Friday, December 2, 2022

KOLUM | Orang politik bermodal basi

malaysiakini.com
Abdullahjones
Diterbitkan: Dec 2, 2022 8:33 AM
KOLUM | Malaya Baru! Itu andaian yang kami buat apabila PH menang pertama kali yakni pada PRU ke-14 dulu. Kami jangka dengan terbentuknya kerajaan itu, kita semua bakal menikmati kehidupan yang lebih bersama.

Pada waktu itu kami juga menjangkakan bahawa ia adalah waktu untuk melihat matinya politik perkauman.

Kami agak kita semua boleh berpindah dari kehidupan yang penuh dengan syak wasangka kepada hidup saling berganding bahu demi memajukan negara. Sama-sama kita menjalani hidup tanpa ada rasa curiga.

Kami membayangkan semua rakyat saling bertepuk-tampar mentertawakan diri sendiri kerana sudah sedar betapa bodohnya penah hidup dengan saling membenci.

Dalam mimpi indah itu juga kami melihat sebuah negara yang rakyatnya adalah penentu kuasa pemerintahan. Politikus baik dibantu dan yang jahat, korup serta rasis, dicampak jauh-jauh.

Ahli politik mengikut telunjuk rakyat, dan bukan sebaliknya.

Namun bibit awal yang timbul daripada kemenangan itu adalah sifat perkauman yang semakin jelas. Kumpulan yang menang berasakan bahawa mereka adalah pemegang kuasa mutlak dan bersiap sedia untuk membalas dendam.

Yang kalah pula berasa terpaksa memberikan hak istimewa mereka kepada pihak lawan.

Kami bercakap tentang penyokong, bukan pemain utama di pentas politik kita. Dan dalam tempoh 22 bulan itu semangat perkauman menjadi terlebih parĂ h.

Sikap sesetengah ahli politik juga tidak membantu.

Tak lagi menaruh harapan

Giat benar mereka mencurahkan minyak kepada api persengketaan yang sedang marak menyala. Lalu kami pun habis berharap apabila berlakunya langkah sumbang di Hotel Sheraton itu.

Kemudian datang lagi musim pilihan raya. Muncul kembali ahli politik yang membawa modal basi. Pangkah itu masuk neraka, tanah Melayu milik Melayu.

Yang Cina juga tidak kurang biangnya. Mereka memainkan isu remeh hanya kerana mahu menang.

Lalu kita pun duduk dalam pertelingkahan yang amat lama. Sama ada disedari atau tidak, orang politik terus mempergunakan kita semua hanya untuk memegang tampuk kuasa.

Datang PRU ke-15, dan hanya kerana telah ada akta yang menghalang mereka daripada melompat dan menari dari satu parti ke parti lain, sebuah kerajaan akhirnya dapat dibentuk.

Namun kami tidak lagi menaruh harapan yang kita semua akan keluar daripada sikap perkauman yang melampau. Lihat saja apa yang berlaku dalam waktu senggang sementara kerajaan gabungan dibentuk.

Segala macam kisah lama diulang-ulang. Dan yang menariknya, mereka yang belum dilahirkan pada waktu peristiwa 13 Mei misalnya, juga giat menjadi ejen adu domba dan batu api.

Kami mengandaikan ini sebagai sebuah kejayaan propaganda antikaum yang disemai sekian lama oleh orang politik.

Kita selamanya tidak akan tenteram jika kita semua masih sanggup menjadi si bodoh yang menyokong ahli politik.

Selama-lamanyalah kita akan dipergunakan oleh mereka jika kita masih berasakan bahawa tujuan utama perjuangan orang politik itu adalah untuk memberi kebahagian kita.

Daripada saling membenci, mereka tanpa rasa bersalah akan saling bermaafan apabila kepentingan memiliki kuasa memerlukan. Yang menjadi gila adalah kita.

Naik pening kita mahu memaki siapa.

Berhentilah daripada menjadi balaci politik. Kita bukan apa-apa di mata mereka melainkan alat untuk mereka memperkayakan diri.

Sedikit nasihat buat Lim Guan Eng: ringgit disebut seperti gigit. bukan seperti menyebut tonggek. Dan kepada Anwar Ibrahim, cita-cita kamu untuk menjadi perdana menteri sudah pun terlaksana.

Segala penat lelah kamu kini sudah terbayar. Pimpinlah negara ini dengan baik dan teduh, dan er.... jangan ‘buat tahi.’

ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-