Wednesday, August 17, 2022

Asyraf kritik keputusan dalam kes Najib, boleh dituduh hina mahkamah

agendaily.com
17/08/2022
Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta semalam.

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu boleh dituduh sebagai satu penghinaan terhadap institusi mahkamah kerana cuba mempertikaikan keputusan Hakim, malah kenyataannya itu boleh mengakibatkan satu kes menghina mahkamah dibuka susulan kenyataannya tersebut.

Asyraf berkata Mahkamah Persekutuan sepatutnya membenarkan permohonan bukti baharu dikemukakan Najib dalam perbicaraan kes SRC International.

“Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?

“Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, dia sebenarnya merasa amat bimbang dengan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan.

“Tuntutan Pemuda UMNO sebelum ini bagi mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat konflik kepentingan Hakim Nazlan (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) juga bagaikan dipandang sepi pihak berkenaan. Sedangkan kebebasan hakim itu adalah asas kepada wujudnya keadilan,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata dia bersetuju dengan ketua hakim negara yang berkata “justice delayed is justice denied” tetapi juga menyebut, “justice rushed is justice crushed” sambil mengingatkan bahawa Islam meletakkan keadilan pada tempat yang tertinggi, baik kepada hak mangsa atau hak tertuduh itu sendiri.

Justeru, katanya, setiap orang seharusnya diberikan hak seluas-luasnya untuk membela diri.

“Kita sudah tentu tidak mahu persepsi buruk rakyat terhadap sistem kehakiman seperti dekad 80an dan 90an berulang.

“Saya percaya akan ada hikmah yang Allah akan datangkan. Buat Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.

“Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya.

“Kami tidak akan lupa!” katanya lagi.

Terdahulu semalam, panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Panel hakim juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk meminta penangguhan perbicaraan rayuan utama dan akhir kes SRC International selama beberapa bulan.

Tengku Maimun memutuskan bahawa pihak berkenaan mengetahui tarikh perbicaraan yang ditetapkan dari 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya mengambil segala usaha untuk bersiap sedia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-