Showing posts with label Ahmad Zahid Hamidi. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Zahid Hamidi. Show all posts

Friday, March 7, 2025

Zahid: Harap Ismail Sabri dapat keadilan macam saya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 7, 2025 9:27 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak terlibat dalam siasatan SPRM terhadap bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Zahid berkata Umno menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan politik dan percaya kepada proses undang-undang untuk menentukan kebenaran.

"Kita menghormati SPRM dan kita harap SPRM berlaku adil dan tentunya profesional di dalam melakukan penyiasatan.

"Secara peribadi saya juga pernah mengalami keadaan itu jelas apabila kes saya dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan sebagainya.
"Akhirnya keadilan telah dapat ditegakkan dan saya harap perkara yang sama akan dapat berlaku di mahkamah dan itulah harapan kita (dalam kes ini)," katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2025 Peringkat Negeri Melaka di Masjid Tanah, Melaka.

Pada 4 Sept 2023, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ini selepas ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan.

Dalam pada itu, Zahid hari ini juga merujuk kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menjelaskan pendirian parti berhubung isu siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri.
Asyraf berkata Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja "mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat.”

SPRM telah bercakap dengan doktor Ismail Sabri hari untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan bekas perdana menteri itu dan memastikan dia sihat untuk memberi kenyataan pada tarikh baru itu, iaitu sehari selepas tempoh yang dinyatakan dalam MC berkenaan.

SPRM telah pun menyoal Ismail Sabri selama lima jam pada 18 Feb, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perbelanjaan untuk kempen promosi Keluarga Malaysia ketika pentadbiran perdana menteri kesembilan itu.

SPRM juga telah merampas RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16kg emas dari premis yang dikaitkan dengan bekas pembantu Ismail Sabri.
Beberapa hari selepas sesi soal siasat pertama, Ismail Sabri dilaporkan rebah di rumahnya dan dimasukkan ke hospital.

Sehari kemudian pada 23 Feb, anak perempuannya Nina Sabrina berkata bapanya "stabil dan semakin sihat", manakala setiausaha akhbarnya Azran Fitri Rahim dipetik berkata tekanan darah Ismail Sabri meningkat sedikit.

Wednesday, February 26, 2025

PM ke-11: Harapan Nazri sama macam harapan kerajaan, kata Zahid

malaysiakini.com
NS Ramli
Diterbitkan: Feb 26, 2025 2:24 PM
Kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri untuk penggal kedua dilihat berada dalam keadaan 'selamat' apabila Umno berpandangan Ahli Parlimen Tambun itu perlu kekal menerajui negara selepas PRU ke-16 nanti.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenyataan dibuat bekas duta Malaysia ke AS, Nazri Aziz, pada Ahad lalu berkaitan perkara itu adalah selaras dengan harapan semua pihak dalam kerajaan.

"Itu adalah harapan beliau (Nazri) dan kita dalam kerajaan Madani," katanya ringkas ketika diminta mengulas kenyataan Nazri.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Felcra di Tanjung Seratus, dekat Rompin, Pahang, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, dan Pengerusi Felcra, Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam temu bual bersama Malaysiakini pada 23 Feb lalu, Nazri yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal memberitahu, fokus utama kerajaan ketika ini sepatutnya ialah memberi sokongan kepada Anwar dan memastikan dia kekal sebagai perdana menteri untuk penggal akan datang.

Nazri yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sokongan terhadap Anwar dibuat kerana dia bimbang apabila tiada calon lain yang berpotensi memegang jawatan perdana menteri termasuk daripada Umno.

Semua dapat peluang

Bagaimanapun pemimpin PAS berpendapat Malaysia wajar ditadbir oleh sebuah kerajaan yang diketuai teknokrat dan usaha mencari calon sebegitu adalah mudah.

Ahli Parlimen Bachok yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, berkata Anwar meletakkan piawaian yang rendah apabila menjadi perdana menteri ke-10, justeru tidak sukar untuk mencari seorang tokoh lain yang dapat mengatasi kewibawaan Pengerusi PH berkenaan.


Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning memaklumkan, perkara itu perlu dibincangkan bersama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan MB (menteri besar) Perak dan juga jawatankuasa perhubungan negeri serta kepimpinan (Umno) Tapah untuk mengenal pasti calon berkenaan," ujarnya.

Untuk rekod, DUN Ayer Kuning adalah satu daripada dua kerusi yang berada dalam kawasan parlimen Tapah. Satu lagi kerusi itu ialah Chenderiang. Kedua-duanya dimenangi BN dalam pilihan raya lalu.

Ditanya sama ada Umno akan memberi laluan kepada calon Pemuda untuk bertanding di situ, Ahmad Zahid menjelaskan pihaknya sedia memberi peluang kepada semua kumpulan - Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya semua nama yang berpotensi menjadi calon akan disenarai pendek sebelum diteliti untuk keputusan akhir agar ciri "wali" dapat dipenuhi.

Wali dimaksudkan Ahmad Zahid itu merujuk kepada kriteria boleh menang (winnability), boleh diterima (acceptability) dan disenangi (likeability).

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Salleh, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk melobi agar wakil mereka dipilih untuk bertanding di Ayer Kuning.

Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, Sabtu lalu.

Menteri lupa hanya satu VVIP saja dilepaskan, kata peguam Pejuang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 12:15 PM
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Syed yang disifatkan sebagai terlupa ketika menyenaraikan individu kenamaan VVIP penting yang diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).

Menurutnya, Azlina mengumumkan 18 VVIP atau VIP yang telah menerima DNAA berhubung kes-kes mereka di mahkamah sepanjang tahun 2018 ke 2024.

"Tapi yang lupa dinyatakan, hanya seorang sahaja VVIP dalam senarai itu yang penting. VVIP itu adalah presiden Umno merangkap timbalan perdana menteri 1.

"Pada 3 Disember 2022 VVIP ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 atas nasihat perdana menteri. Pada 4 Sept 2023 , VVIP ini diberikan DNAA bagi 47 kes yang mana VVIP ini telah dipanggil bela diri," katanya dalam kenyataan yang jelas merujuk kepada kes Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid (kiri) bersama Azalina
Semalam Azalina dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen berkata keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) adalah selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana peguam negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

"Dalam menjalankan kuasa berkenaan, peguam negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung," katanya.

