Showing posts with label Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Show all posts
Showing posts with label Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Show all posts

Monday, February 24, 2025

Lebih RM100 juta disita SPRM daripada rumah bekas pegawai kanan Ismail Sabri

bharian.com.my
Oleh Jassmine Shadiqe 
Februari 24, 2025 
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST), berkata wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.

Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.

Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberaa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.

Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik.

Sumber itu berkata, siasatan yang dijalankan menjurus kepada peranan dimainkan bekas pegawai kanan berkenaan terhadap dana yang dirampas.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan empat orang yang berkhidmat sebagai pegawai kanan Ismail Sabri ketika menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan rasuah dan pengubahan wang haram.

Walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar wang yang terlibat, Azam berkata, ia adalah "jumlah yang besar".

Ismail Sabri dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Damansara selepas rebah di rumah pada pagi Sabtu.

Setiausaha Akhbarnya, Azran Fitri Rahim, berkata kejadian itu berlaku disebabkan tekanan darah tinggi dan beliau kini dalam keadaan stabil. 

- NST

Tuesday, February 18, 2025

Mahkamah tetap 11 hari perbicaraan Muhyiddin berkait kes Jana Wibawa

freemalaysiatoday.com
Faisal Asyraf
18 Feb 2025, 11:08 AM

Pihak pendakwaan memaklumkan mahu memanggil seramai 30 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Muhyiddin Yassin didakwa salah guna kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Feb hingga 20 Ogos 2021 berkait program Jana Wibawa untuk mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 11 hari, bermula 17 Sept ini, bagi mendengar perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait program Jana Wibawa membabitkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh perbicaraan pada 17 hingga 19 Sept, 26 hingga 27 Nov dan 13 hingga 15 Jan 2026.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan berhasrat untuk memanggil 30 saksi memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Peguam Muhyiddin, Chetan Jethwani pula memohon kenyataan saksi untuk saksi penting diserahkan kepada pihak pembelaan selewat-lewatnya empat minggu sebelum perbicaraan bermula.

“Tidak adil kami menerima kenyataan saksi pada saat-saat akhir,” katanya.

Pihak pendakwaan kemudian bersetuju untuk menyerahkan kenyataan saksi bagi saksi formal dua minggu sebelum perbicaraan, manakala saksi penting tiga minggu lebih awal.

Dalam prosiding berasingan, Hakim Azura turut membenarkan permohonan pelepasan sementara pasport Muhyiddin dari hari ini hingga 3 Mac bagi membolehkan beliau menghadiri satu persidangan di Belgium.

Mahkamah turut menetapkan 14 Mei sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Muhyiddin, 77, didakwa atas tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Feb hingga 20 Ogos 2021 berkait program Jana Wibawa untuk memperoleh RM232.5 juta bagi Bersatu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pengerusi Perikatan Nasional itu juga menghadapi dua pertuduhan menerima dana hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun bank CIMB Bersatu.

Beliau juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023 atas pertuduhan menerima RM5 juta hasil aktiviti haram, sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama tuduhan lain.

Secara keseluruhan Muhyiddin berdepan tujuh tuduhan.

Monday, February 17, 2025

Tiada kes, kata SPRM selepas siasatan dalaman DBKL berhubung kontrak libatkan artis pro-Anwar

MalaysiaNow
Februari 17, 2025 4:49 petang

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya mendapati kesalahan dilakukan Afdlin Shauki selepas meneliti dokumen dibekalkan DBKL.
Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki dilantik ahli lembaga pengarah DBKL beberapa bulan selepas Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil pendirian tidak berlaku kesalahan berhubung projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai berjuta ringgit yang dikaitkan dengan pelakon dan pengarah Afdlin Shauki.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata penelitian dokumen yang dibekalkan DBKL mendapati tiada salah laku oleh Afdlin.

Hasil semakan dokumen yang dibekalkan oleh pihak DBKL pada 7 Februari 2025 mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam pelaksanaan projek Penerbitan Kandungan Dan Siaran Studio Dan Konti Radio Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bernilai RM4 juta," Azam memberitahu MalaysiaNow.

Bagaimanapun, beliau berkata SPRM mendapati "beberapa kelemahan" berhubung tatakelola pada garis panduan DBKL, sambil menambah "siasatan tatakelola" masih dijalankan melibatkan pembayaran kepada pihak tertentu.

Keputusan SPRM itu berkemungkinan akan mencetuskan lebih banyak kritikan terhadap badan antirasuah itu, yang sebelum ini berdepan kecaman kerana membenarkan DBKL menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan itu.

Pengkritik berkata ia berbeza dengan amalan SPRM sebelum ini, apabila beberapa pegawai majlis perbandaran yang dituduh rasuah telah diberkas tanpa menunggu siasatan dalaman.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Azam sebelum ini berkata kes melibatkan Afdlin itu akan dirujuk kepada SPRM sekiranya siasatan DBKL mendapati unsur rasuah atau salah guna kuasa, sambil menambah pegawai integriti SPRM yang ditemaptkan di DBKL turut terlibat dalam siasatan.

"Sekiranya terdapat unsur rasuah, atau salah guna kuasa di bawah Akta Pencegahan Rasuah, maka SPRM akan menjalankan siasatan," katanya kepada MalaysiaNow awal bulan ini.

DBKL merupakan agensi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dakwaan terhadap Afdlin pertama kali muncul dalam Edisi Siasat, saluran Telegram yang sangat popular khusus dalam pendedahan rasuah yang melibatkan agensi kerajaan dan orang yang berkuasa.

Hantaran Telegram itu mendakwa Afdlin melanggar prosedur perolehan dalam projek pembinaan studio dan konti radio bernilai RM7 juta, sebelum ia dibatalkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif.

Ia juga mendakwa projek-projek itu diketahui setiausaha politik Anwar, Azman Abidin. Azman bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Menurut hantaran itu lagi, Kelab Sukan dan Kebajikan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (KSKYWP), iaitu yayasan yang tertakluk di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri, telah menyalurkan kontrak DBKL bernilai RM4 juta untuk penerbitan bahan kreatif kepada syarikat milik "kroni".

Katanya, kontrak untuk penghasilan video bagi saluran TikTok "Friends of DBKL" tidak melalui proses tender yang betul, sambil menambah seorang podcaster terkemuka masih berhutang lebih 100 klip kepada DBKL.

