir separas lutut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata, Ketua Polis Daerah Marudi, Mohd Ruslan Mat Kib yang bertanggung jawab untuk kawasan Baram melaporkan, polis berkolaborasi dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian PRU-15 di bahagian itu berjalan lancar.

“Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” katanya kepada media semasa meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di Kuching, hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu.

Menurut laporan media sosial, suasana di Pusat Mengundi Kampung Long Bemang di Parlimen Baram berjalan lancar. Orang ramai tetap bersemangat beratur untuk menunaikan tanggungjawab mereka walaupun dalam suasana banjir.

Sebelum ini, SPR menetapkan hari ini sebagai hari pembuangan undi PRU-15 yang melibatkan lebih 20 juta pengundi, setelah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lalu, walaupun amaran dikeluarkan mengenai musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir.

Ismail Sabri dilaporkan terpaksa membubarkan Parlimen lebih awal daripada tarikh akhir sebelum September tahun depan selepas mendapat tekanan kuat daripada UMNO yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, SPR melaporkan sehingga jam 1 tengah hari ini, statistik keluar mengundi adalah 50 peratus.

Anwar: Jika diizinkan, InsyaAllah jadi PM

malaysiakini.com
Arulldas Sinnappan
Diterbitkan: Nov 19, 2022 11:23 AM
Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata dia “secara berhati-hati optimis” pakatan yang diterajuinya akan membentuk kerajaan baru apabila melihat tahap keghairahan rakyat.

Dia berkata PH yakin dapat membentuk kerajaan seterusnya berdasarkan penilaian kajian dan sokongan yang bersemangat.

Anwar menjelaskan dia tidak peduli dengan strategi BN dan PN untuk membentuk gabungan bagi membentuk parti baru jika mereka mempunyai majoriti mudah dan parlimen yang tergantung.

“(PH) yakin dapat membentuk kerajaan gabungan PH, keadaan kelihatan baik dan jika diizinkan Allah kamu (Anwar) akan angkat sumpah sebagai perdana menteri seterusnya,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian selepas mengundi di SK Sri Penanti di Permatang Pauh di Pulau Pinang hari ini.

Dia tiba di pusat mengundi pada jam 9 pagi dan bersalaman dengan orang ramai di pintu pagar sekolah.

“BN dan PN ada strategi mereka, tetapi bagi kami BN dan PN adalah sama kerana mereka mengamalkan sistem yang sama. Tiada ketelusan dan tadbir urus yang lemah dan lebih toleransi dalam rasuah dan saya tidak hairan mereka bekerjasama,

“Kita mendapat sokongan yang menggalakkan termasuk di Tambun, saya berdoa Insya Allah, kita mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Anwar berkata faktor cuaca buruk boleh menjadi halangan utama kerana sesetengah tempat menjangkakan hujan dan ribut petir.

"(Semoga ini) tidak akan menghalang orang ramai untuk keluar mengundi,” katanya.

Apabila ditanya adakah dia yakin akan ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar berkata “Insya-Allah, insya-Allah.”

“Saya optimis dengan berhati-hati berdasarkan bukti awal, tinjauan dan kepercayaan daripada orang ramai, yang berdoa untuk perubahan. Kita tidak boleh mengharapkan negara maju jika kita tidak menerima perubahan bermakna sebagai sebuah negara Malaysia yang bersatu,” katanya ketika ditanya jika dia akan menjawat kerusi perdana menteri.

“Saya berharap SPR akan menunjukkan prestasi yang telus dan profesional seperti yang mereka lakukan setakat ini,” katanya.

[Baca berita asal]

Friday, November 18, 2022

Jam terakhir kempen: Zahid beri isyarat bakal bentuk jajaran baharu?

agendaily.com
18/11/2022
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan baik sejak zaman Pemuda UMNO.

Tinggal beberapa jam terakhir tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini sekali lagi memberi isyarat berkemungkinan jajaran baharu bakal terbentuk.

Dalam amanat yang disiarkan secara langsung dalam media sosial, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata sedia membuka lembaran baharu sekiranya berjaya memenangi PRU-15 walaupun terdapat spekulasi mengatakan bakal wujud jajaran baharu dengan parti cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Barisan Nasional bersedia untuk membuka lembaran baru, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.