Azalina bagaimanapun tidak menyatakan siapa VIP yang diberikan DNAA itu.
Ahmad Zahid Hamidi
Rafique pula berkata Zahid memperolehi DNAA apabila Jabatan Peguam Negara sama yang tuduh dan dakwanya dapati ada 11 alasan lanjut yang perlu disiasat.

"Kini sudah 17 bulan dan siasatan masih belum selesai?


"Maka hanya satu VVIP yang dapat DNAA pada masa VVIP ini menjadi timbalan perdana Menteri 1. Dari 2018 hingga 2024, hanya satu sahaja VVIP yang peroleh DNAA semasa menjawat jawatan kabinet.

"VVIP ini peroleh DNAA pada zaman pemerintahan PMX (Perdana Menteri, Anwar Ibrahim)," katanya yang juga seorang peguam.

Thursday, February 6, 2025

Zahid cuba lengahkan bicara fitnah, kata Mahathir

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 6, 2025 11:31 AM
Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa permohonan menghina mahkamah terhadapnya oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah percubaan untuk melengahkan perbicaraan saman fitnah bekas perdana menteri itu terhadap timbalan perdana menteri tersebut.

Dalam afidavitnya bagi membantah permohonan komital tersebut, bekas perdana menteri dua kali itu menegaskan bahawa sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu tidak boleh dianggap sebagai serangan terhadap badan kehakiman.

Mahathir mendakwa bahawa kenyataannya semasa sidang media itu hanyalah penjelasan mengenai keterangannya di mahkamah terhadap Zahid.

"Permohonan defendan untuk komital ini adalah berniat jahat dan hanya bertujuan melengah-lengahkan prosiding perbicaraan mahkamah," kata bekas ahli Parlimen Langkawi itu dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari.

Prosiding komital dijalankan terhadap tindakan atau kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan adil sesuatu kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Pada 7 Januari, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Zahid untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah, membuka jalan bagi perbicaraan lanjut dengan pasukan peguam kedua-dua pihak mengemukakan hujah sama ada Mahathir perlu dipertanggungjawabkan atas penghinaan tersebut.

Jika mahkamah sivil mendapati dia bersalah, plaintif berusia 99 tahun itu boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

Saman fitnah Mahathir terhadap Zahid berkaitan dakwaan kewujudan kad pengenalan (IC) dengan nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Melalui saman itu, Mahathir mendakwa kenyataan Zahid pada 2017 mengenai IC tersebut bersifat fitnah kerana ia merupakan satu gerakan politik yang kejam, berniat jahat, satu pembohongan besar, dan tidak benar.

Plaintif berusia 99 tahun itu mendakwa bahawa dakwaan tersebut bertujuan menjejaskan reputasinya sebagai tokoh pembangkang ketika itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Mahathir berjaya memenangi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya tersebut untuk satu penggal.

Dia mendakwa bahawa kenyataan itu membawa maksud bahawa dirinya telah mengeksploitasi orang Melayu demi kepentingan politik dan peribadi.

Mahathir juga mendakwa bahawa Zahid telah menunjukkan salinan IC “Kutty” yang didakwa itu menerusi skrin telefon pintar.

Dalam penyataan pembelaannya, Zahid, yang ketika itu adalah menteri dalam negeri, menafikan bahawa kenyataannya pada 2017 adalah berniat jahat, bersifat fitnah, atau merosakkan reputasi Mahathir di mata umum.

Ahli politik berusia 72 tahun itu mendakwa bahawa nama pada IC tersebut merujuk kepada individu berdasarkan salinan lama dokumen pengenalan diri.

Zahid juga mendakwa bahawa dia tidak mempunyai kawalan ke atas penyebaran video-video susulan di platform media yang merujuk kepada kenyataannya.

Saman sivil Mahathir terhadap Zahid itu difailkan tiga tahun lalu dan berkaitan dengan ucapan Zahid di mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Tuesday, February 4, 2025

Politikus ada salah memang akan takut kepada ulama

harakahdaily.com
February 4, 2025
KUALA LUMPUR: Ulama adalah pewaris para Nabi dan bukan sekadar mengajar agama di masjid, tetapi juga bertanggungjawab dalam membimbing masyarakat termasuk dalam hal politik.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, ulama turut mengambil berat mengenai politik bagi menjaga kepentingan umat Islam dalam pemerintahan.

“Kalau ulama tak peduli pasal politik, siapa lagi yang nak jaga kepentingan umat Islam dalam pemerintahan? Politik bukan sekadar mengenai kuasa.

“Tapi berkaitan dasar yang mempengaruhi kehidupan rakyat, halal haram ekonomi, pendidikan anak-anak, keadilan sosial dan banyak lagi.

“Kalau ulama tidak peduli soal politik, maka mereka membiarkan urusan umat Islam ditentukan oleh mereka yang mungkin tidak memahami atau tidak peduli kepada hukum Allah.

“Sedangkan Islam sendiri menuntut kita untuk mengambil berat urusan kepimpinan dan pemerintahan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Jelas beliau, ulama juga akan menjadi ‘suara’ jika terdapat pemerintah yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan betul.

“Mereka perlu bersuara apabila ada ketidakadilan, memberi nasihat kepada pemimpin, dan jika perlu, terlibat secara langsung dalam sistem politik untuk memastikan pemerintahan berjalan atas dasar Islam.

“Jika mereka diam, mereka membiarkan umat ditadbir oleh sistem yang mungkin jauh daripada nilai-nilai Islam. Jadi, ulama bukan sekadar jadi pemerhati.

“Mereka perlu berperanan sebagai penasihat, pemimpin, atau sekurang-kurangnya suara yang menegur pemerintah bila ada yang tak betul.

“Sebab akhirnya, politik yang baik boleh membawa kebaikan pada umat, dan politik yang rosak boleh menghancurkan masyarakat. Hanya pemimpin yang banyak melakukan kesalahan sahaja takut pada ulama politik,” katanya.

Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan bahawa beliau hanya menghormati ulama agama, dan bukannya ulama politik dalam satu temubual audio siar.

