Thursday, December 8, 2022

Muhyiddin: Padang Serai tanda rakyat tolak 'penipuan PH-BN'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 8, 2022 8:02 AM
PN hari ini menganggap kemenangan calon mereka di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman semalam adalah bukti rakyat tidak meyakini "kerajaan campuran" yang ada sekarang dan menolak "penipuan" mereka.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata undi yang diberikan pemilih di kawasan parlimen tersebut menunjukkan petanda positif buat parti terbabit yang mendapat "sokongan padu".

"Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

"Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU ke-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN," katanya hari ini.

Kenyataan bekas perdana menteri itu dibuat sebagai reaksi PN yang menawan kerusi parlimen Padang Serai yang sebelum ini dimenangi PH.
Calon PN, Azman Nasrudin, memperoleh 51,637 undi berbanding pencabar terdekat, Mohamad Sofee Razak (PH) dengan 35,377 undi. Ia menjadikan Azman - yang memenangi kerusi DUN Lunas atas tiket PH pada 2018 - berada di depan dengan kelebihan 16,260 undi.

Sementara itu bagi pilihan raya DUN Tioman, calon BN - yang turut disokong PH - mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas PN.

Calon BN, Mohd Johari Hussain, memperoleh 8,080 undi mengalahkan Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.

Kata Muhyiddin dia menganggap "penipuan" yang dilakukan PH dan BN dalam PRU ke-15 adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya negara ini.

"Dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti tersebut," katanya.

Ahli parlimen Pagoh berkenaan juga menasihatkan Nor Idayu agar kekal berjuang bersama PN.

"Kita berada di landasan yang benar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-