“Kami berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang. Barisan Nasional berjanji, untuk memberikan yang lebih baik kepada rakyat selepas pilihan raya ini,” katanya dalam amanat di Bagan Datuk malam ini.

Untuk rekod, timbul spekulasi sebelum ini Zahid dan Anwar bakal bekerjasama untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15 jika tidak mempunyai majoriti yang mencukupi.

Umum mengetahui kedua-dua mereka sebelum ini mempunyai hubungan mesra dan akrab antara satu sama lain, malah berkomplot dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zahid berkata rakyat kini sangat merindui pemerintahan BN sejak kalah teruk pada PRU-14 lalu dan kini berpeluang untuk menebus kesilapan yang lalu.

“Pilihan Raya Ke-15, adalah wadah untuk Barisan Nasional mendapatkan kembali mandat rakyat. Mandat ini penting kerana mereka, yang diberikan peluang membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 lalu, telah memburukkan lagi keadaan negara.

“Ramai rakyat amat merindui kegemilangan Barisan Nasional yang telah mereka saksikan dahulu.

“Kegemilangan pembangunan negara, kerancakkan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya lagi.

Esok, rakyat Malaysia akan menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih kerajaan baharu.

Untuk rekod, Zahid kini sedang menghadapi 87 pertuduhan rasuah melibatkan jutaan ringgit.

Strategi Zahid mungkin makan tuan di tengah gelombang PH dan PN

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Nov 18, 2022 4:30 PM
Dari utara ke selatan di Semenanjung Malaysia, situasi tidak kelihatan begitu baik untuk BN.

Walaupun gabungan itu dijangka memperoleh sedikit pertambahan sokongan berbanding pilihan raya umum (PRU) 2018, ia mungkin tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kelihatan bersedia untuk menawan sejumlah besar kerusi.

PH dilihat bersedia untuk mengekalkan penguasaannya di kubu kuatnya di Lembah Klang dan Pulau Pinang - sambil mengekalkan momentum yang diperolehnya di Johor dan Negeri Sembilan.

Jangkaan juga tinggi untuk PH memenangi semula Perak dan majoriti kerusi parlimen negeri itu.

Bagi PN pula, gabungan yang diterajui Bersatu dan PAS itu dilihat berada di landasan yang tepat untuk menawan sebahagian besar kerusi di Kelantan dan Terengganu.

PH dan PN juga kelihatan bersedia untuk menawan banyak kerusi di Kedah, manakala Perlis mungkin menyaksikan setiap gabungan mendapat satu kerusi.

Malah Pahang mungkin melihat beberapa kerusi BN dirampas.
Bagi PN, kerjasama PAS dan Bersatu akan memberi kelebihan kepada gabungan itu di kerusi di mana PAS adalah parti pembangkang yang dominan manakala Bersatu berpeluang memecahkan undi Melayu yang dinikmati BN sebelum ini.

PN tampil sebagai alternatif kepada BN untuk orang Melayu yang mahukan kerajaan yang bersih tetapi tidak mahu mengundi PH kerana DAP.

PN juga mengambil pendekatan retorik untuk menjauhkan pengundi konservatif dari PH, dengan yang terbaru ialah kenyataan pengerusi PN Muhyiddin mendakwa PH adalah ejen Yahudi dan Kristian yang ingin menjajah Malaysia.

Bagaimanapun, pertembungan PN dan BN dijangka memberi kelebihan kepada PH di kerusi campuran dan bandar, serta kerusi di mana orang Melayu membentuk kurang daripada 65 peratus pengundi - susulan kemungkinan undi Melayu berpecah dan seterusnya membolehkan PH yang mendapat sokongan bukan Melayu menang.

Elemen kejutan

Sementara itu, nampaknya terdapat peningkatan besar sentimen untuk keluar mengundi berbanding pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac, di mana ramai pengundi luar tidak pulang untuk membuang undi.

Sekiranya trend ini berterusan, ia berkemungkinan akan menguntungkan PH kerana kebanyakan pengundi luar bandar tinggal di kawasan bandar yang dikuasai PH.

Peratusan keluar mengundi yang rendah di kerusi campuran dan bandar adalah faktor utama mengapa BN mampu menang besar di Johor sebelum ini.

Walau bagaimanapun, satu faktor yang mungkin memesongkan ramalan adalah pengundi baru - pengundi berumur 18 hingga 20 tahun, dan mereka yang lebih tua yang tidak mendaftar pada masa lalu tetapi kini berada dalam daftar pengundi selepas pendaftaran automatik dilaksanakan.