 – HARAKAHDAILY 4/2/2025

Monday, February 3, 2025

PAS sedia bekerjasama semula jika ada pertukaran pimpinan Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 10:30 AM
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, memberi bayangan bahawa kerjasama antara PAS dan Umno boleh dihidupkan kembali sekiranya presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, tidak lagi menerajui kepimpinan parti tersebut.

Menurutnya, PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan Umno demi menyatukan umat Islam di Malaysia.
Hashim Jasin
Merujuk kepada kerjasama terdahulu menerusi Muafakat Nasional, katanya, dia berkata: “Dengan Umno ini dah pun kita rancang dan wujudkan perpaduan ummah termasuk ada piagamnya, tapi mungkin ada masalah sikit, tapi pintu kita tak pernah tutup.”

“Kita pun tahu siapa yang menolak (kerjasama) itu sebelum ini, mungkin dengan pertukaran kepimpinan dalam Umno, mana tahu pintu akan terbuka luas balik, Insya-Allah.

“Apa-apa pun kita lihat nanti lepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya yang dipetik oleh Scoop.

Ketika ditanya sama ada Bersatu - rakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional - akan menentang kerjasama dengan Umno, Hashim berkata perkara itu boleh diselesaikan antara parti yang terlibat.
“Itu terpulang kepada mereka (Umno dan Bersatu), tapi bagi PAS, kita terbuka untuk perpaduan ini, kita sentiasa berdoa.

“Dengan kes-kes yang berlaku sekarang ini sama ada dalam dan luar negara mungkin membuka jalan untuk pimpinan-pimpinan memikirkan apa yang perlu kita beri keutamaan demi penyatuan ummah dan Islam,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud menyatakan keyakinannya bahawa Umno dan PAS masih boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional sebelum pilihan raya akan datang.

“Akar umbi Umno dan PAS, mereka lebih suka bermuafakat, memang rata-rata kalau pergi ke akar umbi, saya rasa pimpinan atas pun tahu, mereka minta supaya MN dihidupkan kembali,” katanya.
Bagaimanapun, Zahid yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum lalu, secara konsisten menolak cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional dengan menuduh PAS tidak ikhlas dalam kerjasama tersebut.

Sunday, February 2, 2025

BN positif mampu rampas kerusi 'Tier II' dalam PRU16

bharian.com.my
Oleh Muhammad Yusri Muzamir 
yusri.muzamir@bh.com.my
Februari 2, 2025 @ 12:01pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui media selepas sesi Podcast Utama Buletin TV3 Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis untuk menawan beberapa kerusi Parlimen yang disenaraikan sebagai Kategori 'Tier II' pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ia membabitkan kerusi yang gagal dimenangi pihaknya pada PRU15, namun gabungan itu berada di kedudukan kedua selepas parti yang menawan kawasan berkenaan.

"Saya yakin kita boleh mencakupi kerusi dalam kategori Tier II. Kerusi yang telah dan sedia dimenangi adalah Tier I.

"(Kerusi dalam kategori) Tier II, kita kalah tetapi kedudukan kita berada di tempat kedua, ini insya-Allah kita akan berunding dengan parti lain untuk tawan semula," katanya menerusi rakaman audio siar Podcast Utama siaran Buletin Utama TV3, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah atau memperincikan kerusi mana tersenarai dalam kategori Tier II itu.

Pada PRU15, BN memenangi 30 kerusi Parlimen iaitu 26 melalui UMNO, dua melalui MCA dan masing-masing satu melalui MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pemimpin serta ahli parti berkenaan berada pada tahap lebih kukuh, terutama ketika menuju PRU16.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada sambutan ulang tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - NSTP/Asyraf Hamzah
"(Kerjasama dan perpaduan) wujud dan lebih kukuh sekarang ini. Saya sangat yakin kalau soal perpaduan ini diutamakan dan menjadi tajuk utama dalam mentadbir organisasi politik seperti UMNO.

"Malah, UMNO terkenal dengan susunan jentera parti untuk pilihan raya. Kita bukan hanya mengadakan kursus tetapi 'practice makes perfect' (latihan menjadikan kesempurnaan), terutama GOT (menggerakkan pengundi keluar mengundi) boleh dilakukan," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, sekolah patriotik UMNO yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda untuk menerajui parti itu pada masa hadapan.

"Ini (sekolah patriotik UMNO) untuk mencungkil bakat muda dalam kalangan generasi X dan Y, terutama generasi Y untuk bersama (UMNO).

"Kita mempunyai beberapa modul bagi menggilap bakat kepemimpinan mereka untuk mengambil alih (kepemimpinan UMNO) suatu ketika nanti. Kita mengadakan program susun lapis dan lapisan kedua dan ketiga perlu disediakan," katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Thursday, January 30, 2025

'Najib bos saya, sahabat seperti adik beradik' - Zahid

bharian.com.my
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Januari 30, 2025 @ 7:14pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Datuk Seri Najib Razak.

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai bos atau orang atasan selain sahabat yang dianggap seperti adik-beradik.

Ahmad Zahid berkata, rasa hormat beliau kepada Najib tidak pernah luntur biarpun sahabatnya itu menjalani hukuman penjara sementara beliau sendiri yang sebelum ini turut terpalit kes mahkamah, kini dibebas tanpa dilepaskan (DNAA).

"Kalau ikutkan, ada orang politik yang berhajat untuk Datuk Seri Najib dan saya masuk penjara sama-sama... di atas kertas memang saya patut berada di (Penjara) Kajang atau Sungai Buloh tetapi Allah SWT mengkehendaki sesuatu maka jadilah ia.

"Apa yang jadi pada Datuk Seri Najib tak berlaku pada saya. Namun tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat saya dan kasih saya kepada Datuk Seri Najib iaitu bos saya, sahabat saya seperti adik-beradik," katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah (SM) Imtiyaz Tuminah Hamidi, di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, beliau mengakui terpaksa berdepan malu apabila difitnah serta dikenakan 87 pertuduhan di mahkamah selain menyebabkan sebahagian wangnya.

"Ketika itu saya difitnah, saya dimalukan dengan pelbagai... tidak mengapa, Allah SWT sudah menyelamatkan saya dan saya rasa Alhamdulillah kerana Allah menyelamatkan saya kerana kerja-kerja saya adalah kerja-kerja agama.

