Showing posts with label Ismail Sabri. Show all posts
Showing posts with label Ismail Sabri. Show all posts

Monday, September 2, 2024

Anwar’s disrespect for former leaders: A troubling disconnect

bebasnews.my
By Editor
-02/09/2024

By Ghafar Mohamad

ANWAR Ibrahim’s leadership should be criticized for not understanding or appreciating Malaysia’s history, especially the struggles of those who fought for our nation’s independence. It’s troubling that he seems to ignore the contributions of former leaders during the Merdeka celebration, which shows a disconnect from the legacy of our forefathers who secured our independence and brought prosperity to the country.

It’s upsetting to see Anwar forget the important role that Prime Minister Muhyiddin Yassin played during one of the nation’s most difficult times. Muhyiddin worked hard to save lives and protect people’s livelihoods during the severe lockdowns caused by the Covid-19 pandemic. His administration made sure there was food on the tables and enough money for people to survive. These actions were crucial in lessening the pandemic’s harsh effects on everyone.

Muhyiddin also created an economic plan to help the country recover, even as millions of people were getting vaccinated. This plan was continued by Prime Minister Ismail Sabri, who made sure the economy took off as planned. It’s disappointing that Anwar seems to ignore these significant efforts.

Anwar’s lack of respect for past leaders like Tun is very concerning. These leaders laid the foundation for Malaysia’s success, securing our freedom and developing our nation’s talents and knowledge. The fact that they weren’t acknowledged during such an important event as the Merdeka celebration is a clear sign that Anwar doesn’t respect those who came before him.

This disrespectful attitude is upsetting, especially when we think about how much these former prime ministers did to guide Malaysia through tough times. By focusing mainly on his own administration, Anwar is neglecting the values of gratitude and historical awareness.

This approach could divide the country even more, making it harder for us to unite around our shared history and achievements, at a time when unity is so important.

*GHAFAR MOHAMADChairman of the Advisory Council of the Malay Professionals Organisation also known as Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

BebasNews

Thursday, August 29, 2024

Najib hanya minta perbicaraan adil, bukan dibebaskan - Ismail Sabri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 29, 2024
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Najib Razak tidak pernah meminta untuk dibebaskan daripada pertuduhan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Bercakap dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, bekas naib presiden Umno itu berkata, Najib tidak pernah meminta bantuannya berhubung kes SRC International.
Sebaliknya, kata Ismail Sabri, bekas presiden Umno itu hanya mahu perbicaraan adil diberikan kepadanya.

“Ramai orang luar tidak tahu bahawa Najib (ketika) jumpa saya (dia) tidak minta dibebaskan. Dia hormat kepada mahkamah,” katanya.

Najib dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya ketika pentadbiran Ismail Sabri pada Ogos 2022, yang mencetuskan kemarahan penyokong “Bossku” itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak campur tangan urusan mahkamah kerana ia boleh menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

“Kalau mahkamah kita boleh masuk campur, bagaimana persepsi luar? Kononnya mahkamah kita boleh disusun jadi tak ada siapa akan datang melabur di negara kita.

"Pelabur kalau ditipu ke mana mereka nak hadapkan (pesalah), sebab mahkamah Malaysia tidak boleh pakai. Kita bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), kalau mahkamah dikawal oleh kerajaan tak ada siapa akan percaya kepada kita.

“Bagi saya dengan Najib, kita bagi perbicaraan yang adil. Orang kata saya masukkan dia dalam penjara, tak betul itu keputusan Mahkamah Tinggi yang menentukan,” katanya lagi.
Mengakui bahawa Najib masih mendapat sokongan padu dalam Umno, dia berkata ketua penerangan parti itu, Azalina Othman Said telah ditugaskan untuk mendapatkan pengampunan penuh untuknya daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya harap adalah kalangan daripada kita (Umno) menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) agar Najib boleh menjalani tahanan di rumah.

“Ataupun Lembaga Pengampunan diminta supaya Najib dapat pengampunan penuh daripada Agong. Kalau (kes masih) di mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga peringkat seterusnya ada sembilan hakim. Tak mudah.
“Saya harap boleh buat sesuatu, saya juga harap kepimpinan terutama Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong,” katanya lagi.

Wednesday, August 28, 2024

Ismail Sabri harap Azalina rayu pembebasan Najib

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
- Ogos 28, 2024
Ismail Sabri dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan, hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kepemimpinan UMNO, terutama Datuk Seri Azalina Othmah Said yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengambil tindakan untuk mendapatkan pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Selain itu, Ismail Sabri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, berkata permohonan untuk tahanan rumah terhadap Najib juga, seperti yang dikatakan terdapat dalam Titah Adendum sebelum ini, boleh dibawa semula ke mesyuarat Lembaga Pengampunan dan lebih mudah dilaksanakan ketika ini kerana tidak membabitkan proses mahkamah.

"Saya harap adalah kalangan daripada kita menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) supaya Najib boleh menjalani tahanan di rumah atau meminta pengampunan terus.

"Saya harap boleh buat sesuatu. Saya juga harap kepemimpinan, terutama Datuk Seri Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri mendedahkan, Najib tidak pernah meminta bantuan daripadanya supaya beliau dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, sebaliknya hanya meminta perbicaraan terhadapnya dijalankan dengan adil.

