Thursday, March 23, 2023

Puasa Ramadan selami penderitaan fakir miskin

bebasnews.my
By Nazeri Nong Samah
-23/03/2023
Photo by mohamed_hassan on Pixabay Gambar hiasan

MENUNAIKAN ibadah puasa wajib sepanjang bulan suci Ramadan bagi umat Islam yang tidak keuzuran, pasti dapat menyerlahkan falsafah untuk memberi keinsafan mengenai penderitaan lapar dan dahaga ditanggung oleh golongan fakir miskin, termasuk anak-anak yatim.

Dalil wajib puasa Ramadan berpandukan Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang berimam, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Quran Surah al-Baqarah, ayat 183).

Tanpa perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT menerusi Rukun Islam ke-3 agar umat Islam wajib menunaikan puasa Ramadan itu, maka golongan berada hidup senang tidak akan dapat menyelami denyut nadi penderitaan golongan fakir miskin berlapar dahaga serta kesedihan anak-anak yatim atau yatim piatu yang kematian kedua-dua ibu bapa mereka.

Namun dengan adanya pengajaran daripada hikmah puasa Ramadan menahan lapar dan dahaga itu, maka golongan yang mewah dan berkemampuan akan berlumba-lumba untuk menghulurkan sedekah berupa makanan diterjemahkan menerusi penganjuran majlis berbuka puasa, menghulurkan wang tunai dan pakaian baharu untuk persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri serta pelbagai kaedah lain bagi membantu golongan kurang bernasib baik tersebut.

Seperti yang termaktub dalam peraturan berpuasa Ramadan itu, ia wajib dilakukan dengan lafaz niat ketika bersahur untuk ibadah tersebut, selain menetapkan wajib dilakukan oleh umat Islam yang sudah akil baligh (cukup umur, lazimnya bagi budak lelaki yang sudah ada air mani, manakala perempuan yang sudah datang haid).

Bagi perkara yang membatalkan puasa siang hari itu antaranya ialah makan dan minum dengan sengaja, selain memasukan air, asap rokok (merokok rokok) dan lain-lain objek ke dalam rongga tubuh, termasuklah bersetubuh (melakukan hubungan seks).

Dalam pada itu puasa tidak wajib bagi orang gila dan mereka dalam keuzuran (terlantar sakit), manakala keuzuran dalam konteks wanita ialah mereka yang datang haid, tetapi wajib menyambung puasa selepas suci daripada haid dan nifas, selain ‘puasa ganti’ selepas Ramadan, begitu juga dengan orang yang sakit kembali sihat wajib qada’ (puasa ganti) sebelum hadir Ramadan tahun berikutnya.

Bagi orang tua yang uzur (sakit) tiada harapan untuk sembuh, maka kaedah lain untuk menebus kegagalan puasa mereka ialah secara ‘fidyah’ iaitu perlu memberi makan kepada orang miskin mengikut sukatan tertentu makanan asasi setiap hari mengikut jumlah hari tidak berpuasa.

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari tertentu (selama 29 atau 30 hari), maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari tidak berpuasa) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah satu kebaikan baginya dan (walaupun demikian), berpuasa itu lebih baik daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Quran Surah al-Baqarah, ayat 184).

Bagaimanapun sesuai dengan aliran zaman, nilai sukatan makanan untuk ‘fidyah’ boleh ditukar dengan kaedah bayaran menggunakan wang mengikut nilai semasa makanan asasi di sesebuah negara.

Bagi menunaikan ibadah puasa Ramdan itu sebaik-baiknya perlu mengikut sunnah Rasulullah SAW (iaitu junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW) agar kita memperoleh ganjaran besar pahala kurniaan oleh Allah SWT.

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat yang besar.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Ada pelbagai kaedah bersahur sama ada makan makanan yang lebih mengenyangkan seperti nasi dan roti banyak mengandungi karbohidrat pembekal tenaga seharian siang berpuasa.

Namun bagi Rasulullah SAW, terdapat riwayat bahawa yang penting baginya ialah bersahur kerana adakalanya baginda hanya bersahur dengan meminum air dan makan beberapa biji kurma kaya mineral sebagai pemberi tenaga sepanjang tempoh siang hari berpuasa.

Adalah digalakkan juga agar umat Islam melambatkan makan sahur sehingga suntuk kepada berakhirnya waktu sahur menjelang masuk waktu solat Subuh.

Malangnya ramai umat Islam yang malas bangun tidur untuk bersahur, lalu menganggap ‘makan tengah malam’ itu sebagai bersahur dan terus melayan nikmat tidur sehingga terbabas tidur hingga fajar menyingsing tidak sempat solat Subuh.

Justeru daripada Amru bin al-‘As r.a. meriwayatkan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.”

Bagi menguatkan fakta perbandingan tersebut, Abu Daud meriwayatkan terdapat hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Agama akan sentiasa nampak syiarnya dengan nyata selamanya orang Islam berbuka puasa dengan segera, (berlainan) orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya.”

BebasNews


Nazeri Nong Samah
NAZERI NONG SAMAH berasal dari Jerantut, Pahang. Mula bergiat dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah rendah darjah lima (1971). Selepas tamat tingkatan 5 (1976) menjadi penulis sambilan di akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Menjadi pemberita tetap dengan akhbar Utusan Malaysia selama 36 tahun (1982-2018).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-