zuhayati
Pemecatan Noh Omar tidak sah, sepatutnya dapat peluang bela diri sebelum dijatuhi hukuman
Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 6 Rejab 1444H, Sabtu – Keputusan Presiden UMNO memecat Tan Sri Noh Omar jelas menunjukkan beliau membelakangkan prinsip undang-undang selain tidak mematuhi Perlembagaan parti sendiri.
Pemecatan tersebut adalah tidak sah berikutan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu belum dipanggil untuk memberi keterangan dan membela diri dengan Lembaga Disiplin UMNO.
Menegaskan perkara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, tindakan berkenaan jelas membuktikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seorang pemimpin autokratik kerana membuat keputusan berdasarkan kepentingan diri tanpa berbincang dengan pihak lain.
“Ini jelas menunjukkan beliau melanggar hak asasi dan ini menunjukkan beliau adalah pemimpin kuku besi.
“Keadaan ini jelas menunjukkan tiada perpaduan dalam UMNO, sebaliknya presiden tersebut membelakangkan prosedur disiplin parti selain seorang yang pentingkan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, bekas pensyarah kanan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu menjelaskan, sepatutnya hak asasi bagi setiap organisasi wajib dipatuhi di dalam sebuah negara demokrasi.
“Semua pertubuhan wajib mematuhi konsep dan prinsip hak asasi antaranya mesti mempunyai bukti untuk menentukan kesalahan tersebut namun ini tidak berlaku apabila Zahid membuat keputusan sendiri.
“Sepatutnya beliaumenyerahkan perkara ini kepada Lembaga Displin selain memberikan peluang kepada Noh membela diri sebelum dijatuhi hukuman,” katanya lagi.
Tegas beliau, tindakan Ahmad Zahid seolah-olah mencerminkan bahawa Lembaga Disiplin UMNO tiada fungsi kerana beliau membuat keputusan secara solo.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, senario ini hanya menghuru-harakan UMNO apabila berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya, ia memandangkan individu-individu yang dipecat semuanya adalah watak penting dalam parti selain mempunyai pengaruh yang besar.
“Saya melihat keadaan ini akan menggoyahkan prestasi UMNO sendiri sekali gus akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.
“Di Selangor contohnya, apabila Noh yang sebelum ini menjadi ketua disingkirkan sedangkan peranan dan pengaruhnya di negeri tersebut sangat kukuh sebelum ini.
“Perkara sama juga dijangka berlaku di Negeri Sembilan apabila ramai golongan muda akan berpihak kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempunyai aura tersendiri dan pengaruh kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, memecat keahlian Noh selepas beliau mencabar Presiden UMNO supaya keahliannya dipecat terus daripada parti, berbanding keputusan MKT untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.
Ahli MKT UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan penggantungan Noh itu bukan disebabkan pendirian pemimpin itu berkaitan usul yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau berkata, ia dilakukan kerana terdapat 16 pertuduhan terhadap Noh termasuk melibatkan tindakan sabotaj kepada parti pada PRU15 lalu.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.