Friday, September 8, 2023

DNAA Zahid: Badan Peguam anggap penjelasan AGC 'lompong'

malayysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2023 9:50 AM
Badan Peguam Malaysia menganggap penjelasan diberikan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai keputusan mereka menghentikan prosiding mahkamah ke atas Ahmad Zahid Hamidi belum memuaskan

Justeru Badan Peguam Malaysia berpendapat tindakan AGC meletakkan mahkamah tidak memiliki pilihan kecuali memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada timbalan perdana menteri berkenaan.

“Oleh itu, adalah lompong untuk AGC mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes itu kepada mahkamah tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media, dan bukannya memberikan penjelasan terperinci,” kata Presiden Badan Peguam Karen Cheah.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, keputusan dibuat AGC pada peringkat prosiding mahkamah yang begitu lewat juga mencemarkan kredibiliti agensi terbabit sebagai pihak pendakwa, selain Suruhanjaya Pnecegahan Rasuah (SPRM) sebagai penyiasat.

Cheah menegaskan ketika pihak pendakwaan menghentikan prosiding berkenaan, mahkamah sudah melangsungkan 77 hari perbicaraan, mendengar keterangan 99 saksi, dan pihak pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Keadaan itu menunjukkan pihak pendakwaan berjaya mengaitkan kes terbabit dengan tertuduh, yang akan disabitkan dengan pertuduhan melainkan pihak peguam bela berjaya menangkis keterangan tersebut semasa pembelaan mereka.

Dalam kenyataan akhbarnya pada Selasa lalu, AGC berkata keputusan mereka untuk menghentikan prosiding ke atas Ahmad Zahid adalah berdasarkan alasan "konsisten" yang "diberi dan diterima oleh mahkamah".

Bagaimanapun dalam kenyataan tersebut AGC tidak menyatakan sebab-sebab yang dimaksudkan itu.

Ketika memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan DNAA ke atas Ahmad Zahid, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, ia dibuat atas beberapa alasan termasuk untuk membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut; untuk melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Mengenai kenyataan hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa masa yang berharga dan wang pembayar cukai akan dibazirkan jika pihak pendakwaan tidak meneruskan pertuduhan lanjut selepas ini, Cheah berkata mahkamah perlu menggunakan Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah jika ia memutuskan untuk berbuat demikian.

Langkah itu, katanya, akan membolehkan kes berkenaan disambung semula dan seolah-olah DNAA tidak pernah diberikan.

Badan Peguam juga memperbaharui gesaannya agar peranan peguam negara dan pendakwa raya dipisahkan bagi memastikan pendakwa raya bebas daripada pengaruh eksekutif dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan.

“Kes Ahmad Zahid menunjukkan kepada kita semua bahawa perubahan penting mesti semakin mendesak dilakukan menjelang 2024 supaya sistem keadilan jenayah kita diperkukuh untuk menghapuskan prospek dan/atau penampilan berat sebelah dalam cara ahli politik didakwa, dan dalam cara pertuduhan terhadap mereka ditarik balik,” katanya.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-