Dalam reaksinya, Afdlin mendakwa beliau menjadi sasaran "agenda pihak yang didorong hasad dengki".

"Ini merupakan satu usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat," kata, yang merupakan antara segelintir tokoh industri hiburan yang menyertai PKR pimpinan Anwar.

Friday, February 14, 2025

Ramkarpal anggap alasan Azam Baki tak masuk akal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 14, 2025 12:26 PM
Lagi kritikan dilemparkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenyataan pemimpin tertinggi agensi itu mengenai skandal rasuah melibatkan Sabah.

Kali ini datang daripada ahli parlimen DAP, Ramkarpal Singh, yang menganggap penjelasan dibuat SPRM mengenai isu berkenaan sebagai tidak masuk akal.

Ramkarlal menegaskan video-video yang dikaitkan dengan skandal rasuah itu dan tersebar meluas sekurang-kurangnya telah membuktikan ada prima facie dalam kes berkenaan.

Sebagai seorang peguam berpegalaman, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menegaskan video-video berkenaan tidak boleh diabaikan begitu saja sebaliknya mesti disiasat dengan teliti.

Katanya SPRM mempunyai kuasa yang luas untuk menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 sekali gus bercanggah dengan pandangan ketua pesuruhjaya agensi terbabit, Azam Baki.

"Tiada keraguan bahawa video-video yang muncul dalam skandal ini menunjukkan maklumat yang mencukupi untuk membolehkan SPRM menggunakan pelbagai langkah termasuk di bawah Akta SPRM, tetapi tidak terhad kepada kuasa untuk menggeledah dan menyita, menyita harta alih, kuasa untuk memintas komunikasi dan menjalankan siasatan ke atas akaun suspek.

"Berdasarkan perkara di atas, kenyataan Azam bahawa yang boleh dilakukan SPRM buat masa ini hanyalah merekodkan penjelasan daripada kedua-dua pihak adalah tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan.

Ramkarpal berkata kenyataan Azam menunjukkan pendekatan yang "sangat cetek" terhadap siasatan kes berkenaan malah boleh menyebabkan spekulasi mengenai pendakwaan terpilih.
Azam Baki
"Kenyataan Azam seolah-olah menunjukkan bahawa SPRM tidak, atau enggan, menyiasat perkara ini melebihi video-video yang telah muncul, yang pastinya akan merosakkan keyakinan awam terhadap SPRM, terutamanya memandangkan fakta skandal ini didakwa melibatkan pegawai kerajaan berpangkat tinggi.

"Tiada perkara yang perlu dibiarkan dalam siasatan terhadap skandal yang didakwa ini dan SPRM harus mengelak daripada membuat kenyataan yang mungkin memberi gambaran bahawa perkara ini akan diselesaikan kerana kekurangan bukti, yang sebenarnya jauh daripada kenyataan," tambahnya.

Semalam, Azam dilaporkan berkata bahawa pemberi maklumat yang memberikan video-video itu kepada Malaysiakini masih enggan menyerahkan rakaman tersebut kepada SPRM.

"Apa yang disiarkan (di Malaysiakini) adalah 'terlalu sedikit'," katanya, sambil menambah bahawa kekurangan maklumat menyukarkan SPRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh.

Selain daripada video-video tersebut, SPRM juga sedang menyiasat dakwaan terbaru daripada pemberi maklumat bahawa dia telah ditawarkan penyelesaian dengan mendedahkan lebih 50 tangkap layar perbualan WhatsApp yang berkaitan dengan perkara itu kepada Malaysiakini.

Sejak Nov tahun lalu, Malaysiakini telah mengeluarkan lebih daripada lapan video dan banyak tangkap layar WhatsApp yang berkaitan dengan kes ini. Pemberi maklumat itu juga mendakwa mempunyai lebih banyak video dan bukti dalam simpanannya.

Ahli perniagaan yang menjadi pembocor maklumat tersebut mendakwa video-video tersebut merakamkan perbincangan mengenai rasuah yang ditawarkan kepada beberapa wakil rakyat sebagai pertukaran untuk lesen eksplorasi mineral.

Semasa perbincangan tersebut, beberapa wakil rakyat, termasuk yang mempunyai portfolio kanan, selain mengaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, didakwa mengedarkan lesen sebagai "hadiah" sebagai pertukaran sokongan kepada mereka semasa krisis politik negeri itu pada 2022.

Hajiji bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ya sebagai cubaan untuk mencemarkan pentadbirannya, dengan mendakwa bahawa pemberi maklumat itu sedang bekerjasama dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

SPRM juga sedang menyiasat dakwaan bahawa ahli perniagaan tersebut merupakan sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di Sabah dan terlibat dalam aktiviti penipuan.

Wednesday, February 5, 2025

Bagaimana jika dakwaan rasuah kaitkan PM? - PSM soal Azalina

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 5, 2025 9:50 AM
PSM mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berhubung pendirian kerajaan dalam isu pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah kepada media dan bukannya agensi penguatkuasaan.

“Sekiranya SPRM dan kerajaan hanya akan menyiasat sesuatu kes apabila pemberi maklumat menghampir SPRM terlebih dahulu, ia membayangkan sesuatu perkara itu hanya dianggap benar dan layak dilindungi sekiranya ia dilaporkan terus kepada pihak berkuasa.

“Tetapi bagaimana jika pemberi maklumat mempunyai dakwaan rasuah atau salah laku serius terhadap perdana menteri atau ketua pesuruhjaya SPRM?

“Adakah ini bermakna mereka mesti menyerahkan semua bukti mereka kepada individu ini sebelum mendapatkan perlindungan? Bukankah itu satu cadangan yang tidak masuk akal?” soal Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.

Semalam, Azalina memberitahu Parlimen bahawa tiada rancangan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi membolehkan pemberi maklumat menghampiri media sebelum membuat laporan kepada pihak penguatkuasa.

Dia berhujah bahawa melaporkan kepada agensi penguatkuasaan mesti menjadi langkah pertama bagi pemberi maklumat.

Menurutnya, ini akan membolehkan agensi itu menentukan sama ada maklumat yang diberikan adalah penting dan sama ada ia perlu diklasifikasikan di bawah kes lama atau sama ada kes baru perlu dibuka.

