Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts
Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts

Monday, September 18, 2023

Mantap betul Kit Siang sucikan UMNO selepas jadi rakan DAP: KJ

agendaily.com
18/09/2023
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini disokong DAP.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi sindiran pedas terhadap Tan Sri Lim Kit Siang yang seolah-olah terkejut dengan keputusan dibuat kerajaan campuran menghentikan kes rasuah Presiden UMNO.

Sindiran bekas Ahli Parlimen Rembau itu terhadap veteran DAP yang juga bapa kepada Lim Guan Eng itu susulan kenyataan “terkejut” dan “terkedu” berhubung kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dihentikan oleh pendakwa raya baharu dilantik kerajaan campuran.

“Begitukah? Kamu telah mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan tentang segala-galanya sepanjang kerjaya kamu dan kini anda hanya menyebut begitu sahaja?” tanya Khairy.

“Selebihnya dia menyalahkan Perikatan Nasional yang kononnya pecah belahkan masyarakat.

“Mantap betul Tan Sri Lim Kit Siang menyucikan rakan BFF politik terbaharu DAP,” ujarnya lagi.

Kit Siang merupakan pemimpin DAP terbaharu yang diserang kerana pendirian parti itu yang tidak jelas mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) kepada Zahid sebelum ini.

Khairy sebelum ini menimbulkan kemarahan pemimpin DAP dengan menggelar parti itu sebagai “anjing suruhan” UMNO.

“Lebih teruk daripada apa yang mereka gunakan untuk menuduh MCA dulu.

“Anjing suruhan dan membiarkan penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam catatan di Instagram mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, sambil menambah bahawa DAP “tiada lagi garis merah”.

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.

Tuesday, September 5, 2023

Khairy bidas DAP ’anjing suruhan’ selepas pendakwa minta hentikan kes Zahid

agendaily.com
05/092023
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

DAP menjadi sasaran kritikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan pembebasan yang diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO yang menjadi mangsa politik Zahid itu menghalakan kecamannya terhadap DAP dengan menggelar parti itu sebagai ‘anjing suruhan’ kerana melihat sahaja salahguna kuasa berlaku dalam kerajaan campuran.

Dalam catatan di Instagram membalas respons Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, beliau berkata DAP “tiada lagi sempadan merah”.

“Lebih teruk daripada apa yang mereka gunakan untuk menuduh MCA dulu,” tambahnya.

“Anjing suruhan dan membiarkan penyalahgunaan kuasa.

“Tapi mereka tahu ia tidak penting. 95% pengundi Cina masih akan terus menyokong mereka.”


Terdahulu, Loke dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata peguam negara yang akan bersara Tan Sri Idrus Harun harus menjelaskan langkah kerajaan untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden UMNO itu.

Beliau berkata Idrus harus menjelaskan secara terbuka faktor-faktor yang menyebabkan tindakan Jabatan Peguam Negara memohon supaya Zahid itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Beliau berkata permohonan DNAA adalah prerogratif peguam negara untuk “menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci”.

Terdahulu, Zahid dilepaskan daripada kesemua 47 pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

“Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.

“Andainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai, dan dengan ini, mahkamah ditangguhkan,” katanya dipetik laporan media.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau yang juga Presiden UMNO, turut berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Saturday, July 1, 2023

UMNO berada dalam kegelapan selama-lamanya: KJ

agendaily.com
01/07/2023
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hanya akan pulang kepada UMNO sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan lagi presiden parti.

Keadaan UMNO sekarang diibaratkan berada dalam kegelapan selama-lamanya, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu memberi reaksi terhadap kedudukan parti yang disertainya sebelum ini sudah berubah sekarang, namun melihatkan kepada keadaan semasa beliau melihat sukar untuk melihat parti itu bangkit semula selepas ini.

“Saya tak tahu mengenainya (peluang cerah jika menunggu memasuki semula UMNO atau menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi saya rasa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal.

“Saya tak pasti (UMNO) dapat pulih daripada (keadaan) ini. Sudah pasti itu parti dekat di hati kerana saya bersamanya lebih daripada 20 tahun, tetapi saya percaya parti itu berada dalam kegelapan selama-lamanya,” katanya dipetik laporan BH hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir program Future Leaders Empowerment Series (FLES) di UCSI University.

Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy juga sebelum ini menerima tawaran daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun belum memuktamadkan sebarang keputusannya.

Walaupun tidak menyertai Bersatu secara sah, namun Khairy memberi isyarat jelas akan membantu jentera PN pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Khairy hanya menjawab perkara itu sudah dijawab sebelum ini.

“Saya sudah bercakap mengenainya sebelum ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai Bersatu buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

Sementara itu, Khairy hanya mengatakan beliau akan melihat terlebih dulu ketika ditanya mengenai kemungkinannya bersara daripada dunia politik.

“Tunggu dan lihat,” katanya ringkas.

Thursday, June 22, 2023

Ahmad Maslan penyebab ekonomi merudum, kata Khairy

satuberita.my
By Admin
-June 22, 2023
BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa semakin banyak Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi maka ia akan merudum dengan begitu pantas.