"Insya-Allah kalau kita jaga agama Allah SWT, maka Dia akan jaga kita. Itu pasti, pasti dan pasti," katanya.

Mengenai SM Imtiyaz Tuminah, Ahmad Zahid berkata pembinaannya adalah wakaf peribadi beliau atas nama arwah ibu bapanya dengan hasrat bahawa sekolah tahfiz itu sebagai antara institusi pendidikan yang akan menjadikan Bagan Datuk berkembang sebagai pusat tumpuan pendidikan.

"Sekarang yang ada adalah bangunan setingkat, (namun) yang kita akan lihat nanti di belakangnya adalah bangunan tiga tingkat yang mengandungi asrama, dewan, dan sekolah (ruang belajar).

"Wang untuk membina perkara ini sudah dibekukan (sebelum ini) apabila saya difitnah dan dikenakan 87 pertuduhan. Tetapi Allah SWT memperlihatkan Dia sebagai Tuhan Yang Maha Besar, Maha Penyayang, Maha Pengasih," katanya.

Pada Januari 2024, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, dana Yayasan Akalbudi yang dibekukan susulan kesnya di mahkamah dijangka dicairkan semula serta dipulangkan kepada beliau sebagai pemegang amanah dalam tempoh terdekat dan akan diguna bagi membiayai perbelanjaan Maahad Tahfiz.

Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid itu.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Umno di persimpangan: Elak oligarki atau hilang kepercayaan rakyat

freemalaysiatoday.com
Ashraf Abdullah
30 Jan 2025, 11:00 AM

Umno perlu pertimbang sebaiknya jika ingin kembali kepada pemilihan kaedah lama yang berisiko beri kesan negatif.
Umno kini berdepan satu dilema yang boleh memberi kesan besar terhadap kredibiliti dan masa depannya sebagai sebuah parti politik relevan.

Naib Presiden Khaled Nordin baru-baru ini mendedahkan bahawa antara cadangan diterima dan sedang dipertimbangkan kepimpinan adalah berkait sistem pemilihan parti itu. Namun beliau tidak menjelaskannya secara lanjut.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu dipetik berkata parti itu terbuka meneliti cadangan mengubah sistem pemilihannya termasuk kembali kepada kaedah lama membabitkan jawatan tertinggi peringkat pusat.

Pemilihan parti itu dijadualkan berlangsung tahun depan.

Jika cadangan ini diterima, ia berpotensi mencetuskan pelbagai tanggapan negatif terhadap parti, termasuk tuduhan bahawa Umno tidak lagi komited kepada prinsip demokrasi yang lebih inklusif.

Kepimpinan Umno sedia ada juga akan dituduh ingin mengukuhkan kedudukan mereka dan menutup ruang kepada perubahan yang mungkin berlaku.

Semasa kepimpinan Najib Razak, Umno melaksanakan satu reformasi besar dengan memperkenalkan sistem pemilihan lebih demokratik.

Jika sebelum ini hanya sekitar 3,000 lebih perwakilan menentukan kepimpinan parti, reformasi itu memperluaskan hak mengundi kepada lebih 150,000 perwakilan akar umbi. Jumlah ini mungkin bertambah pada pemilihan akan datang.

Langkah ini bertujuan mengurangkan pengaruh oligarki dalam Umno, di mana hanya segelintir pemimpin dengan sumber kewangan dan pengaruh besar menentukan hala tuju parti.

Dengan sistem lama, pemimpin mempunyai akses kepada sumber kewangan besar lebih berpotensi membeli sokongan perwakilan melalui politik wang, menjadikan pemilihan lebih bersifat transaksional berbanding meritokratik.

Reformasi Najib mengurangkan risiko ini kerana jumlah pengundi yang besar menjadikannya lebih sukar untuk dimanipulasi.

Oleh itu, jika Umno kembali kepada sistem lama, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa parti lebih cenderung ke arah sistem yang kurang telus dan lebih mudah dimanipulasi oleh segelintir individu berkepentingan.

Ada beberapa kesan besar jika Umno kembali kepada sistem pemilihan lama:

1. Meningkatkan risiko persepsi Umno dikawal oleh oligarki

Dalam sistem lama, pemilihan parti didominasi sekumpulan kecil perwakilan yang mempunyai kuasa besar dalam menentukan siapa yang menjadi pemimpin.

Ini boleh menyebabkan Umno dituduh mengamalkan sistem yang lebih tertutup dan eksklusif, serta meminggirkan suara akar umbi.

Jika persepsi ini wujud, ia boleh menyukarkan Umno untuk menarik sokongan golongan muda dan pengundi atas pagar mahukan perubahan lebih inklusif.

2. Membuka ruang kepada dakwaan politik wang dan amalan rasuah

Salah satu sebab reformasi pemilihan diperkenalkan adalah untuk mengurangkan amalan politik wang dalam Umno.

Jika sistem lama diperkenalkan semula, terdapat kemungkinan bahawa budaya ini boleh kembali berleluasa, dan ini boleh mencetuskan tuduhan bahawa Umno gagal memperbaiki dirinya.

Risiko peningkatan ketidakpercayaan terhadap parti adalah sesuatu yang harus ditangani.

3. Melemahkan keyakinan ahli rarti dan rakyat terhadap Umno

Umno sedang berusaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas mencatat prestasi buruk dalam beberapa pilihan raya umum yang lalu.

Jika ia kembali kepada sistem pemilihan lama, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa Umno tidak serius dalam melakukan reformasi dan lebih cenderung untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan elit.

Ahli akar umbi yang sebelum ini mendapat hak untuk memilih boleh merasa dipinggirkan, dan ini boleh menyebabkan mereka berasa kecewa dan kurang berminat untuk terus aktif dalam parti.

Terdapat satu lagi isu yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap Umno, iaitu sikap segelintir pemimpin parti yang masih percaya bahawa mereka mempunyai monopoly of wisdom (monopoli kebijaksanaan).

Jika parti terlalu bergantung kepada kumpulan pemimpin lama yang beranggapan hanya mereka yang tahu apa yang terbaik untuk parti, ia boleh menyebabkan Umno menjadi semakin ketinggalan.

Pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif amat diperlukan untuk memastikan Umno kekal relevan dalam landskap politik moden.

Generasi baru ahli Umno perlu diberikan lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan dan membawa perubahan yang selari dengan kehendak rakyat.

Jika ini tidak berlaku, Umno boleh dituduh sebagai sebuah parti yang tidak bersedia untuk menerima pembaharuan, seterusnya menjauhkan diri daripada pengundi muda dan segmen masyarakat yang mahukan perubahan.

Cadangan untuk kembali kepada sistem pemilihan lama dan menaikkan had umur Puteri Umno adalah dua perkara yang perlu diteliti dengan mendalam. Walaupun ia mungkin mempunyai rasional tertentu, implikasi negatifnya tidak boleh diabaikan.

Kalau had umur bagi sayap Puteri dinaikkan, peralihan mereka ke Wanita Umno menjadi lebih perlahan dan boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam struktur organisasi parti.

Jika sayap ini didominasi oleh individu yang lebih berumur, peranan Puteri dalam menyampaikan suara dan kehendak wanita muda boleh terpinggir, menjadikannya kurang efektif sebagai saluran perjuangan generasi baharu dalam parti.

Jika keputusan-keputusan ini diambil tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang, Umno akan berhadapan dengan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif yang boleh menjejaskan kredibilitinya.

Risikonya ialah pengundi, termasuk ahli akar umbi Umno, akan menggunakan peti undi untuk menyatakan bantahan mereka.

Keputusan PRU15 pada 2022 menunjukkan dengan jelas bahawa Umno berada dalam krisis sokongan yang serius, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

Perkara ini telah disebut berulang kali dalam analisis pasca PRU15 oleh banyak pihak. Saya bukan orang pertama untuk menyebutnya.

Umno/Barisan Nasional (BN) hanya mendapat sekitar 30% undi Melayu. Kejatuhan mendadak ini menunjukkan bahawa Umno gagal menarik keyakinan pengundi terasnya sendiri.

Statistik ini juga memberi bayangan bahawa ahli-ahli Umno, dalam jumlah yang agak signifikan, telah memilih untuk memangkah calon-calon pembangkang.

Ini membuktikan bahawa ada ketidakpuasan nun jauh di lubuk hati ahli-ahli Umno ini. Perkara ini akan berulang, kalau keluhan mereka ini tidak diendahkan.

Untuk memastikan masa depan parti lebih cerah, Umno perlu mengelakkan sebarang langkah yang boleh dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan kawalan kepada segelintir pihak tertentu.

Sebaliknya, Umno harus terus memperjuangkan sistem yang lebih terbuka, demokratik, dan memberi ruang kepada generasi muda untuk menyumbang kepada hala tuju parti.

Hanya dengan cara ini, Umno dapat meyakinkan rakyat bahawa ia benar-benar komited kepada perubahan dan pembaharuan yang diperlukan untuk terus relevan dalam politik tanahair.

Sunday, January 26, 2025

Umno tubuh Sekolah Patriotik cuba ubah persepsi negatif masyarakat, lahirkan pemimpin setia

suara.tv
ByJanatul Firdaus Yaacob
26/01/2025

KUALA LUMPUR – Umno menggerakkan usaha serius untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap parti Melayu itu dengan penubuhan Sekolah Patriotik Umno .

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pelancaran Sekolah Patriotik Umno menegaskan, Umno perlu kembali kepada asas perjuangannya untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan parti.

Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Sekolah Patriotik Umno diperkenalkan sebagai platform “teaching factory” untuk membentuk pemimpin yang bukan sahaja kompeten, tetapi bersemangat memperjuangkan agama, bangsa, dan negara.

“Dengan slogan ‘Bestari, Berani, Berjuang’, ia mencerminkan komitmen Umno dalam melahirkan pemimpin yang setia kepada perjuangan parti.

“Sebagai Ketua Penerangan Umno, saya ingin menegaskan bahawa Penerangan Umno akan terus memberikan sokongan penuh kepada usaha ini. Kepimpinan utama
Umno juga akan turun padang untuk memberikan panduan kepada pelajar Sekolah Patriotik, memastikan program ini mencapai matlamat yang diharapkan.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta kumpulan pertama ini. Semoga mereka menjadi patriot yang mampu mengharumkan nama Umno dan membawa parti ini kembali ke puncak kejayaan,” ujar Menteri Undang-undang itu dalam kenyataan media pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, Sekolah Patriotik Umno adalah satu inisiatif penting bagi melahirkan pemimpin generasi baharu yang berwibawa.

“Program ini dipelopori oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan penyertaan 50 pelajar terpilih yang akan menjalani latihan selama 12 minggu.

“Dalam kuliyah perdana, Presiden Umno juga menggariskan tiga elemen penting iaitu daya tahan, daya juang, dan daya saing – yang perlu dimiliki oleh setiap ahli Umno untuk membawa parti ke arah dominasi semula,” katanya.

Thursday, January 23, 2025

Dulu digeruni, kini Umno dianggap lalat oleh DAP singa

harakah daily
January 23, 2025
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno suatu ketika dahulu dihormati dan digeruni sehingga menjadi ikutan, tetapi kini nasibnya berubah apabila menjadi bahan hinaan oleh sekutu politik yang mereka pilih sendiri.

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, selepas Pemuda DAP (DAPSY) menempelak mereka sebagai ‘samseng’, kali ini DAP ‘singa’ pula menganggap Ketua Pemuda Umno hanya sebagai ‘lalat’.

“Satu penghinaan yang jelas. Begitulah bila kita sudah tidak dipandang mulia apabila kita menyerahkan ‘talian hayat’ kepada orang. Apa lagi apabila kita tersalah memilih sahabat,” ujarnya dalam media sosial miliknya semalam.

Terdahulu media tempatan melaporkan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyifatkan dirinya sebagai ‘singa’ yang tidak akan berdebat dengan ‘lalat’ ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, berhubung isu sandwic ‘ham’.

Nga dilaporkan menegaskan DAPSY akan membalas kritikan Pemuda Umno sepuluh kali ganda, namun beliau tetap menghargai sikap rasional Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dari kedudukan saya, komen saya, singa tidak berdebat dengan lalat. Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh,” kata Nga.