Menjawab kritikan segelintir ahli UMNO yang mendakwa beliau tidak berbuat apa-apa untuk membantu Najib ketika menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri menegaskan beliau tidak mencampuri urusan mahkamah dan prinsip pengasingan kuasa di negara ini.

Ismail Sabri berkata, Najib dituduh ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan keputusan yang mendapati Najib bersalah diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020, yang dibuat

berdasarkan fakta kes dan keterangan saksi, yang mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Beliau berkata, kes itu kemudian dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2022, yang membabitkan aspek teknikal, seperti berlaku kesilapan dalam perundangan, ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

"Macam mana nak "expect" (jangka) saya panggil Ketua Hakim Negara dan sebagainya, beritahu "clearkan" (bebaskan). Ramai orang luar tidak tahu, Najib tidak pernah jumpa saya minta beliau dibebaskan, cuma beliau minta perbicaraan yang adil, itu saja.

"Masa itu, kita perlu lihat bukan hanya dalam negara saja. Jika mahkamah kita dianggap orang luar, boleh disusun (keputusannya), tiada siapa akan datang melabur kerana jika mereka ditipu, mahkamah tidak boleh pakai.

"Orang kata saya masukkan Najib dalam penjara... tidak betul, sebab keputusan awal di Mahkamah Tinggi dan itu yang menentukan sebab fakta kesan dan kenyataan saksi sudah dibaca," katanya.

Saturday, August 26, 2023

Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri

satuberita.my
By Admin
-August 26, 2023
Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri
BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kepercayaannya terhadap keberanian kepimpinan Pemuda UMNO hari ini untuk membawa parti itu bangkit semula.

“Pemuda UMNO sejak sekian lama terkenal dengan sifat berani dan tidak takut menyatakan pendirian atas kepentingan parti serta rakyat.

“Pemuda juga mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati anak muda.

“Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali,” katanya menerusi Facebook beliau sempena ulang tahun ke-74 sayap UMNO itu.

Ismail yang juga bekas Perdana Menteri turut mengimbas perjalanan politiknya bermula di Pemuda hingga memimpin Putrajaya.

“Pemuda UMNO mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, menerajui pentadbiran negara,” katanya memetik laporan FMT.

Beliau turut menyertakan gambar barisan pemimpin Pemuda UMNO diketuai Dr. Akmal Saleh dalam hantaran itu.

Pada 17 Ogos lalu, Akmal memberitahu kepimpinan parti agar ‘membuat perubahan’ atau berisiko dikuburkan, berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRN 12 Ogos lalu.

Pada pilihan raya itu, UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Pada PRU15, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Susulan itu timbul desakan supaya Zahid meletak jawatan presiden antaranya oleh bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ismail pula menegaskan kekalahan parti itu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada UMNo ‘bertambah marak seperti api membakar jerami’ termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO susulan kekalahan teruk itu.

Thursday, May 11, 2023

UMNO masih mampu satukan umat Melayu, Islam?

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
12/05/2023
Agenda lemahkan bangsa dengan konsep pecah perintah tak pernah pudar

BANGI, 20 Syawal 1444H, Khamis – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan sama ada UMNO masih mampu menggalas peranannya menyatukan bangsa Melayu, meskipun setelah 77 tahun parti itu ditubuhkan.

Beliau berkata, UMNO sebelum ini ditubuhkan bagi menyatukan umat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dengan menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bergerak secara bersendirian di setiap negeri.

Ketua UMNO Bahagian Bera itu berkata, sebelum penubuhan parti berkenaan, bangsa Melayu lemah kerana berpecah dan tidak bersatu, malah senang dipecah perintah oleh penjajah Inggeris.

“Dengan penyatuan Melayu di bawah UMNO, bangsa Melayu menjadi kuat sehingga mampu membawa kemerdekaan kepada Tanah Melayu, membawa pembentukan Malaysia membangunkan negara, memajukan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

“Namun, agenda untuk melemahkan bangsa Melayu dengan konsep pecah perintah tidak pernah pudar.

“Kini setelah 77 tahun UMNO ditubuhkan, apakah UMNO yang menjadi pengasas dan tunggak menyatukan umat Melayu dan Islam masih mampu digalas oleh UMNO?,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena Ulang Tahun UMNO ke-77, hari ini.

Ismail berkata, hari ini adalah hari yang cukup bermakna buat segenap generasi UMNO kerana menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-77.

“Selamat menyambut hari ulang tahun UMNO yang ke-77,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Monday, April 17, 2023

UMNO-DAP tak dipaksa kahwin, kata Loke

agendaily.com
17/04/2023
Setiausaha Agung DAP baharu, Anthony Loke mengulas kerjasama dengan UMNO.

Anthony Loke menafikan UMNO dan DAP (UMDAP) berkahwin politik secara paksa seperti didakwa oleh bekas Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung DAP itu sebaliknya mempertahankan hubungan UMDAP adalah secara sukarela dan berasaskan cinta yang ikhlas antara kedua-dua parti tersebut.

