Thursday, November 24, 2022

HARI 5 | Anwar PM10, angkat sumpah 5 petang ini

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Nov 24, 2022 9:43 AM
HARI 5 | Usaha menentukan perdana menteri yang kesepuluh diteruskan dengan Istana Negara mahu parti-parti politik menubuhkan kerajaan perpaduan.

Malaysiakini membawakan berita terkini secara langsung selepas pilihan raya umum.

1.43pm: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik angota parlimen Tambun Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan dibuat selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan raja-raja Melayu dalam perbincangan khas sebentar tadi.

lstiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sebagai perdana menteri akan berlangsung pada jam lima petang ini di lstana Negara.

1pm: Majlis Raja-raja Melayu selesai bersidang.

Kecuali Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu masing-masing berangkat pulang.


Difahamkan keputusan berkaitan siapa bakal perdana menteri sudah dibuat dan kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

PN pertimbang kerajaan perpaduan dengan ‘parti sehaluan’

12.58pm: Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan, kata Hamzah Zainudin.
Hamzah Zainudin
Setiausaha agung PN itu berkata ia demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Dia berkata demikian dalam kenyataan ringkas dua perenggan sebentar tadi, susulan keputusan mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN pada hari ini.

Sultan Johor, Yang Dipertuan Besar N Sembilan tinggalkan Istana Negara

12.30 tengah hari: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir meninggalkan Istana Negara pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Namun, Raja-raja Melayu lain masih berada di Istana Negara.

Tidak jelas sama ada perbincangan Khas Raja-Raja Melayu sudah selesai, berhenti rehat atau Sultan Ibrahim dan Tuanku Muhriz pulang lebih awal.

‘Lawan tetap lawan’ - Ahli Umno berhimpun sokong Zahid

12.15 tengah hari: Kira-kira 50 ahli Umno mengadakan himpunan di depan ibu pejabat parti itu bagi menyuarakan sokongan kepada presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Himpunan itu sebagai reaksi kepada desakan dari parti komponen BN agar dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN.

Jurucakap kumpulan itu, Ramalan Yunus menepis pandangan bahawa BN kalah dalam PRU15, dan menekankan bahawa Umno masih memerlukan Zahid.

Dia juga menggesa orang ramai menyokong nasihat Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan perpaduan ditubuhkan.

GRS akur apa saja titah Agong untuk wujudkan kerajaan perpaduan

12 tengah hari: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akur kepada apa saja keputusan dan nasihat Yang Di-Pertuan Agong bagi mewujudkan kerajaan perpaduan, kata Hajiji Noor.

Gabungan ini menang enam kerusi Parlimen dalam PRU lalu.

Pengerusi gabungan itu berkata langkah itu demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

“GRS berpendirian bahawa penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif dan melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

“Untuk memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji juga berkata pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.
Hajiji dan Abang Johari

Lim juga mohon maaf kepada Sarawak

11.50 pagi: Pengerusi DAP Lim Guan Eng memohon maaf atas kenyataannya yang mungkin pernah menyinggung perasaan Premier Sarawak, Abang Johari Openg dan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia menyusuli permohonan maaf Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang disampaikan kepada Abang Johari dalam pertemuan mereka di Kuching, pagi ini.

"Saya mohon maaf atas kenyataan saya yang mungkin telah menyinggung perasaan premier Sarawak dan kerajaan negeri pimpinan GPS.

"Masa depan negara lebih penting. Marilah kita membuat permulaan baru untuk bekerjasama demi mengekalkan kepelbagaian, keterangkuman dan kesatuan masyarakat berbilang agama dan budaya kita, serta melindungi Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan.

Pada 2019, Lim ketika menjadi menteri kewangan berkata Sarawak akan bangkrap dalam masa tiga tahun jika GPS kekal mentadbir negeri itu.

Baca berita penuh di sini.

Hampir semua Raja-raja Melayu tiba di Istana Negara

11.30 pagi: Lapan dari sembilan Raja-raja Melayu telah tiba di Istana Negara - kecuali Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Tidak jelas sama ada Sultan Muhammad V akan menyertai mesyuarat hari ini atau tidak.

'Keputusan Umno petanda jelas kerajaan baru akan ditubuh'

11.25 pagi: Bekas pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam untuk menyokong kerajaan perpaduan yang tidak diketuai PN, adalah petanda paling jelas setakat ini berhubung penubuhan kerajaan baru.

"Ia satu petanda yang kita (PH) boleh bekerja dengan mana-mana parti kecuali PN," katanya kepada pemberita ketika tiba di pejabat Anwar Ibrahim di Bukit Gasing.

"Hari ini, saya hanya jumpa kawan-kawan untuk tindakan seterusnya," katanya lagi.

