Tuesday, December 19, 2023

‘Lim Kit Siang tidak bermimpi di siang hari’

harakahdaiy.com
December 18, 2023
Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR: “‘Impian Malaysia’ yang diperkatakan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang itu bukan main-main. Ia bukan mimpi di siang hari. Ahli politik veteran DAP itu seorang yang amat berstrategi. Dia tidak bercakap kosong.”

Itu penegasan dibuat Datuk Dr Marzuki Mohamad yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menambah bahawa beliau percaya pada masa ini, DAP telah membuat perkiraan untuk Pilihan Raya Ke-16 (PRU 16).

“Dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 2026, kawasan-kawasan Parlimen DAP yang berjumlah 40 pada ketika ini boleh bertambah satu kali ganda.

“Dengan trend sokongan semasa, DAP pasti menang di kawasan-kawasan ini,” dakwa beliau lagi.

Marzuki turut memberitahu, bahawa dengan kelebihan kuasa sebagai kerajaan, ‘gerrymandering’ juga boleh dibuat untuk menambah kawasan-kawasan 60:40 Melayu dan bukan Melayu.

“Kawasan-kawasan ini masih majoriti Melayu tetapi komposisi pengundi Melayu cuma 60 peratus.

“Dengan trend sokongan padu pengundi Cina kepada DAP dan parti sekutu DAP, Pakatan Harapan (PH) hanya memerlukan 20 peratus sokongan Melayu untuk menang di kawasan-kawasan ini.

“20 peratus sokongan Melayu ini akan dibekalkan oleh UMNO,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi, beliau tidak mahu mengatakan pada ketika itu orang bukan Melayu akan menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin belum lagi. Apapun hanya kuasa Allah SWT yang menentukan.

“Realiti politik telah berubah dan impian Lim Kit Siang itu bukanlah mimpi di siang hari. Ahli politik veteran DAP itu berkata benar,” katanya. 

HARAKAHDAILY 18/12/2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-