Monday, January 23, 2023

Baiknya ultra kiasu, mereka dapat terima ‘madani’, sindir Ridhuan Tee

agendaily.com
23/01/2023
Penganalisis dan pendakwah Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Penganalisis dan pendakwah Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyindir ultra kiasu – kumpulan ekstremis yang wujud dalam parti politik, termasuk DAP dan MCA – yang menerima konsep ‘madani’, tetapi mengetepikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).

Menurutnya ultra kiasu perlu mengkaji makna slogan baharu ‘Malaysia Madani’ – menggantikan ‘Keluarga Malaysia’ – kerana ianya terkandung dalam DKK.

Konsep Malaysia Madani dilancarkan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini. Gabungan kerajaan itu turut disertai DAP, manakala MCA adalah parti komponen BN.

“Perkara Madani itu satu identiti. Cuma, baiknya ultra kiasu kali (ini), mereka dapat menerima ‘Madani’. Baguslah tu. Kajilah konsep ‘Madani’ itu dalam DKK.

“Saya pasti Malaysia Madani bukan 1:1:1,” katanya merujuk angka itu kepada nisbah rakyat Malaysia mengikut kaum yang terdapat dalam DKK iaitu 7:2:1.

Menulis dalam sebuah laman berita hari ini (23 Januari 2023), Ridhuan Tee berkata berpandukan kepada DKK ini, formulanya tujuh mewakili Melayu Bumiputera (Islam) dan tiga yang lain ialah Cina, India dan lain-lain.

Membangkitkan semula isu berkaitan pemasangan 10,000 lampu tanglung di Jalan Raja Uda di Pulau Pinang, Ridhuan Tee mempersoalkan adakah ultra kiasu tidak membaca DKK yang digubal pada tahun 1970 sejurus selepas Peristiwa Hitam 13 Mei 1969.

“Pernahkah ultra kiasu ini berbincang mengenai kandungan DKK, terutama yang melihat perkara utama DKK? Antara intipati DKK adalah pertama, berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

“Siapakah rakyat asal rantau ini? Adakah orang Cina atau orang India? Fikirkanlah. Malaysia tidak berbilang kaum asal-usulnya. Asal usul sudah pasti Melayu Bumiputera dan orang Asli.

“Kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima. Ini bermakna, budaya lain tidak boleh sama sekali menenggelam budaya majoriti dalam apa jua keadaan.

“Bermakna, formula dalam menonjolkan identiti negara mesti mendahulukan Melayu Bumiputera dan Islam. Selepas itu baharulah budaya atau identiti lain.

“Ini tidak, bila tiba Tahun Baharu Cina, negara ini macam Hong Kong dan Taiwan. Begitu juga dengan Sambutan Tahun Baharu Masehi, adakah sehingga menenggelamkan Tahun Baharu Hijrah?

“Perlukan 10,000 lampu tanglung,” katanya sambil mengakui menerima kecaman hebat daripada masyarakat Cina setelah membangkitkan isu tanglung itu, selain didakwa mahu menjadi hero Melayu.

“Tidak cukupkah lagi proses pencinaan China Town yang sedia ada di setiap negeri? Ini tidak, kita dipaksa terima 10,000 lampu tanglung, tetapi bila tiba bab jawi hanya dua muka surat, maka ditentang habis-habisan.

“Begitu juga bila mahu seragamkan peperiksaan kertas bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan dengan SJKC, maka ditentang habis-habisan,” katanya merujuk tindakan DAP menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menurunkan semula papan tanda jalan yang tertera tulisan jawi di simpang jalan beberapa tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-