Wednesday, September 20, 2023

Kos sara hidup meningkat, gaji tak banyak berubah

mediaprima.com.my
Oleh Shahrizan Salian 
shahrizan_salian@mediaprima.com.my
- September 20, 2023 @ 12:04pm
27 peratus rakyat Malaysia menganggap pampasan kewangan sebagai faktor penentu apabila menerima tawaran pekerjaan - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Gaji yang tidak banyak berubah dan kos sara hidup yang semakin meningkat di Malaysia sepatutnya mendorong majikan untuk menyemak semula paras gaji sebagai sebahagian daripada strategi pengambilan pekerja bagi menarik minat calon yang berkualiti, demikian menurut platform pekerjaan dalam talian terkemuka di Malaysia, JobStreet.

Pengarah Urusan JobStreet Malaysia, Vic Sithasanan, berkata walaupun tahap gaji median adalah konsisten dari tahun ke tahun, peningkatan kos sara hidup masih menjadi satu kekhuatiran dan memang difahami bahawa terdapat peningkatan tumpuan terhadap gaji dalam kalangan pencari kerja pada masa ini.

Beliau berkata, mencari dan merekrut bakat terbaik terus menjadi cabaran bagi semua syarikat, terutamanya untuk peranan yang sangat khusus atau sukar untuk diisi.

"Sepanjang tahun lalu, kami telah mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus dalam permohonan pekerjaan melalui JobStreet Malaysia, menandakan bahawa lebih ramai warga Malaysia sedang mencari peluang baharu dan perniagaan perlu mencari cara untuk menyerlahkan diri sebagai majikan pilihan agar dapat merekrut dan mengekalkan bakat berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Panduan Gaji 2023 yang diterbitkan oleh JobStreet mendapati 97.3 peratus daripada penyenaraian pekerjaan menawarkan tahap gaji yang sama seperti tahun sebelumnya.

Malah, laporan terkini oleh JobStreet itu juga mendapati kebanyakan bandar mengalami penurunan gaji merentasi kebanyakan jawatan.

Hanya Kuching yang mengalami kenaikan gaji median sebanyak 9.6 peratus, manakala Putrajaya tidak mengalami sebarang perubahan.

Jawatan di Kuantan paling teruk terjejas, dengan penurunan gaji sebanyak 29.4 peratus. Secara keseluruhan, peranan pegawai rendah dan bukan eksekutif mengalami penurunan yang paling tinggi.

Vic berkata, kajian oleh JobStreet Malaysia mendapati bahawa 27 peratus daripada rakyat Malaysia menganggap pampasan kewangan sebagai faktor penentu apabila menerima tawaran pekerjaan, melebihi purata global iaitu 21 peratus.

Walau bagaimanapun, katanya syarikat yang mungkin merasakan tekanan untuk bersaing dari segi tahap gaji juga harus mengingati faktor lain yang boleh memberi kesan kepada perekrutan dan menyerlahkan kelebihan mereka.

"Ketelusan dan keterbukaan semakin dihargai, dan keseimbangan kerja-kehidupan adalah satu keutamaan bagi majoriti rakyat Malaysia.

"Syarikat perlu memastikan bahawa mereka boleh mewujudkan kepercayaan, dan mewujudkan budaya korporat yang memenuhi jangkaan pencari kerja moden," katanya.

Laporan Panduan Gaji menganalisis data gaji bulanan sepenuh masa yang diekstrak daripada iklan JobStreet dalam pangkalan data dalaman.

Gaji median digunakan untuk analisis, yang mana nilai unsur luaran atau ekstrem, serta data gaji di bawah gaji minimum negara (RM1,500) dikecualikan bagi memastikan ketepatan analisis dan cerapan.

Laporan itu membandingkan data gaji antara bulan April 2022 hingga Mac 2023 dan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu dari April 2021 hingga Mac 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-