Sunday, June 4, 2023

Memang berusaha nak jatuhkan kerajaan tapi bukan guling atas jalan: Idris Ahmad

agendaily.com
04/06/2023
Datuk Idris Ahmad.
Perikatan Nasional (PN) sememangnya berusaha untuk menggulingkan kerajaan kerana tidak ada pembangkang di dunia yang menyokong mana-mana parti pemerintah, kata Datuk Idris Ahmad.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS itu berkata usaha untuk menggulingkan kerajaan itu perlu dilakukan mengikut proses demokrasi dan bukannya secara berguling atas jalan seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang sebelum ini.

“Wartawan bertanya kepada saya, betulkan pembangkang nak gulingkan kerajaan… Saya kata mana ada pembangkang di dunia yang tak mahu guling kerajaan.

“Betul tak? Kalau ada pembangkang yang sokong itu orang nama dia pembangkang putus wayar. Memang malam ni kita berusaha untuk nak jatuhkan kerajaan tetapi melalui cara demokrasi.

“Dan kami pun tak buat secara nak guling atas, berhimpun di Dataran Merdeka… Bukan kerja kami,” kata beliau semasa pelancaran jentera PN Pulau Pinang di Kubang Semang malam tadi.

Ahli Parlimen (MP) Bagan Serai itu menyindir pemimpin PH kerana sebelum ini sering berdemonstrasi dan berhimpun untuk mendesak kerajaan dan Perdana Menteri terdahulu berundur.

Menurut Idris, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi boleh dijadikan isyarat daripada rakyat kepada kerajaan kerana gagal menguruskan negara dengan baik sehingga pelbagai isu membebani mereka.

“Diramalkan ekonomi kita semakin teruk dan juga soal mata wang, pertukaran wang kita makin teruk… Disebut tadi Dr Radzi (Datuk Radzi Jidin) mungkin pergi ke harga rahmah dah (hampir ke RM5 berbanding dolar).

“Jadi kita memerlukan orang yang menumpukan masalah ini,” katanya lagi.

Idris juga membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang bercakap tidak serupa bikin apabila banyak janji tidak ditunaikan dan melanggar prinsip yang diperjuangkan selama ini.

“Dia cakap tak berpakat dengan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), tapi dia berpakat (lantik jadi Timbalan Perdana Menteri).

“Kedua, dia janji nak turun harga minyak tapi tak buat… Ketiga, dia kata tak akan berlaku lantikan politik tapi dia lantik… Yang keempat, dia kata tak umum projek-projek semasa lawatan tapi dia buat dan kelima kata tak dibenarkan pegang jawatan Menteri Kewangan tapi dia lantik diri sendiri,” katanya lagi.

Idris juga yakin rakyat akan bangkit dalam PRN enam negeri untuk menolak kerajaan yang tidak memikirkan soal rakyat dan hanya sibuk berpolitik sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-