“Janganlah sebagai bekas Perdana Menteri, adakah beliau mahu lihat perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam apa juga kerjasama termasuk dalam Kerajaan Perpaduan, kami seboleh-bolehnya cuba untuk kukuhkan hubungan itu,” katanya dipetik laporan BH.

Loke juga berkata Ismail Sabri sepatutnya mengetahui kerajaan campuran dibentuk sekarang adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Media sebelum ini melaporkan, Ismail Sabri mendakwa ‘kahwin paksa’ antara UMNO dan DAP tidak akan berjaya sama ada di peringkat kepemimpinan tertinggi atau di peringkat akar umbi.

Ismail Sabri berkata, beliau sudah mula melihat keretakan ‘perkahwinan paksa’ itu selepas wujud serangan secara terbuka antara pemimpin parti kerajaan ketika ini.

Sunday, March 5, 2023

Tunjuk surat RoS, Ismail Sabri beritahu Zahid

agendaily.com
05/03/2023
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menasihatkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menghormati keputusan PAU 2022 berhubung dua jawatan tertinggi yang tidak dipertandingkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diminta mendedahkan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia perlu didedahkan susulan wujud perbezaan fakta yang tersebar

“Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.

“Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru. Saya pun baca laporan media juga,” katanya lapor BH, hari ini.

Malam tadi, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan UMNO menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Katanya RoS meluluskan usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

Pada 20 Januari lalu dua ahli UMNO membuat aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 itu.

Sunday, January 29, 2023

Proses pecat, gantung oleh Umno cacat - Ismail Sabri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 28, 2023 9:32 PM
Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kecatatan dalam proses pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti itu semalam.

Menurut Ismail dia tidak bersetuju dengan keputusan tersebut memandangkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan terhadap mereka

"Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip 'natural justice' seperti hak membela diri.

"Tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut," katanya dalam hantaran di Instagram.

Semalam, Umno mengumumkan langkah drastik dengan memecat bekas ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor, Noh Omar atas dakwaan melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan pula digantung selama enam tahun.
Turut digantung ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Seramai 42 ahli Umno lain turut dipecat daripada parti itu atas dakwaan melakukan pelbagai kesalahan.

'Jawatankuasa disiplin tak pernah nasihat Zahid'

Menurut Ismail, jika pihak yang menuduh tidak berpuas hati, mereka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.
Tambahnya, pertuduhan ke atas mereka perlu dibuktikan dengan saksi juga boleh dibawa kepada jawatankuasa disiplin.

"Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatan kuasa pengurusan Umno.

"Jawatankuasa pengurusan Umno perlu berbincang dan membawa cadangan ke MT untuk keputusan," kata bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun kata Ismail, proses tersebut tidak dilaksanakan oleh parti itu.

"Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.

"Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka.

"Sebagai sebuah parti yang bertamadun, Umno mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan," ujarnya.

Saturday, January 21, 2023

Ya saya berdiri… tapi Nur Jazlan tak faham kenyataan, kata Ismail Sabri

agendaily.com
21/01/2023
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak faham isu yang beliau bangkitkan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak faham berhubung kenyataannya berkaitan isu dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan.

Ahli Parlimen Bera itu menegaskan beliau memberi kenyataanya dari sudut perundangan dan perlembagaan parti di mana keputusan dua jawatan tidak dipertandingkan itu perlu dirujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Saya bercakap soal perundangan. Ada dua pandangan mengenai keabsahan keputusan itu, ada yang menyatakan ia sah dan sebaliknya.

“Kedua-dua pandangan itu ada alasan yang kukuh, jadi jika timbul pertikaian, maka mana-mana ahli boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan,” katanya lapor BH hari ini (21 Januari 2023).

Sebelum ini, Nur Jazlan menyifatkan tindakan Ismail Sabri itu pelik kerana ketika proses pengundian usul berkenaan dibuat, bekas Perdana Menteri kesembilan itu turut berdiri menyokong dua jawatan utama berkenaan tidak dipertanding.

Menurut Nur Jazlan lagi, walaupun majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) sudah membuat keputusan supaya dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan, masih ada suara sumbang yang tidak berpuas hati, ibarat rumah siap, pahat berbunyi.

Mengulas lanjut Ismail Sabri menjelaskan, ramai yang tidak faham dengan kenyataan beliau, termasuk Nur Jazlan.

“Seperti dinyatakan, setiap ahli berhak mengambil tindakan, termasuk merujuk kes itu kepada ROS,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Nur Jazlan yang beliau sendiri bangun menyokong usul itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu berdebat mengenai isu berdiri atau duduk.

“Ya, saya ada berdiri ketika laungan ‘Allahu Akbar’. Ada gambar yang menceritakan segala-galanya,” katanya.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan berkata, keputusan PAU 2022 meluluskan usul itu sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

Beliau berkata, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

Sunday, January 15, 2023

Presiden patut bertanggungjawab, bukan ‘poster boy’ atau orang lain

agendaily.com
15/01/2023
Veteran UMNO dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa ‘orang nombor satu’ perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lalu, bukan menyalahkan ‘poster boy’.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang yang mesra dengan panggilan ‘Ku Li’ itu berkata tiada apa-apa pada diri seorang ‘poster boy’, sebaliknya jika pemimpin itu seorang ikonik maka dia akan diterima baik oleh semua pihak.