Walaupun majoriti berpendapat bahawa ramai daripada mereka yang berumur 20 tahun ke atas yang mendaftar di bawah pendaftaran pemilih automatik tidak berminat dengan pilihan raya, terdapat beberapa petunjuk bahawa golongan ini akan mencuba mengundi buat pertama kali.

Seorang pendandan rambut berusia 30-an, yang merupakan salah seorang yang berdaftar secara automatik, memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa dia akan keluar mengundi Sabtu ini.
Wanita itu - yang enggan namanya disiarkan - berkata walaupun dia tidak mempunyai pengetahuan tentang politik, dia akan "mengikut gelombang" sentimen tentang siapa yang akan diundi.

Jika pengundi dari kumpulan ini benar-benar membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya, sukar diramal calon pilihan mereka.

Melainkan pengundi baru membuat kejutan yang memihak kepada PH, gabungan itu berkemungkinan kekal sebagai pembangkang walaupun ia memenangi kerusi terbanyak dalam parlimen yang tergantung.

Ini kerana gabungan dan parti lain - termasuk GPS yang dijangka jadi penentu (kingmaker) - sangat tidak serasi dengan PH dan dijangka tidak akan mempunyai kerusi yang cukup untuk menyumbang majoriti kepada PH.

Berita buruk buat Zahid

Tetapi sama ada PH menang atau gagal membentuk kerajaan - kedua-dua senario boleh menjadi berita buruk bagi Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dan penyokongnya dalam Umno mendesak pilihan raya awal atas kepercayaan bahawa mereka boleh mengulangi keputusan PRN Melaka dan Johor, yang menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah dan undi berpecah membolehkan BN memenangi majoriti dua pertiga.

Membentuk kerajaan dengan saingan Bersatu - bukan sebahagian daripada rancangan itu.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, ini masih tidak pasti kerana Presiden Bersatu Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menunjukkan keengganan untuk berganding bahu dengan Umno sekali lagi - atau sekurang-kurangnya dengan mereka yang bersekutu dengan Zahid.

Hadi berkata adalah lebih baik PN kekal sebagai pembangkang jika tidak memenangi PRU15 - walaupun ini bukan pendirian yang dikongsi oleh semua pemimpin PAS.

BN cuba memanipulasi perbezaan pendapat dalam PAS ini memecahbelahkan PN, dengan harapan dapat menjauhkan PAS daripada Bersatu.

Antara lain, calon perdana menteri BN Ismail Sabri Yaakob berkata PAS sepatutnya menjadi parti dominan dalam PN dan bukannya parti yang selalu diberi peringatan oleh Bersatu.

Walaupun lompat parti disekat oleh perubahan perundangan, PAS belum lagi meminda peraturan partinya yang menghalang ahli parlimen daripada melawan arus keputusan parti.

Ini kerana di bawah undang-undang antilompat parti, ahli parlimen hanya kehilangan kerusi mereka jika mereka meletakkan jawatan atau menyertai parti lain, tetapi mengekalkan kerusi mereka jika mereka dipecat.
Ini bermakna secara teorinya, ahli parlimen PAS seperti Takiyuddin Hassan boleh kekal dalam parti sambil menyokong usaha BN untuk membentuk kerajaan.

Parti seperti DAP dan Amanah telah memulakan perubahan di mana wakil rakyat yang menentang keputusan parti dianggap telah "meletak jawatan".

Walau bagaimanapun, jika wakil rakyat PAS tetap setia kepada hala tuju Hadi - ia akan jadi pertaruhan kalah mati buat BN.

Hadi dan penyokongnya terus-menerus menyatakan bahawa Bersatu, Umno, dan PAS mesti bekerjasama.

Apapun, mana-mana senario di mana BN perlu mendapatkan sokongan Bersatu untuk membentuk kerajaan mungkin akan menyaksikan Umno menghukum Zahid.

Presiden Umno itu sama ada akan ditekan untuk meletakkan jawatan - atau berisiko digulingkan pada pemilihan Umno yang dijadualkan enam bulan selepas PRU.

Salah seorang pesaing Zahid, Khairy Jamaluddin, telah pun mendedahkan rancangan untuk bekerjasama dengan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein untuk pemilihan Umno.