Beliau berkata, tindakan Ahmad berbicara soal ekonomi, seolah-olah ada pengumuman besar untuk memastikan nilai ringgit lebih kukuh.

“Kenyataan dibuat itu menjadikan individu di pasaran kewangan, pelaburan mahu mengetahui berita yang bakal disampaikan itu.

“Bagi saya cara pengumuman itu bagus kerana ia merupakan gerakan taktikal, namun ia tidak akan mengubah soal gambaran landskap pelaburan di negara kita,” katanya menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap, hari ini.

Sebaliknya, Khairy menjelaskan, dua cara untuk menarik pelaburan dan mengukuhkan nilai ringgit di Malaysia adalah dengan menjual sedikit pegangan kepada Sovereign Wealth Fund (SWF) dan menjadikan negara sebagai pejabat keluarga (family office).

Jelasnya, pelabur yang datang melabur melihat kepada kerajaan, usaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyediakan peluang untuk dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga.

Menurutnya, apabila pegangan dijual sedikit kepada SWF, ia akan memberi kesan lebih besar daripada pengumuman yang kecil untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, Khairy berkata, untuk meningkatkan pelaburan ke dalam negara, kerajaan bukan sahaja perlu menarik perhatian syarikat dan profesional, sebaliknya pejabat keluarga juga.

“Sejak beberapa tahun lalu, strategi Singapura adalah menarik pejabat keluarga yang mana ia merupakan satu entiti ditubuhkan oleh keluarga kaya untuk menguruskan kewangan mereka.

“Cuma kita perlu ada persekitaran polisi yang lebih fleksibel untuk pejabat keluarga ditubuhkan di sini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Monday, June 19, 2023

KJ jumpa Muhyiddin, surat tawaran palsu PKR beredar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 19, 2023 
Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin bertemu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini.

Pertemuan itu berlangsung di tengah teka-teki berkaitan landasan politik barunya setelah dipecat daripada Umno awal tahun ini.

Setakat ini butiran lanjut perbincangan antara Khairy dan Muhyidddin belum diketahui.

Bersatu telah menawarkan jawatan pusat kepada Khairy dan PN mempunyai rancangan penting untuknya sempena pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Sementara itu, turut tersebar surat palsu berkaitan tawaran PKR kepada Khairy selepas dia menjadi salah seorang yang dipanggil dalam mesyuarat membincangkan hal ehwal ekonomi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu (bawah).
Surat bertarikh hari ini itu dikatakan ditandangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang menawarkan keanggotaan parti dan jawatan timbalan presiden lantikan–jawatan yang tidak pernah wujud dalam parti itu.

“Jenis huruf (surat itu) pun salah,” kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil ringkas kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Khairy dipecat awal tahun ini dalam proses pembersihan Umno terhadap kumpulan yang kritikal terhadap Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy berkata dia mendapat banyak tawaran dari pelbagai parti tetapi belum membuat sebarang keputusan.

Bekas anggota parlimen Rembau itu malah berseloroh untuk menubuhkan parti sendiri.

Saturday, June 17, 2023

Anwar akhirnya terpaksa “pinggirkan” Zahid, Rafizi

suaramerdeka.com.my
17/06/2023
DATUK Seri Anwar Ibrahim akhirnya sedar beliau tidak boleh berharap kepada para menteri kabinetnya untuk menyelamatkan negara ini.

Perdana Menteri terpaksa Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani yang pernah menjadi menteri kewangan kedua dan lebih arif daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Selain itu Anwar juga memanggil Khairy Jamaluddin, mantan menteri kesihatan .

Dalam hantaran ke Facebook miliknya Anwar menjelaskan memanggil dua pemimpin berkenaan serta pakar-pakar ekonomi bagi menentukan dasar ekonomi ekonomi bagi berdepan dengan situasi yang semakin getir.

Matawang negara terus menjunam kerana lemahnya dagangan antarabangsa dan begitu juga inflasi dijangka naik ketika harga barangan keperluan terus meningkat mengakibatkan kos sarahidup meroket naik.

Reaksi netizen terhadap langkah yang diambil oleh Anwar itu sangat positif dan menyifatkan inilah semangat kerajaan perpaduan.

Jika Anwar lebih berani beliau perlu menggugur para menteri yang tidak kompeten seperti Rafizi dan Mohamad Sabu serta Fahmi Fadzil yang menyebabkan kerajaan beliau menjadi bahan jenaka semata-mata.

Mereka ini hanya layak menjadi ahli politik semata-mata dan bukan ahli kabinet.

Monday, June 5, 2023

PRN Umno ‘bungkus’, kata KJ

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
05 Jun 2023

Khairy Jamaluddin berkata demikian sebagai respons ‘jemputan sinis’ presiden Umno terhadap ahli yang dipecat dan digantung hadir ke PAU 2023.
Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein tidak menyukai tindakan Zahid Hamidi menyindir bekas ahli dipecat dan digantung boleh hadir Persidangan Agung Umno.

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata parti itu akan “bungkus” pada PRN di enam negeri.

Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Hishammuddin Hussein yang membidas “jemputan sinis” Presiden Umno Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, terhadap ahli Umno dipecat dan digantung ke Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat daripada Umno pada Januari lalu

Hishammuddin dalam hantaran di Instagram berkata, orang ramai lebih rindu kepada Umno yang asal.

“Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke PAU secara menyindir dan sengaja berseloroh. Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan Umno, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.

“Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah Umno yang terkesan daripada pelawaan sinikal sedemikian,” kata Ahli Parlimen Sembrong yang digantung keahlian enam tahun.

Zahid sebelum ini berkata, bekas ahli Umno yang merindui PAU boleh hadir dengan menjadi pemerhati di luar Dewan Merdeka.

Pelawaan sama turut dibuat Asyraf yang berkata, ahli Umno dipecat atau sedang digantung parti boleh menghadiri PAU dijadualkan pada 7 hingga 10 Jun ini.

Monday, May 29, 2023

Umno hilang 50% undi Melayu pada PRN, ramal KJ

freemalaysiatoday.com
29 May 2023, 6:49pm

Khairy Jamaluddin berkata sekurang-kurangnya separuh daripada mereka yang selama ini menyokong Umno akan beralih memberi undi kepada PN.
Khairy Jamaluddin berkata PH dinilai sebagai lebih berguna kepada BN berbanding BN kepada PH.

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin meramalkan Umno akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada PRN akan datang jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang “didoktrin” sekian lama.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan mengenai “undi DAP” adalah sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan penolakan dalam kalangan ahli parti itu.

“Pandangan dan perasaan orang Umno bukan terhadap satu kaum, soal Melayu dan Cina, tetapi terhadap parti DAP itu sendiri, yang selamanya ‘didoktrin’ dalam Umno sebagai musuh atas sebab-sebab tertentu.

“Kalau benda ini tidak dibendung, ramai penyokong Umno akan memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti. Sekurang-kurangnya 50% daripada mereka yang selama ini menyokong Umno,” katanya dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Terdahulu, Ahmad meminta ahli Umno menganggap calon DAP pada PRN di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

Susulan itu, Ahli MKT Umno, Isham Jalil memberi amaran sokongan kepada Umno akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada PRN.

Bagaimanapun, MKT Umno pada 27 Mei lalu menerima penjelasan Ahmad berhubung kenyataannya menggesa ahli parti itu mengundi DAP.

Ahmad memberi penjelasan dia tidak pernah menyebut “DAP”, sebaliknya meminta akar umbi menyokong calon kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Khairy berkata Pakatan Harapan (PH) dinilai sebagai lebih berguna kepada Barisan Nasional (BN) berbanding BN kepada PH.

“Maksudnya pengundi PH yang tidak akan sokong calon BN jumlahnya lebih kecil daripada pengundi Umno yang tidak akan sokong calon daripada PH.

“Sebab PH tak akan buang undi kepada PN, kebanyakan penyokong mereka sudah tentu bukan Melayu dia tidak akan beri undi kepada PAS, Bersatu. Mereka akan campak kepada Umno atau dia tak akan keluar mengundi,” katanya.

Namun, katanya penyokong Umno ada kemungkinan memberi undi kepada PN daripada PH.

Shahril yang senada dengan Khairy berkata angka peralihan undi itu akan naik lagi apabila wujudnya ketidaksefahaman dalam kalangan Umno.

Thursday, May 11, 2023

UMNO kini pengemis politik, ‘hidup segan mati tak mahu’, kata Khairy

satuberita.my
By SatuBerita
-May 11, 2023
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin

UMNO kini sudah menjadi pengemis politik dan parti itu diibaratkan “hidup segan mati tak mahu”, kata Khairy Jamaluddin.

Bekas ahli Parlimen Rembau itu berkata, masa depan UMNO sangat malap selepas kehilangan sokongan Melayu yang merupakan tunjang kekuatan parti itu dan perlu bergantung kepada ihsan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal hidup.

Katanya, dengan kepimpinan sedia ada, parti Melayu itu akan terus hidup tetapi tidak secara “segar dan bermaruah”.

“Walaupun dengan kepimpinan yang sedia ada, UMNO akan hidup, tapi dia hidup segan mati tak mahu. Dia tidak hidup segar dan bermaruah, dan dia juga tidak mati, tapi dia jadi parti yang sangat-sangat lemah dan mungkin kekal menjadi pilihan ketiga orang Melayu.

“Dia (UMNO) juga tidak mati, tapi jadi parti yang sangat lemah dan mungkin kekal jadi pilihan ketiga orang Melayu,” katanya dalam temu bual bersama saluran berita Singapura, Mediacorp.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas menteri kesihatan, melihat UMNO sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dan usaha sama yang terjalin antara kedua-dua pihak itu akan menjejaskan lagi sokongan Melayu terhadap parti terbabit.

Katanya, situasi ini akan memanfaatkan Perikatan Nasional (PN) yang mana ramai dalam kalangan penyokong dan pengundi UMNO akan beralih ke gabungan parti politik baru tersebut.

“Persoalan besar adalah sama ada pengundi UMNO nak bagi (undi) kepada UMNO-PH atau PN.

“Saya rasa kini 50% daripada pengundi UMNO akan beri sokongan kepada PN, mereka tak sanggup bagi kepada UMNO atau PH,” katanya menurut Malaysianow.