Reaksinya itu dipetik dalam wawancara eksklusif dengan sebuah akhbar kelmarin ketika melawat ibu pejabat akhbar itu di Petaling Jaya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

“Telah jelas kebencian mereka itu dari lidah lidah mereka… dan apa yang ada di dalam hati mereka adalah lebih besar lagi…,” petik Annuar daripada maksud ayat al-Quran.
 – HARAKAHDAILY 23/1/2025

Tuesday, January 21, 2025

Tol percuma pada musim perayaan tak bantu atasi kesesakan jalan - TPM

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jan 21, 2025 10:48 PM
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan mereka kerana kerajaan tidak lagi memberikan pengecualian tol semasa musim perayaan.

Menurutnya pemberian tol percuma semasa musim perayaan tidak membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya, selain kerajaan perlu membelanjakan RM35 juta sehari sebagai pampasan konsesi tol.

"Walaupun ia tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung, tetapi konsesi itu terpaksa dipanjangkan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan lebuh raya yang bertol.

"Jadi keputusan untuk menghentikan pemberian tol percuma adalah keputusan jemaah menteri hasil daripada saranan menteri kerja raya," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) diminta mengulas keputusan kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma bersempena musim perayaan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata ketetapan yang diputuskan pada mesyuarat Kabinet tahun lepas itu bagaimanapun akan diganti dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Dalam pada itu Ahmad Zahid meminta orang ramai merancang perjalanan mereka susulan penghapusan tol percuma ketika musim perayaan.

"Yang penting ialah gelagat ataupun tingkah laku untuk kita menggunakan jalan raya mesti berubah sekarang ini.

"Kita mesti menukar (fikiran) kepada memperolehi diskaun ataupun diberikan tol percuma itu sebagai hadiah. Tetapi, apabila tidak ada hadiah, kita mesti menukar cara berkenderaan apabila sampai musim-musim perayaan.

"Kita mesti menjadualkan kepulangan kita ke destinasi dan untuk pulang ke bandar raya ataupun ke destinasi rumah mereka itu, memang boleh disesuaikan," katanya.

Monday, October 14, 2024

'Saya saman Ahmad Zahid kerana dia menghina saya secara peribadi' - Dr Mahathir

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
 - Oktober 14, 2024
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan saksi berhubung saman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu adalah satu pembohongan.

Dr Mahathir yang memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman terbabit di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata kenyataan Presiden UMNO itu menggambarkan seolah-olah beliau bukan Mahathir Mohamad.

"Saya memfailkan saman ini kerana beliau menghina saya secara peribadi dengan membangkitkan isu 'kutty' yang menyentuh keturunan saya.

"Masyarakat Melayu tidak meletakkan 'anak lelaki' sebaliknya menggunakan perkataan 'bin' pada nama.

"Mana-mana orang bodoh pun akan faham beliau hendak menggambarkan bahawa saya bukan seorang Melayu, dengan menggunakan perkataan 'anak lelaki Iskandar Kutty'.

"Semua kenyataan beliau adalah bohong. Tujuan beliau adalah untuk menunjukkan saya berpura-pura bahawa saya adalah Mahathir Mohamad," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan undang-undang diambil tiga bulan selepas Ahmad Zahid menyamannya pada April 2022.

Ketika disoal balas peguam Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Ahmad Zahid, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' yang didakwa tertera pada kad pengenalan birunya, adalah tidak benar.

Pada prosiding itu, Mohd Shahrul Fazli turut mempertikaikan mengapa Dr Mahathir mengambil masa lima tahun untuk memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid.

Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai hak mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu dibangkitkan dan dituturkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkan beliau kepada rasa tidak puas hati dan dibenci masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika memegang jawatan awam dan tidak layak menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong bersambung Rabu.

Wednesday, October 9, 2024

Kalau takut diusik, jangan usik kami - Akmal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 9, 2024 
Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia enggan memanjangkan ketegangan antara pemimpin parti-parti kerajaan.

Walaupun Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh tidak menyebut langsung teguran presidennya itu namun dipercayai dia bertegas menegakkan pendiriannya sebelum ini yang dilihat sesetengah pihak sebagai 'kontroversi'.

"Kalau takut kena usik,jangan sesekali usik kami dulu.

"Jangan ingat kamu usik kami, kami diam membisu sahaja. Orang lain mungkin, tetapi bukan kami," kata Akmal pada hantaran di media sosial yang disertai tanda pagar #Pemuda Umno Malaysia.
Semalam Zahid berkata PH tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kepada Umno manakala pemimpin Umno pula diminta menghentikan serangan.

“(PH) Tidak perlu minta maaf. Jangan usik rakan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita mesti menghormati antara satu sama lain. Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini.

“Jangan timbulkan sebarang masalah,” kata Zahid.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri bagaimanapun berkata kenyataan ketua Pemuda Umno sebelum ini adalah kenyataan peribadi.

“Selagi presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, kenyataan- kenyataan itu adalah berbentuk peribadi,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata dia telah bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kemelut yang melanda.

Sunday, September 15, 2024

'PAS tak ikhlas nak jalin semula kerjasama MN bersama Umno'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 15, 2024 3:32 PM
Pemimpin Umno menyifatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak ikhlas untuk menjalin semula kerjasama dengan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) apabila mengenepikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kenyataan Abdul Hadi itu membuktikan sikap pentingkan diri sendiri dan tidak berlandaskan kepentingan Melayu, Islam.

"Bagi saya kenyataan Abdul Hadi itu tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja dan saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.

"Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan presiden kami? Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan Umno yang semakin hari semakin kukuh?
"Umno ada ketuanya yang memimpin dan jika PAS berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan presiden kami.

"Ini kerana Umno meletakkan institusi presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti," kata Wan Rosdy pada kenyataan, hari ini.

Semalam, PAS menegaskan mereka tetap meneruskan usaha untuk menarik sokongan pemimpin Umno dalam usaha menghidupkan MN.

Abdul Hadi mengakui pihaknya masih terbuka untuk menerima bekerjasama dengan Umno.
Bagaimanapun jelasnya ia melibatkan sebahagian pemimpin yang bukan daripada kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Ya, ya, ya (terbuka terima Umno).

