Saturday, September 30, 2023

Wacana Kesatuan Umat Islam Serantau angkat idea Melayu Raya

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
30092023

Gali semula catatan sejarah, canang idea kesatuan di masa hadapan

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Perpecahan negara Islam serantau menyebabkan umat Islam Nusantara mengalami kerugian kerana hilang identiti dan kekuasaan ke atas tanah air sendiri.

Atas dasar itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengambil tanggungjawab mengangkat kembali idea Melayu Raya menerusi penganjuran Wacana Kesatuan Umat Islam Serantau di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Pengarahnya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, wacana ini akan menjadi medium penyatuan umat Islam Nusantara yang sekian lama terpisah kerana sempadan geografi dan pentadbiran politik.

“Hari ini umat Islam dan negara umat Islam Nusantara terpecah-pecah mengikut sempadan geografi, sedangkan satu ketika dahulu negara-negara ini dipayungi oleh satu kekuatan dan berdaulat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, perbincangan mengangkat semula kesatuan serantau perlu dibuat, bermula dengan menggali kembali catatan sejarah dan mencanangkan idea perlunya kepada kesatuan di masa hadapan.

“Idea kesatuan ini pernah menjadi arus satu ketika dahulu. Tokoh-tokoh gerakan Islam mahupun parti politik di negara-negara rantau ini pernah mengangkat slogan Melayu Raya atau Indonesia Raya kerana sedar perlunya kesatuan ini untuk bebaskan negara dari penjajahan.

“Namun, slogan-slogan tersebut telah pudar setelah satu tempoh dan tidak ada catatan sejarah yang merakamkan agenda kesatuan tersebut secara terperinci, seolah-olah perkara kesatuan ini sengaja dihilangkan,” katanya.

Penganjuran ‘sulung’ Wacana Kesatuan Umat Islam Serantau kali ini disertai oleh pemikir-pemikir dan para akademik dari seluruh negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Malaysia.

Wacana ini menumpukan kepada tiga topik utama iaitu ‘Penjajahan Alam Melayu dan Kesannya’, ‘Idea Kesatuan di Era Penjajahan, Satu Analisa’ dan ‘Kritikan serta Forum Jalan Menuju kepada Kesatuan Serantau’.

Terdahulu, sesi pembentangan dimulakan dengan wakil dari Brunei dan Vietnam iaitu Dr Muhammad Hadi Muhammad Melayong serta Dr Ma Thanh Hoang.

Sesi kemudiannya diteruskan dengan pembentangan Prof Dr Syed Muhammad Khirudin Aljunied (Singapura), Prof Emiritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (Malaysia).

Bagi sesi forum pula akan disertai barisan panel iaitu Asst Prof Dr Ahmad Omar Chapakia (Thailand), Dr Maad Ahmad (Kemboja), Dr Muhammad Zaitun (Indonesia) dan Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-