Di perkarangan pejabat Anwar, semakin ramai pemberita mula berkumpul untuk menunggu perkembangan terbaru isu pelantikan perdana menteri baru.

Makanan ringan turut disediakan untuk mereka.

Polis tahan presiden Parti Bumi Kenyalang

11.15 pagi: Polis telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan dan tiga individu lagi yang mengadakan bantahan terhadap PAS, di Sarawak malam tadi.

Menurut Dayak Daily, polis menahan empat individu itu malam tadi.

Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman pagi ini.

Menurut laporan itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan atas kesalahan "menyubahati kesalahan dilakukan oleh orang awam, atau oleh seramai lebih 10 orang".

Mereka didakwa telibat dalam himpunan yang antara lain membawa sepanduk 'Say No To PAS'.

DAP mohon maaf kepada k'jaan, rakyat Sarawak

10.50 pagi: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg di Kuching.

Dalam pertemuan itu, Loke berkata DAP memohon maaf kepada Abang Johari di atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan penduduk Sarawak.

"Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.

"Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi Malaysia yang lebih maju dan progresif," kata Loke dalam kenyataan.
Pertemuan turut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian.

DAP dilihat menghulurkan 'salam perdamaian' kepada GPS ketika spekulasi mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.

Parti itu sering kali dilihat sebagai penghalang utama untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan PH.

Pelbagai pihak juga berharap GPS akan menyokong kerajaan perpaduan pimpinan PH, selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Baca berita penuh di sini.

‘Sabar saudara KJ’ - Zahid

10.30 pagi: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menasihati Khairy Jamaluddin untuk menunggu pemilihan parti yang akan diadakan tak lama lagi.

Ia berikutan kritikan Khairy terhadap Ahmad Zahid berkaitan rundingan untuk menubuhkan kerajaan baru yang sedang berjalan.

"Jawatan dalam parti sesiapa pun boleh bertanding nanti.

"Sabar saudara KJ," kata Zahid ketika membalas hantaran Khairy semalam.

Dalam hantaran itu, Khairy berkata Zahid tiada autoriti moral untuk terlibat dan malah membuat keputusan berhubung rundingan pembentukan kerajaan baru.

Ketika kempen PRU15, Khairy ada menyatakan hasratnya untuk memimpin Umno di masa akan datang.

Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara

10 pagi: Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara untuk mesyuarat Majlis Raja-raja pada pagi ini.

Malay Mail melaporkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba paling awal, iaitu pada kira-kira jam 9.40 pagi.

Selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik, Yang di-Pertuan Agong memanggil mesyuarat itu bagi mendapatkan pandangan berhubung pelantikan perdana menteri kesepuluh.
Hadi: Kita masih di hadapan

9 pagi: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa PN "masih di hadapan".

"Kekal tenang. Kita sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

"Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara," katanya di Facebook hari ini.

Dua hari lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata dia ada sokongan 115 ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Dia juga berkata PN tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong agar gabungan itu menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PH.
Dewan Perhimpunan Penyokong PAS: PN gabungan pelbagai kaum

8.45 pagi: Ketua Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam berkata PN mendukung aspirasi kepelbagaian kaum dan ia terbukti apabila ramai calon bukan Melayu dan bukan Islam dieltakkan dalam PRU15, dari Bersatu, Gerakan, Parti Maju Sabah (Sapp) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
"Ini membuktikan bahawa PN bukanlah sebuah pakatan politik yang mementingkan kaum tertentu sahaja seperti yang cuba digambarkan oleh pihak-pihak tertentu.

"DHPP menggesa supaya semua pihak memainkan peranan untuk membina perpaduan, bukan mengambil peluang membina jurang dan akhirnya meruntuhkan perpaduan yang telah kita kecapi selama ini," katanya di Facebook.
Sementara itu, The Vibes melaporkan Biskop Kuching, Rev Danald Jute menyuarakan harapan agar GPS tidak menubuhkan kerajaan dengan PN.

"Pendirian saya, ekstremis tidak boleh dibenarkan - apatah lagi digalakkan dan disokong - untuk menormalkan kebencian mereka terhadap kaum dan penganut agama lain.

"Kita tak boleh benarkan ahli politik terus memisahkan kita kerana keharmonian tidak datang secara natural," katanya seperti dipetik.
Pemimpin tertinggi BN bertemu hari ini?

8.30 pagi: Pada masa ini, belum dipastikan jam berapa Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat, kalau pun mesyuarat itu memang akan diadakan.

Semalam, tiga pemimpin BN mendesak Ahma Zahid Hamidi agar letak jawatan sebagai pengerusi gabungan itu.

Apa yang dipastikan setakat ini adalah Majlis Raja-raja akan bermesyuarat pada jam 10.30 pagi.

Media juga tidak lagi berkumpul di luar rumah Pengerusi PH Anwar Ibrahim di Kajang, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-