Arutchelvan berkata terdapat banyak kejadian di mana orang ramai datang ke pusat khidmatnya kerana mereka bimbang jika mereka membuat laporan kepada polis atau mendedahkan maklumat mereka kepada pihak berkuasa, pihak berkuasa mungkin membocorkan butiran mereka kepada pelaku, mendedahkan mereka kepada risiko.

“Nasihat biasa kami adalah agar mereka mendedahkan kepada umum, kerana pendedahan awam boleh menjadi bentuk perlindungan terbaik mereka. Jika tidak, mereka tiada pilihan selain berdiam diri, bersembunyi, dan hidup dalam ketakutan,” tambahnya.

Arutchelvan menegaskan bahawa setiap kali pemimpin dan ahli PSM dipanggil untuk disoal siasat berhubung perhimpunan awam, mereka diberitahu bahawa polis tidak memerlukan aduan awam untuk menyiasat-mereka boleh memulakan laporan mereka sendiri dan bertindak secara proaktif.

“Jadi mengapa polis dan SPRM berkeras menunggu aduan rasmi sebelum melancarkan siasatan atau menawarkan perlindungan?

“Semalam di Parlimen, pembangkang mempersoalkan harga helikopter yang disewa oleh Malaysia berbanding dengan yang dibeli oleh Poland. Tidakkah pihak berkuasa boleh memulakan siasatan sendiri, atau adakah mereka memerlukan seseorang untuk membuat aduan rasmi terlebih dahulu?” tambahnya.

Bagi kes pemberi maklumat berhubung skandal rasuah Sabah, Arutchelvan berkata pemberi maklumat itu memilih untuk mendedahkan dakwaannya, yang melibatkan ahli politik yang memerintah, melalui Malaysiakini dan bukannya pergi ke SPRM.

“Kenapa perlu pergi ke media atau platform sosial untuk mendedahkan kebenaran dipandang negatif? Bukankah media sepatutnya menjadi tonggak keempat demokrasi?

“Azalina mendakwa pemberi maklumat tidak akan dilindungi jika mereka pergi ke media terlebih dahulu. Tetapi pada hakikatnya, ramai pemberi maklumat beralih kepada media dengan tepat kerana mereka takut didiamkan semasa mencari perlindungan.

"Di manakah percanggahan jika matlamat utama adalah untuk mendedahkan kebenaran dan menangani dakwaan?" soalnya.

Arutchelvan berkata jika kerajaan Madani mahu mendapatkan kepercayaan rakyat, ia bukan sahaja perlu memastikan institusinya bebas dan tidak gentar tetapi juga mewujudkan persekitaran di mana rakyat berasa selamat mendekati pihak berkuasa tanpa rasa takut atau tekanan.

"Sehingga itu terjadi, orang ramai akan terus mencari cara alternatif untuk mendengar suara mereka," tambahnya.

Friday, October 18, 2024

1BestariNet: Belum tiba masa Muhyiddin dipanggil – Azam Baki

kosmo online.com
Oleh AZMI NORDIN
18 Oktober 2024, 12:48 pm
Azam pada sidang akhbar di Menara Perkeso, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih memerlukan masa untuk menyiasat secara terperinci kes pemberian tender projek 1BestariNet sebelum memanggil beberapa individu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bekas Perdana Menteri itu antara individu yang akan dipanggil namun beliau dimaklumkan ketua siasatan kes bahawa banyak lagi perkara perlu dikumpulkan.

Katanya, pegawai penyiasat kini sedang melihat secara rawak tentang pembekalan data yang diberikan oleh syarikat berkenaan kepada pihak sekolah.

“Beliau (Muhyiddin) akan dipanggil dengan mana-mana pihak lain namun belum masanya lagi.

“Jadi, kita perlu mengkaji dengan teliti. Dalam kes 1Bestarinet, saya ulang sekali lagi bukan sahaja kita melihat dari segi isu jenayah di sini tetapi juga pelbagai isu berkaitan tatakelola dalam pemberian tender berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangi Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Antara SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini, hari ini.

September lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang di anugerahkan kepada YTL Communications Sdn. Bhd (YTL) pada tahun 2011.

SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan YTL Communications Sdn. Bhd yang terletak di Kuala Lumpur.

Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion

Fokus siasatan SPRM juga adalah menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.

Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi pelaksanaan projek itu.

 – KOSMO! ONLINE.

Monday, October 14, 2024

Skandal pasir: 2 lagi lokasi diserbu, ahli politik akan dipanggil

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 14, 2024 1:00 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu dua lagi lokasi yang digunakan untuk menyimpan wang susulan siasatan terhadap dakwaan skandal konsesi perlombongan pasir di Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan wang Singapura berjumlah SGD$74,000 (RM243,000 ) dan SGD$78,000 (RM256,000) dirampas di dua lokasi berasingan di Lembah Klang.

Selain itu, katanya, SPRM juga mendapat maklumat ada wang, yang jumlahnya tidak didedahkan, dilaburkan di Singapura.

“Dan juga mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain. Yang ini sedang kita siasat,” katanya.
Azam Baki
Ahad lalu SPRM menyerbu sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang disyaki digunakan sebagai tempat menyimpan wang rasuah dan menyita mata wang Singapura berjumlah SGD1,529,000 (RM5 juta).

Wang itu dikatakan untuk membiayai kegiatan politik seorang pemimpin pembangkang.

Terdahulu SPRM menahan bekas pegawai kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, ahli perniagaan yang rapat dengan seorang pemimpin politik, seorang pemandu serta pegawai syarikat penerima konsesi.

Semua mereka berumur 40-an.

Setakat ini seramai 15 orang telah dipanggil memberikan keterangan.
Sementara itu, SPRM juga akan memanggil ahli politik yang dikaitkan dengan seorang daripada empat suspek selepas ini.

“Dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya,” kata Azam dalam sidang media di Sabah hari ini.

Katanya seperti lazimnya, SPRM perlu mendapatkan segala bukti-bukti yang kita rasa wajar dan telah disahkan barulah orang yang berkenaan akan dipanggil.

Ditanya pemberita, dia enggan mendedahkan kedudukan ahli politik itu sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.

“Oh, itu soalan cepumas.

“Saya akan beritahu kami bila masanya sesuai,” katanya.

Kes disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Pencegahan Rasuah 2009.

