Monday, January 23, 2023

UMNO tiada legitimasi moral tuduh PAS amal politik wang, rasuah

agendaily.com
23/01/2023
Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin.

UMNO tidak mempunyai legitimasi moral untuk menuduh PAS mengamalkan politik wang atau rasuah, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin.

Beliau menegaskan PAS tidak pernah menggunakan taktik sedemikian untuk menarik pengundi tidak seperti “parti lain” yang terkenal dengan amalan sedemikian semasa pemilihan parti atau pilihan raya umum.

PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah seperti yang didakwa terhadap parti itu, sementara ulasan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercanggah dengan maksud yang disampaikan Tan Sri Abdul Hadi Awang, katanya.

“Merujuk kepada kenyataan Presiden UMNO yang menyebut bahawa: “Kalau dia (PAS) buat dipanggil sedekah, kalau kita (UMNO) buat dipanggil rasuah,” ternyata ianya adalah suatu kenyataan yang jelas bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden PAS.

“Sedangkan Presiden PAS ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan semalam menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi.

“Tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri.

“Ada pun sumbangan orang awam itu tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau PAS sebagai sebuah parti yang bertanding,” kata Khairil yang juga Ahli Parlimen Jerantut menerusi kenyataan media hari ini (23 Januari 2023).

Semalam, Zahid dilaporkan mengkritik sikap Abdul Haji yang didakwa kononnya mempertahankan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

“Kalau dia (PAS) buat (dianggap) sedekah, kalau kita bagi (dianggap) rasuah,” kata Zahid.

Presiden UMNO itu sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, tetapi dilantik oleh rakannya daripada Pakatan Harapan (PH) menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas membawa UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-