Wednesday, January 29, 2025

'UMNO parti berbisa, bukannya lalat dalam Kerajaan Perpaduan' - Puad Zarkashi

bharian.com.my
Januari 29, 2025 @ 12:49pm
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Gambar fail

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, parti itu adalah ular berbisa dan bukannya lalat dalam Kerajaan Perpaduan seperti didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau berkata, Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO sebenarnya lupa tindakannya mahu menjadikan parti itu 'lalat' dan cuba membunuhnya untuk digantikan dengan BERSATU.

Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir akhirnya dijadikan 'lalat' oleh kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkannya daripada BERSATU selepas dituduh menjadikan parti itu lalat kepada DAP sehingga kalah teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019.

PRK itu menyaksikan BERSATU yang bersama Pakatan Harapan (PH) tewas teruk dengan majoriti 15,086 kepada Barisan Nasional (BN).

"Dr Mahathir terpaksa terbang ke sana ke mari macam lalat mencari tempat baharu.

"UMNO tidak terkesan pun didakwa umpama lalat (kerana) kita sudah terbukti ular berbisa di Nenggiri dan Mahkota (menang PRK)," katanya seperti dilapor portal FMT, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menyifatkan kedudukan wakil rakyat UMNO dalam kerajaan hanya 'lalat', merujuk kepada kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming yang sebelum ini dilaporkan beliau tidak mahu melayan atau bergaduh dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang disifatkan seperti 'singa dan lalat'.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-