“(Kita) nak tarik pimpinan-pimpinan Melayu Bumiputera termasuk bukan Islam yang tak ekstrem,” kata Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-70, di Kerdau, Temerloh.

‘Abdul Hadi merapu’

Dalam pada itu, Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata tiada pemimpin Umno yang sanggup bersama pemimpin PAS lagi dalam MN.

Mustapha menyifatkan kenyataan Abdul Hadi semalam itu "kenyataan bodoh" dan merapu.

"Tidak ada pemimpin Umno yang sanggup bersama PAS bagi menghidupkan semula MN. Semua pengkhianat yang disingkirkan telah bersama PAS.

"Mereka yang digantung masih jadi ahli Umno. Yang dalam Umno tetap setia dengan Umno. Jadinya Abdul Hadi janganlah bermimpi disiang hari," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi dipetik Berita Harian berkata parti itu sentiasa membuka pintu kerjasamanya.

Namun, katanya untuk bekerjasama perlulah ikhlas bukannya meletakkan syarat tertentu seperti mana dinyatakan Abdul Hadi semalam.

"Mana mungkin nak kahwin, tapi letak syarat tak boleh terima ayah pasangan.

"Sesuatu permuafakatan itu perlu berasaskan kejujuran dan keikhlasan, ia umpama seperti sebuah perkahwinan.

"Sepatutnya apabila Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara menitahkan supaya semua sepakat mewujudkan permuafakatan dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan (selepas PRU15), kenapa hanya PAS dan Bersatu saja tolak, sedangkan 19 parti lain bersetuju untuk akur kepada titah Tuanku.

"Sebab itulah asasnya adalah kejujuran dan keikhlasan," katanya.

Saturday, September 14, 2024

Bincang penyatuan Melayu, Islam dan Bumiputera dengan UMNO tak babitkan Zahid - Hadi Awang

bharian.com.my
Oleh Fahmy A Rosli 
fahmy.azril@bh.com.my
September 14, 2024 
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - NSTP/ MUHAMMAD DELIMA ATAN

TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan usaha untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera, dilakukan tanpa penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-70 hari ini, beliau berkata perbincangan dibuat tanpa kehadiran Ahmad Zahid sewaktu Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sedang bercuti.

"Yang asal kita bincang ialah penyatuan orang Melayu, Islam dan Bumiputera melibatkan pemimpin UMNO. Tidak (ada Ahmad) Zahid Hamidi. Ia berlangsung semasa (Ahmad) Zahid Hamidi (sedang) bercuti. (Jadi) dia tak terlibat.

"Dan kita bersetuju untuk mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Islam dan Bumiputera untuk ambil alih kerajaan bersama dengan BERSATU (ketika itu).

"Kita berjaya ambil alih kerajaan dalam beberapa tempoh (sebelum ini). Tetapi oleh kerana (Kerajaan Persekutuan pada ketika itu) tidak teguh, tak kuat kedudukannya. Tapi ada kejayaan, ada kesannya.

"Kesannya ialah beberapa dalam kalangan pimpinan UMNO bersama kita. Hanya segelintir saja bersama dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya sambil menambah hari ini sambutan kelima penubuhan MN.

Ditanya adakah PAS masih terbuka untuk menerima kerjasama dengan UMNO, Abdul Hadi mengakui "ya".

Dalam masa sama, beliau berkata PAS juga bersedia bahkan membuka pintu untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka yang bukan Islam, namun menggariskan syarat bahawa golongan itu mestilah tidak ekstrem.

"Tarik pimpinan Melayu, Bumiputera termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Selagi PH berpegang kepada prinsip dan dasarnya yang pragmatik, yang tidak konsisten di mana komponen bukan parti yang ada dasar yang teruk.

"Ada (parti) yang ada dasar bercanggah dengan perjuangan kita. Contohnya DAP (dasarnya) yang sekular, Malaysian Malaysia. Bererti di (peringkat) antarabangsa pun dia (dasar DAP) ikut (seperti) Singapura, ikut Amerika Syarikat," katanya.

Thursday, September 12, 2024

Umno dulu dominan, kini tunduk kepada PKR-DAP – Tun M

harakahdaily.net
September 12, 2024
Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), telah mengeluarkan kenyataan keras terbaharu terhadap integriti Umno sebagai parti yang pernah gah suatu ketika dahulu.

Beliau menyatakan bahawa Umno, yang dulunya dominan dengan jumlah wakil rakyat terbanyak, kini telah merosot menjadi parti kecil dalam Pakatan Harapan (PH), terpaksa tunduk dan menyokong DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tiga suku dari ahli Umno dan penyokong sudah tolak Umno. Yang tinggal hanya wakil rakyat dan penyokong yang mengikut arahan (Presiden Umno, Dato’ Seri Dr. Ahmad) Zahid (Hamidi) supaya undi DAP,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial milik, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengkritik Umno yang dulunya menolak Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan DAP tetapi kini menjadi ‘alat’ kepada kepada kedua-duanya.

Beliau juga menyebut bahawa matlamat Umno kini hanyalah untuk melindungi Zahid Hamidi daripada hukuman rasuah dan penyelewengan wang, dan bukan lagi untuk memperjuangkan bangsa, negara, dan agama.

“Parti yang menggagalkan Malayan Union British, memerdekakan negara dan membangunnya sehingga dikenali sebagai Harimau Asia, sudah jadi pengikut buntut PKR/DAP dan alat Zahid Hamidi,” katanya. 

Friday, September 6, 2024

Pendakwa tak perlu maklum mahkamah perkembangan siasatan SPRM, peguam ulas DNAA Zahid

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-06 Sep 2024, 10:15 AM

A Srimurugan berkata Kanun Tatacara Jenayah tidak memerlukan pendakwaan berbuat demikian selepas beliau dilepas tanpa bebas setahun lalu.
Zahid Hamidi dilepas mendapat DNAA semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang selepas empat tahun perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 4 Sept 2023.

KUALA LUMPUR: Pendakwa raya tidak menanggung kewajipan undang-undang memaklumkan perkembangan kepada hakim perbicaraan yang membenarkan seseorang tertuduh dilepas tanpa bebas (DNAA) dalam kes jenayah, kata peguam.

