Wednesday, August 17, 2022

Saya doakan Najib dan keluarga tabah, kata Hishammuddin

agendaily.com
17/08/2022
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meluahkan rasa simpati kepada sepupunya itu.

Hishammuddin yang juga sepupu kepada bekas Perdana Menteri itu berkata mendoakan agar Najib dan keluarganya tabah dalam berdepan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

“Secara peribadi, saya memang mendoakan Datuk Seri Najib dan keluarga tabah menghadapi dugaan ini dan semoga segalanya dipermudahkan.

“Apa yang penting saya doakan proses di mahkamah yang sedang berjalan akan berjalan secara adil dan lancar,” katanya dipetik laporan BH hari ini.

Hishammuddin terdahulu menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin menolak permohonan peguam utama Najib yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir dengan alasan pasukan peguam memerlukan lebih masa untuk mengkaji kes berkenaan dan membuat persiapan.

Terdahulu semalam, panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Panel hakim juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk meminta penangguhan perbicaraan rayuan utama dan akhir kes SRC International selama beberapa bulan.

Tengku Maimun memutuskan bahawa pihak berkenaan mengetahui tarikh perbicaraan yang ditetapkan dari 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya mengambil segala usaha untuk bersiap sedia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-