Mengulas mengenai jangkaan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Khairy menjangkakan UMNO atau PH sukar untuk meraih keputusan baik di negeri-negeri yang sedang ditadbir PAS-PN.

Katanya, perhatian utama pada PRN kali ini ialah untuk melihat sejauh mana pengaruh PN akan berkembang di negeri yang ditadbir PH.

“Dan inilah yang disebutkan gelombang, bukan gelombang hijau tetapi gelombang PN.

“Yang menarik ialah sejauh mana PN dapat meneruskan gelombang tersebut ke Selangor.

“Jika mereka berjaya kembangkan pengaruh dan sokongan mereka di Selangor, maksudnya mereka bukan lagi parti semata-mata di kubu kuat Melayu,” tambah beliau.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November tahun lepas, PN membuat kejutan di Selangor apabila gabungan parti politik itu bukan saja merampas semua kerusi Parlimen BN tetapi juga tiga kerusi milik PH iaitu Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat.

Friday, February 17, 2023

PAS pertimbang tawar kerusi DUN kepada KJ, kata Timbalan Presiden

agendaily.com
17/02/2023
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS mempertimbangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, sehingga kini parti itu belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy.

“PAS juga tetap terbuka menerima bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

“PAS dan Perikatan Nasional (PN) turut mengalu-alukan tokoh atau ahli daripada parti lain yang tidak bersetuju dalam muafakat politik parti mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II di Kota Bharu hari ini.

Khairy yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipecat daripada UMNO baru-baru ini, pernah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN di Selangor.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN, Tuan Ibrahim memberitahu, PAS belum membincangkan perkara itu dan menyerahkannya kepada majlis tertinggi dan jawatankuasa perunding parti.

Bagaimanapun katanya, PAS sudah melakukan simulasi umum untuk memberi fokus kepada negeri yang boleh dimenangi pada PRN akan datang.

Untuk rekod, enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka mengadakan PRN masing-masing selepas Jun depan.

“Calon muka baharu kira-kira 40 peratus dan kita minta Muslimah dan Pemuda boleh menyenaraikan nama yang sesuai untuk tapisan sebagai calon,” katanya lapor Sinar.

Tuan Ibrahim turut memberitahu, PAS menerima purata seramai 5,000 ahli baharu setiap sebulan dengan sebahagian besarnya ialah orang muda.

Friday, February 10, 2023

KJ pula akui ‘dilanyak’ UMNO

agendaily.com
10/02/2023
Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan turut meninggalkan komen terhadap kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan ‘dilanyak’ parti sendiri, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin, pula mengakui keadaan yang sama.

Ketika memberi komen balas terhadap penjelasan Naib Presiden UMNO itu, bekas menteri dibawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, mengakui turut diserang rakan dalam parti sendiri.

“Apa pun, kami sudah lakukan yang terbaik untuk negara seperti keluar dari pandemik, pulihkan ekonomi. Anda boleh berbangga untuk perkara itu,” kata Khairy menurut Sinar.

Terdahulu, hari ini (10 Februari) Ismail Sabri ketika memperbetulkan salah faham dalam wawancara dengan beberapa media baru-baru ini mengakui kecewa akibat ‘dilanyak’ oleh UMNO sendiri, seolah-olah beliau bukan menteri UMNO.

Beliau menyifatkan UMNO seolah-olah pembangkang ketika beliau menjadi Perdana Menteri apabila turut bersama pihak lain menyerang beliau, bukan mempertahankannya.

“Saya agak kecewa. Tapi saya tak pernah menunjukkan kekecewaan saya. Saya perdana menteri UMNO untuk memperkukuhkan UMNO. Daripada 29 menteri Kabinet 14 adalah menteri BN dan Perdana Menteri.

“Jadi separuh daripada Kabinet itu, walaupun kita hanya ada 42 kerusi di Parlimen.

“Tetapi ditekan oleh UMNO sendiri. Seperti saya bukan menteri UMNO. Setiap apa yang berlaku tekanannya adalah terlalu kuat kepada saya,” katanya.

Bersatu sedia tawar KJ jawatan MB N Sembilan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-February 10, 2023 7:09 PM
Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith berkata partinya sedia menawarkan Khairy Jamaluddin jawatan menteri besar jika PN menang PRN akan datang.

PETALING JAYA: Bersatu Negeri Sembilan sedia menawarkan jawatan menteri besar kepada Khairy Jamaluddin jika beliau mahu bertanding pada PRN atas tiket parti itu.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith, berkata soal menteri besar adalah perkara kecil kerana Perikatan Nasional (PN) menumpukan kepada kemenangan di negeri itu.

“Jika KJ sertai Bersatu dan bertanding di Negeri Sembilan, kita tiada masalah untuk tawarkan dia kerusi menteri besar.

“Bagi saya itu adalah persoalan kecil kerana pentingnya kita nak memastikan kemenangan dan semestinya siapa saja dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar. Itu kita serah pada pucuk pimpinan,” katanya menurut Sinar Harian.

Eddin berkata, semua sedia maklum kekuatan yang ada pada Khairy sebagai seorang pemimpin.

