Tuesday, March 21, 2023

PM disoal adakah Top Glove diarah bantu penoreh getah seperti Syed Mokhtar

satuberita.my
By SatuBerita
-March 21, 2023
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disoal sama ada beliau mengarahkan syarikat seperti Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) untuk berkongsi keuntungan dengan golongan penoreh getah setelah membuat keuntungan besar hasil peningkatan permintaan untuk sarung tangan dan produk lain dibuat daripada getah semasa pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dari Perikatan Nasional (PN) bertanya demikian selepas tindakan Anwar mengarahkan taikun Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk berkongsi keuntungan syarikat Bernas kepada golongan pesawah.

Anwar bagaimanapun tidak menjawab soalan itu secara langsung.

“Setakat ini ada senarai 60 syarikat gergasi termasuk multinasional yang perlu menampung pembiayaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Mereka mengambil alih sebahagian dan bantu selenggara, melatih (pelajar) dengan kos syarikat.

“Ia termasuk Sunway, Berjaya, Tenaga, Telekom dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.

Katanya, Kumpulan Albukhary juga menawarkan untuk membantu sebuah institusi TVET di Pekan, Pahang.

Anwar berkata ia merupakan pendekatan kerajaan untuk meminta syarikat-syarikat membantu secara langsung rakyat miskin.

Ahli Parlimen Tambun itu semasa tempoh awal pentadbirannya menyasarkan syarikat Bernas milik Syed Mokhtar dengan meminta Bernas membayar sejumlah RM60 juta kepada pesawah di seluruh negara.

Manakala Top Glove mencatatkan keuntungan RM7.98 bilion pada 2021, meningkat 346% berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat pengeluar sarung tangan itu menyaksikan keuntungan sedemikian rupa kerana permintaan sarung tangan yang kukuh yang didorong oleh pandemik Covid-19.

Beberapa pihak pernah mencadangkan agar cukai durian runtuh dikenakan kepada syarikat itu dan beberapa syarikat lain.

Dalam pada itu, Anwar berkata kuasa untuk memberikan pengecualian cukai bukan di bawah Kementerian Kewangan atau perdana menteri, tetapi ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-