Bagi Ismail Sabri, walaupun dia adalah 'poster boy' BN untuk pilihan raya kali ini, sebarang kegagalan untuk menang boleh ditudingkan kepada Zahid yang mendesak untuk pilihan raya awal dan bukannya menunggu pilihan raya diadakan tahun depan.

Untuk kelangsungan politiknya, Zahid mesti mengharapkan BN untuk memenangi sekurang-kurangnya 93 kerusi, manakala GPS mengekalkan 19 kerusi atau menang lebih banyak lagi.

Ini akan membolehkan BN dan GPS membentuk kerajaan tanpa PN - atau dalam kata lain kembali kepada BN sebelum 2018.

Fitch Solutions yang berpangkalan di UK melaporkan hari ini bahawa BN paling berpotensi menjadi pemenang pada pilihan raya esok.

Penganalisis ramal keputusan ‘kerusi panas’

freemalaysiatoday.com
‘Ainin Wan Salleh dan Samuel Chua
-November 18, 2022 12:20 PM
Pengerusi PH Anwar Ibrahim (kiri) menjadi calon pilihan di Tambun, manakala Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mesti menang di Pagoh jika beliau berharap untuk kembali memimpin negara.

PETALING JAYA: Daripada 222 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), beberapa kerusi lebih mencuri tumpuan berbanding yang lain.

Di Pagoh, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mesti menang jika mahu kembali memimpin negara, manakala impian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri bergantung kepada keputusan di Tambun.

Antara “kerusi panas” lain termasuk Arau, Putrajaya, Titiwangsa dan Penampang.

FMT melaporkan ramalan penganalisis Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya untuk 10 daripada kerusi-kerusi tersebut.
(Dari kiri) Azmi Hassan, Oh Ei Sun and Awang Azman Pawi.PAGOH
Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) bertanding untuk mempertahankan kerusi Pagoh buat penggal kesembilan. Sebagai pemimpin PN, beliau juga calon perdana menteri gabungan itu jika menang pada PRU15.

Beliau berdepan bekas Ahli Parlimen Muar Razali Ibrahim dan Iskandar Shah Abdul Rahman (Pakatan Harapan) di kerusi majoriti Melayu ini.

Ramalan penganalisis:
Azmi: PN akan menang
Oh: 50-50 antara PN dan PH
Awang Azman: 50-50 antara Barisan Nasional (BN) dan PN
TITIWANGSA


Bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani berusaha untuk merampas semula kerusi Titiwangsa yang terlepas kepada Rina Harun daripada Bersatu pada PRU14.

Kali ini, beliau berdepan persaingan empat penjuru menentang calon “heavyweight” PH, bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad. Calon-calon lain terdiri daripada Dr Rosni Adam daripada PN dan Khairuddin Abu Hassan (Pejuang).

Ramalan penganalisis:
Azmi: BN
Oh: PH
Awang Azman: 50-50 antara PN dan PHTAMBUN


Anwar, pengerusi PH, bertembung empat penjuru di Tambun dengan Timbalan Presiden Bersatu, bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu, Aminuddin Md Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Jika kalah, cita-cita Anwar untuk menjadi perdana menteri akan terkubur, sekalipun PH menang pilihan raya.

Ramalan penganalisis:
Azmi: PH
Oh: PH
Awang Azman: PHARAU


Digugurkan oleh BN, bekas Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim beralih bertanding atas tiket PN. Orang kuat Perlis itu akan menentang anak didiknya, Naib Ketua Umno Arau Rozabil Abd Rahman dan Fathin Amelina daripada PH.

Ramalan penganalisis:
Azmi: BN
Oh: 50-50 antara PN dan BN
Awang Azman: BNBENTONG


Bekas Ahli Parlimen Bentong Wong Tack bertanding sebagai calon bebas menentang bekas rakan seperjuangannya dalam DAP, Young Syefura Othman dan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai, yang mengharapkan perpecahan undi pembangkang.

Roslan Hassan daripada PN dan calon bebas Achik Khalil turut bertanding di kerusi yang mempunyai bilangan pengundi Melayu dan Cina hampir sama banyak ini.

