Monday, January 23, 2023

Parti politik main isu judi, arak sebar Islamofobia di Malaysia: Hadi Awang

agendaily.com
23/01/2023
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Islamofobia yang disebarkan parti politik tertentu dan beberapa pihak lain, dalam kalangan rakyat di Malaysia bertujuan mengadu domba, selain menghalang Islam kembali berkuasa.

Tanpa menyatakan mana-mana parti dan kumpulan terbabit, beliau menjelaskan Islamofobia disebarkan kepada masyarakat di negara umat Islam yang hidup bermasyarakat majmuk, khususnya dalam kalangan bukan Islam.

Beliau menjelaskan antara perkara yang dibangkitkan dalam Islamofobia itu termasuk penjualan arak dan judi sehingga menyebabkan Islam dianggap melampau kerana melarangnya.

“Terkini Islamofobia disebarkan di negara umat Islam yang hidup bermasyarakat majmuk, khususnya dalam kalangan bukan Islam, termasuk apa yang berlaku di Malaysia bagi tujuan adu domba dan menghalang kuasa kembali semula kepada Islam yang sebenar sehingga berjaya memerintah negara.

“Isu Islamofobia ialah senjata baru serangan pemikiran terhadap Islam khususnya oleh kerajaan ciptaan penjajah.

“Begitu juga, parti politik, kumpulan sekular dan individu yang bermusuh terhadap Islam, khususnya melalui media tanpa sempadan yang tidak dapat menyembunyikan permusuhannya terhadap Islam secara jahil atau jahat,” katanya dalam tulisan di Facebook beliau hari ini (23 Januari 2023).

Isu judi dan arak baru-baru ini menjadi ‘panas’ di Malaysia apabila ada parti politik yang menyifatkan tindakan menutup premis perjudian di negeri ditadbir PAS sebagai melanggar hak orang ramai.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu, jika dikaji hukum halal dan haram secara saintifik dan hikmahnya, akan didapati semua perkara yang haram itu mendatangkan mudarat kepada jasad manusia, roh, akal, keluarga, masyarakat dan alam sekitar.

Salah satu contohnya, katanya arak diharamkan dengan hukuman yang keras kerana ia merosakkan akal yang mulia, di samping menyebabkan penyakit jasad, keluarga dan masyarakat.

“Akan tetapi, Islam dianggap melampau kerana telah mengharamkan arak, walaupun tidak dihalang kepada penganut agama lain untuk meminumnya dan dihalalkan oleh agama mereka. Begitulah juga seperti haramnya daging babi, berzina, riba, judi dan lain-lain.

“Pada masa yang sama, bagi menutup kegagalan ideologi ciptaan manusia di Timur dan Barat. Islam diberikan gambaran yang salah dan fitnah yang menakutkan walaupun umatnya dianggap lemah dan mundur,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata ajaran Islam diambil secara tidak jujur, terpilih dan tidak sempurna atau melalui laporan yang bohong dan tidak mengikut budaya ilmu yang berakhlak murni untuk mencari kebenaran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-