Sunday, July 16, 2023

Setiap hari beri gambaran negatif kepada negara, pelabur pun lari: Noh

agendaily.com
16/07/2023
Tan Sri Noh Omar bidas kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langkah pemimpin kerajaan campuran yang memberi gambaran negatif terhadap negara dengan pelbagai isu menyebabkan pelabur lari, kata Tan Sri Noh Omar.

Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mendakwa pelabur luar takut untuk datang apabila pemimpin tertinggi kerajaan setiap hari memberi gambaran buruk sehingga menjejaskan imej negara, malah laporan media minggu lalu menunjukkan setiap minggu pelabur asing menjadi penjual bersih saham.

“Perdana Menteri dia tak cakap soal rakyat, dia cakap soal apa? Soal sakau, rasuah. Dia cakap ini pasal hutang, 1.5 trilion. Pasal defisit negara.

“Tuan-tuan, macam manalah pelabur-pelabur nak datang? Pelabur-pelabur yang ada pun lari lari, betul?

“Bila tengok memberikan gambaran yang negatif di dalam negara kita. Kalau kitalah nak nak buat pelaburan, nak buat pelaburan dengan seseorang, tahu bahawa orang ni dah tak cukup modal dan nak bankrap, hutang banyak, beranikah kita nak melabur? Tak berani,” katanya dalam satu ceramah di Gombak, Selangor malam tadi.

Noh yang juga bekas menteri berkata sepatutnya kerajaan campuran bercakap soal rakyat dan membuat dasar yang dapat meningkatkan ekonomi negara, bukannya hanya tahu mencari salah orang lain.

“Sepatutnya Perdana Menteri kerajaan ini kena membuat dasar yang jelas bagaimana nak menolong rakyat,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, media melaporkan pelabur asing mencatatkan jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ke-12 berturut-turut, dengan aliran keluar bersih asing minggu lalu mencecah RM254.1 juta.

MIDF Research dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 7 Julai 2023 berkata, Isnin minggu lalu bagaimanapun menyaksikan aliran masuk asing bersih berjumlah RM83 juta, dengan pelabur asing menunjukkan minat dalam saham seperti Public Bank (RM28.4 juta), Maybank (RM16.0 juta) dan Gamuda (RM15.2 juta).

“Pelabur asing menjadi penjual selama 21 daripada 27 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM4.45 bilion,” katanya.

Dua sektor mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lalu, iaitu perladangan (RM23.5 juta) dan pembinaan (RM22.4 juta), manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (-RM75.9 juta), produk pengguna dan perkhidmatan (-RM51.2 juta) serta produk dan perkhidmatan industri (-RM50.3 juta).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-