“Barangkali dalam sebahagian masyarakat dia pun tidak diterima sepenuhnya. Ikonik ini orang yang disukai ramai macam Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak. Mana-mana pergi pun orang sebut nama dia. Begitu juga Tun Dr Mahathir.

“Tapi dengan kekalahan UMNO dalam PRU-15 lalu. Biasanya, Presidenlah dipertanggungjawab. Orang nombor satu mesti bertanggungjawab. Kalau dia tidak bersalah pun dia mesti terima hakikat bahawa parti dia jatuh kerana dia di situ (mengetuai).

“Jika dia membiarkan keadaan jadi buruk maka dia tidak bertanggungjawab. Jadi dia mesti bertanggungjawab,” katanya menurut laporan Utusan hari ini (15 Januari 2023) merujuk kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, dalam temu bual bersama akhbar The Star, Zahid turut menyalahkan Ismail Sabri, beberapa pemimpin peringakt negeri serta bahagian, susulan kekalahan teruk UMNO pada PRU-15 lalu.

“Selepas PRU-15 tiada siapa yang mahu bertanggungjawab. Saya didesak meletak jawatan tetapi kenapa saya seorang? Bagaimana pula dengan poster boy kita (Ismail Sabri), ketua-ketua perhubungan negeri, beberapa ketua bahagian dan sayap? Ia adalah tanggungjawab semua orang,” kata Zahid.

Mengulas dua jawatan tertinggi parti yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang, Ku Li berkata “UMNO akan habis”.

“Dalam demokrasi jawatan tersebut perlu dipertandingkan supaya ada pilihan untuk orang ramai menerusi dua tiga kaedah. Ada sesetengah kumpulan sudah dibeli walaupun adanya pertandingan.

“Dia akan pilih orang sebab dapat sogokan atau bayaran. Tapi ada kumpulan yang berprinsip mahu lihat supaya parti disokong ini dipimpin orang yang betul-betul layak dan amanah,” kata beliau yang pernah dua kali dalam sejarah perjalanan politiknya bertanding merebut jawatan presiden tetapi kalah.

Tengku Razaleigh mengingatkan UMNO, walaupun Barisan Nasional (BN) memiliki 30 kerusi Parlimen, apa yang menjadi persoalan ialah ke mana arah perjuangan parti itu hendak membawa suara Melayu setelah kedudukan UMNO berada di bawah sekarang.

Apa lagi, katanya dengan lagak pemimpin UMNO sekarang yang tidak disenangi rakyat.

“Mungkin pemimpin UMNO tidak sedar lagi. Kita dengar pembongkaran duit berjuta-juta apabila kalah. Apa benda semua ini?,” katanya.

Saturday, November 26, 2022

Ismail Sabri nafi ada 'Langkah Tropicana'

malaysiakini.com
Yasmin Ramlan & Kow Gah Chie
Diterbitkan: Nov 26, 2022 3:27 PM
Naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menafikan terdapat pertemuan tertutup semalam yang melibatkan pemimpin BN dan PAS di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor.

Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari PAS sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya kepada Malaysiakini.

Khabar angin berhubung perjumpaan di Tropicana Golf Resort yang diberi julukan ‘Langkah Tropicana’ itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakan ketika pertemuan itu.

Sepuluh pemimpin BN dan PAS dikatakan terlibat pertemuan itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan bekas ketua Umno bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan semalam dia hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO), tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama bendahari agung BN Hishammuddin Hussein.

Malah menurutnya, pemimpin Umno lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah, bahawa dia membuat gerakan untuk melawan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ni, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi perdana menteri, pemimpin Umno memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan Umno,” katanya.

Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem - antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.

Terdapat juga gesaan sebelum ini dari dalam Umno untuk Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas presiden Umno itu menghantar surat kepada pihak istana menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Minta jangan jadi paparazzi

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wee menjelaskan dia cuma ke lokasi berkenaan untuk menjamu selera dengan rakannya.
“Ini mengarut. Saya sedang menjamu selera (brunch), dimsum bersama dua rakan di restoran, pada jam 10 pagi semalam,” katanya.

Apabila ditanya sama ada dia ada bertemu dengan pemimpin lain dalam senarai tersebut, Wee berkata dia ada terserempak dengan Ismail Sabri yang sedang bersarapan berseorangan.

Katanya, dia hanya menegur ringkas Ismail Sabri dan beredar kerana enggan mengganggu bekas perdana menteri itu.

“Saya tak nampak orang lain pun. Macam mana saya nak tahu kalau dia ada perjumpaan ke tak?

“Kamu boleh periksa dengan pengurusan Tropicana, periksa CCTV? Tolonglah, ini privasi. Macam mana mereka boleh buat macam tu?” katanya.

Menyifatkan individu yang merakam gambar yang diambil sebagai “paparazzi”, Wee meminta supaya tindakan seumpamanya dihentikan.

