Thursday, March 23, 2023

Lebih 1.8 bilion umat Islam sejagat sambut ketibaan Ramadan

bharian.com.my
Mac 23, 2023 @ 9:56am
Gerai di Palestin menjual tanglung tradisi dipanggil 'fanous' ketika bermulanya Ramadan, di Bandar Gaza. - Foto EPA

DUBAI: Ramadan yang bermula hari ini adalah bulan suci bagi lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, yang amat dinanti-nantikan setiap tahun.

Namun, Ramadan kali ini disifatkan penuh dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan akibat pelbagai pergolakan di serata dunia sekarang.

Difahamkan, tahun ini ramai yang akan bergelut untuk mendapatkan makanan, di tengah-tengah kenaikan harga yang sebahagian besarnya didorong oleh perang di Ukraine.
Wanita menyediakan makanan selepas sembahyang sempena Ramadan, di Masjid Niujie di Beijing, China. - Foto EPA
Iran, Mesir dan Lubnan juga sedang bergelut dengan krisis ekonomi yang melemahkan mata wang tempatan mereka, sekali gus menjadikan barangan keperluan lebih mahal.

Pada masa sama, Ramadan kali ini turut mendorong kita mengingati penderitaan penduduk Turki dan Syria berikutan gempa bumi bulan lalu yang mengorbankan lebih 52,000 orang selain kematian di zon konflik yang berlaku di beberapa negara Islam.

Di Semenanjung Gaza yang berada di bawah sekatan Israel sejak kumpulan pejuang Hamas merampas kuasa pada 2007, penduduknya berdepan krisis kenaikan harga barangan keperluan.
Umat Islam menunaikan sembahyang Tarawih ketika bermulanya Ramadan, di Masjid Al Azhar di Kaherah, Mesir. - Foto REUTERS

Selain itu, keganasan Israel-Palestin juga meningkat mencapai tahap tertinggi dalam tempoh beberapa dekad, terutama sejak Israel dipimpin kerajaan berhaluan kanan sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, di Indonesia, yang mempunyai kumpulan umat Islam terbesar di dunia, penduduk kelihatan membanjiri masjid untuk solat maghrib selepas pihak berkuasa mengisytiharkan bahawa anak bulan sudah kelihatan.

Pihak berkuasa Islam di Arab Saudi dan beberapa negara Timur Tengah lain juga mengumumkan bahawa Ramadan akan bermula hari ini.
Lelaki Pakistan menyediakan makanan tradisional di Peshawar untuk sahur atau dikenali sebagai ‘sehri’ di negara itu, sebagai persediaan berpuasa sempena Ramadan. - Foto EPA

Selain itu, penduduk Islam terutama mereka yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, menerima dan mengalu-alukan orang lain di sekeliling mereka yang tidak menyambut Ramadan.

Mereka juga tidak mengharapkan waktu kerja dipendekkan, seperti yang berlaku di sektor awam kebanyakan negara Arab semasa Ramadan.

Makan atau minum di khalayak ramai pada waktu siang biasanya dilarang di negara majoriti Islam, termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana terdapat golongan ekspatriat yang besar, malah boleh dihukum dengan denda atau penjara. 

- AP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-