A Srimurugan berkata, tiada peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah atau pengisytiharan undang-undang lalu oleh mahkamah memerlukan pihak pendakwaan berbuat demikian, sama ada mahu meneruskan kes atau sebaliknya.

Pendakwa raya yang juga peguam negara mempunyai budi bicara mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah untuk terus atau menggugurkan kes, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, mendapat DNAA setahun lalu bagi semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang selepas empat tahun perbicaraan berjalan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika itu, bahawa beliau diarah peguam negara untuk tidak meneruskan prosiding.

Beliau mengesyorkan kepada hakim mengklasifikasikan kes sebagai lepas tanpa bebas, memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes dan pihak pendakwaan perlu menyemak dapatan siasatan.

Zahid, yang menghantar representasi kepada peguam negara, mendakwa kes didepani bersifat pendakwaan terpilih dilakukan rejim sebelum ini.

Presiden Umno itu berdepan tuduhan pecah amanah jenayah ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri untuk kali kedua, selepas Pakatan Harapan menguasai kerajaan pusat pada 2018.

Peguam K Ramu, berkata sekurang-kurangnya peguam negara selaku penjaga kepentingan awam boleh memaklumkan kepada orang ramai status siasatan SPRM.

Atas nama ketelusan dan kebertanggungjawaban, beliau sekurang-kurangnya patut mengeluarkan kenyataan umum berkait perkembangan terbaharu, katanya.

Peguam Salim Bashir, berkata pilihan lebih baik bagi Zahid adalah memfailkan permohonan mendapatkan pembebasan.

Bekas presiden badan peguam itu, berkata tidak betul meninggalkan seseorang individu dibebani pertuduhan di mana prosiding ditangguh untuk tempoh tidak ditentukan.

Beliau sedia maklum dalam kes Karpal Singh lawan Pendakwa Raya, mahkamah menyatakan seseorang itu tidak boleh dibiarkan nasibnya tergantung dan perlu kepada pengakhiran kes.

Salim berkata, pihak pendakwaan boleh menentang atau menerima permohonan sedemikian.

Zahid tidak boleh lagi dituduh dengan kesalahan sama pada masa depan jika mahkamah mengisytihar beliau dibebaskan, katanya.

Bagaimanapun, beliau boleh diminta menyambung pembelaan atau berdepan tuduhan baharu yang mempunyai fakta dan keterangan sama, pada masa depan jika status lepas tanpa bebas kekal.

Perbicaraan Zahid terhenti selepas 77 hari pendengaran dan sejumlah 114 saksi pendakwaan dan pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Zahid sebelum ini berdepan pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jutaan ringgit melibatkan Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Daripada 47 pertuduhan, 12 pendakwaan melibatkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah, dan selebihnya pengubahan wang.

Thursday, September 5, 2024

Penubuhan SG4 satu perkembangan positif - Ahmad Zahid

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
- September 5, 2024 @ 11:16am
Ahmad Zahid pada majlis Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di KLCC, hari ini. NSTP/AIMAN HARIZ AZHAR

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat penubuhan syarikat dinamakan SG4 Group Sdn Bhd oleh empat kerajaan negeri ditadbir pembangkang sebagai satu perkembangan positif, khususnya bagi penerokaan sumber ekonomi secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang tentunya mempunyai strategi tersendiri selari dengan penubuhan syarikat terbabit.

"Saya melihat SG4 yang ditubuhkan itu mempunyai maksud yang baik, namun kita tahu harga unsur nadir bumi (REE) di pasaran dunia kini merosot 70 peratus.

"Ini disebabkan oleh 'dumping' atau lambakan REE di pasaran dunia dengan pengeluaran 'stockpile' oleh negara tertentu," katanya selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Isnin lalu, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama untuk pembangunan negeri.

Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata syarikat yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd itu akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, walaupun berlaku penurunan harga REE di pasaran dunia, namun potensinya masih cukup besar untuk diterokai.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang ditentukan Kerajaan Persekutuan bagi tujuan eksport.

Sunday, September 1, 2024

Zahid alu-alukan siasatan dari laporan polis Pemuda Bersatu

malaysiakini.com
Zarrah Morden
Diterbitkan: Sep 1, 2024 2:00 PM
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata dia mengalu-alukan siasatan hasil laporan polis Pemuda Bersatu kerana didakwa memperdaya dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Pengerusi BN itu mengulangi dakwaannya bahawa 10 akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen BN yang memberikan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin adalah tidak sah.

"Saya harap pihak-pihak yang berwajib sama ada pihak polis ataupun pihak pendaftar pertubuhan ataupun AG (peguam negara) sendiri boleh melakukan siasatan terhadap perkara itu," katanya pada sidang media selepas satu majlis di Pusat Dangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Zahid, semua calon BN perlu menandatangani tiga dokumen yang mengakui mana-mana kerusi yang dimenangi adalah milik parti dan bukan individu, serta menyerahkan kuasa membentuk kerajaan kepada pengerusi gabungan.

Tambahnya, terdapat bukti rakaman video calon BN menandatangani dokumen tersebut.

Pada Jumaat (30 Ogos), pengerusi tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir membuat laporan polis terhadap Zahid, dengan mengatakan bahawa penipuan yang dilakukannya terhadap Agong terdahulu adalah satu kesalahan jenayah yang serius.

Persoalan mengenai sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 sekali lagi dibangkitkan selepas ucapan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya kecil Nenggiri.

Pada 21 Ogos, Muhyiddin menyerahkan kepada polis 115 SD, termasuk SD miliknya, menyokongnya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022, yang mengakibatkan parlimen tergantung.

Media kemudiannya diberikan salinan SD Muhyiddin kepada istana bertarikh 21 Nov 2022, di mana dia menyebut bahawa dia telah melampirkan 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu), serta SD daripada 10 Ahli Parlimen BN dan dua Ahli Parlimen bebas.

SD dan surat berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan Muhyiddin kepada polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan dia telah menghina bekas Agong dengan membangkitkan bagaimana dia tidak dijemput untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun mendapat sokongan 115 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, keesokan harinya (22 Ogos), Zahid menyangkal dakwaan itu dengan berkata Muhyiddin hanya mempunyai 105 akuan berkanun, yang tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-