“Saya tak terlibat dalam apa-apa pertemuan… saya di sana menikmati brunch saja,” katanya yang mengulangi dia tidak terlibat dengan mana-mana pertemuan yang dimaksudkan.

Sementara itu, Annuar turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan apabila ditanya mengenai perkara itu.

“Nak main golf kot,” jawabnya ringkas.

Tuesday, November 22, 2022

BN tak sokong mana-mana gabungan - Ismail Sabri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 22, 2022 2:10 PM
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Ahli parlimen Bera itu berkata Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk gabungan itu kekal sebagai pembangkang.

"Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

"BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun sosial medianya.

Presiden MIC SA Vigneswaran dan timbalannya M Saravanan turut memaklumkan perkara sama.

“Kami tidak memilih sesiapa (sama ada PH atau PN). BN sedia menjadi pembangkang,” kata mereka ketika ditemui di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

[Laporan penuh menyusul]

Ismail Sabri tak tandatangani SD sokong Muhyiddin atau Anwar

bharian.com.my
Oleh Suraya Ali
suraya.ali@bh.com.my
 - November 22, 2022 @ 10:55am
Datuk Seri Ismail Sabri melambai tangan kepada petugas media ketika tiba di pintu utama Istana Negara, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menandatangani surat akuan (SD) untuk menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Sumber yang rapat dengan Naib Presiden UMNO itu berkata, Perdana Menteri berpendapat adalah lebih baik Barisan Nasional (BN) berada di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

"Dalam tangkap layar perbualan yang tular semalam, ia menunjukkan Datuk Seri tidak mahu menyertai mana-mana gabungan, sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebelum ini, BH diberitahu nama Perdana Menteri tidak termasuk dalam senarai 20 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD untuk menyokong Muhyiddin.

Terdahulu, BH difahamkan, 30 Ahli Parlimen BN dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin daripada PH atau PN sebagai calon Perdana Menteri.

Mereka sebaliknya bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Sumber parti itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN dijadual menandatangani SD pagi ini bagi menzahirkan cadangan itu untuk dipersembah kepada Agong sebelum jam 2 petang ini.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 terarah kepada Anwar dan Muhyiddin. Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Kata sumber berkenaan, kesepakatan itu selepas BN tidak mempunyai jumlah Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan, namun sedar suasana politik tidak menentu juga memaksa fungsi sebuah kerajaan sementara diteruskan khususnya dalam menjamin kelancaran urusan Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

"BN tak boleh menawarkan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan membentuk kerajaan. BN parti yang kalah dan bilangannya kecil. Gabungan yang menang seharusnya berunding mencari jumlah sokongan dari parti lain untuk bentuk kerajaan," katanya.

Semalam, media melaporkan, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Ditanya sama ada ada tempoh masa ditetapkan dalam SD bagi meneruskan cadangan fungsi kerajaan sementara, sumber berkenaan memberitahu, ia seelok-eloknya sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Malam tadi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan BN tiada kuasa untuk menubuhkan kerajaan, sebaliknya mencadangkan supaya PN dan PH bergabung membentuk kerajaan selepas dua parti itu memperoleh bilangan Ahli Parlimen tertinggi.

"Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami bersedia menjadi pembangkang yg bertanggungjawab, 'check and balance' kerajaan baharu.

"Bagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka," kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Monday, November 21, 2022

Hinanya bekas Perdana Menteri Melayu akan jadi gundik DAP: Netizen

agendaily.com
21/11/2022
Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersenyum gembira bertemu deligasi Pakatan Harapan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Netizen mula menggunakan media sosial untuk menyerang pemimpin UMNO, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan tersebarnya beberapa keping gambar pemimpin parti itu mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan, termasuk DAP.

Sementara DAP telah lama menggunakan orang Melayu di dalam parti itu sendiri, termasuk AMANAH dan PKR, untuk menguasai bangsa Melayu, netizen kecewa pemimpin UMNO sanggup menjual agama, bangsa dan negara, sendiri.

Antara yang dikongsi netizen termasuk, kekecewaan mereka terhadap Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO yang mahu bersekongkol dengan PH dan sanggup menjadi ‘gundik’ DAP.

“Habis tu, Pak Mael (Ismail Sabri) dan konco-konco Pahang juga sekongkol dengan PH, juga mencerminkan betapa hinanya seorang bekas PM akan jadi gundik DAP,” tulis netizen. Bagaimanapun belum pasti BN akan bersekongkol dengan PH dan DAP di peringkat Pusat.

Selain itu, netizen juga berkata mereka kini sudah dapat melihat sendiri siapa pengkhianat bangsa, parti dan agama Islam.

Ada juga yang mendesak pemimpin UMNO berkorban demi agama dan bangsa bagi mengelak kaum lain merampas dan memerintah negara sekali lagi.

“xleh ke berkorban sikit demi agama dan bangsa serta tanah air kita. bangsa lain tengah merancang nak ambil negara kita,” katanya.

“Alhamdulilah, kita boleh tengok siapa pengkhianat bangsa, parti and agama sendiri.”

“Wajah-wajah pemimpin soleh UMNO menjelmakan wajah sebenar.”