“Tapi sehingga kini kita tak tahu status sebenar KJ (selepas dipecat Umno),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini PN atau Bersatu belum mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan Khairy dan menyerahkan kepada pimpinan parti untuk berbincang dengannya.

“Kita tidak mahu jika terlalu ramai pemimpin berjumpa KJ, timbul pula perkara tidak selari,” katanya.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan Khairy yang juga bekas menteri kesihatan berminat bertanding PRN Selangor.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Zulkafperi Hanapi memberitahu, Bersatu negeri itu tidak membuat sebarang pelawaan kepada Khairy untuk menjadi calon dan ditawarkan jawatan menteri besar.

“Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy) tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan,” katanya.

Sebelum ini PAS Selangor juga mengesahkan tiada perbincangan mendalam berhubung tawaran jawatan atau kerusi kepada Khairy menjelang PRN.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir yang dipetik berkata, parti itu mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkemampuan untuk diangkat calon menteri besar jika PN menang.

Khairy dipecat daripada Umno kerana pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno semasa PRU15.

Monday, February 6, 2023

Khairy pulang kepada UMNO jika pemimpin bertukar, bukan lagi Zahid

agendaily.com
06/02/2023
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hanya akan pulang kepada UMNO sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan lagi presiden parti.

Bekas Ahli Parlimen Rembau yang dipecat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khairy Jamaluddin hanya akan pulang ke pangkuan parti itu apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menjadi presiden.

“Saya masih mencari jalan pulang (kepada UMNO),” katanya sambil menjelaskan kepulangan beliau ke pangkuan UMNO mestilah di bawah kepemimpinan baharu.

Dalam satu perjumpaan bersama media di Concorde Club, di Kuala Lumpur, hari ini (6 Februari 2023), Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata sebelum pemilihan parti 2018 beliau ditawarkan jawatan Timbalan Presiden oleh Zahid.

“Sebelum pemilihan UMNO pada 2018, saya pernah berjumpa dengan Zahid, ketika itu beliau menawarkan jawatan Timbalan Presiden kepada saya, namun saya menolaknya,” katanya.

Khairy berkata, sejak 2018 beberapa siri perjumpaan diadakan untuk menawarkan beliau jawatan di dalam UMNO namun beliau menolaknya.

“Sejak 2018, saya secara konsisten menyuarakan UMNO perlu perubahan dalam kepimpinan, semua pemimpin UMNO yang berada dalam jawatan sejak 2018 tidak boleh memegang jawatan itu lagi,” katanya menurut BH.

Sehubungan itu Khairy berkata, beliau mungkin perlu menunggu lama untuk peluang kembali kepada UMNO.

Sementara itu, beliau berkata, selain tawaran beberapa jawatan korporat dan penyelidikan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke arena politik negara.

“Saya ada pengalaman selama tiga penggal sebagai ahli Parlimen, memegang jawatan menteri di tiga kementerian, menambah pengalaman di peringkat negeri adalah langkah paling sesuai,” katanya.

Beliau berkata, beliau berminat dengan perkembangan politik di Selangor dan tidak menolak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, berkata jika beliau membuat keputusan untuk kembali ke arena politik, beliau akan mulakan di Selangor.

Beliau menyifatkan, kempennya di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sangat baik walaupun tidak memenangi kerusi Parlimen itu.

“Jika saya mahu sertai politik semula, saya akan bertanding dalam PRN di Selangor, namun saya belum memilih platform atau parti yang sesuai untuk disertai,” katanya

Khairy mengakui telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pelbagai parti politik dan antara yang dibincangkan adalah posisi beliau di sana.

Bagaimanapun, Khairy menjangkakan PRN Selangor amat sengit kerana negeri itu kubu kuat Pakatan Harapan (PH), namun pada PRU-15 lalu, Perikatan Nasional (PN) sudah mula bertapak.

“Walau apa pun pilihan saya, persaingan di sana (Selangor) amat sengit,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mungkin menubuhkan parti politik baharu, Khairy menyifatkan arena politik negara sudah terlalu padat.

“Walaupun ada cadangan, …mungkin tidak kerana arena politik negara kita sudah terlalu padat untuk saya menubuhkan sebuah parti baharu,” katanya.

Sunday, February 5, 2023

'Umno akan sukar tarik sokongan golongan muda kerana pecat KJ'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 5, 2023 10:53 AM
Umno akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda berikutan tindakan parti itu memecat pemimpin kritis seperti bekas ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Dalam temu bual dengan Utusan Malaysia, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu telah mengambil langkah ke belakang dengan isyarat yang salah kepada golongan muda.

“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka (golongan muda). Iaitu parti Umno tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.

“Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pe­mimpin yang dipecat Umno seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar. Sebab itu, saya kata mereka ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli. Orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka,” kata ahli parlimen Bera itu seperti dilapor.

Khairy, bersama bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar dipecat daripada parti kerana didakwa mensabotaj parti semasa pilihan raya umum ke-15, manakala beberapa pemimpin dan ahli lain digantung selama enam tahun.
Khairy sejak itu mempertahankan kritikannya terhadap Umno dan berkata dia tidak akan merayu keputusan pemecatan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan Umno telah kehilangan beberapa sokongan golongan muda pada PRU ke-15 lalu, dan parti itu boleh menjangkakan akan menghadapi nasib yang sama pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, termasuk dalam kalangan pengundi kali pertama yang telah didaftarkan secara automatik.

