Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
- September 15, 2023 @ 11:11am
Sekitar tinjauan harga bawang dan cili kering di sebuah pasaraya di Plentong Johor Bahru, Johor. - Foto NSTP/Nus Aisyah Mazalan
JOHOR BAHRU: Harga bawang merah, bawang putih dan cili kering yang naik antara 30 hingga 40 peratus menyebabkan pengguna terutama peniaga makanan kian terhimpit.
Tinjauan di sekitar Tampoi dan Masai di sini, mendapati harga bawang merah yang sebelum ini RM5 hingga RM6 sekilogram kini naik kepada antara RM9 hingga RM13.
Bawang putih yang sebelum ini hanya RM5 sekilogram turut naik ke hampir RM9 manakala lada kering yang sebelum ini hanya RM13 sekilogram naik mendadak kepada lebih RM21.
Peniaga nasi campur dan makanan bergoreng, Mohammad Izam Seran, berkata kenaikan harga bawang merah, bawang putih dan lada kering sudah berlaku sejak awal tahun lalu.
Katanya, kenaikan yang konsisten menyebabkan harga bahan mentah berkenaan semakin melambung kebelakangan ini
"Sebenarnya kenaikan harga bahan mentah berlaku kepada hampir semua barang namun paling mendadak adalah bawang besar, bawang putih dan lada kering termasuk beras pula kini.
"Sebelum ini, seguni lada kering 10 kilogram (kg) hanya RM130 namun kini melebihi RM210 seguni.
"Bawang merah dan bawang putih pun sudah naik mendadak masing-masing kepada RM13 dan RM9 sekilogram berbanding masing-masing hanya RM8 dan RM5 sekilogram sebelum ini.
"Peniaga kecil seperti saya sangat terjejas dengan kenaikan mendadak bahan mentah sehingga terpaksa menaikkan harga makanan dijual di gerai hingga 10 peratus," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini media melaporkan kenaikan harga barangan mentah membabitkan gula pasir premium, cili kering, bawang besar dan kecil, ikan bilis yang didapati mengalami kenaikan sehingga 40 peratus menyebabkan pengguna terutama peniaga kecil semakin terkesan.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim, berkata sebanyak 300 pengusaha restoran mamak di negeri ini dijangka menaikkan harga makanan terutama berasas beras sebanyak 10 peratus dalam masa terdekat
Katanya, pengusaha restoran mamak semakin terbeban dengan kenaikan mendadak harga bahan mentah termasuk telur, bawang merah dan putih, lada kering dan beras yang menjadi bahan utama masakan mereka.
"Ahli kami tidak lagi dapat menyerap kos operasi yang semakin tinggi terutama sewa dan gaji pekerja dan kini pula harga bahan mentah naik mendadak.
"Kami merayu supaya kerajaan mengambil tindakan menangani kenaikan harga bahan mentah yang semakin tinggi ia bukan sahaja menyebabkan harga makanan terpaksa dinaikkan malah ia menyebabkan kemampuan pengguna juga semakin terhad dalam berbelanja termasuk untuk makan di luar," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.