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Ismail Sabri menafikan pertemuan dengan Pakatan Harapan, sedangkan gambar yang tersebar itu menunjukkan keadaan sebaliknya.

“Tidak ada pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Naib Presiden UMNO, itu ringkas selepas tamat sesi sidang media membabitkan 26 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Hotel Seri Pacific, di Kuala Lumpur, pagi ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu dilihat bercanggah apabila kehadiran beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada di lokasi sama sejak jam 10 pagi lagi.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, mereka juga belum menandatangani Akaun Bersumpah (SD) bagi memilih calon Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan persekutuan.

“SD tak ‘sign’ lagi. Tetamu (PH) datang sini, takkan tak layan. Kita borak-borak, salam-salam. Macam biasa.

“BN akan meminta penangguhan penyerahan SD kepada Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Sunday, November 20, 2022

'Gerakan Baju Merah' mahu Ahmad Zahid beri laluan kepada Ismail Sabri [METROTV]

hmetro.com.my
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
ARIFFIN berkumpul mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan. 
FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: 'Gerakan Baju Merah' mendesak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dan memberi laluan kepada Timbalannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui parti.

Aktivis dan Ketua Penerangan Baju Merah Ariffin Abu Bakar berkata, desakan itu dibuat kerana rasa sayangnya dan ahli gerakan terharap Umno serta Barisan Nasional (BN).

"Contohi Presiden lepas (Datuk Seri Najib Razak), undur secara terhormat. Cukuplah semalam (keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 - PRU-15) yang menyaksikan anak muda tolak secara terang-terang kerana tidak mahu lagi kluster mahkamah.

"Kami mahu kestabilan ekonomi juga negara, bukan individu yang mahu melepaskan tengkuk sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Terdahulu, Ariffin dan lebih 40 ahli gerakan bersama melaungkan 'Undur Zahid' bagi mendesak pemimpin nombor satu UMNO itu untuk melepaskan jawatannya.

Tambah Ariffin, ahli di peringkat akar umbi mahukan pemimpin yang tegas dan bersih.

Justeru, Ariffin menyifatkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin adalah individu yang layak diangkat menjadi Timbalan Presiden sekali gus bersama Ismail Sabri untuk menerajui pucuk pimpinan parti.

"Kami kesal KJ (Khairy Jamaluddin) diletakkan di sarang PH (Pakatan Harapan).

"Bagaimanapun, saya puji beliau kerana kalah bergaya dengan majoriti tipis. Minta KJ jangan undur diri. Kami harap Ismail presiden dan KJ timbalannya," katanya.
Disiarkan pada: November 20, 2022

Saturday, November 19, 2022

'BN mampu bentuk kerajaan malam ini' - Ismail Sabri

bharian.com.my
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
 - November 19, 2022 @ 11:39am
Ismail Sabri bersama dengan isterinya mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong hari ini

BERA: Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan baharu malam ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, walaupun mampu membentuk kerajaan sendiri, kerjasama akan diteruskan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

"Saya harap sebab sasaran kita boleh lepasi 112, kita boleh bentuk kerajaan. Kalau sudah dapat majoriti mudah kita akan bentuk kerajaan.

"Jika sudah boleh dapat 112 kerusi untuk bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kita akan bentuk kerajaan malam ini," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di SMK Bandar Kerayong jam 9.20 pagi.

Ismail Sabri dan isteri selesai menunaikan tanggung jawab sejam kemudian selepas beratur selama satu jam bersama pengundi lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sama ada kerajaan BN dapat dibentuk bersendirian atau perlu gabungan parti lain, selain GPS dan GRS hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti.

"BN tidak akan meninggalkan parti GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan," katanya.

Friday, November 18, 2022

PH mendahului - Merdeka Center

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 18, 2022 10:25 PM
PRU15 | Tinjauan bebas yang dijalankan oleh Merdeka Center mengunjurkan bahawa PH akan menang 82 kerusi parlimen esok.

Bagaimanapun, unjuran berkenaan tidak mengambil kira 45 kerusi parlimen yang dianggap sengit.

Setakat ini, badan itu meramalkan PN menduduki tempat kedua dengan memperoleh 43 kerusi parlimen diikuti Gabungan Parti Sarawak (24 kerusi).

BN diramalkan hanya menang 15 kerusi parlimen.

"Dalam tempoh berkempen yang berikutnya, kita perhatikan terdapat pergerakan pengundi Melayu yang ketara kepada Perikatan Nasional dan sedikit sebanyak, PH. Perkembangan ini telah mengorbankan BN.

“Sebahagian besar pengundi bukan Melayu kekal menyokong PH,” kata badan itu.

Antara 16 Nov dan 18 Nov, Merdeka Center mendapati responden kebanyakannya menyokong PH (33.6 peratus), diikuti PN (20.3 peratus) dan BN (15.4 peratus).

"Kami ambil perhatian bahawa sebanyak 29 peratus pengundi enggan mendedahkan pilihan mereka. Berdasarkan pengalaman, kami fikir kemungkinan besar kebanyakan jawapan yang tidak didedahkan ini berkemungkinan memilih parti pembangkang," kata Merdeka Center.