“Kita hadapi masalah sama dalam PRU15 baru-baru ini yang akhirnya ditolak orang muda dan golongan profesio­nal. Sebab kita tak nampak apa tawaran baharu yang diberikan sebelum dan selepas PRU15 kalau kita dengan cara dan nada sama.

“Jadi tiada apa yang hendak diharapkan pada Umno lagi. Kalau dulu kita ditolak, tiada sebab mereka mahu ubah dan tolak Umno sekali lagi,” katanya.

Wednesday, February 1, 2023

Orang Melayu sudah ‘move on’ daripada UMNO – KJ

satuberita.my
By Admin
-February 1, 2023
BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu kinj sudah punyai pilihan lain sebagai sandaran untuk pembelaan serta perjuangan bangsa dan agama.

“Mereka tidak lagi menganggap bahawa isu tersebut tak akan dibela tanpa ada UMNO dan orang Melayu sudah mencari wadah lain yang boleh memperjuangnya,” ujar bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Katanya lagi, disebabkan
itu beliau tetap menegaskan bahawa untuk UMNO kekal relevan, parti itu harus membuka pertandingan di setiap peringkat terutamanya jawatan Presiden.

“Kalau yang menang itu Zahid, Zahid lah, tapi kena ada mandat sebab tanpa mandat daripada ahli, bagaimana kita nak jelaskan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa kita mahu bawa perubahan?

“Sedangkan orang Melayu sekarang ini pun kata “alah kalian pun tak berani nak adakan pemilihan untuk Presiden dan Timbalan Presiden, tak berani nak bawa perubahan, tak berani nak beri hak kepada ahli untuk memilih pemimpin, apa perubahan yang kalian katakan,” soalnya.

Pada masa sama menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak merajuk dengan UMNO walaupun parti yang disayanginya itu telah menyingkirkannya.

Jelas Khairy, rakan-rakannya masih berada dalam Majlis Tertinggi parti itu malah ramai dalam kalangan mereka mempertahankannya dan bersuara tidak setuju dengan pemecatan beliau.

“Tapi itu prerogatif Presiden lah,” katanya dalam program Agenda AWANI semalam.

Monday, January 30, 2023

Barah sudah kuasai seluruh UMNO, parti pada tahap paling lemah

agendaily.com
30/01/2023
Cucu pengasas UMNO, Datuk Seri Haishammuddin Hussein kini digantung enam tahun, manakala bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin pula dipecat.

Pemimpin UMNO yang menjadi ahli Parlimen tetapi digantung minggu ini tidak mungkin menyertai parti politik lain, menurut penganalisis yang berkata langkah itu boleh mengganggu pakatan kerajaan serta berpotensi menguji undang-undang antilompat yang baharu dikuatkuasakan.

Bagi Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Naib Presiden UMNO – antara yang digantung enam tahun – berpaling tadah secara automatik akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Sembrong, sesuatu yang mungkin dipertimbangkan oleh pemimpin tertinggi UMNO apabila memilih untuk menggantung cucunya pengasas parti itu, bukan

UMNO sekarang ini berada pada tahap paling lemah apabila mengambil tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin, termasuk Khairy Jamaluddin – pemimpin masa depan – khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Barah, kini menguasai sepenuhnya tubuh parti Melayu itu, sedang Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dikenali sebagai oportunis demi survival diri tanpa mengira prinsip utama parti.

Sementara, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Suffian juga dilihat tidak ada masa depan di dalam parti itu kerana beliau tidak mempunyai pengaruh besar dan sokongan akar umbi.

Tindakan penggantungan selama enam tahun yang dikenakan ke atas Shahril kemungkinan besar akan menamatkan riwayat politiknya yang baharu lahir.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Profesor Madya Dr Azmi Hassan, berpendapat Majlis Tertinggi (MT) UMNO tahu bahawa Hishammuddin tidak mempunyai pilihan lain selain kekal berada di dalam UMNO, walaupun digantung enam tahun.

“Hishammuddin tidak ada pilihan lain dan saya rasa itulah sebab MT menggantungnya kerana jika mereka memecatnya, Hishammuddin akan bebas menyertai parti lain tanpa kehilangan kerusinya.

“Ini belum dicabar lagi, jika ahli Parlimen diberhentikan daripada parti apa yang akan berlaku kepada kerusinya. Jadi, Hishammuddin tiada pilihan selain kekal dalam UMNO jika mahu kekal sebagai MP… dia dalam dilema besar.

“Bagi Shahril, dia tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti dan dia juga bukan ahli Parlimen, dia tersepit dalam UMNO. Shahril tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

“Dia boleh keluar UMNO jika mahu memanjangkan karier politiknya, tetapi Shahril tidak dapat memujuk ahli lain untuk menyertainya,” katanya menurut laporan MalayMail.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan pemecatan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin sebagai ahli parti, dengan alasan melanggar disiplin parti dan perlembagaannya.