Sunday, October 13, 2024

RM5 juta ditemui dalam ‘safe house’ milik ahli politik berpengaruh

kosmo online
Oleh TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
13 Oktober 2024, 3:09 pm
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjumpai mata wang Singapura, SGD SGD1,529,000 (kira-kira RM5 juta) di sebuah pangsapuri ibu negara semalam, yang dipercayai dijadikan ‘safe house’ seorang ahli politik berpengaruh.

Difahamkan, tindakan itu susulan penahanan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait siasatan skandal rasuah jutaan ringgit berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan ahli politik yang pernah mempunyai pengaruh di Selangor.

“Seorang suspek mendedahkan kewujudan ‘safe house’ yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh.

“Penggeledahan dilakukan pada pukul 10 malam semalam di sebuah pangsapuri bertempat di Kuala Lumpur yang disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah yang diperoleh,” katanya.

Sumber berkata, hasil penggeledahan semalam menemui sejumlah wang mata wang Singapura SGD1,529,000 atau bernilai kira-kira RM5 juta.

“Wang disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya. Wang ini sudah disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut.

“Dipercayai wang ini diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh berkenaan,” jelasnya.

Jelas sumber lagi, SPRM telah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.

“SPRM ketika ini sedang menyiasat pembabitan ahli politik berpengaruh itu. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek tersebut. 

– KOSMO! ONLINE.

Wednesday, October 9, 2024

1BestariNet: SPRM siasat 30 saksi, pertimbang panggil Mahdzir, Muhyiddin

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Oct 9, 2024 12:24 PM
SPRM sedang mempertimbangkan untuk memanggil bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid bagi membantu siasatan kes 1BestariNet yang membabitkan sebuah syarikat yang dilantik oleh kementerian untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 8,000 sekolah didakwa membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, nama Mahdzir adalah antara dalam senarai penyiasat selain bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Itu la, orang kata Muhyiddin saja, sebenaranya bukan hanya tertumpu kepada (zaman) Muhyiddin saja.

“Orang lupa tentang Mahdzir Khalid, dia pernah menjadi menteri pelajaran selepas Muhyiddin dipecat. Jadi, dia memutuskan untuk meneruskan projek ini.

"Jadi ada dua bekas menteri yang kami cadang untuk panggil kemudian, kalau ada keperluan. Kerana menteri adalah orang yang memutuskan perkara dasar," kata sumber itu, yang enggan namanya didedahkan.

SPRM baru-baru ini melancarkan siasatan ke atas projek 1BestariNet yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011 atas dakwaan pembayaran untuk tuntutan palsu.

Program RM4.47 bilion itu, yang dianugerahkan melalui tender terbuka, bertujuan untuk melengkapkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan perkhidmatan jalur lebar dan mewujudkan persekitaran bilik darjah maya.

Muhyiddin adalah menteri pendidikan ketika itu di bawah pentadbiran Najib Razak.

Sejak siasatan itu dimulakan, SPRM telah merekodkan kenyataan bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang memutuskan untuk menghentikan projek itu selepas dia memegang jawatan berkenaan pada 2018.

Agensi anti rasuah itu juga telah menyerbu pejabat YTL dan sebuah pejabat kerajaan, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi berkata dia tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memanggil Mahdzir dan Muhyiddin untuk merekodkan kenyataan mereka berhubung kes itu.

Katanya, suruhanjaya itu mahu menganalisis semua bukti yang mereka kumpul terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk memanggil bekas menteri itu ataupun sebaliknya.

Ditanya maklumat terkini kes itu, Azam berkata penyiasat SPRM sedang berusaha untuk mengesahkan tuntutan bulanan yang dibuat oleh syarikat tersebut.

Menurut ketua pesuruhjaya itu, pegawainya telah melawat beberapa sekolah setakat ini untuk menyemak sama ada perkhidmatan telah disampaikan seperti yang didakwa oleh syarikat itu ataupun tidak.

Seperti yang ditunjukkan oleh sumber kepada Malaysiakini, difahamkan antara aspek yang diteliti SPRM ialah syarat kontrak untuk syarikat berkenaan membina menara transmisi di setiap sekolah.

Azam berkata siasatan dijangka meliputi "sebanyak mungkin sekolah". Dia menganggarkan proses itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan, memetik SPRM mempunyai bilangan pegawai yang terhad dan proses penelitian yang terbabit.

“Sehingga minggu lalu, kita telah merekodkan keterangan sekurang-kurangnya 30 saksi termasuk pegawai Kementerian Pendidikan, kakitangan syarikat dan lain-lain.

“Antara cabaran yang kita hadapi ialah berjumpa dengan pegawai menteri yang terlibat dalam mengendalikan proses perolehan projek itu, kerana ramai daripada mereka telah bersara.

"Kami juga sedang menunggu beberapa lagi dokumen daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan," katanya lagi.

Tuesday, October 1, 2024

Dakwaan Bloomberg diyakini kerana sikap membisu PM dalam isu saham Farhash, kata peguam

Malaysia Now
MalaysiaNow
Oktober 1, 2024 8:36 malam

Ia bukan mengenai Anwar Ibrahim, kata Haniff Khatri Abdulla di sebalik tekanan semakin meningkat untuk perdana menteri membersihkan nama.
Farhash Wafa Salvador dilihat aktif dalam dunia korporat sejak pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, mencetuskan pelbagai tanda tanya mengenai janji reformasi dan tadbir urus baik.

Seorang peguam mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai status laporan berhubung pembelian saham oleh Farhash Wafa Salvador dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kontrak lumayan kerajaan, susulan pendedahan mengejutkan oleh Bloomberg bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menghalang siasatan ke atas bekas setiausaha politiknya itu.

Haniff Khatri Abdulla merujuk ketiadaan apa-apa tindakan susulan SPRM, lebih enam bulan selepas laporan difailkan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil.

Isham dalam laporannya berkata pembelian saham oleh Farhash berkemungkinan melanggar undang-undang pasaran modal Malaysia dan proses perolehan kerajaan.

"Kenapa mereka diam? Mac tahun ini sampai sekarang, tak ada kenyataan (mengenai) Sejak perkembangan siasatan," kata Haniff kepada MalaysiaNow.

"Yang ada cuma kenyataan rambang Farhash yang mengatakan dia sudah jual saham itu."

Walaupun kedua-dua SPRM dan Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan Bloomberg itu, ia mengundang reaksi pelbagai pihak yang menggesa Anwar menyaman agensi berita kewangan itu untuk membersihkan namanya.

