Sunday, January 1, 2023

2 jawatan tertinggi UMNO mungkin tak dipertandingkan: Penganalisis

agendaily.com
01/01/2023
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir.

Hanya Majlis Tertinggi (MT) UMNO sahaja yang akan memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan atau tidak – bukannya akar umbi atau perwakilan perhimpunan agung (PAU) yang akan bermula 11 hingga 14 Januari depan.

Malah, akar umbi dan perwakilan juga mungkin tidak berani untuk membangkitkan usul supaya kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, kerana mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata tindakan itu adalah antara taktik supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, tidak dipertandingkan, dalam pemilihan UMNO akan datang.

Beliau juga berkata ada kemungkinan usul tergempar sekiranya dibawa dalam PAU pertengahan bulan ini, juga tidak akan sempat dibahaskan.

“Le­bih teruk perwakilan yang membangkitkan usul supaya kedua-dua jawatan itu dipertandingkan berisiko dikenakan tindakan tatatertib.

“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana perwakilan yang membangkitkan usul tanpa kelulusan daripada MKT UMNO kerana melanggar etika serta peraturan perbahasan.

“Jika perwakilan bangkit usul ini tanpa kelulusan usul MKT, maka ia tidak sah kerana me­langgar etika serta peraturan perbahasan dan ini akan membawa kepada tindakan tatatertib parti.

“Secara jujurnya, ini semua taktik untuk dua jawatan ini Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya menurut Utusan.

Prof Madya Dr Salawati, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat perwakilan yang bakal membangkitkan usul berkenaan ekoran desakan kuat dalam kalangan akar umbi UMNO yang mahu dua jawatan tersebut dipertandingkan.

“Jika dilihat secara munasabahnya memang tidak sempatlah (bahas usul tergempar) sebab perwakilan nak membahaskan pun ambil masa.

“Tetapi akan ada yang membangkitkan usul ini jika tiada ruang langsung diberi kerana akar umbi mahu dua jawatan ini ditandingkan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat desas-desus jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan minggu lalu memaklumkan keputusan berhubung dua jawatan berkenaan masih belum dibuat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-