June 21, 2023
MENTERI Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad dilihat begitu berkompromi dan bertoleransi dalam menunjukkan kesediaan menjual air kepada Pulau Pinang. Ia ketika kecurigaan mengenai isu kes pindah milik tanah yang dilaporkan di beberapa daerah di negeri ini belum pun reda dan terjawab.
Seolah-olah, ianya untuk kepentingan tertentu yang dalam konteks ini menampakkan kerana hubungan politik baharu antara Umno dan DAP. Secara tidak langsung Saarani bagaikan sudah tunduk kepada kerakusan politik DAP yang diketahui memerlukan dan sudah lama menuntut kedua-dua perkara itu.
Sikap Saarani itu bercanggah pendirian asal beliau semasa bersama PAS dan PN di mana lebih tegas. Apakah ketegasan lalu kerana kekuatan PAS dan PN, tetapi kini bagai lilin dibakar api ia mencair apabila bersama DAP dan PH? Apakah Saarani semakin lemah atau petanda jelas DAP membayangi setiap keputusan beliau?
Ternyata ini menjadi satu lagi episod malang buat rakyat dan Negeri Perak, tetapi lebih malang buat Saarani kerana membiarkan diri menjadi alat, sekali gus mengkhianati amanah jawatan. Belum terlambat untuk beliau berundur ‘kembali ke pangkal jalan’, menepati pendiriannya sepertimana dilafazkan sebelum ini.
Tanah dan air adalah dua elemen terpenting serta masih ‘tersisa’ sebagai hak dan kedaulatan negeri setelah banyak yang lain ditadbir bersama Kerajaan Persekutuan. Itupun terdapat sebahagian daripada perkhidmatan air memerlukan bantuan Pusat dari kewujudan akta-akta yang telah digubal.
Kerana itulah keduanya digabungkan sebagai ‘Tanah Air’ bagi mewakili keasalan, pemilikan, maruah, perjuangan, kehidupan dan kekuasaan serta ketuanan sesuatu bangsa dan wilayah. Keduanya bukan untuk dikomersial dan diperdagang mahupun dispekulasikan, sebaliknya dijaga dan dipertahan biar apapun bayarannya.
Sayang sekali, semudahnya Saarani mahu mencabul sumpah sendiri dan menggadai ‘Tanah Air’ ini semata-mata cinta termeterai antara Umno dan DAP? Sedangkan di ‘Tanah Air’ ini ada mereka yang berpuluhan tahun membanting tulang dan memugar hutan tetapi masih terpinggir serta merempat.
Sekian lama janji pemberian geran tanah hanya dijadikan modal politik oleh Umno selama memerintah dahulu untuk mengugut dan mengekalkan undi. Tiba-tiba kini segala itu dimungkiri, lalu sewenangnya pula tanah terbabit ‘dianugerahkan sebagai hadiah sebuah perkahwinan’ kepada pasangan sendiri?
Di tanah Darul Ridzuan ini juga sering kering-kontang tanpa air yang menjadi keperluan mendesak dan sering ketidakcukupan bagi aktiviti warga rakyat, kamu pula redha menjualnya? Janganlah seperti ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’ kerana kelak semuanya akan masuk ke dalam tanah juga.
HAJI RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang DUN Perak
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
– HARAKAHDAILY 21/7/2023
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.