Dalam laporannya minggu lalu, Bloomberg memetik tiga sumber yang mendakwa Anwar pernah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki supaya tidak menyiasat Farhash berhubung pembelian saham dalam Heitech Padu Berhad.

Punca kebimbangan ramai ialah syarikat itu disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion bagi pembangunan sistem imigresen baharu.

"Kerusi perdana menteri telah dicemari oleh laporan Bloomberg. Ini bukan soal Anwar Ibrahim tetapi mengenai kerusi perdana menteri."

Farhash, 41, dilantik sebagai pengerusi 7-Eleven Malaysia milik taikun Vincent Tan, hanya lima minggu selepas Anwar mengambil alih kerajaan.

Mac lalu, bekas pengerusi PKR Perak itu membeli 15.91% pegangan dalam HeiTech Padu melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Rosetta Partners ialah anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, firma yang dimiliki Farhash bersama Sultan Kelantan, Muhammad V.

Sehari selepas pembelian itu, HeiTech Padu dilanjutkan kontrak menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bernilai lebih RM13 juta.

Pada 15 April, syarikat itu diberikan kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190 juta, disusuli Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mencabar pengkritik melaporkan kepada SPRM.

Tiga hari kemudian, Farhash dilaporkan tidak lagi pemegang saham terbesar Heitech Padu susulan perubahan struktur Mfivesouthsea Sdn Bhd.

Bulan lalu, Heitech sekali lagi menjadi perhatian apabila diberikan satu lagi kontrak JPJ bernilai RM133.73 juta.
Haniff Khatri Abdulla
Haniff berkata isu utama bukan sama ada Farhash sudah melepaskan pegangan sahamnya, tetapi sama ada pembelian itu mengandungi unsur "insider trading", situasi di mana seseorang kedudukannya atau sumber dalaman dibekalkan maklumat mengenai syarikat yang boleh memberi kesan kepada harga saham.

"Adakah dia dapat maklumat daripada sumber kerajaan yang membolehkan dia tahu syarikat itu nak dapat kontrak?" soal Haniff.

Beliau memberikan analogi seorang perogol yang mengahwini mangsanya bagi menghalalkan jenayah itu.

Menurutnya, pembelian saham itu masih perlu disiasat bagi menghapuskan sebarang keraguan.

Haniff berkata selain SPRM, polis dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), badan yang mengawal selia pasaran modal Malaysia, juga membisu.

Begitu juga Anwar, yang menurutnya masih belum menunaikan janjinya memberikan penjelasan.

Sebelum ini, Anwar berkata akan menyemak dengan Perbendaharaan mengenai butiran pembelian saham melibatkan orang kuatnya itu.

Haniff berkata isu Heitech menjadi punya orang ramai tidak meragui dakwaan Bloomberg.

"Selepas enam bulan, tak ada kenyataan Anwar (mengenai pembelian saham oleh Farhash)."

Haniff berkata adalah penting bagi Anwar membersihkan bukan sahaja namanya tetapi juga imej kerajaan dengan menyangkal dakwaan Bloomberg dalam mahkamah.

"Kerusi perdana menteri telah dicemari oleh laporan Bloomberg. Ini bukan soal Anwar Ibrahim tetapi mengenai kerusi perdana menteri.

"Kalau beliau tidak saman, maka sepatutnya polis menyiasat SPRM dan Anwar."

Semalam, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membuat laporan polis menggesa Anwar disiasat atas salah guna kuasa.

Ia berdasarkan laporan Bloomberg yang sama yang mengatakan perdana menteri mengarahkan Azam untuk menyiasat Daim dan Dr Mahathir Mohamad, kedua-duanya musuh politik Anwar.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, seorang perdana menteri tertakluk kepada undang-undang sama seperti orang lain," menurut laporan polis dibuat isteri Daim, Naimah Khalid di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya semalam.

Haniff berkata kegagalan Anwar membawa perkara itu ke mahkamah dikhuatiri akan ditafsirkan sebagai pengakuan terhadap dakwaan yang terkandung dalam laporan Bloomberg.

"Selagi anda tak ambil tindakan, selagi itu anda membenarkan pihak media terutamanya media antarabangsa untuk membuat dakwaan yang mungkin palsu dan mencemarkan nama negara kita."

Beliau berkata kenyataan penafian atau jawapan Parlimen tidak mencukupi untuk membersihkan namanya.

"Yang lebih baik daripada kenyataan penafian adalah tindakan undang-undang sebab (ini) kali kedua," katanya merujuk kepada satu lagi laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar berbincang dengan taikun mengenai cadangan membina kasino di Forest City, Johor.

Walaupun Anwar menafikan dakwaan itu, beliau tidak mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya.


MalaysiaNow telah menghubungi Farhash untuk mendapatkan maklum balas, selain SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti.

Anwar dalam pada itu mengelak wartawan yang cuba menyoalnya mengenai isu itu ketika hadir di sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Friday, September 27, 2024

Penafian SPRM tak cukup, Anwar mesti saman Bloomberg - Peguam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 27, 2024 9:20 PM
Peguam Haniff Khatri Abdulla meminta Anwar Ibrahim supaya memfailkan saman terhadap media antarabangsa, Bloomberg yang melaporkan Perdana Menteri itu campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam itu merujuk laporan Bloomberg di mana SPRM didakwa menerima arahan Anwar untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat.

"Sebagai seorang pengamal undang-undang dan rakyat Malaysia, saya berpendapat bahawa perdana menteri sebagai jawatan tertinggi urus tadbir negara perlu pada setiap masa mengambil langkah-langkah yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mengukuhkan nama baik kerusi perdana menteri dan negara ini.

"Sekiranya ada media antarabangsa seperti Bloomberg berani membuat satu laporan palsu tanpa usul periksa, maka langkah sebaiknya adalah tindakan undang-undang fitnah -defamation yang wajar perlu diambil dalam kes ini," kata Haniff dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya petang ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini menafikan laporan media tersebut dan menyifatkannya sebagai tohmahan liar.

Meskipun tidak menamakan mana-mana individu, suruhanjaya itu jelas merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang memetik artikel daripada Bloomberg.
Haniff bagaimanapun berkata penafian SPRM sahaja tidak memadai untuk memastikan jawatan perdana menteri tidak disalahgunakan.