MT UMNO turut mengenakan penggantungan selama enam tahun ke atas beberapa yang lain, antaranya Hishammuddin, Shahril, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Penganalisis melihat pemecatan dan penggantungan itu, dibuat menjelang pemilihan dalaman yang dijadualkan pada Mei, sebagai percubaan yang lebih luas untuk menghapuskan sebarang potensi ancaman kepada barisan pemimpin UMNO sekarang, khususnyaZahid yang masih dibicarakan kerana rasuah dan telah dipersalahkan kerana penampilan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, prestasi pilihan raya terburuk nasionalis Melayu itu sejak penubuhannya lebih enam dekad lalu.

Setakat ini, Khairy, Hishammuddin, Shahril dan pemimpin lain tidak mendedahkan langkah seterusnya kepada umum, selain mempersoalkan kesahihan tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mereka, dengan alasan ia tidak mengikut proses yang sewajarnya.

Terdapat spekulasi bahawa mereka boleh mencabar keputusan itu di mahkamah atau memilih untuk berpaling tadah. Ke mana mereka pergi mungkin bergantung kepada siapa pemimpin. Seseorang seperti Noh boleh memilih Perikatan Nasional (PN) manakala Khairy dan Shahril dilihat lebih cenderung memilih Pakatan Harapan (PH) kerana persamaan ideologi mereka.

Tetapi memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan pengerusi PH, bergantung kepada sokongan UMNO dan Zahid untuk kekal berkuasa, penganalisis menyatakan keraguan bahawa parti gabungannya akan bersedia untuk membuka pintu kepada Khairy.

“PH akan berhati-hati menerima mereka, memandangkan hubungan mereka dengan UMNO di peringkat persekutuan. Penyingkiran mereka secara ironisnya meletakkan Zahid pada kedudukan yang lebih kukuh buat masa ini dalam UMNI, dan ia seterusnya menguatkan Anwar,” kata Shazwan Mustafa Kamal, penganalisis kanan di perundingan risiko Vriens and Partner.

Langkah terbaik buat masa ini, menurut Shazwan, ialah pemimpin UMNO yang tidak memihak, menunggu penggantungan dan perkembangan sekutu mereka dalam parti.

Datuk Mohamad Abu Bakar, seorang profesor di fakulti sastera dan sains sosial Universiti Malaya, menyuarakan pandangan itu.

“Dalam keadaan sekarang, dinamik dalam PH dan PN telah pun mewujudkan ketidakstabilan dalam parti masing-masing. Kehadiran mereka akan menimbulkan perpecahan dan rasa tidak puas hati.

“Pilihan terbaik untuk orang buangan politik ini adalah berpendirian rendah, dan membiarkan isu itu selesai. Tetapi itu lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Ahli politik tidak mempunyai kesabaran apabila diberi peluang,” katanya.

Pakatan PH-UMNO akan menghadapi ujian besar pertamanya dalam enam PRN yang mesti berlangsung selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini, kerana mereka berdepan saingan kuat dalam PN yang kini menguasai negeri-negeri Utara dan Pantai Timur.

Penganalisis mengaitkan apa yang dipanggil “gelombang hijau” yang telah membantu PN menyapu bersih kebanyakan kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana pengundi konservatif Melayu terus menolak UMNO setelah dikaitkan dengan rasuah dan skandal.

Khairy sahkan tidak akan buat rayuan, mahu pertandingan dalam UMNO

agendaily.com
30/01/2023

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata tidak terkejut jika beliau dipecat oleh partinya itu.

Tiada rayuan akan dibuat untuk mencabar keputusan pemecatan, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengesahkan tidak akan membuat sebarang permohonan rayuan berhubung keputusan pemecatannya baru-baru ini selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dipengerusikan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada malam Jumaat lalu.

“Merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta merta.

“Saya hanya mahu pertandingan secara terbuka untuk (dua) jawatan tertinggi susulan prestasi buruk Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya dalam satu wawancara pagi ini bersama radio BFM.

Khairy berkata menerima pemecatannya secara terbuka dan tidak berdendam dengan Zahid walaupun memecatnya.

UMNO membuat keputusan memecat keahlian Khairy dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Khairy sebelum ini memberi isyarat untuk mencabar Zahid dalam pemilihan parti tetapi malangnya UMNO meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam perhimpunan agungnya yang lalu.

Susulan itu, Khairy mendakwa wujud perwakilan yang diimport dan dibawa masuk dalam dewan semasa usul tersebut hendak diluluskan, ia perkara yang dinafikan berlaku oleh UMNO.

Khairy juga sebelum ini mendesak supaya Zahid memikul tanggungjawab selepas kekalahan memalukan UMNO pada PRU-15 lalu.

Saturday, January 28, 2023

Pihak dituduh sabotaj tidak diberi ruang bela diri

satuberita.my
By Admin
-January 28, 2023

BEKAS Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak mendakwa parti itu dijadikan ‘kuda tunggangan’ dan ‘perisai’ demi kelangsungan politik peribadi.

Katanya, anggota parti terus ditakut-takutkan dengan tindakan pemecatan dan penggantungan atas alasan sabotaj parti.

