Friday, November 11, 2022

Manifesto tidak berguna jika pilihan raya lahirkan pemimpin korup

malaysiakini.com
Ismail Hashim Yahaya
Diterbitkan: Nov 11, 2022 8:00 AM
Apakah makna atau erti mengadakan pilihan raya? Jawapan parti-parti politik mengadakan pilihan raya sekarang adalah untuk mengembalikan mandat rakyat.

Jawapan klise yang selalu diberikan parti-parti politik ialah mandat rakyat. Rakyat yang mengundi memilih parti atau kumpulan atau individu mana yang akan mewakili mereka.

Manifesto walau bagaimana indah, bernas dan cantik dalam perkataan dan kata-kata, janji dan wacanannya, apabila pemimpin yang khianat dan korup menang dalam pilihan raya, manifesto tidak akan bernilali satu sen pun walaupun ia adalah suatu keperluan dalam proses pilihan raya.

Bahkan jika manifesto kepimpinan korup ingin ditunaikan, kartel atau kroni politik yang akan mendapat tendernya dan memonopolinya.

Pengalaman PRU-14 sudah menunjukkan apabila berhadapan dengan pengkhianatan dan langkah Sheraton dengan manifesto sudah ‘kelaut’ atau menjadi keruan.

Hakikatnya pilihan raya adalah menentukan barisan kepimpinan dan pemimpin dan tanggungjawab mereka dalam menentukan masa depan, kemajuan dan pembangunan negara.

Semua manifesto, dasar dan pembangunan negara, hak rakyat, pembaikan sistem ekonomi-sosial rakyat adalah penting tetapi menjadi sia-sia dan tidak berguna sekiranya pilihan raya gagal melahirkan barisan pemimpin berterampilan, jujur, amanah dan cekap.

Jika urus tadbir tidak jalankan dengan penuh komitmen dan seluruh sistem pentadbiran disarati dengan barisan kepimpinan yang rasuah dan tidak bermoral tidak ada-apapun yang akan membawa manfaat untuk rakyat.

Jika selepas pilihan raya barisan kepimpinan dan pemimpin kebanyakannya adalah pencuri dan perompak politik maka yang memenuhi kehidupan mereka dalam berhadapan dengan rakyat akan sentiasa disaluti dengan pembohongan, sandiwara dan kemunafikan.

Mengapakah mereka yang mengatakan pembela Melayu tetapi masih ramai orang Melayu yang terus miskin, melarat dan keterbelakang dalam ekonomi dan moral? Apa mereka yang bela sebenarnya?

Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4 peratus pada 2020 berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada 2019. Apa yang kerajaan lakukan bagi mengatasi situasi ini, adakah diam membisu sahaja?

Mengapa banyak kes rasuah dalam kalangan pemimpin dan barisan kepimpinan kita?

Ini menunjukkan pilihan raya telah gagal melahirkan kepimpinan yang jujur dan amanah.

Sebagai pengundi tentukan barisan kepimpinan dan pemimpin yang akan memandu negara kita ke arah pro rakyat bukannya pro parti, kelompok atau kroni tertentu dan bebas rasuah.

Jika tidak pilihan raya yang diadakan adalah pilihan raya yang gagal. Jika rakyat terus memilih pemimpin dan barisan kepimpinan yang rasuah dan tidak bermoral ia akan membawa kehancuran kepada negara dan kesengsaraan kepada rakyat.

Saya ingin memetik pesanan Imam Abdul Rahman Al-Kawakibi tentang ketakutan pemimpin korup.

“Sepertimana pemimpin korup sangat takutkan rakyatnya apabila berpengetahuan kerana akhirnya rakyat yang berpengetahuan akan mengetahui hak-hak mereka yang sepatutnya si pemimpin lunaskan.”

Pilihan raya kali ini adalah sangat kritikal dalam menentukan masa depan negara ini.

Penulis adalah pensyarah di Universiti Selangor (Unisel). Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi MalaysiaKini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-