Ramalan penganalisis:
Azmi: BN
Oh: 50-50 antara BN dan PH
Awang Azman: PHPUTRAJAYA


Orang kuat BN Tengku Adnan Mansor akan cuba mempertahankan kerusi ini buat kali kelima dalam pertembungan enam penjuru. Pencabarnya di kawasan ini, yang didiami ramai penjawat awam, termasuk Radzi Jidin (PN), Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH), Rosli Ramli (Pejuang) dan dua calon bebas.

Ramalan penganalisis:
Azmi: BN
Oh: 50-50 antara BN dan PH
Awang Azman: BNPENAMPANG


Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berdepan cabaran sukar dalam mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga, menentang calon PH, presiden Upko akan datang Ewon Benedick.

Kerusi majoriti Kadazan Dusun itu tidak pernah kekal dengan seorang Ahli Parlimen lebih daripada dua penggal. Kenny Chua daripada Gabungan Rakyat Sabah dan calon bebas Richard Jimmy turut bertanding di kerusi ini pada PRU kali ini.

Ramalan penganalisis:
Azmi: Warisan
Oh: 50-50 antara PH dan Warisan
Awang Azman: WarisanKUALA SELANGOR


Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad mengubah fikirannya untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 itu dengan majoriti lebih 8,000 undi selepas BN meletakkan menteri kewangan sementara Tengku Zafrul Aziz sebagai calon.

Mereka berdepan persaingan daripada Noor Mohd Shahar (PN) dan Shaid Rosli (Pejuang).

Ramalan penganalisis:
Azmi: 50-50 antara BN dan PH
Oh: PH
Awang Azman: BNREMBAU


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang menjadi pemain utama dalam politik persekutuan sejak PRU14, bertanding dalam pilihan raya Parlimen buat kali pertama.

Kubu kuat BN ini turut menyaksikan pertembungan banyak penjuru yang disertai Nazree Yunus daripada PN, Jufitri Joha (PH), S Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia) dan Ramly Awalluddin (Pejuang).

Ramalan penganalisis:
Azmi: BN
Oh: BN
Awang Azman: BNSUNGAI SIPUT


Presiden MIC SA Vigneswaran berharap untuk menjadi pemimpin ketiga dalam partinya yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di kawasan ini, selepas VT Sambanthan dan S Samy Vellu.

S Kesavan daripada PH turut bertanding untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 itu. Mereka berdepan lima calon lain, iaitu G Irudianathan daripada PN, Ahmad Fauzi Jaafar (Pejuang), dan tiga calon bebas.

Ramalan penganalisis:
Azmi: BN
Oh: 50-50 antara BN dan PH
Awang Azman: PH

Tolak parti rasuah, kerjasama PN-BN tidak akan berlaku sama sekali

agendaily.com
18/11/2022
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama antara gabungan itu dengan BN tidak akan berlaku sama sekali selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Katanya, ia selaras dengan dasar parti yang tidak akan bekerjasama dengan parti yang tidak bersih daripada rasuah.

Beliau yang Presiden PAS berkata, PN akan berusaha mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari pengundian esok (19 November 2022).

“Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah.

“Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya lapor Bernama.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yakin dapat membentuk kerajaan pada PRU-15 sama ada secara sendirian atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN sekiranya gagal memperoleh majoriti kerusi namun perkara itu dinafikannya sambil menegaskan laporan itu diambil di luar konteks selain tajuk berita itu juga mengelirukan pengundi.

Susulan kenyataan itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menepis dakwaan kerajaan gabungan PN-BN itu dan berkata Takiyuddin tidak pernah diberi mandat untuk memutuskan perkara itu.

Hadi kemudiannya dilaporkan berkata PAS rela menjadi pembangkang jika PN gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU-15 ini.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga calon Parlimen Marang mengingatkan saf kepimpinan parti supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi.

Beliau menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

“Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang’, kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah.

“Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi.

“Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya.

Pengundi jangan percaya pada naratif PN ‘bersih, stabil’, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 18, 2022 12:15 AM
Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengundi diingatkan jangan terpedaya dengan watak berbeza yang dimainkan pelakon sama.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi Melayu supaya tidak terpedaya dengan naratif Perikatan Nasional (PN) iaitu akan membentuk kerajaan bersih dan stabil dengan merujuk beberapa pemimpin gabungan itu terpalit dengan skandal.

Zahid berkata, pemimpin PN ini bersembunyi’ disebalik imej parti sekutu yang mendakwa Islamik sama ada sedar atau tidak mereka dipergunakan.

