Wednesday, October 19, 2022

Menteri sangkal dakwaan Ismail Sabri kata Kabinet bincang bubar Parlimen

agendaily.com
10/10/2022

Dakwaan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan isu pembubaran Parlimen dibincang dalam Kabinet disangkal seorang Menteri dalam kerajaannya dengan menyifatkan ia tidak tepat sama sekali.

Ismail Sabri sebelum ini mendedahkan ada membawa cadangan untuk membubarkan Parlimen dalam mesyuarat Jemaah Menteri, bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang berkata perkara itu tidak benar sama sekali.

“Seingat saya, 3 kali dibincangkan. Cuma (perkara PRU-15) YAB PM9 (Ismail Sabri) tidak pernah untuk beliau meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Mersing itu mendedahkan mesyuarat tersebut hanya membincangkan beberapa perkara termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Monsun Timur Laut serta Bajet 2023.

“Kita berbincang hal persediaan pilihanraya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023.

“Malah, pembentangan Bajet 2023 diawalkan mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal,” katanya.

Justeru katanya, beberapa kenyataan dalam ucapan Ismail Sabri ketika program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk pada Isnin lalu tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

Terdahulu, Ismail Sabri mengakui terdapat pelbagai pandangan bertentangan daripada Menteri dalam Kabinetnya berkaitan cadangan membubarkan Parlimen.

Katanya, beliau memaklumkan sekiranya mereka tidak bersetuju beliau tetap boleh membubarkan Parlimen dan “memecat saja semua orang”.

“Saya boleh buat. Silap. Patut saya pecat semua sekali. Tetapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut,” kata Naib Presiden UMNO itu semasa perhimpunan di Bagan Datuk tersebut.

Pada 6 Oktober lalu, 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Agong berhubung pendirian gabungan itu menolak PRU-15 diadakan tahun ini.

12 Menteri itu memberikan alasan faktor musim tengkujuh dan usaha pemulihan ekonomi negara tidak mewajarkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Namun, Ismail Sabri tidak mengendahkan pandangan Kabinet sebaliknya bertindak juga membubarkan Parlimen selepas beberapa siri himpunan raksasa dianjurkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi tekanan kepadanya untuk mengadakan PRU-15 segera pada tahun ini juga.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-