Sunday, December 4, 2022

Bukankah Rafizi sendiri menentang PM jadi menteri kewangan sebelum ini?

agendaily.com
4/12/2022
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
- Foto Agenda Daily Hiekal Rosly.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang dibentuk membelakangi janji yang pernah dibuat sebelum ini kepada rakyat dan melanggar prinsip perjuangan mereka sendiri.

Malahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini yang bersungguh-sungguh menentang pelantikan seseorang Perdana Menteri (PM) memegang jawatan Menteri Kewangan tetapi kini boleh pula membuat pusingan U dan menyokong bossnya dilantik bagi jawatan tersebut, kata Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin.

“Pada 16 September 2015, Timbalan Presiden PKR, saudara Rafizi (Ramli) menulis di Facebook bahawa beliau telah memfailkan satu rang undang-undang (RUU) persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

“Selain itu di bawah janji 12 dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook.

Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan juga dibimbangi menyebabkan selepas ini tiada lagi peranan semak dan imbang dalam kerajaan, kata Radzi lagi.

“Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, maka tiada lagi fungsi semak dan imbang.

“Tindakan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan adalah satu tindakan yang amat terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara,” katanya Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu itu.

Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berpendapat, perkara paling asas dalam sesebuah negara adalah mempunyai satu sistem tata kelola yang mantap dan kukuh.

Atas faktor itu, beliau menegaskan pendekatan itu bukan sahaja dapat melindungi bahkan memastikan wang kerajaan digunakan secara keseluruhan dengan cekap.

“Sebaliknya perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang telah elok dibentuk sebelum ini bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.

“Di mana reformasi yang sentiasa dilaungkan? Adakah reformasi hanya slogan bila jadi pembangkang?” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-