Thursday, March 23, 2023

Jadikan kawalan perbelanjaan norma baharu Ramadan pembaziran makanan sepanjang Ramadan

bharian.com.my
Oleh Mohd Faizol Rizal Mohd Rasid dan Dr Mohd Hafiz Zulfakar
bhrencana@bh.com.my
Berbelanja tanpa berhemat ketika membeli juadah berbuka menyebabkan pembaziran makanan. - Foto hiasan

Sambutan Ramadan kali ini kembali meriah, walaupun masyarakat masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berwaspada.

Pelbagai sektor boleh beroperasi sepenuhnya mampu mencorak semula ekonomi negara, di samping mengembalikan kemeriahan kepada umat Islam dalam menjalankan ibadat puasa. Bazar Ramadan umpamanya, pasti memanfaatkan golongan peniaga dan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagaimanapun dalam keterujaan itu, isu pemborosan dan pembaziran makanan perlu diberi perhatian. Sudah menjadi lumrah setiap kali Ramadan, peningkatan ketara jumlah sisa buangan bahan makanan pasti berlaku.

Berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebanyak 44.5 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal dilupuskan ke tapak pelupusan adalah sisa buangan bahan makanan dianggarkan 17,000 tan sehari.

Daripada jumlah itu, 24 peratus sisa buangan bahan makanan masih elok dan cukup untuk lebih 3 juta orang sehari. Justeru, kebenaran penganjuran sepenuhnya bazar Ramadan dan bufet Ramadan di hotel serta restoran pada tahun ini dijangka akan menjadi antara penyumbang peningkatan sisa buangan bahan makanan. Malah ia akan meningkat sekitar 15 hingga 20 peratus berbanding bulan lain.

Sudah tentu angka ini menjadi ironi kerana Ramadan sepatutnya menjadi bulan mendidik jiwa agar dapat mengawal diri daripada godaan hawa nafsu. Apatah lagi, Islam mengajar umatnya untuk bersikap sederhana dan berjimat cermat.

Hakikatnya, sikap boros berbelanja lebih banyak mendatangkan kemudaratan, manakala berbelanja tanpa berhemat ketika membeli juadah berbuka puasa sering menyebabkan pembaziran makanan.

Peningkatan drastik jumlah sisa pepejal bahan makanan setiap kali Ramadan sangat membimbangkan kerana ia akan mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, sekali gus menyumbang pencemaran alam sekitar.

Sekiranya dapat dielakkan, ia mampu menjimatkan tenaga dan sumber bagi menguruskan sisa pepejal, sekali gus mengurangkan kesan karbon terhadap alam sekitar. Amalan perbelanjaan secara sederhana dan berhemah di bazar Ramadan sangat penting dititikberatkan, malah ia juga boleh mengurangkan kadar perbelanjaan keluarga.

Dalam hal ini, masyarakat disaran menggunakan bekas makanan dibawa dari rumah kerana bukan sahaja mengurangkan penghasilan sampah, terutama plastik membungkus makanan atau polisterin, bahkan mengelakkan pembelian berlebihan. Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur bazar Ramadan perlu proaktif dengan memperkasa kempen serta program kesedaran kepada orang ramai bagi mengelakkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

Sambutlah Ramadan dalam kesederhanaan, manakala perancangan dan kawalan perbelanjaan perlu dijadikan norma baharu supaya sikap boros berbelanja dan pembaziran makanan dapat dielak.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-