Badan itu menganggarkan pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, mereka yang enggan mendedahkan jawapan kebanyakannya mengundi PN (55 peratus), diikuti BN (30 peratus) dan PH (15 peratus).

Tinjauan tersebut dijalankan antara 3 Nov dan 18 Nov. Ia melibatkan 5,497 pengundi Malaysia berumur 18 tahun ke atas dari Semenanjung Malaysia sahaja.

Responden dipilih berdasarkan persampelan rawak berstrata melibatkan pengundi daripada 165 kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia.

Unjuran untuk Sabah dan Sarawak diekstrapolasi daripada tinjauan yang lepas, keputusan pilihan raya negeri dan penyelidikan kualitatif di kedua-dua negeri.

Unjuran Merdeka Center tidak termasuk Padang Serai berikutan pengudian di kerusi parlimen tersebut telah ditangguhkan.

Badan itu menyatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah pilihan utama sebagai perdana menteri dalam kalangan 32.6 peratus responden, diikuti Muhyiddin Yassin (25.5 peratus) dan Ismail Sabri Yaakob (16.6 peratus).

Bagaimanapun, Anwar adalah pilihan yang paling tidak disukai dalam kalangan pengundi Melayu, yang kebanyakannya cenderung menyokong Muhyiddin.

Tinjauan itu juga mendapati 77 peratus responden menyatakan mereka akan mengundi, tanpa banyak perbezaan yang ketara dalam kalangan kumpulan etnik utama.

"Walaupun mungkin terdapat margin kesilapan tertentu dalam angka-angka ini, trend keseluruhan menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam pilihan raya dan semakin meningkat niat untuk keluar mengundi," kata Merdeka Center.

Mampukah Anwar kekal mendahului?

malaysiakini.com
Reuters
Diterbitkan: Nov 18, 2022 1:42 PM
Anwar Ibrahim memperhebatkan kempennya minggu ini untuk menjadi perdana menteri Malaysia, didorong dengan tinjauan pendapat umum yang meletakkan ketua pembangkang veteran itu di hadapan dalam pertandingan yang sengit.

Pilihan raya umum esok adalah yang paling sengit sejak negara di Asia Tenggara itu merdeka pada 1957, dengan tinjauan pendapat menjangkakan Parlimen akan tergantung dengan tiada parti atau gabungan mendapat majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Gabungan yang diketuai oleh Anwar - yang dalam tempoh 25 tahun bertukar daripada pemimpin negara paling lama berkhidmat menjadi seorang banduan yang disabitkan kesalahan liwat kepada tokoh pembangkang utama negara - dijangka memenangi kerusi terbanyak tetapi gagal mencapai majoriti, menurut tinjauan dan penganalisis.
Pakatan saingannya, termasuk yang diterajui oleh Ismail Sabri Yaakob dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, boleh bergabung untuk meraih jumlah kerusi yang diperlukan dan menafikan Anwar daripada jawatan tertinggi itu.

Bagi pengundi, isu utama ialah prospek ekonomi, dengan pertumbuhan dijangka perlahan dan inflasi yang meningkat.

Ramai rakyat Malaysia juga kecewa dengan ketidakstabilan politik baru-baru ini yang menurut mereka telah mengalihkan tumpuan ahli politik daripada membangunkan ekonomi.

Gabungan Pakatan Harapan yang diterajui Anwar diramal memperoleh undi terbesar pada 35 peratus, menurut tinjauan oleh firma penyelidikan British YouGov pada Rabu lalu.
Selain itu, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin pula berada di landasan untuk mendapatkan 20 peratus dan BN pula pada 17 peratus.

Ismail Sabri dan Muhyiddin adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah sebelum parlimen dibubarkan tetapi bertanding pada pilihan raya ini secara berasingan.

Anwar, bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri, hadir di kempen dan perhimpunan besar dengan berikrar untuk mewujudkan kestabilan politik, memulihkan perpecahan antara Melayu majoriti Islam dan kumpulan etnik lain, serta memulihkan ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan.

"Pilihan raya ini bukan tentang menukar perdana menteri," kata Anwar dalam ucapannya pada Khamis.
"Pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melakukan perubahan besar demi memulihkan negara tercinta ini."

Anwar mengetuai gabungan pelbagai etnik, manakala BN dan PN diketuai oleh parti yang mengutamakan kepentingan orang Melayu.

Kaum dan agama merupakan isu yang memecahbelahkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan etnik Cina dan India membentuk kira-kira 30 peratus daripada pengundi.

Gabungan Anwar boleh dikalahkan jika blok lain berganding bahu menentangnya, kata penganalisis, dengan pakatan parti-parti politik lebih kecil di Sabah dan Sarawak di pulau Borneo berpotensi memainkan peranan sebagai penentu.

Dalam temu bual dengan Reuters bulan ini, Anwar menolak bekerjasama dengan gabungan Ismail Sabri dan Muhyiddin, memetik "perbezaan dasar" berhubung kaum dan agama.
Sekiranya Parlimen tergantung, Harapan mempunyai kelebihan dalam menarik sekutu, kerana perpecahan dan perbalahan menjadikan dua gabungan utama yang lain "secara semula jadi tidak stabil", kata Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia.