“Dek kerana terlalu banyak kes peribadi, parti dijadikan kuda tunggangan dan perisai untuk survival politik diri sendiri.

“Ahli yang lantang bersuara menongkah arus ditakut-takutkan dengan terma proses ‘pembersihan’, ‘pemecatan’ dan ‘penggantungan’ dengan alasan ‘mensabotaj parti’,” katanya dalam Facebook miliknya.

Justeru, katanya, proses pemecatan dan penggantungan tidak lagi dihormati.

“Pihak yang dituduh ‘mensabotaj’ tidak pun diberi ruang bela diri.

“Kini ahli-ahli UMNO boleh menilai sendiri. Kepada Allah kita berserah,” ujarnya lapor Astro Awani.

Mesyuarat MKT UMNO semalam memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.

Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Presiden UMNO kuku besi

ismaweb.net
zuhayati
Pemecatan Noh Omar tidak sah, sepatutnya dapat peluang bela diri sebelum dijatuhi hukuman
Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Rejab 1444H, Sabtu – Keputusan Presiden UMNO memecat Tan Sri Noh Omar jelas menunjukkan beliau membelakangkan prinsip undang-undang selain tidak mematuhi Perlembagaan parti sendiri.

Pemecatan tersebut adalah tidak sah berikutan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu belum dipanggil untuk memberi keterangan dan membela diri dengan Lembaga Disiplin UMNO.


Menegaskan perkara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, tindakan berkenaan jelas membuktikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seorang pemimpin autokratik kerana membuat keputusan berdasarkan kepentingan diri tanpa berbincang dengan pihak lain.

“Ini jelas menunjukkan beliau melanggar hak asasi dan ini menunjukkan beliau adalah pemimpin kuku besi.

“Keadaan ini jelas menunjukkan tiada perpaduan dalam UMNO, sebaliknya presiden tersebut membelakangkan prosedur disiplin parti selain seorang yang pentingkan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas pensyarah kanan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu menjelaskan, sepatutnya hak asasi bagi setiap organisasi wajib dipatuhi di dalam sebuah negara demokrasi.

“Semua pertubuhan wajib mematuhi konsep dan prinsip hak asasi antaranya mesti mempunyai bukti untuk menentukan kesalahan tersebut namun ini tidak berlaku apabila Zahid membuat keputusan sendiri.

“Sepatutnya beliaumenyerahkan perkara ini kepada Lembaga Displin selain memberikan peluang kepada Noh membela diri sebelum dijatuhi hukuman,” katanya lagi.

Tegas beliau, tindakan Ahmad Zahid seolah-olah mencerminkan bahawa Lembaga Disiplin UMNO tiada fungsi kerana beliau membuat keputusan secara solo.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, senario ini hanya menghuru-harakan UMNO apabila berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Katanya, ia memandangkan individu-individu yang dipecat semuanya adalah watak penting dalam parti selain mempunyai pengaruh yang besar.

“Saya melihat keadaan ini akan menggoyahkan prestasi UMNO sendiri sekali gus akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

“Di Selangor contohnya, apabila Noh yang sebelum ini menjadi ketua disingkirkan sedangkan peranan dan pengaruhnya di negeri tersebut sangat kukuh sebelum ini.

“Perkara sama juga dijangka berlaku di Negeri Sembilan apabila ramai golongan muda akan berpihak kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempunyai aura tersendiri dan pengaruh kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, memecat keahlian Noh selepas beliau mencabar Presiden UMNO supaya keahliannya dipecat terus daripada parti, berbanding keputusan MKT untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Ahli MKT UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan penggantungan Noh itu bukan disebabkan pendirian pemimpin itu berkaitan usul yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau berkata, ia dilakukan kerana terdapat 16 pertuduhan terhadap Noh termasuk melibatkan tindakan sabotaj kepada parti pada PRU15 lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Friday, January 27, 2023

'MKT UMNO kini cenderung gantung, pecat ahli...' - Khairy

bharian.com.my
Oleh Farah Marshita Abdul Patah 
farahmarshita@bh.com.my
- Januari 27, 2023 @ 11:17am
Khairy Jamaludin

KUALA LUMPUR: Bekas ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, memaklumkan belum menerima sebarang surat berhubung kemungkinan akan dipecat daripada UMNO.

Bekas Menteri Kesihatan itu, berkata beliau belum menerima surat daripada lembaga disiplin parti, walaupun terdapat beberapa laporan media yang menyatakan kemungkinan beliau dipecat adalah tinggi.

"Saya tak tahu, saya belum terima sebarang surat berhubung hal itu. Proses biasa adalah anda akan menerima surat daripada lembaga disiplin, namun belum ada apa-apa yang dihantar kepada saya.

"Bagaimanapun, saya sedar bahawa Majlis Kerja Tertinggi (UMNO) sekarang suka dan mempunyai kecenderungan untuk hanya menggantung atau memecat orang secara sebelah pihak.

"Itulah yang berlaku kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Tan Sri Annuar Musa," katanya seperti dilaporkan New Straits Times.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Umno dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini bagi membincangkan tindakan ke atas Khairy, menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan 'perwakilan import' dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada pertengahan bulan lalu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-