Saturday, January 14, 2023

Jangan pertanding semua jawatan kalau tak pilih ‘top 2’, kata perwakilan Umno

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin dan Nora Mahpar
-January 14, 2023 1:30 PM
Perwakilan Umno Johor Pandak Ahmad berkata jika dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, perkara sama harus berlaku di peringkat bahagian dan cawangan.
(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perwakilan Johor tidak bersetuju apabila hanya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno sahaja tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu menjelang Mei depan.

Pandak Ahmad berkata jika parti benar-benar mementingkan perpaduan dan kestabilan, perkara sama juga harus dilakukan bagi jawatan lain termasuk di peringkat bahagian serta cawangan.

“Semalam, kita pula membahaskan tentang usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti.

“Umno Johor ingin bertanya, sampai bila kita ingin menunggang ‘perpaduan parti’ atau ‘kestabilan parti’? Jika betul Umno mahu perpaduan dan kestabilan, kenapa hanya jawatan presiden dan timbalan presiden sahaja yang tidak dipertandingkan?

“Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga. Bawalah usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan parti di bahagian dan cawangan. Tak perlu kelulusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ‘due process’ yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul dan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Perhimpunan agung itu menyaksikan pembentangan usul untuk dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Manakala perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Zainal Abidin Mohd Rafique pula, berkata jika dua jawatan itu tidak dipertandingkan, beliau bimbang pengundi luar akan menilai Umno dari sudut negatif hingga memberi kesan kepada sokongan Melayu.

“Umno pada dasarnya adalah sebuah parti politik yang bersifat rasional dan terbuka. Sesiapa saja yang dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu dari ahli-ahli parti pada akhirnya,” katanya yang juga ketua Umno Bahagian Bukit Bintang.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mengesahkan pembentangan usul tidak mencabar jawatan “top two” itu kepada FMT.

Katanya, usul dicadangkan oleh Umno Negeri Sembilan, dengan sokongan Umno Marang dan proses undian akan dilakukan hari ini.

Puad turut memaklumkan, perwakilan Selangor, Pulau Pinang dan sayap wanita Umno menyokong usul untuk dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Sementara itu, sumber memaklumkan FMT, sehingga kini perwakilan dari Pahang dan Perak turut menyokong, manakala Johor dan Wilayah Persekutuan tidak menyokong.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-