Sunday, December 4, 2022

ULASAN | Liku-liku Anwar Ibrahim

malaysiakini.com
Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri
Diterbitkan: Dec 4, 2022 11:12 AM
ULASAN | Pada tahun 2020, saya telah menulis beberapa pandangan mengenai masa hadapan Anwar Ibrahim dan bagaimana Anwar boleh menjadi Perdana Menteri, salah satunya di pautan ini.

Ia bukan suatu perkara yang mudah, sebagai orang kerajaan ketika itu, bukan sesuatu yang mudah untuk menulis berkaitan Anwar.

Nampaknya ramalan saya tidak jauh tersasar, bahawa Anwar boleh menjadi perdana menteri dengan bantuan Umno jua walaupun ramai tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Namun begitu, rakyat Malaysia khususnya generasi muda tidak ramai tahu liku-liku kehidupan Anwar khususnya dalam politik.

Contohnya, generasi baru tidak ramai tahu kehidupan Anwar di Universiti Malaya (1970an) memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu di jalanan Kuala Lumpur ketika itu.

Begitu juga kejayaan Anwar membuka mata kerajaan terhadap kemiskinan di Baling pada awal tahun 1970an dengan menganjurkan demonstrasi besar-besaran.

Ketika menjadi presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Anwar dipilih sebagai satu-satunya pemimpin belia yang mendapat kepercayaan oleh kerabat Raja Saudi dalam mengembangkan syiar Islam di Malaysia melalui pertubuhan antarabangsa seperti The International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan pelbagai pertubuhan Islam berpusat di Arab Saudi di mana Anwar turut dilantik sebagai pengemudi.

Rangkaian kepimpinan Islam inilah yang menguatkan hubungan Anwar dengan dunia Arab khususnya di Turki, Arab Saudi dan negara-negara Islam Afrika.

Sebab itulah kemasukan Anwar ke dalam Umno pada tahun 1981 telah mengubah perkembangan Islam di Malaysia daripada pendidikan sekular kepada pendidikan Islamik melalui ABIM, Tadika ABIM, malah Yayasan ANDA turut mempunyai cawangan di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 1980an.

Bawa panji islah

Pemakaian Islamik menutup aurat di kalangan wanita Islam di Malaysia mula berkembang apabila Anwar membawa imej Islamik itu dalam perjuangannya dan kerajaan.

Islam tidak pernah mati dalam jiwa Anwar, misalnya pada tahun 2010 di Komunitas Salihara, Anwar berkata ”Saya bangga sebagai seorang Muslim dan saya komited dengan prinsip Islam. Tetapi saya berbeza pendapat besar, bahkan saya berbeza dengan kalangan yang menjadikan Islam itu sebagai faktor penghalang”.

Dari segi politik, Anwar memilih Umno pada tahun 1981 kerana beliau percaya boleh mengislahkan Umno sebuah parti besar ketika itu kepada perjuangan yang lebih baik. Dengan perubahan semasa dan gandingan Anwar-Zahid, adakah suatu masa kelak Anwar akan kembali memimpin Umno?

Koleksi ucapan Anwar bertajuk ‘Menangani Perubahan’ (1989) tidak pernah berubah. Selama lebih 30 tahun Anwar membawa panji-panji perubahan atau Islah atau lebih popular ‘reformasi’.

Ia juga selari dengan perjuangan rakan-rakan ilmuan Anwar dalam Institut Kajian Dasar (IKD), UNISEL dengan membawa ketibaan makna yang lebih besar dalam kehidupan bernegara secara sistematik.

Contohnya, istilah ‘patriotik’ diangkat martabat kepada istilah ‘nasion’. Orang biasa bercakap mengenai kebudayaan tetapi Anwar bercakap perihal ketamadunan. Orang bercakap istilah ‘pelajaran’ tetapi Anwar memperkenalkan istilah ‘pendidikan’.

Ramai orang bergaduh pasal bahasa Melayu tetapi Anwar berani menggunakan bahasa Malaysia.

Anwar seorang manusia yang kuat membaca, usah dirisaukan hal perbandingan agama kerana Anwar sudah membaca Bhagavad Gita, Mahabharata, karya-karya Shakespeare malah beberapa terjemahan bible.
Akrab dengan pemimpin dunia
Di peringkat antarabangsa pula, Anwar dan Indonesia tidak boleh dipisahkan. Ianya bukan baharu, kerana Anwar sudah bersama-sama dengan pemimpin belia Indonesia sejak tahun 1970an lagi.

Malah dalam lawatan keluarga minggu lalu di Jakarta, Jusuf Kalla kelihatan sangat gembira Anwar akhirnya menjadi perdana menteri setelah diusahakannya semasa era rekonsiliasi hampir 10 tahun dahulu.

Mari kita sebut beberapa nama besar yang sangat akrab dengan Anwar dalam bidang masing-masing antaranya Sheikh Taha Jabair Al-Alwani dan Dr. Jamal Barzanji (IIIT), Gareth Evans (ICG), Dr. Otto Graf Lambsdoff (FNF), Carl Gershman (NED), Lorne Craner (IRI), Andrew Natsios (USAID) tidak termasuk tokok-tokoh negara jiran seperti Jusuf Kalla, almarhum B.J. Habibie dan Gusdur.

Anwar dan ilmu pengetahuan tidak pernah berpisah. Selepas rawatan di Munich (2005), Anwar berhijrah ke London menjadi pensyarah di Saints Anthony’s College, Oxford.

Di London, Anwar berkesempatan bertukar-tukar pandangan dengan tokoh-tokoh besar politik dan kerajaan seperti Al-Gore, Desmond Tutu dan Mary Robinson.

Ketika itu juga, International Crisis Group (ICG) melantik Anwar sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (2006). Malah dalam satu kumpulan elit pelabur dunia Anwar turut dilantik sebagai Presiden Accountability suatu rangkaian pelaburan antarabangsa dalam Generation Investment Management Group (GIMG).

Maka saya optimis, isu-isu pelaburan dan perdagangan antarabangsa Malaysia dengan bisnes antarabangsa akan lebih menguntungkan rakyat dan negara Malaysia.

Kita perlu beri masa kepada Anwar dan pasukan kabinetnya, usah terlalu prejudis.

Beri masa

Saya fikir sudah sampai masa kita menumpukan tenaga dan fikiran merealisasikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat, berbanding politiking tanpa henti yang menyesakkan nafas.

Berikan masa kepada Anwar melaksanakan Islah dalam kerajaan dan negara.

Tidak ada yang perlu dirisaukan kerana dunia sudah berubah, rakyat semakin matang, maklumat di hujung jari. Tidak ada lagi yang boleh mengangkat dagu melepasi ketinggian kerana Dr Mahathir Mohamad yang begitu berjasa dalam pembangunan negara, menjadi perdana menteri dua kali pun, akhirnya tumbang di tangan rakyat jua.

Tahniah Anwar.

DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang politik dan kerajaan, dan mempunyai minat yang mendalam kepada proses pembinaan nasion bangsa Malaysia, patriotism, keselamatan negara dan pemerkasaan komuniti.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-