Friday, February 17, 2023

Muhyiddin sudah beri keterangan kepada SPRM

hmetro.com.my
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my
MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yasin sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkaitan siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sumber berkata, Presiden Bersatu itu hadir memberi keterangan berhubung kewangan parti di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi semalam.

Katanya, selain Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), keterangan beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan juga sudah diambil sebelum ini.

"Sehubungan itu, kertas siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 dipercayai di fasa terakhir untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu," katanya.

Pada 1 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan beberapa akaun milik Bersatu dibekukan.

Beliau dilaporkan berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram dan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Azam turut dilaporkan mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan SPRM mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk menyemak mana-mana akaun parti politik di negara ini.

Dalam laporan media susulannya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman yang turut mengesahkan pembekuan akaun berkenaan dilaporkan berkata, tindakan SPRM membekukan akaun Bersatu mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: Februari 17, 2023 @ 12:58pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-