Showing posts with label KPDN. Show all posts
Showing posts with label KPDN. Show all posts

Thursday, March 14, 2024

KPDN akan terus pantau jualan kurma dari Israel - Armizan

malaysiakini.com
Zarrah Morden & Shamz Johan & Isabelle Leong
Diterbitkan: Mar 14, 2024 11:46 AM
PARLIMEN | Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata kementerian itu akan terus memantau penjualan kurma dari Israel di pasaran tempatan.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid (PN-Bersatu) di Dewan Rakyat hari ini.

"Kita akan terus memantu di pasaran melalui pelbagai akta yang terdapat di KPDN khususnya Akta Perihal Dagangan untuk memastikan sekiranya terdapat pasaran kurma berkenaan berlegar untuk ditawarkan kepada pengguna.

"Kita telah serta-merta masukkan dalam SOP dan juga istilah rujukan Ops Pantau yang kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri ni untuk melihat secara terperinci berkaitan dengan penjualan kurma yang didakwa tersebut," katanya.
Armizan Mohd Ali
Armizan juga memakluman satu serbuan telah dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 12 Mac lalu di sebuah gudang penyimpanan makanan di Klang, Selangor.

Semalam media melaporkan pihak kastam menemukan produk dengan label organis Jumboo Medjool Dates' dipercayai dibawa masuk secara pukal dan dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan.

"Dalam serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penjualan kurma dari Israel di pasaran tempatan menjelang Ramadan.

Ini menimbulkan persoalan bagaimana produk tersebut dibawa masuk ke Malaysia memandangkan negara ini tidak menjalinkan hubungan dagangan dengan Israel.

Monday, December 26, 2022

'Kerajaan kata bekalan telur cukup, peniaga kata stok tak banyak'

bharian.com.my
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bh.com.my
 - Disember 26, 2022 @ 10:01am
Bahagian yang menempatkan bekalan telur ayam kosong di sebuah pasar raya di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan. 
- Foto NSTP/Ainal Marhaton Abd Ghani

KUANTAN: Bekalan telur ayam yang masih tidak menentu merunsingkan orang ramai walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan mentah itu mencukupi di seluruh negara.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar Sungai Lembing, Indera Mahkota, KotaSAS, Balok, Sungai Soi dan Batu 6 mendapati telur ayam masih sukar diperoleh.

Kebanyakan pasar raya menjual telur ayam jenis Omega 30 biji pada harga antara RM17.90 hingga RM20, manakala saiz telur, A, B, C dan D dijual dalam pek 10 biji.

Pengguna yang ditemui mempersoalkan kerajaan yang kerap membuat kenyataan bekalan telur ayam mencukupi malah menasihatkan rakyat tidak membuat pembelian panik.

Peniaga, Mohd Sukhri Mat Yaki, 38, berkata kenyataan kerajaan seperti bercanggah dengan situasi semasa.

"Apabila kerajaan kata telur cukup, bermakna masalah bekalan sepatutnya sudah selesai tetapi perkara sebaliknya terus berlaku.

"Pengguna terutama peniaga kecil seperti kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan malah terpaksa 'meniti' kedai ke kedai untuk mendapatkannya," katanya ketika ditemui di Balok dekat sini, hari ini.

Suri rumah, Siti Noor Hasmah Tahir, 40, berkata penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak tiga bulan lalu.

Katanya, ada peniaga kedai runcit hanya menjual 10 biji kepada pelanggan untuk berlaku adil.

"Kami hairan kerajaan kata bekalan telur mencukupi, tetapi peniaga kata stok tak banyak.

"Memang susah untuk mendapatkan telur 30 biji sepapan di sini," katanya yang menetap di Sungai Lembing.

Peniaga kedai runcit Pasar Besar Kuantan, G Padmi, 64, pula berkata jika sebelum krisis bekalan telur ayam berlaku lebih tiga bulan lalu, dia memperoleh 70 sarang daripada pembekal tetapi kini hanya 10 atau 20 sarang sahaja setiap kali penghantaran.

"Turun sahaja daripada lori, pembeli sudah tunggu. Dalam tempoh satu atau dua jam, telur dah habis terjual.

"Pembekal pula hanya datang dua kali seminggu dan bekalan telur diagihkan berdasarkan permintaan peniaga. Memang tidak mencukupi," katanya yang sudah berniaga hampir 40 tahun.

Jumaat lalu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Datuk Mark Ujin, dilaporkan berkata bekalan telur ayam di Pahang masih mencukupi dan bekalan akan sampai mengikut jadual.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-