Thursday, December 15, 2022

'Kerjasama polis, tindakan tegas bendung perkauman, ekstremisme'

malaysiakini.com
Geraldine Tong
Diterbitkan: Dec 15, 2022 4:46 PM
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas dan bekerjasama dengan pihak polis bagi membendung insiden perkauman dan ekstremisme di sekolah, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata KPM mengutamakan pembinaan sahsiah dalam kalangan pelajar melalui budi pekerti, sahsiah dan integriti, yang merupakan salah satu daripada tujuh fokus utama kementerian itu.

“Kami mahu anak-anak ini membesar dalam konteks keharmonian, dalam persekitaran sekolah yang selamat kerana kami percaya dengan membina adab, sahsiah dan integriti mereka, ia akan dapat mengatasi isu seperti ekstremisme.

“Seperti mana kita tidak berkompromi dalam isu buli dan gengsterisme, kita juga tidak akan berkompromi dalam isu perkauman dan ekstremisme.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan kanak-kanak selamat di sekolah dan oleh itu, jika terdapat sebarang ancaman perkauman atau pelampau, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius dan kita pastinya akan bekerjasama dengan polis untuk membendung perkauman dan ekstremisme daripada berlaku di sekolah,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, Fadhlina mengumumkan cadangan untuk mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

Bagaimanapun, dia berkata senarai nama ahli majlis itu belum dimuktamadkan.

"Buat masa ini kami masih belum mempunyai sebarang nama, tetapi kami telah mengumumkannya supaya kami akan melaksanakan proses itu dengan melantik mereka yang akan menjadi sebahagian daripada majlis penasihat tidak lama lagi," katanya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Harapan yang merangkumi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Fadhlina menegaskan keutamaan kerajaan pada masa ini ialah ekonomi dan kos sara hidup.

“Sebarang perkara lain yang dibangkitkan akan disemak dari semasa ke semasa,” katanya.

Fadhlina juga menegaskan kerajaan sekarang merupakan kerajaan perpaduan yang bukan hanya terdiri daripada PH tetapi juga parti lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-