“Penafian baik tetapi tidak cukup sebab bukan sahaja nama peribadi perdana menteri itu ditohmahkan, tetapi yang lebih penting bagi rakyat Malaysia, kerusi perdana menteri dicampuradukkan sebagai kerusi yang menyeleweng atau kononnya menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan kepada SPRM," jelasnya.

Tambahnya, Anwar pada 27 Mac lalu turut dipetik berkata bahawa dia sendiri akan menyemak mengenai isu itu dengan kementerian kewangan.

Kata Haniff, hari ini genap enam bulan tetapi masih tiada kenyataan lengkap dikeluarkan oleh perdana menteri.

Farhash pada Mac lalu dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam Heitech Padu Berhad yang memperoleh kontrak RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ.

Bagaimanapun HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia kemudiannya berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan.

Pada 19 Mac, Farhash menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pada April lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa HeiTech Padu menang tender JPJ secara tender terbuka tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan bahawa Anwar mengeluarkan arahan kepada SPRM dan ketua pesuruhjayanya Azam Baki untuk tidak menyiasat pemilikan saham berkenaan.

Di sebalik penafian PMO, ketua penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari malam tadi mencabar Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg sekiranya laporan tersebut tidak benar.

PMX didesak saman Bloomberg jika kenyataan salah

harakahdaily,net
September 27, 2024
Zurk Ahmad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan Madani didesak saman Bloomberg atas dakwaan telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung isu pembelian saham.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, jika arahan ini benar, ia akan mencetuskan kebimbangan besar mengenai kemungkinan campur tangan politik dalam proses siasatan oleh SPRM.

“Hal ini telah menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan ketelusan dalam amalan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

“Campur tangan seperti ini, jika berlaku, bukan sahaja merosakkan imej SPRM, tetapi juga mengundang kepada defisit kepercayaan rakyat terhadap integriti Kerajaan Madani hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa media antarabangsa seperti Bloomberg melaporkan bagaimana perkembangan isu ini bakal mempengaruhi kredibiliti Kerajaan Malaysia di mata dunia khususnya dalam usaha membanteras rasuah.

Oleh itu, berita ini secara tidak langsung bakal membuka mata pelbagai pihak kepada persoalan hipokrasi Kerajaan Madani dalam memastikan integriti institusi Kerajaan Malaysia kekal bebas daripada pengaruh politik selepas daripada siri-siri hipokrasi yang lain sebelum ini.

“PAS Selangor serta rakyat Malaysia seluruhnya mendesak agar ketelusan dan akauntabiliti negara dapat kembali dipelihara setelah dirosakkan oleh Kerajaan Madani pada hari ini.

“Sekiranya amalan tadbir urus serta tatakelola yang korup oleh Kerajaan Madani ini diteruskan, ia bakal mencetuskan krisis ketidakpercayaan yang mendalam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang dan mencemarkan nama negara di mata dunia,” katanya.

Semalam, Bloomberg telah melaporkan bahawa tiga sumber berlainan telah mendakwa wujudnya arahan PMX mengarahkan Ketua SPRM untuk tidak siasat bekas pegawai khasnya yang tiba-tiba menjadi pemilik saham besar dalam beberapa syarikat termasuk syarikat Heitech Padu yang masa itu didakwa akan diberi projek bernilai lebih RM1 bilion.

Namun, Pejabat Perdana Menteri telah menafikan hal tersebut selepas Bloomberg melaporkan di platform rasminya. 

Sunday, September 22, 2024

Cabul kedaulatan negara dengan hanya RM200

bharian.com.my
Oleh Ilah Hafiz Aziz 
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
- September 22, 2024 @ 12:51pm
Foto hiasan - FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Dengan bermodalkan serendah RM200, sindiket penyeludupan migran dikesan boleh 'membeli' penguat kuasa korup di pintu masuk utama negara untuk bersubahat mencabuli kedaulatan negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata ribuan warga asing dari pelbagai negara seperti Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal mudah dibawa masuk kerana ada anggota pihak berkuasa mengabaikan tanggungjawab pemeriksaan ketat di pintu masuk negara.

Pembongkaran SPRM baru-baru ini membawa kepada penahanan 37 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket.

"SPRM turut menahan 12 orang membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi 'Op Pump' di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya.

Semalam, seorang individu disyaki dalang utama bersekongkol dengan sindiket 'counter setting' dilaporkan ditahan di Negeri Sembilan.

Difahamkan, bayaran kepada penguat kuasa untuk seorang warga asing adalah di antara RM200 hingga RM2,500 seorang.

Mengikut laporan sebelum ini, warga Bangladesh dikatakan perlu membayar RM2,500, Myanmar (RM1,500), Pakistan (RM1,300), Yemen (RM1,000), India (RM800), Uzbekistan (RM500), China (RM350), Vietnam (RM350) dan Indonesia (RM300).

Berikut jejak terperinci pergerakan sindiket 'counter setting':

* Ejen dan sindiket mempromosi pakej masuk ke Malaysia menerusi Facebook, Telegram dan aplikasi media sosial lain.

* Ejen menghubungi pegawai imigresen menerusi WhatsApp untuk mendapatkan tarikh sesuai kumpulan warga asing masuk ke Malaysia

* Pegawai Imigresen memberi 'lampu hijau' jika tarikh berkenaan sesuai

* Ejen/sindiket memberi butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai Imigresen

- Pegawai Imigresen akan memberikan maklumat nombor 'kaunter khas' yang yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing yang tiba untuk pelepasan masuk ke Malaysia.

- Sebaik melepasi kaunter, ejen/sindiket akan membawa warga asing ke destinasi tujuan mereka.

Thursday, August 22, 2024

MCW cadang perasuah dihukum sebat mandatori

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 22, 2024 8:45 AM
Saranan agar kerajaan menguatkuasakan hukuman yang lebih berat seperti sebatan mandatori terhadap individu terlibat rasuah adalah satu bentuk tindakan tegas untuk membuktikan isu itu ditangani secara serius.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata sebelum ini kebanyakan pesalah rasuah didapati tidak ‘terkesan’ dengan hukuman penjara atau denda yang dikenakan terhadap mereka.

“Oleh itu, MCW berpendapat apabila hukuman sebatan diperkenalkan akan melahirkan rasa gerun kepada mereka yang ingin berbuat demikian kerana kesan sebatan memberi impak mendalam ditanggung seumur hidup.

