Sunday, January 22, 2023

Madani apa, kalau SOSMA masih belum dihapuskan? soal Ramasamy kepada Anwar

agendaily.com
22/01/2023
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa SOSMA akta kejam.

Konsep negara Madani yang diperkenalkan tidak berguna sekiranya kerajaan masih tidak menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata P. Ramasamy.

Pemimpin kanan DAP itu mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) kerana tidak menghapuskan undang-undang yang disifatkannya zalim dan ia bertentangan dengan konsep Malaysia Madani diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim jelas menyatakan keperluan untuk membina masyarakat atas dasar masyarakat Madani.

“Pemikiran sebegini memerlukan kerjasama yang erat antara kerajaan dan masyarakat atas dasar nilai kerajaan yang baik, kelestarian, muhibah, prihatin dan nilai kemanusiaan.

“Namun, terjemahan konsep ini secara konkrit bermaksud menyingkirkan undang-undang yang zalim dan keji yang merugikan dalam memupuk kebaikan dan nilai manusia,” kata Ramasamy dalam hantaran media sosial.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata SOSMA adalah ‘kejahatan’ yang sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan merupakan undang-undang terhadap kemanusiaan.

Katanya, di bawah SOSMA suspek boleh ditahan selama 28 hari dan kemudian disambung dengan Kanun Keseksaan.

“Anda tidak boleh bercakap tentang hak asasi manusia dan kesopanan manusia tetapi bergantung pada undang-undang yang kejam dan tidak adil terhadap kemanusiaan.

“Tiada pembelaan terhadap SOSMA kerana terdapat undang-undang yang mencukupi di negara ini untuk mencegah gangsterisme dan keganasan.

“Pasukan polis tidak boleh bergantung kepada undang-undang yang lapuk untuk memerangi jenayah. Ia hanya menunjukkan bahawa pasukan polis masih belum mencapai profesionalisme yang diperlukan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ramasamy juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang keras terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai liabiliti kepada PH.

Ia susulan UMNO mengumumkan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-