Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bh.com.my
- Disember 26, 2022 @ 10:01am
Bahagian yang menempatkan bekalan telur ayam kosong di sebuah pasar raya di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan.
- Foto NSTP/Ainal Marhaton Abd Ghani
KUANTAN: Bekalan telur ayam yang masih tidak menentu merunsingkan orang ramai walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan mentah itu mencukupi di seluruh negara.
Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar Sungai Lembing, Indera Mahkota, KotaSAS, Balok, Sungai Soi dan Batu 6 mendapati telur ayam masih sukar diperoleh.
Kebanyakan pasar raya menjual telur ayam jenis Omega 30 biji pada harga antara RM17.90 hingga RM20, manakala saiz telur, A, B, C dan D dijual dalam pek 10 biji.
Pengguna yang ditemui mempersoalkan kerajaan yang kerap membuat kenyataan bekalan telur ayam mencukupi malah menasihatkan rakyat tidak membuat pembelian panik.
Peniaga, Mohd Sukhri Mat Yaki, 38, berkata kenyataan kerajaan seperti bercanggah dengan situasi semasa.
"Apabila kerajaan kata telur cukup, bermakna masalah bekalan sepatutnya sudah selesai tetapi perkara sebaliknya terus berlaku.
"Pengguna terutama peniaga kecil seperti kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan malah terpaksa 'meniti' kedai ke kedai untuk mendapatkannya," katanya ketika ditemui di Balok dekat sini, hari ini.
Suri rumah, Siti Noor Hasmah Tahir, 40, berkata penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak tiga bulan lalu.
Katanya, ada peniaga kedai runcit hanya menjual 10 biji kepada pelanggan untuk berlaku adil.
"Kami hairan kerajaan kata bekalan telur mencukupi, tetapi peniaga kata stok tak banyak.
"Memang susah untuk mendapatkan telur 30 biji sepapan di sini," katanya yang menetap di Sungai Lembing.
Peniaga kedai runcit Pasar Besar Kuantan, G Padmi, 64, pula berkata jika sebelum krisis bekalan telur ayam berlaku lebih tiga bulan lalu, dia memperoleh 70 sarang daripada pembekal tetapi kini hanya 10 atau 20 sarang sahaja setiap kali penghantaran.
"Turun sahaja daripada lori, pembeli sudah tunggu. Dalam tempoh satu atau dua jam, telur dah habis terjual.
"Pembekal pula hanya datang dua kali seminggu dan bekalan telur diagihkan berdasarkan permintaan peniaga. Memang tidak mencukupi," katanya yang sudah berniaga hampir 40 tahun.
Jumaat lalu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Datuk Mark Ujin, dilaporkan berkata bekalan telur ayam di Pahang masih mencukupi dan bekalan akan sampai mengikut jadual.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.