“Hukuman berat dan berkesan pasti akan menjadi satu pencegahan yang kuat kepada mereka yang mungkin terfikir untuk terlibat dalam rasuah ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari ini: ‘Rasuah Dalam Imigresen Semakin Kritikal?’ terbitan Bernama TV semalam.
Beliau berkata ia juga penting untuk memulihkan integiriti dalam sektor penguatkuasaan dan memberi kepercayaan kepada rakyat bahawa keadilan akan ditegakkan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Beliau diminta mengulas adakah hukuman sebatan mandatori yang dicadangkan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM) dan disokong oleh MCW sebelum ini, bersifat keterlaluan untuk dikenakan terhadap pesalah kes rasuah termasuk penguat kuasa yang terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara tanpa melalui pemeriksaan yang ditetapkan.

Cadangan itu susulan beberapa pembongkaran kes sejak akhir-akhir ini dengan terbaharu melibatkan tangkapan lima pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, yang disyaki bersekongkol dengan sindiket untuk melepaskan warga asing menerusi modus operandi dipanggil ‘counter setting’.

Jais berkata pembongkaran itu menunjukkan komitmen tinggi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa di Jabatan Imigresen.

“MCW sangat menyambut baik usaha ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjaga dan terjamin, mengambil kira memang wujud kelemahan yang ketara dalam prosedur pemeriksaan di pintu masuk negara yang memudahkan berlakunya kes rasuah,” katanya.

- Bernama
View Synonyms and Definitions

Monday, August 19, 2024

Peguam kemuka hujahan 2,500 muka surat mengapa Najib harus dibebaskan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 19, 2024 12:10 PM
Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa hujahan utamanya merangkumi lebih 2,500 muka surat.

Menurutnya, tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1MDB yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan terutamanya membabitkan empat pertuduhan utama, seterusnya mengakibatkan ia agak kabur.

Tambahnya, jumlah muka surat itu tidak termasuk hujahan balas yang akan mencecah lebih 3,000 muka surat di akhir hujahan.

“Kami memohon maaf kerana tidak boleh meringkaskan hujahan kami kerana terlalu banyak perkara yang perlu dinyatakan,” kata peguam itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bekas anggota parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA), yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Friday, June 21, 2024

Azam Baki hentikan saman RM10 juta terhadap Lalitha

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- Jun 21, 2024 
Azam Baki (kiri) dan K Lalitha.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberhentikan saman yang dikemukakan beliau terhadap 'whistleblower' Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), K Lalitha.

Tuntutan saman fitnah itu adalah berhubung penerbitan artikel 'Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?'. berkaitan pembelian saham yang disiarkan portal agensi berita Independent News Service (INS).

Berdasarkan Notis Pemberhentian bertarikh 11 Jun lalu, Azam memberhentikan tindakan saman berkenaan yang difailkan pada 12 Januari 2022, atas dasar tanpa prejudis dan tanpa pengakuan kedua-dua pihak.

Menurut notis itu, pemberhentian saman itu juga dibuat tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa perintah terhadap kos.

Notis terbabit difailkan peguam cara Azam daripada firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad, dan ditandatangani secara bersama oleh peguam Lalitha daripada firma guaman Tetuan Khairuddin, Ngiam & Tan.

Pada pengurusan kes saman itu di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim, Datuk Akhtar Tahir, melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 9 Julai ini.

Dalam pernyataan tuntutan, Azam selaku plaintif mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk "Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?" (Bahagian 1) dan "Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?" (Bahagian 2).

Ia pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Oktober 2021 sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Disember tahun sama.

Plaintif mendakwa Lalitha selaku defendan, turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

Dakwa Azam, tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat.

Beliau mendakwa, ia berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula.

Plaintif juga memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Lalitha menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 3 Februari tahun lalu, mendakwa kandungan artikel dan ciapannya membabitkan Azam diperoleh daripada sumber yang sah.

Friday, November 10, 2023

Bersatu dakwa sudah kumpul bukti, akan lapor polis

hmetro.com.my
Latifah Arifin
latifah@bh.com.my
MUHYIDDIN bersama kepemimpinan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi, malam tadi. FOTO Aizuddin Saad.

Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sudah mengumpul semua bukti berhubung tawaran diberi kepada Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan akan dibuat dan ia akan dikemuka kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati ada Ahli Parlimen mereka 'disogok' dengan tawaran faedah tertentu seperti dalam bentuk kewangan atau peruntukan.

"Ini adalah satu perkara yang melanggar peruntukan seperti Akta SPRM, iaitu sama ada dia menerima atau memberi. Kita akan buat laporan, satu kepada pihak polis dalam tempoh sehari dua.

"Semua maklumat telah dikumpulkan, contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, atau Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, dia beritahu ketika Mesyuarat Bersatu Kelantan, (dia) dapat tawaran (tertentu) tetapi menolak kesemuanya.

"Namun tiga hari selepas itu, dia umumkan keputusan sokong sana (kerajaan). Justeru, kita suspek ada perkara yang sedang berlaku, yang telah langgar peruntukan undang-undang," katanya yang menegaskan terdapat elemen sengaja menakut-nakutkan atau pendakwaan bagi mendapatkan sokongan dengan tawaran bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu Pejabat Perikatan Nasional di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dua Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhyiddin turut berkata, Bersatu akan mengemukakan laporan berhubung perkara sama terhadap SPRM yang dakwanya mungkin terbabit.

"Kita buat laporan kepada SPRM dan terhadap SPRM. Mungkin SPRM juga terbabit, mungkin ada (antara kes ini) babitkan pegawai tinggi SPRM," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa Akta Lompat Parti yang diwartakan pada 6 September lalu dikaji semula, susulan didakwa terdapat kelompongan yang jelas.

"Sebagai contoh dalam kes yang masih belum diputuskan oleh mahkamah terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Kes itu masih berjalan dan masih menunggu keputusan mahkamah ialah kerana di peringkat Speaker (Dewan Rakyat) memutuskan bahawa mereka tidak melanggar (peraturan parti)," katanya.

Muhyiddin merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) yang bertindak bertukar parti pada Januari lalu.

