Diterbitkan: Aug 30, 2022 11:05 AM
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan tidak ada parti politik yang akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Sebaliknya, pemimpin itu berkata, susulan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat ketika ini akan membuatkan PRU15 sesuatu yang sukar buat semua parti.
"Saya rasa PRU15 adalah pilihan raya yang paling sukar dan saya tidak fikir ada satu parti pun yang mendapat majoriti mudah, tak boleh membentuk kerajaan.
"Saya rasa BN pun berada dalam keadaan begitu, apatah lagi dengan berbagai-bagai skandal dan masalah yang dihadapinya.
“Saya rasa kemungkinan pilihan raya ini bukan menyelesaikan masalah tetapi akan menimbulkan banyak lagi masalah," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian di Gua Musang, semalam.
Sehubungan itu, Tengku Razaleigh mempersoalkan rasional mengadakan pilihan raya kerana ia mungkin tidak akan membuahkan hasil yang baik memandangkan tidak ada satu parti pun yang mampu menubuhkan kerajaan.
"Jadi apa makna ada pilihan raya. Kita akan menambahkan masalah lebih daripada menyelesaikan masalah," katanya.
Bekas Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat Umno yang meletak jawatannya pada September tahun lalu kerana dikatakan kecewa juga tidak yakin dengan prestasi parti itu jika ia memimilih untuk bergerak secara solo pada PRU15.
"Umno boleh bergerak solo tetapi solo tu kita kena faham apa makna solo. Kalau dulu solo, Umno ada 13 parti bersamanya dari Sabah dan Sarawak serta teman-teman yang kuat membantu Umno iaitu MCA dan MIC.
"Mereka begitu berpengaruh ketika dulu. Tetapi sekarang kita hanya mempunyai MCA dengan MIC yang tidak dapat ditentukan kekuatan parti-parti ini.
"Ada kalanya calon MCA berharap kepada sokongan Umno. Jadi, bagaimana kita nak menghadapi keadaan dengan macam-macam masalah, pelbagai berita yang timbul dari semasa ke semasa untuk menghadapi pihak lawan pada PRU-15," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.