Tetapi dia berkata banyak kerusi lagi masih terlalu awal untuk diramalkan, kerana 15 peratus hingga 30 peratus daripada pengundi masih belum membuat keputusan, kata Welsh dan tinjauan oleh firma pendapat bebas, Merdeka Center.

Lebih dua dekad lalu Anwar sebagai tokoh pembangkang telah dipenjarakan sembilan tahun penjara kerana meliwat dan rasuah, tuduhan yang menurutnya bermotifkan politik.

Dia dibebaskan dari penjara pada 2018 selepas berganding bahu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga adalah mentor dan seteru lamanya, untuk mengalahkan BN buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ketika kemarahan orang ramai memuncak terhadap kerajaan berhubung skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion duit negara lesap.
Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018 pada usia 92 tahun, berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun, tetapi gabungan itu tumbang dalam tempoh 22 bulan kerana perbalahan mengenai peralihan.

Muhyiddin menjadi perdana menteri seketika tetapi pentadbirannya runtuh tahun lalu, membuka jalan untuk BN kembali berkuasa dengan Ismail Sabri pula memegang tampuk pemerintahan negara.

Reuters

BN dijangka menang PRU15, Ismail mungkin jadi PM lagi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 18, 2022 1:07 PM
Ismail Sabri Yaakob mungkin diminta berundur sebagai perdana menteri untuk memberi laluan kepada Ahmad Zahid Hamidi jika tuduhan terhadap presiden Umno itu digugurkan, kata EIU. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bahagian penyelidikan dan analisis Economist Group di UK meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang pada pilihan raya umum kali ini (PRU15), tetapi masih belum dapat dilihat sama ada Ismail Sabri Yaakob akan berkhidmat sepenggal penuh sebagai perdana menteri.

Menurut Unit Perisikan Ekonomi (EIU), walaupun BN akan membentuk kerajaan, ia tidak akan memenangi cukup kerusi untuk majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“EIU menjangkakan Ismail akan dilantik semula sebagai perdana menteri. Bagaimanapun, keupayaannya untuk berkhidmat selama lima tahun penuh masih belum terjamin,” kata pakar ekonomi utama EIU, Fung Siu dalam kenyataan.

Fung berkata, Ismail akan diminta berundur untuk memberi laluan kepada Ahmad Zahid Hamidi jika tuduhan terhadap presiden Umno itu digugurkan.

Zahid, yang juga pengerusi BN, sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Perbicaraan beliau ditetapkan untuk disambung semula pada Januari.

Fung juga berkata, penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun menerusi inisiatif Undi18 mungkin tidak mengubah corak pengundian meluas.

Pengundi akan kembali kepada keutamaan berasaskan kaum, tambahnya.

“Ini berkemungkinan akan mendorong pembentukan kerajaan campuran lain yang terdiri daripada BN dan parti-parti kecil yang majmuk,” katanya.

Inisiatif Undi18, bersama pendaftaran pengundi secara automatik, dianggarkan menambah 6.23 juta pengundi baharu untuk PRU15.

Wednesday, November 16, 2022

Muhyiddin calon popular jadi PM: Tinjauan awam antarabangsa

agendaily.com
16/11/2022
"Kalau yang di bawah boleh, kenapa saya tak boleh," kata Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan ceramahnya di Gombak baru-baru ini walaupun dalam hujan.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menduduki tempat pertama dalam tinjauan pendapat bagi jawatan Perdana Menteri kesepuluh, menurut tinjauan sebuah firma awam antarabangsa YouGov.

Manakala, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH) pula berada pada kedudukan kedua, dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di tempat ketiga.

Firma pendapat awam global YouGov meletakkan Muhyiddin calon PM paling popular dalam kalangan saingan lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjelang lebih 21 juta rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada Sabtu, 19 November ini.

Tinjauan terbaru YouGov itu berkata, Muhyiddin, yang mengetuai kerajaan Malaysia ketika kemuncak pandemik Covid-19 memperoleh ‘penerimaan terbaik’ dalam kalangan satu pertiga atau 33 peratus pengundi, berbanding tiga pemimpin gabungan lain yang bersaing untuk jawatan itu.

Sementara itu, Anwar berada di tempat kedua, dengan 29 peratus penerimaan.

Ismail Sabri pula berada di tempat ketiga dengan 22 peratus responden memberikan pandangan positif terhadap beliau, menurut MalaysiaNow.

Sementara itu, pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menolak kemungkinan kembali menjadi PM buat kali ketiga, menduduki tempat terakhir dengan 14 peratus.

Populariti ahli politik veteran itu didapati lebih rendah berbanding Abdul Hadi Awang, walaupun Presiden PAS yang bersekutu dengan Muhyiddin tidak menyatakan minat untuk menduduki jawatan tersebut.

Dapatan YouGov itu dilihat senada dengan tinjaun serupa dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana ia mendapati Muhyiddin adalah tokoh paling dipercayai, diikuti Anwar di tempat kedua.

Muhyiddin berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama kira-kira 17 bulan, sebelum beliau terpaksa berundur pada Ogos 2021 selepas mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin UMNO yang bersekutu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-