“Mengundi PN bukan bermakna anda mengundi parti yang mendakwa Islamik, tetapi lebih mengundi Bersatu,” katanya di Facebook.

Zahid berkata, sebahagian pemimpin Bersatu merupakan ‘katak-katak politik’ yang mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Tergamak membelot undi rakyat khususnya pengundi BN untuk bersekongkol dengan penzalim bagi mengelak dikenakan pendakwaan politik,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Bersatu bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, bagaimanapun setelah menyedari mereka hilang sokongan maka mereka meninggalkan gabungan itu.

Katanya, Bersatu telah memperdaya PAS untuk memecahkan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Umno pada 2019.

“Membentuk PN dan mendesak Umno menyertainya atas alasan ummah untuk mengambil kesempatan menamatkan Umno.

“Syukur alhamdulillah pemimpin Umno yang setia berjaya menyelamatkan parti terbesar Melayu itu daripada tergadai,” katanya.

Justeru Zahid mengingatkan rakyat bahawa tidak terpedaya dengan watak berbeza dimainkan oleh ‘pelakon’ yang sama.

“Ketahuilah sebahagian PN adalah PH dan sebahagian PH adalah PN kerana Bersatu daripada origin politik yang sama,” katanya.

Tiga episod libatkan Anwar akan berulang jika kalah di Tambun

agendaily.com
18/11/2022
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor mengingatkan Anwar bahawa PAS yang membantunya dahulu.

Episod Permatang Pauh, Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson, diyakini akan berulang sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Parlimen Tambun, Perak, esok (Sabtu, 19 November 2022).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata sulit untuk tidak mengambil tahu berhubung sosok Anwar yang puluhan tahun hidupnya obses dengan jawatan Perdana Menteri dan masih belum melepaskan mimpi yang dipeluknya sejak zaman Pemuda UMNO.

Menurutnya Anwar seperti sangkuriang perkasa yang muncul daripada hutan belantara dan dia memicu pesona pada rakyat jelata dengan kata-kata retorik yang memukau.

“Bacaan mudah politik Anwar Ibrahim, jika tersembam malu di kerusi Parlimen Tambun maka adalah nanti kerusi MP (Ahli Parlimen) PH lain yang akan menjadi mangsa seterusnya.

“Episod Permatang Pauh, Port Dickson akan terus berlaku kerana Anwar adalah Anwar!,” katanya dalam tulisan di dalam lidah rasmi PAS, Harakah.

Beliau berkata Anwar dalam jelajah Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, cuba untuk membangkitkan isu air di Kelantan, kononnya kegagalan kerajaan PAS Kelantan menguruskan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, Dr Riduan mengingatkan Anwar ketika maruahnya dilunyaikan oleh hegemoni daulah, sebaliknya PAS yang membela maruah beliau.

“Anwar, saya pasti berceramah dalam keadaan sedar, bukan selepas menghidu gam cap gajah! Tak semena-mena membangkitkan soal PAS dan perjudian (dengan berkata, “Anthony Loke kadang lebih tegas daripada ustaz-ustaz PAS”.

“PAS semenjak ditubuhkan lebih tujuh dekad lalu adalah gerakan Islam yang konsisten dalam menentang maksiat dan kemungkaran, dalam apa jua isu.

“Saat Anwar sedang di koridor kuasa bersama BN, PAS menjuarai segenap isu menentang hedonisme, pesta pora maksiat, Anwar menjulang Salman Rushdie ketika penulis itu menjulang nama tapi PAS mempertahankan kemuliaan Islam dan Rasulullah SAW.

“Anak-anak muda yang baru berjinak dengan usrah tidak kenal watak pragmatis Anwar di zaman berkuasa dahulu!,” katanya.

Dr Riduan berkata Anwar kehilangan puluhan teman baiknya, termasuk pendukung tegar reformasi, sejak zaman muda kerana isu intergriti.

“Mengapa? Anwar pasti ada skrip jawabannya sendiri, termasuk untuk menjawab isu kronisme dan nepotisme dalam parti yang dikenderainya,” katanya.

Sokongan rakyat: Risikan tentera kata kedudukan PN terus naik

agendaily.com
18/11/2022
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berucap pada Ceramah Grand Final PRU-15 di Machang, malam ini (17 November 2022).