Bersatu turut menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul terkhilaf dalam memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu, atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhyiddin menegaskan Johari jelas membuat tafsiran khilaf berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, segala keputusan yang dibuat Johari boleh dipersoalkan kerana beliau adalah orang parti yang memerintah kerajaan.

"Kalau kita katakan mereka sudah langgar Perlembagaan, melewati batas, tapi itu pandangan kita, mungkin tak sama dengan pandangan Speaker Dewan Rakyat, sedangkan dalam Perlembagaan parti Bersatu, tafsiran tentang suatu tindakan itu bersandarkan kepada MPT Bersatu," katanya.

Monday, April 17, 2023

DAP tak rehatkan menterinya yang sedang disiasat SPRM

agendaily.com
17/04/2023
Menteri Sumber Manusia daripada DAP, V Sivakumar, dilapor telah memberi keterangan kepada SPRM semalam.

Tiada arahan dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Menteri Sumber Manusia V Sivakumar direhatkan daripada jawatan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Kenyataan itu hadir susulan penahanan beberapa pegawai menteri tersebut dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing,

“Setakat ini tiada arahan daripada PM (Perdana Menteri) untuk Sivakumar ambil cuti,” kata menurut laporan Bernama.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan terdahulu mengadakan sidang media berkenaan harga tiket penerbangan sempena Aidilfitri 2023 di sini hari ini.

Semalam Sivakumar yang juga Ahli Parliman Batu Gajah itu telah hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi kenyataan berhubung kes terbabit.

Loke berkata kes berkenaan masih dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita (DAP) masih pantau perkembangan kes buat masa ini,” katanya.

Sunday, April 16, 2023

Belum 6 bulan memerintah, ‘virus penyamun’ dah menular dalam PH

agendaily.com
16/04/2023
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menempelak kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) setelah pegawai menteri DAP ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu catatan ringkas di Facebooknya, beliau turut menyindir veteran DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini lantang menghentam kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) dan BN berhubung rasuah, tetapi masih membisu apabila ianya melibatkan menteri DAP.

“Belum 6 bulan perintah, SPRM dah masuk angkut para pegawai… menteri dari DAP.

“Ini bukan kecil. Ini tanda-tanda untuk tolak PH-BN.

“Virus penyamun dah menular. Uncle Kit Siang bisu?,” kata Roslan dalam catatan itu.


Istilah ‘penyamun’ digunakan secara meluas gabungan PH – PKR, DAP dan Amanah – ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu untuk menyerang BN, khususnya pemimpin UMNO, yang terlibat dalam kes-kes rasuah dan skandal kewangan negara.

Malah, ketika kempen itu juga sebuah lagu ciptaan Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang berjudul ‘Aduh Malaysia’, menjadi siulan buat penyokong-penyokong tegar PH ketika ini.

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman mencipta lagu itu dengan mengubah lirik asal ‘Ali Baba dengan 40 Penyamun’ dan dilancarkan sendiri di pentas politik pada program Rapat Mega PKR 2022 di Ampang pada 12 September tahun lalu.

Lagu itu kemudian menjadi tular sepanjang kempen PRU-15 dan digunakan oleh pemimpin serta jentera PH untuk dijadikan sebagai bahan kempen.

Sindiran tajam Roslan Shahir terhadap kerajaan PH-BN menyusul tindakan SPRM menahan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia daripada DAP, V Sivakumar, tiga hari lalu.

Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan, walaupun terdapat konflik kepentingan.

Menurut media, SPRM juga dikatakan sudah menyerbu pejabat kementerian terbabit yang didakwa mengadakan proses pengambilan pekerja asing yang dikaitkan dengan Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, setakat ini, Sivakumar mengesahkan dia belum dipanggil SPRM berhubung siasatan melibatkan pegawainya itu.

“Saya belum dipanggil (oleh SPRM). Sekiranya dipanggil saya akan rela pergi untuk beri keterangan,” katanya.

Sunday, April 9, 2023

Kenapa tak lapor SPRM dakwaan Dr M kayakan diri, aktivis soal Anwar

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
09 Apr 2023, 3:30pm

Kua Kia Soong berkata jika Anwar Ibrahim mempunyai bukti menyokong dakwaannya, beliau sepatutnya membuat laporan kepada SPRM.
Dr Mahathir Mohamad menghantar surat tuntutan berhubung dakwaan Anwar Ibrahim yang dibuatnya pada kongres PKR.

PETALING JAYA: Seorang aktivis mempersoalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan dibuatnya terhadap Dr Mahathir Mohamad ketika kongres PKR bulan lalu.

Kua Kia Soong berkata, jika Anwar mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan yang Mahathir mengayakan keluarganya semasa berkuasa, perdana menteri sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang.

“Bagi seorang perdana menteri yang komited dengan pendekatan sifar toleransi terhadap salah laku dan rasuah, adalah menghairankan bahawa beliau selama ini tidak melaporkan dakwaan mengenai Mahathir mengayakan diri kepada SPRM.

“Sebaliknya, Anwar menjadikannya sebagai satu dakwaan yang besar dan serius sebagai pertikaian antara mereka,” katanya dalam kenyataan.
.
Kua Kia Soong.
Pada Jumaat, Anwar berkata beliau akan menunjukkan bukti kepada Mahathir untuk menyokong kenyataannya, yang mendorong bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menghantar surat tuntutan kepada perdana menteri.

Pada 28 Mac, Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun bawah kerajaan Barisan Nasional dan 22 bulan lagi ketika Pakatan Harapan berkuasa pada 2018, mendedahkan peguamnya menuntut Anwar menarik balik kenyataan dalam tempoh tujuh hari.

Bagaimanapun, Anwar berkata pada Jumaat bahawa beliau akan mengemukakan bukti dakwaannya terhadap Mahathir.

Pada Selasa, peguam Anwar berkata mereka akan menjawab surat tuntutan Mahathir pada 17 April. Ahli Parlimen Damansara daripada DAP Gobind Singh Deo akan bertindak sebagai peguam utama Anwar.

Kua bertanya sama ada keengganan Anwar untuk membuat laporan SPRM terhadap Mahathir berpunca daripada “rahsianya sendiri yang tersimpan di tangan Mahathir”.

“Hanya masa akan menentukan sama ada Anwar akan melaporkan dakwaannya mengenai Mahathir kepada SPRM. Jika dia benar-benar percaya pada sifar toleransi terhadap rasuah, dia harus melakukannya,” kata bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-