Kedudukan Perikatan Nasional (PN) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini (19 November 2022) dalam arah aliran menaik mengatasi semua parti yang bertanding, dan dijangka mampu membentuk Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata kedudukan itu adalah berdasarkan laporan dilakukan pasukan perisikan – Kor Risik Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Semalam saya menerima panggilan daripada perisikan tentera yang memaklumkan berita di peringkat negara hari ini, kedudukan Perikatan Nasional dalam PRU-15 ini ke arah menaik.

“Kerusi Perikatan Nasional diramal mengatasi Barisan Nasional (BN) dan kedudukan kita setakat ini cukup baik… sekiranya ia termakbul, bermakna Perdana Menteri akan diangkat daripada Perikatan Nasional,” katanya berucap pada Ceramah Grand Final PRU-15 di Machang, malam ini (17 November 2022).

Ikmal Hisham yang juga calon PAS Parlimen Tanah Merah turut mengharapkan pengundi memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional untuk mengemudi negara.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, gagal membawa pembangunan kepada Machang selama dua penggal mengemudi Parlimen berkenaan.

Katanya, Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang gagal mengambil peluang untuk membawa masuk pembangunan di Parlimen berkenaan ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Buktinya hari ini apabila saya datang ke Machang, banyak perbezaan jika dibandingkan dengan Parlimen Tanah Merah dan berharap pengundi di sini memberi peluang kepada calon PAS di Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk membawa perubahan,” katanya.

Thursday, November 17, 2022

Anwar tak serang Zahid, adakah kerana perjanjian gelap BN-PH, tanya Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-November 17, 2022 7:28 PM
Muhyiddin Yassin mendakwa tindakan Anwar Ibrahim tidak menyerang Ahmad Zahid Hamidi menguatkan lagi dakwaan wujud perjanjian ‘gelap’ PH-BN akan bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15.

PAGOH: Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi kelihatan tidak terlalu menyerang sesama sendiri sepanjang tempoh berkempen menguatkan lagi dakwaan wujud perjanjian “gelap” BN-PH akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dakwa Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, tindakan itu menguatkan lagi dakwaan apabila Anwar dalam siri jelajah kempen di kawasan Zahid di Parlimen Bagan Datuk Isnin lalu, langsung tidak menyerang walaupun menyedari presiden Umno itu terpalit dengan kes rasuah.

“Saya pun bila lihat apasal Anwar pergi ke Bagan Datuk, di mana kawasan Zahid, dia tak sentuh langsung (serang zahid), jadi apakah betul pandangan sesetengah pihak seolah-olah ada bentuk satu persefahaman ataupun kerjasama (PH-BN) kalau tak cukup bilangan, yang saya dengar dia (Zahid) nak bergabung dengan Anwar.

“…jadi terjadilah…kau datang tempat aku, kau jangan serang aku, atau pun aku datang tempat kau, aku tak serang kau, agaknya begitulah, takkan Anwar tak tahu dia pernah jadi TPM (timbalan perdana menteri).

“Anwar tahu Umno korup, salah guna kuasa, penyelewengan, ada sudah masuk penjara, kes kluster mahkamah di hadapan dia, yang itu dia tak serang, saya ini apa ada, kalau ikut kes tiada, kenapa saya diserang,” katanya selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk Kampung Jawa.

Muhyiddin mengulangi dakwaan itu walaupun pemimpin BN-PH menafikannya.

Beliau juga tidak menolak tindakan pemimpin PH semakin ghairah menyerang PN dalam kempen PRU15, menunjukkan parti itu menyedari gelombang penerimaan rakyat terhadap PN semakin kuat.

“Saya tahu dia (Anwar) sudah cukup bimbang dengan sokongan PN, muka dia tak cerah sekarang, sedih saja. Bagi saya, ini soal persaingan dalam sistem demokrasi, ada orang suka, ada orang tak suka, itu biasalah saya serang dia juga, dia kata saya bapa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“…tak apalah, mungkin dia sudah tertekan bila dia tengok trend mutakhir ini menjurus kepada PN, anak-anak muda, orang ramai sokong, dia ada data, saya ada data. Jadi, mereka kata kalau nak menang serang Muhyiddin, saya tahu ini…tak apa nak serang, yang penting bukan soal Anwar atau saya, tapi siapa yang rakyat akan pilih, mahu percaya kepada Anwar atau percaya kepada saya.”

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-